Thursday, November 26, 2009

Warkah dari Baitul 'Atiq

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah dengan nikmat kurniaan Allah, diri ini masih lagi diberi peluang untuk menyusun kata dan menarikan jari- jemari di papan kekunci di notebook tercinta. Namun begitu, tiada ayat yang terlintas di fikiran tatkala kesibukan mula menjengah dan diri kini diuji dengan kemiskinan masa untuk persiapan ke rumah nenek di Johor bersempena Hari Raya Korban. Namun begitu, diri ini ingin berkongsi satu cerpen yang sangat menarik tulisan seorang blogger, hasil dari jaulah diri ini dari blog ke blog untuk mencari ilmu Allah. Semoga perkongsian ini memberi manfaat, tatkala hati juga sedang merindui untuk menjejak kaki ke bumi Mekah untuk menjadi tetamu Allah. Semoga menjadi perantaraan tarbiyah buat sesiapa yang membacanya..... Selamat membaca

WARKAH DARI BAITUL 'ATIQ

Orang sudah ramai memenuhi balai berlepas. Kelihatan pelbagai perasaan dan rasa tergambar di wajah masing-masing. Pasport, tiket dan beg sandang yang mengandungi dokumen-dokumen penting aku pegang erat. Ada seorang pakcik tua terkumat-kamit mulutnya di kerusi hujung. Wajahnya tenang. Sedang berzikir pastinya. Pakcik itu tersenyum padaku dan senyumannya ku balas ikhlas.

Tiba-tiba wajah walidku menjelma di ruang mata. Ya Allah, di kala ini sungguh rinduku pada walid mendatang. Aku jadi mendadak sebak. Ah, walid. Masih aku ingat petang sore itu, tatkala langit rembang kemerah-merahan, walid pulang tergesa-gesa sambil memeluk aku. "Ziyad, walid dapat naik haji tahun ini". Muka walid bercahaya sambil memegang surat dari Tabung Haji. Aku jadi tidak terkata sambil membalas erat dan bertahmid perlahan. "Alhamdulillah, akhirnya Allah sudi menerima walid sebagai tetamunya". aku tahan sedu. Lantas kakak-kakak dan abang-abang dihubungi. Malam esoknya, walid membuat kenduri kesyukuran. Seekor kambing tumbang sebagai tanda syukur pada Allah. Dan walid tidak henti tersenyum dan kadang-kadang ada air bertakung di celah matanya.

"Abang, dah boleh masuk. Mari". Isteriku tiba-tiba menegur lamunan. Wajah walid hilang sebentar dari pandangan. Pesawat MAS 343 ditempah khas oleh Tabung Haji tahun ini untuk membawa jemaah ke tanah suci. Aku mengambi kerusi tepi sekali di tingkap. Bertukar tempat dengan isteriku, gayat katanya. Al-Quran, Tasbih dan buku panduan haji aku keluarkan dari beg sandang sebagai bekalan perjalanan panjang. Tatkala pesawat mulai berlepas seorang ustaz membacakan doa.

Para steward dan stewardess mula sibuk memenuhi permintaan jemaah. Alhamdulillah, paramugari berbeza sekali pakaiannya kali ini. Mungkin malu dengan pakcik dan makcik yang nak ke Mekah. Kerap kali keluar negara membuatkanku sudah terbiasa dan tidak mengalami masalah. Aku berbasmallah, bersyahadah dan berdoa moga musafirku ini deredhoi dan diterima Allah. Kemudian, sambil megingatkan isteriku disebelah, aku memperbaharui niat. Aku kini sedang menuju ke rumah Allah. Sedang melangkah dengan penuh rasa hina bertemu tuhan, menunaikan rukun islam kelima di Baitullah Al-haram. Aku terus berdoa dan berdoa sambil meraup wajah. Ya Allah...terimalah kedatangan hamba Mu ini. Dan lampu pesawat mulai malap.



Mana mungkin aku lupa, betapa tidaknya walid begitu gembira. Bapa tunggal 5 anak ini cukup cekal hatinya. Sanggup berkorban segalanya untuk kehidupan anak-anak hingga ke umur tua. Beberapa kali tawaran haji walid tunda semata-mata mendahulukan pengajian kami adik beradik. Hingga di hujung usianya, akhirnya dia diberi kesempatan dari Allah untuk menunaikan rukun Islam ke 5 ini. Perlahan aku keluarkan sampul surat dari celah buku panduan haji. Tanpa ditahan, airmata mula mengalir deras. Inilah surat yang dikirim lewat pakcik Yahya dari walid padaku beserta berita sedih yang menyentak jiwa. Walid kembali kepangkuan tuhan ketika sedang bersujud di Hijr Ismail sewaktu menghabiskan Tawaf Wada'nya. Waktu itu aku masih ditahun akhir pengajian Kejuruteraan di UIA. Dalam samar-samar cahaya, aku membaca untuk kesekian kalinya surat tulisan tangan seorang guru itu sebelum kakiku menjejak tanah haram.

