Friday, May 28, 2010

Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 5

Bismilahirahmanirahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Selawat dan salam buat murabbi agung, Nabi Muhammad S.A.W, pada ahlul bait, sahabat baginda, tabi' tabiin, ikhwah wa akhwat dan seluruh umat Islam. Semoga sentiasa dalam naungan kasih dan cinta Allah. Tika ini, diri memanjatkan segala pujian padaNya, lantas mama dan abah telah kembali ke pangkuan kami sekeluarga dengan selamat daripada negara China. Alhamdulillah, pengalaman yang ditimba saban hari menjadi titik tolak kepada diri yang semakin dekat dengan masa pertemuan itu. Pertemuan untuk berjumpa dengan Allah, Kekasih yang dirindui.

Sela masa yang ada cuba kuambil untuk terus menulis dan membaca. Dan alhamdulillah, kisah tarbiyah dari kem hafazan episod ke-5 bersambung lagi. Episod kali ini tidak memfokuskan pada kem hafazan, tetapi lebih menceritakan tentang watak Iqra, sang pencinta kalam Furqan.

Sebelum membaca Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod ke-5, pastikan antum telah membaca Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 1, Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 2, Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 3, dan Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 4.

Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009, Episod 5.

Iqra duduk sendirian di meja belajarnya di kediaman keluarga yang tercinta. Dia melayangkan pandangannya pada mushaf terjemahan Al-Quran yang tertutup di atas meja belajar. Selain Al-Quran, ada banyak jenis buku tersusun rapi di hadapan Iqra; samada yang berbentuk ilmu agama dan juga ilmu alam. Meja ini telah menjadi saksi kepada jihad ilmu Iqra, dan juga tempat kegemaran Iqra mengalunkan ayat-ayat cinta Allah dengan suara yang nyaring ataupun kuat.

Sekiranya Iqra tidak ada di meja belajarnya, Euprates, kucing kesayangan Iqra akan datang dan berbaring di situ. Sehingga kini, Iqra masih tidak dapat mengenal pasti kenapa Euprates suka melepak di atas mejanya. Biasanya, ada sahaja kehadiran kucing yang berbulu hitam dan putih itu menemani Iqra kala dirinya membaca Al-Quran dan seterusnya tidur diulit bacaan ayat-ayat suci al-Quran itu. Bagaimanapun, saat itu, Iqra duduk keseorangan tanpa kelibat Euprates berhampiran.

Pada malam yang indah selepas selesai menyempurnakan solat Isyak dan solat taubat, Iqra mengambil mushaf kesayangannya dan berazam untuk mulakan aktiviti menghafal Al-Quran. Dengan izin Allah, hari esok akan menjelma lagi hari yang baru dan kem hafazan akan bersambung lagi. Namun begitu perasaan Iqra kala itu agak bercelaru kerana merasakan sangat rindu pada akhwat-akhwat, mawar-mawar berduri yang indah yang sering menjadi temannya di sisi. Kadang-kadang Iqra sendiri sedar tentang hakikat bercinta. Apabila bercinta, mengharap untuk dicintai semula. Sahabiah-sahabiah yang setia dalam perjuangan dakwah dan keberlangsungan tarbiyah adalah antara insan- insan yang sangat dekat dengan dirinya. Dan kerana nikmat kurniaan Allah itu, Iqra terasa sangat bahagia dan sangat bersyukur pada Tuhannya.

Dalam kerinduan yang sangat mencengkam jiwa, Iqra menaip bait-bait kata untuk disampaikan pada seorang akhwat tercinta buat penawar rindunya.

“Hati ini milik Allah. Walaupun dunia menuntut kudrat dan jasadku, namun, dunia tidak akan mendapat tempat di hatiku. Kerana Allah adalah Tuhanku dan juga Tuhanmu. Hanya Dia Pemilik hati yang mengirim salam rindu ini dan juga Pemilik hati yang membaca cebisan kata perkhabaran ini. Sayang ana, ana merinduimu. Kelak andai mungkin… ingin ku pimpin tanganmu di syurga. Buat melepas rindu yang tak akan pernah hilang. Semoga Allah merestui segala usahaku dan usahamu di sini. Sebagai tukaran nikmat yang terlalu banyak di syurga nanti. Ana asif di atas segala kekhilafan. Semoga sentiasa dalam naungan kasih dan cinta Allah… Ana cinta, kasih, rindu, sayang padamu, wahai hamilul Quran kesayanganku.”

Message sent. Kata-kata disusun indah buat Ukhti Zainab Jahsy dengan harapan ia disambut. Diseka titisan air mata yang bertakung di hujung matanya. Hatinya terasa sangat sayu dan cuba diungkap perasaan rindu dengan untaian kata. Dirasakan sedikit berbunga, tetapi hakikatnya, diri Iqra selalu bermadah kata dengan ukhti yang dirinduinya itu. Ukhti Zainab Jahsy yang hadir dalam hidup Iqra bagaikan kurniaan Allah yang tak terhingga banyaknya. Hadir dirinya bagaikan doa Iqra yang dimakbulkan Allah dan juga diantara salah satu kuntum mawar mewangi yang menceriakan taman Islam bersama akhwat-akhwat yang lain. Ukhti ini sentiasa menjadi rujukan Iqra kerana di adalah seorang hafizah yang telah menghafal 30 juz Al-Quran.

Mengimbas kenangan-kenangan dan pengalaman indah yang tercipta bersamanya, menambahkan lagi kemanisan halawatul ukhwah yang telah terjalin. Ukhti yang dikasihi ini digelarkan oleh Iqra, ukhti habibati Hamilul Quran kerana kasihnya Iqra pada diri ukhti yang dirinduinya itu. Kasihnya yang ingin membawa semua sahabiah-sahabiah yang dikasihi ke syurga. Diri Iqra terkadang digelar ‘pecinta kalam Furqan’ atau ‘habibati’ oleh Ukhti Zainab Jahsy. Biar apapun yang dizahirkan di mata, kata-kata dan juga perilaku, ia tidak bisa mengungkap rasa cinta yang Allah terbitkan buat sahabatnya itu.

Selang 1 minit, SMS baru masuk ke inbox.

“Salam’alaik ukhti habibati. Cinta ana selepas Allah, rasul, ummi abi dan juga di kalangan akhawat…. Asif, ana ada meeting tika ini. Tunggu ana, ya? Nanti ana call ukhti..” Jawapan ukhti Zainab Jahsy.

Iqra menyambut baik permintaan ukhti Zainab Jahsy;

“Ok, ana tunggu.”

‘SubhanaAllah, Kau permudahkanlah urusan ukhtiku ini. Semoga dia sentiasa sejahtera dalam jagaanMu. Ameen.’ Doa Iqra di dalam hati. Ukhti Zainab Jahsy kini jauh di Kedah dan dirinya pula berada di Bangi. Saban hari, doa dipertemukan Allah dengan akhwat-akhwat kesayangan tak pernah lekang dari bibir dan hati Iqra. Hendak diikutkan hati, bisa sahaja dirinya untuk berjumpa dengan sahabiah-sahabiah semua, tetapi ternyata belum sampai masanya. Dirinya redha dengan ketentuan Allah. Semoga halawatul ukhwah terus dirasai, kala diri jauh memedam rasa rindu dan kasih di hati.

Iqra mencapai mushafnya dan memulakan hafalannya. Dia sudah berusaha menghabiskan surah Mutaffifin dan juga Al-Infitar. Kini, dia cuba menghafal surah At-Takwir yang terdiri daripada 29 ayat. Pena dan juga buku hafazan teknik huffaz setia bersama Iqra. Satu persatu perkataan ditulis termasuklah terjemahanannya dalam bahasa Melayu. Bait-bait ayat-ayat cinta Allah ini terlalu menguji hatinya.

‘Apabila matahari digulung,

dan apabila bintang-bintang dijatuhkan,

dan apabila gunung-gunung dihancurkan,

dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan (tidak terurus),

dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan,

dan apabila lautan dipanaskan,

dan apabila ruh-ruh dipertemukan (dengan tubuh),

dan apabila bayi-bayi perempuan dikubur hidup-hidup ditanya,

kerana dosa apa dia dibunuh?’

(Surah At-Takwir: 1-9).

Tatkala sampai ayat ke-9, Iqra tak mampu menahan sebaknya lagi. Gambaran tentang hari pembalasan bermain-main di minda Iqra.

‘Kasihannya bayi-bayi yang menjadi korban jahilliyah manusia di zaman kegelapan dahulu. Dan sungguh, Allah S.W.T Maha Adil. Apa yang akan terjadi pada mereka yang ditanya oleh Allah dengan pertanyaaan ‘kerana dosa apa dia dibunuh’?’ Hati Iqra gementar memikirkan hukuman-hukuman Allah buat jiwa-jiwa yang telah menyebabkan murkaNya.

Dan sekiranya dirinya hendak dikaitkan dengan zaman globalisasi yang serba canggih kini, walau setinggi mana tamadun lahiriah dapat dicapai, namun ia tak mampu membina tamadun hati dan juga pemikiran penghuni-penghuninya. Sudah terlalu banyak gejala sosial yang berleluasa sehingga meragut keamanan masyarakat sekeliling khususnya di Malaysia sendiri dek kerana terlalu jauh dari penghayatan Al-Quran dan juga As-Sunnah. Sekiranya difokuskan skop yang lebih kecil, sudah terlalu banyak kes pembuangan bayi yang berlaku, sehingga saban hari semua orang tertanya dimanakah silapnya. Ada yang dibuang di dalam tong sampah, dibiarkan dibaham anjing dan sebagainya. Lebih kejam dari orang-orang jahiliyah dahulu. Dan kini, ayat 8 dan 9 dari surah At-Takwir seperti menegur dan memberi peringatan kepada Iqra tentang perkara-perkara ini.

Rasa takut, malu, kesal dan lemah terus terbit di hati Iqra. Terasa dirinya tak mampu lagi meneruskan hafazannya. Kala itu, Iqra terus memujuk diri yang lara.

‘SubhanaAllah, ternyata surah-surah di dalam Juz ke-30 ini terlalu banyak menyatakan tentang keadaan hari kiamat dan juga neraka. Surah Al-Ghasyiyah, surah Al-Insyiqaq, surah Al-Mutafiffin, surah Al-Infitar dan kini surah At-Takwir. MasyaAllah, keadaan yang terlalu menakutkan wahai Allah. Tiada pelindung selain daripadaMu, ya Rabbi’. Doa Iqra di dalam hati.

Dia tahu bahawa surah-surah ini juga pernah menyentuh hati-hati sekalian sahabatnya ketika program-program di slot muhasabah diri. Al-Quran itu terlalu agung dan sangat indah dan telah jelas hakikatnya ia adalah kata-kata dari Allah dan bukanlah manusia. Dirinya mengimbas kembali muhasabah diri yang pernah dikendalikan Iqra satu ketika dahulu. Kala Allah menguji Iqra dengan tanggungjawab yang dirasakan terlalu besar buat dirinya yang hina…

Kolej Pendeta Zaba’, UKM
30 Mei 2009, 11.15 malam

Suasana hening memenuhi ruang bilik persidangan yag sengaja digelapkan oleh para fasilitator yang bertugas. Satu-satunya punca cahaya dari belakang bilik dibiarkan terpasang. Iqra mengambil tempat di hadapan para peserta yang terdiri daripada para pelajar puteri tingkatan 5 dari pelbagai sekolah yang mengikuti halaqah. Mereka duduk membuat separuh bulatan di hadapannya. Hampir 15 minit sudah berlalu sejak slot muhasabah bermula. Lakonan para fasilitator sangat menggugat ketenangan hati-hati yang melihatnya sehingga diganti dengan perasaan sedih dan juga bungkam. Hakikatnya, lakonan itu telah menceritakan tentang kedegilan seorang anak yang bernama Hidayah dan kasihnya seorang ibu. Iqra yang menjadi suara di sebalik tabir merungkai satu demi satu babak lakonan yang dipersembahkan.