Assalamualaikum , anakku Ziyad Ibrahim

Harap Ziyad dan semua sihat dibawah jagaan Allah. Walid disini juga sihat dan gembira menunaikan ibadah. Anakku, walid dapat merasakan bahawa walid akan tinggal lama di rumah Allah ini. Mungkin untuk selama-lamaya. Jadi walid menulis surat ini untuk menceritakan perasaan gembira walid dan kenangan paling indah walid menunaikan ibadah Haji di Baitullah. Moga nanti bila sampai masa Allah menerima Ziyad dirumahNya, Ziyad akan dapat beribadah dan merasakan manisnya bertemu dengan tuhan seperti yang walid rasa. Anakku Ziyad, dalam surah Al-Hajj ayat ke 27 yang bermaksud

" Khabarkanlah kepada sekalian manusia manusia itu untuk melakukan ibadat Haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta, meraka itu akan datang dari segala ceruk penjuru yang jauh".


Walid juga berharap diampun segala dosa dan mendapat haji mabrur seper
ti hadis nabi “Haji mabrur itu tiada lain ganjarannya kecuali syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim").

Anakku Ziyad, pada pagi hari tanggal 8 Zulhijjah, walid berihram untuk haji dari tempat tinggal walid dengan mandi terlebih dahulu dan memakai ihram. Terasa dada walid begitu berdebar untuk melaksanakan ibadah haji. Air mata walid tidak henti-henti mengalir ketika kami semua membaca kalimah talbiyyah. Labbaikallahumma Labbaik...Labbaikala syarikalabbaik....

"Aku sambut panggilanMu untuk menunaikan ibadah Haji. Aku sambut panggilanMu Ya Allah, Aku sambut panggilan Mu, Tiada sekutu bagi Mu. Sesungguhnya segala puji, kenikmatan dan kerajaan adalah milik Mu, tiada sekutu bagi Mu....."


Kemudian walid bertolak ke Mina.Solat Zuhur, 'Asar, Maghrib dan 'Isya' di sana dengan mengqasar solat-solat empat rakaat. Apabila matahari telah terbit pada tanggal 9 Zulhijjah, walid mula menuju ke Arafah dan berdiam disana sehingga matahari terbenam. Sungguh waktu ini anakku, perasaan walid tidak dapat ditahan. Walid terbayang muka arwah ummi dan muka anak-anak walid semua. Terasa seperti sedang dihisab Allah di Padan Mahsyar. Tambah-tambah hari Wukuf jatuh pada hari Jumaat. Haji Akbar kata ustaz. Terasa Allah sedang berbicara dengan walid. Maafkan walid andai tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah dengan sempurna.

Ketika matahari mulai terbenam, walid tinggalkan Arafah dan menuju Mudzalifah. Walid tetap disitu untuk berdoa dan berzikir sampai mendekati terbitnya matahari. Walid mendoakan kamu semua. Semoga diberi kebaikan di dunia dan akhirat. Kemudian walid mula berjalan menuju Mina. Di Mina, walid melempar jamrah Aqabah sebanyak 7 kali dan bertakbir. Keadaan manusia sangat sesak. Hingga walid mengalami kesukaran bernafas. Namun Alhamdulilah, Allah mempermudahkan urusan walid. Walid terus melakukan kurban dan mencukur rambut selepas itu.

Pada saat ini walid sudah boleh bertahallul dan memakai pakaian biasa. Walid meneruskan perjalanan ke Mekah dan membuat Tawaf Haji seterusnya Sa'ie diantara Safa dan Marwa. Ketika walid terpandang akan Kaabah Assyarif, ada rasa sejuk menusuk dada walid. Sekali lagi airmata walid tidak dapat ditahan. Perasaan ini tidak dapat digambarkan anakku. Ianya sangat mengharukan. Walaupun dengan kudrat walid yang tidak seberapa ini, walid masih dapat melakukan semua ibadah dengan baik. Alhamdulillah. Walid kemudian kembali ke Mina dan melontar di tiga jamrah. Dan saat walid menulis ini...walid agak tidak berapa sihat. Mungkin kerana tidak biasa dengan cuaca disini. Walid sebenarnya sangat sedih meninggalkan Baitullah. Walid pasti sangat sedih ketika melakukan Tawaf Wada' nanti. Apabila selesai Tawaf wada' nanti walid akan menelefon Ziyad di Malaysia. Doakan walid sempat mengucapkan selamat tinggal pada Baitullah..