“Hidayah seorang yatim, tinggal bersama ibunya yang bekerja keras membanting tulang untuk mencari sesuap nasi. Hidayah bersekolah di asrama penuh bersama rakan baiknya yang bernama Murni dan tinggallah ibu seorang di rumah yang tidak putus putus berdoa untuk kesejahteraannya di dunia dan di akhirat. Namun begitu, hakikatnya, Hidayah sangat mementingkan pelajaran sehingga terkadang melewatkan solat dan jauh sekali untuk membaca Al-Quran.”

Seorang fasi yang melakonkan watak Hidayah melangkah masuk ke ruang hadapan bersama earphone di telinga. Hidayah duduk bersila di hadapan meja mengulang kaji pelajaran. Sedang dia asyik melayan lagu yang melalaikan dan juga buku di hadapan, Murni mengajaknya untuk solat berjemaah bersama-sama. Hidayah mendengus kuat dan tidak mengendahkan ajakan Murni. Kala itu, dia terus hanyut dibuai mimpinya sendiri.

“Hidayah sebenarnya tahu erti pengorbanan yang sebenarnya dek kerana hidupnya yang tinggal sendirian bersama ibunya. Dia seperti melihat hanya ada satu sahaja jalan mencari kebahagiaan iaitu ilmu dan juga SPM yang bakal dia duduki. Kejayaan itu akan dibawa pulang untuk ibunya. Sedangkan hakikat kehidupan yang bahagia bukanlah semata-mata mencari kejayaan dunia tetapi akhirat. Cinta hakiki yang sebenar ialah cinta pada Allah dan bukan pada selainNya. Hidayah lebih mementingkan pelajaran daripada mengerjakan ibadah-ibadah yang difardukan ke atasnya. Hidayah tidak menyedari tentang hakikat ini, dan dia terus lalai dipupuk godaan dunia.”

“Perangai Hidayah berlanjutan sehingga ke rumah. Hati si ibu luluh apabila mendengar kata ‘ah’ dari Hidayah tatkala disuruh bangun untuk solat Subuh dan juga membaca Al-Quran. Si ibu terus berusaha, bersabar dan berdoa demi kebahagiaannya dan juga Hidayah. Hati si ibu yang kasih pada anaknya membawa ke syurga.”

“Masa berlalu dan pada hari-hari yang berikutnya, keputusan SPM keluar. Hidayah melangkah keluar dari pagar sekolah dengan hati yang berbunga dan senyuman yang lebar. Slip keputusan peperiksaan SPM di tangannya menunjukkan bahawa Hidayah telah mendapat 10A1. Dia tidak sabar untuk pulang ke rumah dan menunjukkan slip keputusan peperiksaan SPMnya pada ibu.”

“Hidayah pulang dengan hati yang sangat berbunga. Langkah diatur dengan cepat beriringan dengan hatinya yang girang. Dia telah membayangkan riak wajah ibu yang gembira apabila melihat anaknya ini berjaya.” Iqra mengenakan intonasi yang sesuai pada suasananya. Dan kala itu, Surah Yaasin mula berkumandang mengambil alih suasana yang suram.

“Tatkala Hidayah melangkah ke halaman rumah, terdapat ramai orang yang berada di situ. Hidayah tertanya apa yang terjadi. Adakah mereka ini hadir untuk mengucapkan tahniah kepadanya? Kenapa ada orang membaca Surah Yaasin? Kenapa ramai orang berkerumun di tengah ruang tamu rumahnya? Persoalan demi persoalan diungkapkan mengambarkan hati Hidayah yang berasa tidak senang. Apabila dilihat sekujur tubuh yang diselimutkan kain putih, realiti yang sangat pahit dan menakutkan mula menikam hati kecil Hidayah. Takdir Allah telah tersurat, si ibu pergi meninggalkan Hidayah seorang diri. Perginya dia tidak akan kembali. Pergi mendapatkan rabbu'alamin.”

Hidayah mengalirkan air mata tatkala jasad itu disentuhnya.

“Tangan ibu diambil, sejuk... Tidak lagi hangat seperti dahulu. Ibu, bangunlah… Hidayah datang nak beritahu ibu yang Hidayah dapat 10A, ibu. Ibu, tengoklah ini kalau tak percaya. Hidayah seperti tidak dapat menerima hakikat yang ibunya telah meninggal dunia. Dia terus menunjukkan slip putih itu di muka si ibu yang telah pergi meninggalkan dunia. Wajah tua yang penuh dengan bukti-bukti bebanan hidup yang ditanggung itu tetap kelihatan tenang dan jernih seperti dipupuk tidur yang lena.” Iqra bermain nada dan juga kata. Hatinya sendiri mula dicengkam rasa sedih apabila meletakkan dirinya di tempat Hidayah. Pastinya hati remuk rendam dek kerana ibu yang sentiasa bersamanya telah pergi. Pergi pada hari yang sepatutnya membahagiakan dirinya dan juga diri ibu sendiri.

“Hidayah berundur ke bilik ibu tercinta untuk mencari ketenangan setelah lama dipujuk oleh jiran tetangga. Langkahnya mati tatkala matanya terpandang sepucuk surat yang ditujukan untuknya dibawah mushaf Al-Quran kesayangan ibu;

Kepada anakku Hidayah,

Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum w.b.t. Tatkala dirimu menatap warkah ini, kemungkinan besar Allah telah menjemput ibu menemuiNya. Tak terkata rasa hati ketika ibu menulis luahan hati ibu di helaian kertas ini. Sedih, sayu, ragu, rindu, kasih dan banyak lagi. Gembira kerana akan berjumpa dengan Allah Yang dirindui, sedih kerana meninggalkan Hidayah, satu-satunya anak yang ibu ada. Ibu sebenarnya menderita sakit. Ibu tidak mahu memberitahui Hidayah kerana takut Hidayah merisaukan ibu. Ibu sangat sayangkan Hidayah.

Hidayah sayang, ibu sebenarnya sedih dengan Hidayah apabila ibu meminta Hidayah solat, Hidayah memberi alasan. Ibu tertanya di mana rasa sayangmu pada Allah? Tetapi ibu gembira kerana Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Doa ibu, semoga Allah memberikan iman yang sempurna pada Hidayah. Ibu sayangkan Hidayah kerana Allah.

Suatu ketika dahulu, ibu kecewa tatkala ibu meminta Hidayah membaca Al-Quran, Hidayah lebih suka membaca buku-buku lain. Tahukah anakku, Al-Quran itu cahaya syafaat yang boleh menyelamatkan kita di akhirat nanti. Perginya ibu untuk selama-lamanya. Pohonku iringilah pemergianku dengan haruman wangi doa dan lagu alunan ayat Al-Quran. Jadilah anak yang soleh, wahai anakku. Jadikan Al-Quran, penemanmu. Jadikan solat, masa terbaikmu. Ibu sayangkan Hidayah.

Ketahuilah olehmu wahai Hidayah, ibu menyaksikan kesungguhanmu mengulangkaji pelajaran. Harapanku, Hidayah berjaya dalam kehidupan. Keyakinan ibu pada Allah menyebabkan ibu percaya anak ibu akan berjaya. Maka tahniah ibu ucapkan. Tetapi Hidayah, kejarlah akhirat, kerana dunia akan menyusulmu. Sematkan Al-Quran dan As-Sunnah di dadamu. Semoga akhlakmu seindah peribadi Rasulullah. Kerana akhlak Rasulullah ialah Al-Quran. Semoga kita berjumpa di taman syurga yang abadi di sana nanti. Ibu sayangkan Hidayah.

Andai mungkin kata-kata mampu untuk meringankan bebanan kesedihan perpisahan, sudah pasti ibu ungkapkannya di sini. Tetapi, panjatkanlah perasaan sedih itu pada Allah. Semoga Allah sentiasa membantumu, wahai anakku. Jadikan Islam, cara hidupmu. Ibu sayangkan Hidayah.

Anakku, ibu tinggalkan Al-Quran buatmu. Jadikan ia surat cinta teragung khusus dari Tuhanmu. Ayat-ayat cinta sangat indah dan mengharukan hatimu. Lagukan ia dengan suaramu, fahami ia dengan akalmu, rasailah semangatnya dengan hatimu, amalkan ia dalam setiap langkah hidupmu. Tatklala itu, semoga Al-Quran menjadi penemanmu. Bacalah ia di mana-mana sahaja. Semoga ia menjadi penerang kuburmu, penyelamat di akhirat sana nanti. Tiada apa yang mampu ibu berikan, kecuali kata-kata rindu dan juga sayang buat Hidayah, kesayangan ibu.

Sampai di sini kata-kata ibu. Semoga sentiasa dalam naungan kasih dan cinta Allah. Doakan mak semoga bahagia di taman-taman syurga. Jadilah anak yang soleh wahai anakku. Selamat tinggal. Ibu sayangkan Hidayah.

Yang benar,
Ibu.

Lakonan tamat tatkala Iqra mengambil alih perhatian peserta yang hadir. Babak terakhir berlalu dan semua pandangan ditumpukan ke arah Iqra. Taujih dimulakan dengan lafaz bismillah dan juga Surah Al-Ghasyiyah, surah pilihan yang perlu dihafal oleh para fasilitator program kali ini. Suara Iqra memenuhi ruang yang tampak suram dan juga sedih.

“Hal ataka hadithul ghasyiyah. Wujuhun..yamaizin khasyi’ah. ‘Amilatun nasibah.” Ayat-ayat cinta beralunkan seperti cara bacaan Saad Al-Ghamidi dengan diiringi rasa takut dan juga harap. Hati Iqra terus menelesuri kata-kata Allah itu satu persatu. Bersama doa agar bacaan yang terlafaz menyentuh hati yang mendengarnya. Agar dirinya menjadi perantaraan hidayah Allah pada manusia dan dengan itu saham akhirat dijanjikan untuknya. Hatinya terlalu takutkan neraka dan pada masa yang sama rindukan syurga seperti yang digambarkan sendiri dalam Surah Al-Ghasyiyah itu;

‘Sudahkah sampai kepadamu berita tentang (hari kiamat)?

Dan pada hari itu banyak wajah yang tertunduk terhina,

(kerana) bekerja keras lagi kepayahan,

Mereka memasuki api yang sangat panas (neraka),

Diberi minum dari sumber mata air yang panas.

Tdak ada makanan bagi mereka selain dari pohon yang berduri,

Yang tidak menggemukkan dan tidak menghilangkan lapar.

Pada hari itu banyak (pula) wajah yang berseri-seri,

Merasa senang kerana usahanya (sendiri),

(mereka) dalam syurga yang tinggi,

Di sana (kamu) tidak mendengar perkataan yang tidak berguna.

Di sana ada mata air yang mengalir.