Ziyad anakku, maafkan segala kesalahan walid. Doakan walid mendapat haji yang mabrur. Walid sangat bersyukur dikurniakan anak-anak seperti kamu semua. Doakan walid di dunia dan di akhirat sana. Ingatlah anakku, Haji itu ibadah yang yang membawa kita bertemu yang Esa. Membawa diri yang hina untuk bersujud dan menyerah diri pada Allah. Persiapkanlah diri kamu. Inilah diantara ni'mat yang terbaik dikurnia Allah. Moga nanti Ziyad juga mendapat haji mabrur dan kemanisan dalam beribadah. Salam sayang dari walid Ismail untuk anaknya

Ibrahim Ismail Isa
Makkah Al- Mukarramah


"Encik, sekarang dah masuk waktu subuh". Suara paramugari mengejutkan aku. Tertidur rupanya aku. Surat walid aku dakap erat. Ada sisa air mata di kelopak aku sapu. Isteriku disebelah sudah tiada, ke tandas mungkin. Surat walid aku cium dan masukkan ke dalam beg sandang. Sekejap lagi pesawat akan tiba di Bir Ali dan aku akan mula berniat di situ. Maka bermulalah pengembaraan rohani ku bertemu Allah. Walid, tunggu Ziyad di sana..Batullah Al-Haram...

___________________________________________________________________


Saya belum ada rezqi menunaikan haji mahupun umrah. Jika ada sebarang kesalahan dalam cerpen ini, mohon sudi membetulkan. Ianya melalui pembacaan dan pembelajaran saya. Namun setiap kali tiba Zulhijjah, saya jadi begitu teruja. Moga nanti Allah sudi menerima saya nanti menjadi tetamuNya. Doakan saya semua. Haji Mabrur semua, insya Allah :)
Busyral Huda
6 Zulhijjah 1940H

Link:http://rehlah2syahid.blogspot.com/2009/11/warkah-dari-baitul-atiq.html



Wallahu'alam.

Wednesday, November 18, 2009

Kembara Cinta bersama akhwat..... Ada apa dengan Tarbiyah Dzatiyah?

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah dengan kemurahan Allah S.W.T, diri ini masih bernafas menghirup udara segar milikNya. MasyaAllah, hadirnya setiap perkara yang berlaku dalam hidup, menjadi sesuatu yang sangat berhikmah. Seperti Allah S.W.T sentiasa menyingkapkan kehadiranNya dalam setiap penciptaanNya. Doakan iman diri ini sentiasa istiqamah dan istimrar, bersama-sama bermujahadah untuk mencapai nikmat iman yang sempurna. Ameen. Selawat dan salam kepada murabbi agung Nabi Muhammad S.A.W, keluarga dan sahabat, tabi' tabiin serta semua umat Islam di seluruh dunia. Semoga terus tsabat melangkah mencari cinta Ilahi.


Allah Yang Maha Besar, Maha Pengasih dan Penyayang. PadaMu ana memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas kurniaan nikmat berukhwah. Tidak ternilai harganya. Betapa nikmatnya berukhwah keranaMu, Allah. Bersama mawar-mawar berduri, akhwat UPM yang dikasihi, dengan izinNya dipertemukan lagi dalam program Kembara Cinta yang baru sahaja berlalu pada 14 dan 15 hb November yang lepas di Taman Pertanian Bukit Cahaya. Terlerai keinginan untuk berjumpa dan bertanya khabar sahibah-sahibah yang dikasihi. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Ungkapan 'kembara cinta' mengingatkan ana bahawa ramai umat muslimin dan muslimat yang bersedia untuk menjadi tetamu Allah di Mekah dan Madinah. SubhanAllah, didoakan agar jemaah haji yang akan mengerjakan rukun Islam yang kelima ini mendapat haji yang mabrur.



Namun begitu ternyata untuk ahli jawatankuasa program memilih istilah 'kembara cinta' sepadan dengan objektif iaitu untuk mencari cinta dan redha Allah, ukhwahfillah, meningkatkan ketahanan mental fizikal, spiritual dan emosi, dan juga menerangkan dengan lebih jelas tentang tarbiyah dzatiyah sebagai persediaan akhwat yang akan bertukar medan seketika dari kampus ke dakwah family. Selain itu, sememangnya kita mengembara... benar tak wahai semua ukhti yang ana kasihi? Kenangan yang tercipta bersama dalam lingkungan iman dan halawatul ukhwah yang sangat indah.... menceriakan hidup ana yang singkat ini.

Program yang bermula dengan Taaruf dan disusuli dengan Explore Race. Mawar-mawar berduri ini diuji dengan kekuatan mental dan fizikal. Mengembara dengan basikal untuk mendaki dan menuruni bukit. Tidak ketinggalan juga dengan cabaran-cabaran yang tersedia di setiap 'check point'. Diri ini ternyata diuji dengan kecekalan untuk terus mengayuh basikal dan memerah otak untuk menjawap soalan-soalan yang disediakan untuk peserta. Antara yang menarik ialah membuat origami, peta minda, silang kata, tasmi' hafalan surah Al-Ghasyiyah dan juga 'game' ukhwah.