Di sana ada dipan-dipan yang ditinggikan,

Dan gelas-gelas yang tersedia (di dekatnya),

Dan bantal-bantal sandaran yang tersusun,

Dan permaidani-permaidani yang terhampar.’

(Surah al-Ghasyiyah: 1-16).

Iqra menghabiskan ayat-ayat di dalam Surah Al-Ghasyiyah atau Hari Pembalasan. Dilihat peserta-peserta menundukkan kepala mereka. Air mata telah lama bertakung di mata Iqra, dan dirasakan semua yang bersamanya di dalam bilik itu turut sama dalam keadaan yang berduka. Iqra memulakan kata-kata.

“Adik-adik, akhwat yang ana kasihi dan cintai. Ukhti semua berada di sini kerana satu sebab, iaitu Allah S.W.T. Tika tadi Hidayah menghadapi saat getir yang sama seperti kita semua, menempuhi ujian hidup dan juga SPM yang bakal menjelma. Persoalannya di sini, apakah perbezaan antara anak yang baik dan anak yang solehah, wahai ukhti yang dikasihi Allah sekalian?” Tanya Iqra dengan sayu.

“Terfikirkah antunna jika satu ketika ukhti mendapat 10A dan ketika ingin memberitahu pada ibu, tetapi ibu telah tiada meninggalkan kita. Sedihkah antunna jika yang menyambut antunna di muka pintu adalah Surah Yaasin dan bukannya tawa riang ibu? Tidak hancurkah hati antunna tatkala yang menunggu di rumah ialah sekujur tubuh ibu yang tidak bernyawa dan bukannya si ibu yang mampu memberikan pelukan hangat penuh kasih sayang?” Dada Iqra sempit menyatakan kenyataan-kenyataan yang terlalu kejam yang mungkin dihadapi oleh beberapa hamba Allah di luar sana. Iqra terus berkata-kata dengan suara yang tersekat-sekat menahan sebak.

“Anak yang baik hanya inginkan kebaikan diri dan keluarganya di dunia sahaja, manakala anak yang soleh berusaha mencari kejayaan di dunia dan juga di akhirat sana….. Dan kala itu, hati ibu pernah tercalar kerana kita pernah berkata tidak, ‘ah’ dan sebagainya. Dan kini dia tiada untuk kita meminta maaf di atas kesalahan yang lalu…. Di manakah ruang keampunan untuk kita kembali? Di manakah ketenangan bisa kita cari? Andai ibu dibawa pergi, di mana tempat kita berteduh dan mengadu?” Tanya Iqra lagi.

“Ketahuilah wahai sahabatku…. Allah itu Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Antara perkara yang mampu menjadi saham akhirat untuk ke syurga ialah amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan juga anak soleh yang mendoakan ibu bapanya. Dan di kala ini….. kita seorang anak yang juga menggalas tugas sebagai seorang pelajar. Apakah bukti cinta ukhti pada ibu dan bapa antunna? Adakah hanya dengan mendapat keputusan yang cemerlang, wahai sahabatku? Tidak…. Segalanya perlu kembali pada Allah S.W.T. Carilah kasih dan sayang dari Allah, lakukan segala pekerjaan keranaNya. Jaga solat dan juga bacalah Al-Quran. Semoga Allah meletakkan diri orang-orang yang beriman di tempat yang istimewa di sisiNya….” Iqra menarik nafas panjang cuba menyusun kata.

“Kata-kata Allah tak pernah menghampakan kita. Ia sesuatu yang hak dan akan terjadi. Bukti cinta yang sebenar adalah untuk membawa mereka yang kita sayangi ke syurga…. Di sana nanti terdapat air mata yang mengalir, dipan-dipan yang ditinggikan, gelas-gelas yang didekatkan, bantal-bantal yang tersusun dan permaidani-permaidani yang terhampar… Sahabatku, impikanlah untuk memimpin tangan-tangan yang antunna rindui ke syurga. Bersama redha Allah yang dicari berpegang pada tinggalan oleh Nabi, Al-Quran dan As-Sunnah…. Rindukah antunna pada bau haruman syurga? Pada wajah-wajah mereka yang telah tinggalkan kita? Tidak terbitkah rasa kasih pada Rasulullah yang indah peribadinya bak Al-Quran? Tidak cemburukah antunna pada sahabat yang pernah berjumpa dengan baginda? Pohonku pada hari ini agar hati-hati yang berada di sini terus melangkah mencari cinta Allah dengan jalan yang diredhaiNya. Berusahalah kita menjadi khalifah yang beribadah semata-mata kepadaNya…. Buktikanlah cinta antunna pada Allah… Dan semoga dengan itu, syurga menjadi destinasi terakhir kita.” Iqra mengakhiri sesi muhasabah diri. ‘Wasiat dari si ibu’ karangannya sebelum ini juga telah berbekas di hati semua.

Hakikatnya, sebak Iqra mula bertukar menjadi sendu. Iqra lantas menyerahkan majlis pada moderator dan dia beredar mencari ruang untuk muhasabah dirinya sendiri. Kala hati merindui pelukan mama yang dikasihi di rumah…. Kala hatinya bersalah pada Allah di atas dosa-dosanya selama ini…. Kala dirinya melangkah membawa pergi mencari erti cinta pada Allah yang sebenarnya… Kala hatinya terlalu harap untuk menjejak ke taman abadi yang bernama syurga dengan memimpin semua yang disayangi ke sana….
…………………………………………

Telefon vibrate di tangan Iqra yang sejuk. Iqra menyeka air matanya yang mengalir dan melihat siapakah gerangan hamba Allah yang menelefonnya.

‘Habibati.’ Jerit hati Iqra yang girang.

“Assalamu’alaikum ukhti habibati Iqra.” Salam diberi oleh ukhti Zainab Jahsy.