Huhu.... paling menarik game ukhwah; kena berkongsi makan buah pear tanpa menggunakan tangan. MasyaAllah, perlukan kerjasama dan kesabaran yang sangat banyak. Jazakumullah buat sahibah sekumpulan, pada ukhti Aini dan ukhti Farah Husna, ana sayang antunna semua. Alhamdulillah, tercipta lebih banyak memori bersama akhwat yang tercinta. Sambil mentadabbur alam dan mengungkap ayat-ayat Al-Quran tentang haiwan, penciptaan langit, bumi, tumbuhan dan alam. MasyaAllah, sungguh memuaskan hati walaupun akhirnya kenangan yang dihadiahkan berserta dengan kesakitan... puas kayuh basikal sampai sakit kaki.... Ibrahnya sahabatku, sebelum melakukan riadah, pastikan buat 'warm up' dengan betul terlebih dahulu. hehe..

Dari taman pertanian bertukar halaman program ke Masjid Shah Alam. LDK diteruskan dengan perkongsian pendapat tentang perkara yang boleh dilakukan sebagai pengurusan diri dan emosi, tarbiyah dzatiyah, ukhwahfillah dan dakwah family apabila berada di rumah. Semoga apa yang telah dibincangkan secara teori mampu diaplikasikan secara praktikal. Tercipta lagi gambaran indah kenangan bersama akhwat tika diri dan sahibah mengangkat Ukhti Mila yang sakit kaki untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Ukhtiku sayang, semoga ukhti cepat sembuh...

Pada malamnya, diri diperkenalkan pula dengan cara dakwah masyarakat yang seharusnya kita semua tahu. Ilmu boleh dicari di mana-mana sahaja. Bertuahnya diri kerana dapat menghadiri forum perdana yang dianjurkan oleh masjid yang menjemput panel yang terkenal berkongsi tentang 'Faedah Ibadah Solat'. Kata-kata yang membina dan terkesan di hati hampir menyebabkan ana mengalirkan air mata. Keagungan Allah dalam setiap ibadah yang dianjurkan kepada kita, akhirnya adalah untuk kebaikan diri kita sendiri. Kedekatan dan keterikatan hati pada Allah yang mampu terjalin dengan solat yang sempurna. Dan sujud padaNya menjadi satu tanda kehambaan diri yang bergelar insan kembali kepada fitrah manusia. Tidak ketinggalan, aluanan azan yang sangat menyentuh hati. Sangat terasa seperti diri ini dipanggil untuk mengadapNya.... SubhanAllah, lembutkan dan lunakkanlah hati ini agar sentiasa mengingatiMu, Allah. Amen... ameen...ameen..

'Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang yang khusyuk. (iaitu) orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya' (Surah Al-Baqarah: 45-46).


Malam mula melabuhkan tirainya. Bersama semua sahibah yang dikasihi, mabit beramai-ramai di masjid. Kami juga disertai oleh beberapa warga masjid yang lain dan ummi Ukhti Ummu Aiman yang masing-masing berniat untuk menyertai Qiamulail keesokan harinya.

Walaupun diri keletihan, namun hati ini tidak mampu menolak apabila mendapat permintaan ukhti yang dikasihi untuk membaca satu surah yang mampu menyentuh hatinya sebelum tidur seperti yang pernah ana lakukan saban hari. Bermula dengan ta'awuz dan diikuti dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang; harapan, penghayatan dan doa ana sertakan mengiringi alunan al-Quran yang terlafaz dari bibir ini agar hati-hati antunna semua tersentuh dek kalimah-kalimah Allah. Terlalu istimewa kalimah-kalimah cinta Allah itu, wahai ukhtiku. Ingin ana menjadi perantaraan hidayah Allah kepada hati-hati manusia. Agar terbangkit jiwa mujahidah antunna yang lesu...agar bertambah saham akhirat ana... Ingin sekali ana menyentuh hati antunna seperti tersentuhnya hati ana tatkala kalimah-kalimah Allah itu diperdengarkan kepada ana satu ketika dahulu. Doaku agar terlahirlah cinta pada Al-Quran dalam hati antunna semua dan sama-sama kita terus berjuang mencari redhaAllah dengan berpegang teguh pada manhaj Al-Quran dan As-Sunnah. MasyaAllah, rindu ana pada rasulullah.. semoga diri kita tetap melangkah jejak sunnah baginda. InsyaAllah.