“Wa’alaikumsalam sayang ana.” Salam disambut dengan girang oleh Iqra. Seperti dicita ulam mendatang. Suara yang dirindui itu berada di sebelah sana. Walaupun jauh, ia cukup membuatkan hatinya berbunga buat sekian kalinya.

“Ukhti, ana asif kerana menyebab ukhti menunggu. Kaifahaluki ya ukhti habibati?” Tanya habibati yang dikasihi.

“Alhamdulillah bi khair. Ukhti macamana? Sihat?”

“Alhamdulillah. Allah masih mengurniakan nikmat-nikmatnya untuk terus melangkah di bumiNya. Tadi usai sahaja syura bersama pakcik-pakcik yang turut sama mengendalikan syarikat arwah abi sekarang. Kini dalam safar ke rumah. InsyaAllah, segalanya dipermudahkan Allah berkat doa yang tidak pernah lekang dari akhwat-akhwat sekalian. SubhanaAllah ukhti, lantunan rindu ini menjadikan ana terlalu ingin berjumpa dengan ukhti.” Ukhti Zainab Jahsy meluahkan rindu.

“Ukhti… semoga rindu ini akan terbalas nanti. Semoga pertemuan itu akan tiba jua. Bersama tautan hati pada akidah yang sama. Jika tidak di sini maka di syurga nanti. Bukankah ana berjanji untuk memimpin tangan ukhti di syurga nanti?” Ujar Iqra penuh kasih.

“Ya, tak akan ana lupa. Dan di sana nanti, kita akan berjumpa dengan Kekasih kita…”

“Ya… Kekasih kita…” Iqra seperti ingin menangis mengenangkan rasa rindu dan sedih ini. Perjuangan Ukhti Zainab Jahsy dan dirinya sendiri penuh dengan ujian dari Allah. Tika itu, semangat jihad dan cita-cita untuk syahid yang telah tertanam di hati mereka berdua dan semua akhwat yang lain menjadikan setiap halangan yang ada di jalan tarbiyah dan dakwah itu sangat indah. Hinggakan satu ketika, saat pemergian atau kematian itu bukanlah dilihat sebagai perpisahan yang menyedihkan, tetapi titik masa untuk bertemu Allah iaitu Kekasih yang dirindui dan dipuja. Terkenang pada ukhti yang dikasihi ini yang baru kehilangan abi yang tercinta... perginya habibi abi itu berjumpa Kekasih dahulu. Dan masa akan mengungkap bilakah akan tiba waktu untuk dirinya menemui Kekasihnya.

“Ukhti, bagaimana dengan program kem hafazan ukhti? Ternyata akhwatku sudah mula melangkah untuk menghafaz Al-Quran…” Tanya Ukhti Zainab Jahsy, prihatin.

“Ukhti, esok akan bersambung lagi. Doakan agar segala urusan ana di sini dipermudahkan Allah.” Jawab Iqra.

Ukhti Zainab Jahsy mengaminkan doa Iqra. Iqra menyambung lagi.

“Tika ini, ana cuba menghafal Surah At-Takwir, ya ukhti.”

“SubhanAllah. At-Takwir… Alhamdulillah.”

“Tetapi… ketahuilah ukhti… ana sebenarnya sangat takut..” Iqra berterus terang pada Ukhti Zainab Jahsy tentang keadaan dirinya.

“Kenapa ukhti? Khabarkanlah pada ana…”

“Ukhti, ana takut. … kala hati melewati ayat-ayat itu.... Surah-surah ini berceritakan tentang hari pembalasan… Tentang syurga dan juga neraka… kala hati ana melewati ayat-ayat itu, rasa sangat takut dan gementar…Seperti ingin ana melarikan diri...tetapi, ana gagahkan kembali kerana ingin terus mencari dan merasai kekuasan Allah yang tidak pernah lekang menunjukkan kebesaranNya… SubhanAllah… Dan juga tentang antara hak-hak Al-Quran terhadap kita… Apabila kita menghafalnya, kita perlulah mengamalkannya… perlu pastikan jua supaya tidak lupa… SubhanAllah, ana takut… ana takut jika ana tidak mampu untuk buat semua ini ya ukhti…“ Luah hati Iqra yang gusar. Tangannya diraup ke mukanya yang tampak keletihan.

“Alhamdulillah, ukhti tidak merasa gembira lantaran merasakan rasa takut untuk menghafal Al-Quran itu. Ukhti merasai indahnya ayat –ayat cinta Allah itu… Teruskanlah. Semoga Allah permudahkan usahamu…Al-Quran itu penuh dengan kata-kata Allah, ayat-ayat cinta dariNya… Tiada yang pernah ana lihat di kalangan akhwat yang mempunyai semangat dan cinta pada Al-Quran seperti ukhti. Rasa takut itu dek kerana hati lembut ukhti yang merasai keagungan kata-kata dan janji Allah. Janganlah mengalah dan teruskan mujahadah ukhti. Balasan untuk seorang yang memelihara kalam Allah itu tidak ternilai harganya… Dan semoga Allah memberikan sakinah teristimewa buat ukhti dek kerana Al-Quran yang berkumandang lembut di hati ukhti.” Kata-kata Ukhti Zainab Jahsy memberi belaian lembut pada hati Iqra seperti air yang mengalir. Sekiranya dibayangkan Ukhti Zainab Jahsy dihadapannya, pasti tangannya telah diambil lembut dan digenggam erat.

“Ukhti… ana mohon doamu agar ana agar terus kuat melangkah…” Pohon Iqra.

“Saban hari, tidak lekang doa untuk akhwat-akhwat dari bibir ana. Rindu itu menyebabkan wajah-wajah indah lantaran terlalu wangi haruman ukhwah dari taman tarbiyah bertandang pada hati dan fikiran. Kala itu, dipanjatkan rasa rindu dan doa itu agar disampaikan pada semua yang dirindui. Doakan ana juga, ya ukhti?” Pujuk Ukhti Zainab Jahsy penuh madah.

“Ya. Dan InsyaAllah, semoga kita dipertemukan lagi…” Doa Iqra.

“Ameen, ya rabb. Ya… bertemu dalam tautan akidah yang sama…” Sahut Ukhti Zainab Jahsy.

“Asif ya ukhti, ana kena berundur diri dahulu. MasyaAllah… Di hadapan ana seperti ada kemalangan, ya ukhti.” Tambah Ukhti Zainab Jahsy dengan nada yang cemas.

“SubhanaAllah… Ukhti ok ke?” Tanya Iqra yang agak terkejut.

“Ana ok je. Ana kena berhenti untuk membantu. SubhanaAllah, ada seorang perempuan kelihatan dalam kesakitan yang amat. Ukhti, ana berundur diri dahulu.” Kata-kata sahabat itu mencengkam jiwa Iqra dengan rasa risau.

‘Ya Allah, Engkau peliharalah sahabatku ini. Sesungguhnya ana menyintainya keranaMu , Allah.’ Doa Iqra di dalam hati.

“Baiklah. Sayang ana jaga diri. InsyaAllah, kita akan berhubung lagi. Sayang ukhti kerana Allah. Assalamu’alaikum.” Ujar Iqra penuh harap.

“InsyaAllah. Wa’alaikumsalam w. b. t.” Ukhti Zainab Jahsy menamatkan perbualan yang terasa ringkas. Iqra memanjatkan doanya pada Allah dengan penuh harap. Mohon agar doa-doanya dimakbulkan.

‘Ya Allah, pertemukanlah kami kembali. Ana sangat merindui akhwat-akhwat ana yang sudah lama tidak bertemu. Engkau kurniakanlah rezeki dan nikmat iman, ketabahan, kekuatan dan kebahagiaan pada semua akhwat-akhwat yang dikasihi. Pertemukanlah kami kembali dalam taman-taman syurgaMu, Allah. Ya Allah, Engkau peliharalah kami semua. Ameen, ya rabbana.’

Bersambung.......

Monday, May 24, 2010

Diri kembali menyusun madah bicara; Tarbiyatul aulad...?

Bismillahirahmanirahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Dia, Yang Maha Pengasih dan juga Maha Penyayang, Pencipta kepada semua yang kita sayangi. Maka, segala kasih dan juga sayang ini adalah milikNya. Juga, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahlul bait dan sahabat baginda, para tabi' tabiin, ikhwah wa akhwat yang dirahmati oleh Allah sekalian.

SubhanaAllah, sudah terlalu lama ana tinggalkan taman Pencari CintaNya tanpa hiasan kata-kata atau untaian berita. Asif jiddan andai diri ini menyebabkan ada yang tertanya-tanya tentang diri, apakah yang sedang berlaku... mungkinkah ada yang merindui diriku? SubhanaAllah, biarkan sahaja persoalan itu, kerana apa yang pasti ialah Allah S.W.T masih lagi mengurniakan nikmat-nikmatNya untuk ana rasai izzah rasa rindu pada akhwat-akhwat yang jauh di mata. Tidak ketinggalan juga buat mama dan abah yang tercinta, habibi dan juga habibati yang kini sedang 'honeymoon' di luar negara... kak long menunggu kepulangan mama dan abah di rumah dengan sabar.

Sejujurnya, tiada kata-kata yang mampu untuk dipaparkan di sini. Hanya sebagai kata-kata yang menjadi wakil untuk diri yang terlalu jauh dari sisi yang dirindui. Dan kadang-kadang, kata- kata itu diulas untuk menyampaikan apa yang tersirat di dalam hati. Sungguh, sebenarnya diri ini cuba mengelak daripada menjadikan laman Pencari CintaNya seperti diari yang terbuka. Objektifnya adalah untuk membawakan bicara yang bermanfaat dan juga ingatan buat mata-mata yang menatapnya. Namun begitu, hadirnya kata-kata ini adalah dari hati, maka mungkin ana telah membuka jendala yang sangat luas kepada hati ana sendiri. Justeru itu, ana memohon maaf terlebih dahulu sekiranya kata-kata yang hadir tidak memuaskan hati atau menyinggung sesiapa yang membacanya.

Tika ini, ingin sekali diri ini merangkul erat memeluk mama kerana keletihan dan juga kepenatan dek kerana melayan adik-adik di rumah. Mama dan abah ternyata memberi tanggungjawab yang besar kepada diriku sebagai kakak sulung di rumah; memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu dan juga ayah untuk menjaga 6 orang adik di rumah sementara mereka ke luar negara. Sungguh, pada Allah sentiasa dipinta; semoga Allah S.W.T memudahkan segala urusanku di dunia dan di akhirat. Ameen. Awal pagi perlu berkejaran untuk menyiapkan sarapan, menghantar dan mengambil adik dari sekolah, mengemas rumah dan sebagainya... I think that I grew older in just 5 days....hehe..

Maka, beban tugas sebagai seorang ibu dan juga ayah adalah sangat besar sebenarnya. Dan, sebagai seorang yang ditarbiyah, cuba untuk diri ini menjadi contoh tauladan untuk adik-adik yang lain dan memenuhi tanggugjawab yang telah diberikan. Sebenarnya, tiada kata-kata yang boleh mengungkapkan keadaan diri ketika ini... Hanya sesiapa yang pernah melaluinya mungkin akan memahami keadaan diri...