Pada pukul 3.30 pagi, imam yang dijemput khas untuk Qiamulail memulakan dengan zikir munajat yang sangat indah; diikuti dengan solat Tasbih, Taubat dan Hajat. Di antara solat-solat sunat diiringi dengan zikir, doa dan juga muhasabah diri oleh imam tersebut. Hati ini tersentuh tatkala mendengar esakan tangisan imam dalam pohonan doa dan zikir yang dipanjatlan pada Allah. Semoga doa kita semua dimakbulkan Allah. Ameen. Seterusnya, solat Subuh diimamkan oleh imam masjid Shah Alam. Alunan al-Quran dan doa dengan cara bacaan Sheikh Sudais Shuraim memenuhi ruang solat dan secara tidak langsung membangkitkan perasaan rindu pada bulan Ramadhan, pada Masjid UPM, pada surau tercinta di sekolah dan banyak lagi. MasyaAllah, bahagianya berada di rumah Allah. Seperti tidak mahu berganjak dari situ.

Walaubagaimanapun, kembara tetap diteruskan lagi apabila bertukar ke destinasi seterusnya. Beralih ke rumah akhwat yang berdekatan bersama tentatif seterusnya iaitu pengisian oleh akhwat yang dijemput khas untuk mengupas persoalan Tarbiyah Dzatiyah kepada semua akhwat yang hadir. Tarbiyah Dzatiyah ialah tarbiyah seseorang terhadap diri sendiri dengan dirinya sendiri.

Antara urgensi kepada tarbiyah dzatiyah antaranya adalah menjaga diri hendaklah diutamakan. Dalam Surah At-Tahrim ayat ke-6:

'Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.' (Surah At-Tahrim: 6)



Selain itu, tarbiyah dzatiyah adalah sangat penting kerana andai kita tidak mentarbiyahkan diri, siapa yang akan mentarbiyah diri? Tarbiyah ini juga ternyata diperlukan kerana hisab di akhirat kelak adalah bersifat individu:

'Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri' (Surah Maryam: 95)

'13. Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah yang dijumpainya terbuka. 14. Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu itu sebagai penghisab terhadapmu.' (Surah Bani Israel: 13-14)

Apabila sudah terdidik diri ini, maka barulah boleh melakukan perubahan pada keluarga dan masyarakat. Selain itu, ia juga satu sarana untuk terus tsabat dan istiqamah. Ini mengingatkan ana tentang keadaan ikhwah wa akhwat yang terkadang itu dalam keadaan 'down' tatkala iman diuji dengan hadirnya pengaruh-pengaruh Ghazwul Fikr yang datang menyapa diri. Program tv yang melalaikan, 'computer game' yang sangat mengasyikkan dan sebagainya. MasyaAllah, semoga iman diri ini dan antum semua sentiasa istiqamah dan istimrar.




Andai terasa 'down', ingatlah pada Allah, capai Al-Quran dan membacanya. Cuba wujudkan keterikatan hati antum pada Al-Quran dengan mencari kisah terindah melalui pujukan firman Allah. Selain itu, berhubung dengan sahabat yang dikasihi, meminta agar dipujuk diri yang semakin lemas dengan godaan dunia dan hawa nafsu. Maka, kerana ukhwah berteras tautan akidah pada Yang Esa, sama-samalah memimpin antara satu sama lain di jalan yang penuh dugaan ini.

Apabila berada di rumah, ikhwah wa akhwat dianjurkan supaya menjadi qudwah hasanah kepada ahli kelurga yang lain. Diri ini ingin mengajak antum semua untuk terus ikhlas mencari cinta Allah. Cukuplah Allah Yang Maha Melihat sebagai Pemelihara dan Penolong kita. Yang sentiasa mengawas tindakan kita. Walaupun diri dipuji, dicaci atau dihina, teruslah berbuat kerana pandangan Allah yang paling penting dan bukan pandangan manusia. Sentiasa bermuhasabah diri, bertaubat, mencari ilmu (bedah buku, surf internet), mengerjakan amalan sunat (mutaba'ah), menyibukkan diri dengan kerja yang baik, bermujahadah dan sentiasa berdoa kepada Allah.


MasyaAllah, penghargaan tidak terhingga buat mata yang masih tegar membaca nukilan yang panjang ini. Tatkala hati juga berkata, mata-mata inilah yang mungkin dekat pada diri ini sehingga sampai ke kalimah-kalimah akhir tulisanku tercatat. Sejujurnya diri ini sangat takut untuk menukilkan sesuatu, tika hati memohon kekuatan pada Allah agar kata-kata yang terlahir ini mampu untuk dilaksanakan oleh diri yang menulisnya. Sebagai seorang daie, kalimah 'Kaburamaktan' sentiasa terngiang di lubuk fikiran;

'2. Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? 3. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?' (Surah As-saff: 2-3).

SubhanAllah, ana memohon kekuatan untuk terus mencari redhaMu. Ameen.. Sahabat, doakan ana jua...

Alhamdulillah, selepas tamat pengisian yang sangat bermakna, evaluasi dijalan untuk mendapatkan respon dari para peserta. Ternyata, program ini mencapai objektif-objektifnya. Syukur pada Allah, Alhamdulillah. Semoga diteruskan di masa hadapan dengan aktiviti dan pengisian yang lebih menarik lagi.

Tatkala safar pulang ke rumah, ana ditemani oleh semua akhwat yang dikasihi. Suasana yang sebelum ini ceria dengan gurauan dan kata-kata sahibah mula digantikan dengan suasana yang agak sedih kerana masing-masing akan berpisah.

"Salam'alaik ukhti..insyaAllah ana akan merindui dodoian anti dengan aluanan ayat-ayat suci Al-Quran.. huhu ('',) miss you, wa ilal liqa' ukhti, jaga diri baik-baik ya.. salam'alaik"

MasyaAllah, pesanan ringkas yang dikirimkan oleh sahibah walau belum lagi sampai ke destinasi untuk kita berpisah ini terlalu ana hargai. Semoga ana dan ukhti dapat merasakan nikmat cinta pada Allah, rasul dan Al-Quran tika diri hanya mampu menghulur tangan untuk berkongsi rasa rindu ini. Salaman dan pelukan hangat sahibah yang ana rindui menjadi tanda perpisahan kita buat masa ini. Semoga Allah mempertemukan kita lagi.



Jazakumullah buat semua urus setia Program Kembara Cinta... Tercipta lagi kenangan manis bersama akhwat yang tercinta. Syukur pada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, setiap ujian dan pengalaman menjadi tarbiyah istimewa buat diri yang hina.

Wallahu'alam.

Thursday, November 12, 2009

Kisah Jaulah Pemuda Kuwait

Bismillahirahmanirahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah. Tatkala hati ini berdarah diuji dengan kesedihan dan kelelahan, Allah menghulurkan bantuanNya dengan kehadiran akhwat yang dikasihi di sisi. MasyaAllah, Alhamdulillah untuk kurniaanMu, tak terkata rasa hati yang berbunga tatkala kata-kata yang diungkapkan oleh sahibah bagai penawar kepada duka.
Tanggungjawab sebagai kakak dan anak yang berada di rumah, cuba menarik mad'u yang juga bergelar adik kepada Islam, tanggungjawab sebagai akhwat untuk cuba membuka medan yang baru dan hambatan dakwah yang lain, usaha mencari kekuatan yang ada diri untuk terus berusaha mencari ilmu Quran, tahsin membacanya... serta beberapa lagi perkara yang perlu difikirkan..MasyaAllah, ujian yang semoga menjadi tarbiyah buat diriku.

Semoga diri ini lebih dekat dengan Allah dan sentiasa memohon harap padaNya. Ameen. Akhirnya, di ruang cyber inilah mampu untuk ana hulurkan andai mungkin sedikit ilmu dan nasihat buat sesiapa yang membacanya sebagai wadah mengumpul saham akhirat.

Alhamdulillah, berbalik kepada peristiwa apabila permintaan ana disambut oleh akhwat dengan hati yang rela menceritakan satu kisah yang terkesan di hati. Dan kisahnya bermula begini.





Al-kisah pada suatu hari, ada beberapa pemuda Kuwait yang berjaulah (jalan-jalan) bersama-sama ke Negera China untuk menikmati pemandangan yang indah. Bumi ciptaan Allah yang dihamparkan dan gunung-gunung yang ditegakkan tanda kebesaran Allah Yang Maha Esa. Dalam kedinginan salji yang putih dan pemandangan indah itu, mereka memanjatkan rasa syukur dan kagum pada Allah yang telah menciptakan semua ini. Hati dan mulut berkata

"Alangkah hebatnya ciptaan Allah".

Allah berkuasa menciptakan bumi ini dengan banyak jenis musim; musim salji... musim bunga..... musim luruh.... dan musim panas.... Terkadang hujan dan kadang-kadang kering..... Yang sentiasa berganti-ganti. Tahun berganti tahun dan tidak pernah dibiarkan satu musim yang sama.



Kemudian pemuda-pemuda yang bertaqwa itu tadi terus berjalan dan berjalan....

Tiba-tiba, bagaikan ada satu suara yang memanggil mereka dari jauh. Pemuda-pemuda ini tercari-cari dari mana datangnya suara itu. Dari kejauhan terlihat satu jasad yang menghampiri mereka dengan perlahan.

"Anakku, tolonglah nenek...".