Cuba ku imbas kembali tentang matlamat-matlamat kepada sesebuah keluarga yang bahagia dan juga berpandukan kepada Al-Quran dan juga as-Sunnah secara keseluruhannya.... terkadang itu menyebabkan diri berfikir sendiri. Tentang perjuangan untuk memastikan keberlangsungan tarbiyah dan juga langkah-langkah yang perlu dialami untuk mencapai ustaziah al-alam yang dicita-citakan bersama.... seperti terlalu jauh untuk dicapai, tetapi tidak mustahil. Semua itu adalah sunnatullah yang pernah terjadi. Maka, dengan izin Allah.... kita perlu bangkit lagi untuk melihat Islam kembali unggul ditegakkan di alam ini....

Melihatkan kepada mujahid dan juga mujahidah kecil yang sentiasa menemani diri dan juga akhwat lain di halaqah, sebenarnya, diri ini turut merasai harapan-harapan yang diletakkan pada anak-anak kecil ini yang bakal meneruskan perjuangan dakwah ummi dan juga abi mereka. Terkadang mereka bertanya;

"Siapa nama ammah?" dan kadang-kadang tidak semana-mana meminta diri dilayan dan juga bermain bersama.

Si kecil yang sudah mendapat gelaran seperti ustaz dan juga doktor bagaikan doa agar anak membesar seperti yang dicita.... Semoga sang mujahid menjadi seorang ustaz dan juga ahli Al-Quran, Semoga sang mujahidah menjadi seorang doktor dan juga ahli Al-Quran.... Doa-doa yang spesifik tak pernah lekang dari bibir para ibu-ibu di sisi ana. Semoga Allah memakbulkan doa-doamu. Ameen, ya Rabbana.

Sekiranya kita lihat kembali kepada cara-cara untuk mencapai keluarga muslim yang melahirkan anak-anak yang soleh dan juga solehah, ia perlu bermula dengan perkahwinan. Bersama pasangan yang soleh ataupun solehah melangkah ke langkah seterusnya untuk kelancaran tarbiyatul aulad. Mendidik anak-anak dari segi iman, moral, fisik, akal, sosial dan sebagainya. Semua elemen itu menjadi sangat penting untuk menjadi individu yang beriman dan juga berguna kepada masyarakat. Dan di sisi ana sendiri, ana melihatkan kepada kekuatan yang ada pada seorang ibu. Bukankah terdapat pujangga yang menyatakan; tangan yang menghayun buaian juga mampu mengoncang dunia. Seorang ibu akan mendidik si anak yang bakal menjadi pemimpin dan juga agen perubah kepada masyarakat. Si anak yang dibentuk bergantung kepada didikan ibu bapanya, samaada menjadi baik ataupun sebaliknya. Dan tidak dilupakan juga hadis yang seringkali diulang-ulang;

"Didiklah anak-anak kamu atas tiga hal: mencintai Nabi kamu, mencintai ahli baitnya dan membaca Al-Quran. Sebab para ahli Al-Quran itu berada pada naungan singgahsana Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain daripada perlindunganNya." (HR. Ath-Thabrani).

Sudah ternyata dengan jelas tentang perkara-perkara penting yang perlu ditekankan dalam mendidik anak-anak. Tentang kepentingan mempelajari Al-Quran juga As-Sunnah. Mengamalkan dan insyaAllah mengajarkan pada yang lain pula.

SubhanaAllah, kepada sesiapa yang mengenali diri... janganlah berasa pelik sekiranya ana berbicara tentang perkahwinan dan juga tarbiyatul aulad. Sebenarnya, diri ini agak ragu dan juga malu (huhu) untuk memperkatakan tentang tarbiyatul aulad dan juga tentang perkahwinan. Pasti ada yang mempersoalkan samada ana layak ataupun tidak untuk berkata-kata tentang semua ini sedang diri ini belum pun bergelar seorang zaujah apatah lagi seorang umi. Ana hanya dapat secara teori melalui pembacaan serta pengisian di dalam halaqah dan juga pengalaman menjaga adik-adik kecil. Sekiranya ada teguran, silalah berbuat demikian. Hanya mungkin untuk ana ingatkan di sini tentang jalan-jalan ataupun saham akhirat yang membawa kita semua ke syurga; amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan juga anak soleh yang mendoakan ibu bapanya...

Maka, nasihat buatku dan juga dirimu ialah berusaha dan berdoalah pada Allah. Kerana Dialah yang menciptakan semua yang kita sayangi dan rindui. Dialah juga yang mencipta rasa kasih dan juga sayang itu. Kepada sesiapa yang masih belum berpunya (termasuk diri ana sendiri) masih ada masa untuk memperbaiki diri dan juga terus berdoa untuk dikurniakan pasangan yang soleh ataupun solehah juga anak-anak yang soleh dan juga solehah. Jangan pernah berputus asa dan terus berdoa. Kerana Allah Maha Mengetahui. Tiada apapun yang terlepas daripada pengetahuaanNya, termasuklah walau satu daun yang gugur ke bumi. Semoga kita terus melangkah penuh redha dalam pencarian kepada sakinah, mawadah wa rahmah itu. Ameen.

Alhamdulillah... Apabila dimuhasabah kembali, apa yang pernah terjadi pada diri menjadi tarbiyah untuk menghadapi masa hadapan yang lebih mencabar lagi. Doakan agar diri ini dikurniakan kekuatan, kesabaran dan juga ketabahan dalam mengharungi ujian-ujian yang mendatang. Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan episod 5 masih dalam penulisan, doakan agar ana dikurniakan ilmu dan juga ilham untuk menyiapkannya. Semoga dipermudahkan juga hafazan Al-Quran diriku dan dirimu, semoga dikuatkan mujahadah dan juga terus istiqamah dalam perjuangan untuk mempunyai Al-Quran di dalam diri. Semoga kita sentiasa dalam naungan kasih dan cinta Allah. Ameen, ya Rabbana.

Wallahu'alam.