Terkejut mereka melihat seorang wanita tua yang terketar-ketar seperti ketakutan atau kelaparan. Di raut wajah nenek tadi tergambar kesedihan yang amat sangat. Tubuh yang lemah itu seperti sudah lama tidak merasai sesuatu yang menyegarkan atau mengembirakan. Seperti dahagakan air di gurun Sahara.

"Tolong apa ya, nek?" Sahut seorang pemuda.

"Hmm... nenek perlukan....."

Agaknya, apa yang nenek tua ini perlukan ya akhi wa ukhti?

Jawapannya:

"Nenek nak kitab Allah. Boleh dapatkan untuk nenek?" Alangkah terkejutnya pemuda-pemuda tersebut kerana mereka menyangka bahawa nenek ini nak air atau makanan. Tetapi mengenangkan nenek yang sudah tua dan lemah, serta hidup di dalam negara Komunis yang sangat menentang agama Islam...



Sepekan berlalu....

Pemuda-pemuda Kuwait kembali menemui nenek membawa kitab yang telah dijanjikan untuknya. Nenek tua itu sangat gembira dan tidak sabar-sabar untuk mempelajarinya.

Selepas itu, nenek mengeluarkan barang-barang kemas yang tersimpan di balik kain yang dibawanya. Lalu dihulurkan kepada pemuda-pemuda tadi.

"Ambillah nak semua ini..." Pemuda tadi sangat terkejut dan terus menolak.

Nenek tua berkata, " Ambillah nak, tidak ada apa yang lebih bernilai dari kitab ini... Selama ini, nenek mengumpulkannya untuk mendapatkan kitab ini..."



SubhanAllah, sangat kagum pemuda-pemuda tersebut melihat harga kitab itu di sisi nenek tua itu. Yang dilihat hidupnya sangat sempit. Melihat tiada apa yang lebih berharga daripada kitab itu. Hanya orang yang memahami betapa hebatnya kitab itu akan benar-benar menghargainya.

Kerana sahabatku, itulah ubatnya.

Terlalu banyak ibrah yang mampu untuk ana kupas dari kisah ini. Jaulah bersama melihat kebesaran Allah. Kesedihan yang melanda diri seperti musim yang berganti-ganti. Terlalu indah yang menceriakan hidup yang singkat ini. Dan nilai sebuah kitab Allah....

Andai ditanya apakah nilai Al-Quran di sisi diri.... SubhanaAllah, janganlah ditanya... Diri seperti memahami diri nenek tua yang kesedihan itu........ Kerana peluang untuk mempelajari Al-Quran dan memahaminya terlalu berharga... Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan... ameen. Ingin ku kenalMu, Allah...


Marilah kita membaca dan mempelajari Al-Quran. Dalam warkah cinta Allah ini terdapat terlalu banyak kisah, hukum-hakam, pelajaran, fakta dan sebagainya. Surat cinta yang mengungkap penuh indah tentang sifat-sifat Allah dan kekuasaanNya. Dan tatkala diri kegelisahan dan kesedihan, ada sahaja pujukan firman Allah yang terkesan di hati. MasyaAllah, kisah Nabi Yusuf, Maryam, Luqmanul Hakim dan ramai lagi. Tentang hari kiamat yang mempunyai banyak nama; Al-Qiyamah, Al-Ghasiyah, Al-Qariah, Al-Haqqah, Al-Waqiah... Tentang muamalah, fiqh wanita, dan sebagainya....

MasyaAllah, saban hari, diri ini tersenyum mengenangkan ajakan ikhwah wa akhwat; jom reunion di syurga. SubhanAllah. Gambaran yang terlalu indah.

'Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadapan-hadapan di atas dipan-dipan' (Surah Al-Hijr: 47).

Semoga amalan kita membawa kita ke arah cita-cita ini.. Wahai hati-hati yang rindukan syurga, marilah terus berusaha mencari permata pahala itu, sebagai tukaran untuk istana di taman syurga.



Dan tatkala sampai masanya, impikanlah kata-kata yang mungkin menyapa antum semua di pintu syurga iaitu

' Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu. dan masuklah ke dalam syurgaKu.' (Surah Al-Fajr: 27-30).

Semoga cita-cita itu tercapai. Ameen..ameen..ameen... Sahabat, doakan ana ya....

Perbualan istimewa ana dan akhwat untuk Kisah Jaulah Pemuda Kuwait klik di sini

Wallahu'alam.

Friday, November 6, 2009

Persoalan demi persoalan..., Iqra, waratilil Qur'aan

Bismillahirahmanirahim

Segala puji bagi Allah, tiada Tuhan yang disembah selain Dia.

SubahaAllah, tarbiyah dari Allah takkan pernah tamat. Hikmah ilmu dan pengalaman dari kehidupan dan juga helaian-helaian buku yang memberi banyak pencerahan. Semoga ilmu yang baik dituntut dan disampaikan sehingga tiada lagi nafas di badan, mencari bekalan akhirat melalui ilmu yang bermanfaat. Rindu ana pada Rasulullah, selawat dan salam buat baginda, keluarga, para sahabat, tabi tabii’n dan juga semua umat Islam di seluruh dunia. Semoga semua sentiasa dalam naungan kasih dan redha Allah.


Tatkala hati kegelisahan dan kesepian, Al-Quran yang menjadi peneman dan penawar yang sentiasa berbicara penuh hikmah dan tercatat penuh makna dan bukti tentang kewujudan Allah melalui penciptaan langit dan bumi, siang dan malam dan sebagainya. Persoalan yang terungkap di dalam warkah cinta itu ternyata menyebabkan ana dan antum semua gementar kerana takut pada Allah dan juga tenang apabila mengingatiNya.

'Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) Al-Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada TuhanNya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendakiNya. Dan barang siapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.' (Az-Zumar:23).

Mengimbas kembali kepada beberapa ayat Al-Quran yang penuh hikmah dan timbul pertanyaan yang boleh diutarakan; Tidak sukakah antum di akhirat nanti andai diberi kitab melalui tangan kananmu? Tidak takutkah antum andai diberi kitab dari belakang yang hanya dijanjikan dengan seksaan neraka? Gambaran yang menakutkan tentang buah zaqqum yang menghancurkan perut dan minuman yang panas? Diberi makanan yang tidak menggemukkan atau menghilangkan lapar? Bagaimana dengan gambaran syurga? Yang terbentang luas dan terdapat air mata yang mengalir di bawahnya.



Indahnya Al-Quran…. Tak mampu untuk diri jelaskan. Hadirnya dari Allah kepada Rasulullah melalui perantaraan malaikat Jibril dan akhirnya ke tangan ana dan antum semua. Maka, Iqra ukhaiya, waratilil Qur’aan. Read, my brother and recite the Quraan. MasyaAllah, lagu bahasa Arab, Iqra oleh Ahmed Bukhatir telah berjaya memujuk hati ini untuk mencapai Al-Quran dan membacanya.

Ukhwahfillah,
Ingin ana terus berbicara tentang cinta Allah, rasul dan Al-Quran itu… Namun tidak terdaya lagi. Tatkala hati ini cuba mencari erti sebenar cinta pada Allah, biarlah diri mencari kalimah-kalimah menyusun bunga idea dan dedaun kata untuk menjadi gubahan karangan yang indah. Agar tersentuh hati-hati yang membacanya nanti. Doakan agar usahaku diteruskan…..

MasyaAllah… ingin ku kenal Allah, Sang Pencipta rasa cinta. Agar melambung tinggi perasaan kasih dan rindu untuk berjumpaNya. Dan kasih semua pada Rasulullah, manusia yang terpuji, wajah yang bercahaya dan akhlak yang sempurna seperti Al-Quran. Andai mungkin diri ini dan antum di luar sana mengharapkan kasih dan cinta dariNya, maka cintailah dan taatilah Allah dan rasulNya. Kerana cinta padaNya pasti akan terbalas jua. Sebagai manusia, contoh terbaik ialah kekasih Allah, Nabi Muhammad bin Abdullah S.A.W.




Bukti cinta pada Allah;
‘Katakanlah, ”Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ‘ (Ali Imran: 31)

Sahabatku, langkah-langkah yang diatur menjejak debu-debu sirah Rasulullah dan sahabat, di mana-mana sahaja di bumi Allah ini menjadi bukti kepada cinta itu. Jalan dakwah itu adalah sunnah terbesar Rasulullah. Bersama tautan akidah, semaian ibadah dan teras akhlak yang terpuji…. Semoga terus berusaha mencari permata pahala yang membuah nikmat di syurga.

SubhanAllah. Allah menjadikan manusia mudah lupa dan sentiasa diuji dengan hadirnya iblis, syaitan dan hawa nafsu yang membelenggu kita. Kerana itu kita digelar insan. Betapa besarnya hikmah kalimah syahadah yang sentiasa meniti di bibir ana dan antum semua tatkala duduk tahiyat awal dan akhir. Dan kalimah itu juga basah meniti bibir ketika mengingatiNya. Bersaksi bahawa tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah, dan Nabi Muhammad, Pesuruh Allah.




Terasa iman diri perlu sentiasa diperbaharui. Bagai usia imanku cuma beberapa saat tatkala kalimah Lailahaillallah meniti di bibirku. Adakah amalan-amalanku diterima oleh Allah tatkala diri lemas dibawa gelombang hawa nafsu dan godaan dunia yang fana? Ya Allah, ku serahkan segala urusanku kepadaMu. Ameen. Mari, terus mencari kudrat berpegang teguh pada sifat Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Wallahu’alam.