Bismillahirahmanirahim
MasyaAllah, kupohon kasihMu Allah, nikmat iman yang tidak kufur selepasnya, dan juga nikmat ibadah padaMu. Keributan dalam menyelesaikan banyak perkara menyebabkan blog ini sudah lama tidak diupdate dengan bunga-bunga kata. Walaubagaimanapun, Alhamdulillah, Allah masih memberi kelapangan buat diri menukilkan sesuatu. Kisah tarbiyah Kem Hafazan 2009 bersambung lagi. Mungkinkah ada episod yang ke-3? Hmm.... doakan agar ana berjaya menyusun karangan ini sehingga cantik di mata hati sesiapa yang membaca.
Selain itu, ana mohon doa semua kerana ketika ini, diri ini sedang melangkah ke medan juang ilmu yang baru. Ternyata Allah permudahkan langkahku menyambung pelajaran untuk memperolehi sarjana dalam bidang kimia di UKM. Semoga diri terus kuat menapak, bertalaqqi mencari ilmu Tuhan. Ameen... ameen... ameen.
Sebelum membaca sambungan kisah ini, pastikan sudah membaca
Kisah Tarbiyah Dari Kem Hafazan 2009; episod 1
Kisah Tarbiyah Dari Kem Hafazan 2009; episod 2
Langkah kaki diatur penuh harapan. Kembali ke medan perjuangan mencari cinta Tuhan bersama mujahidah-mujahid kecil dan serikandi-serikandi sejati pilihan Allah di kem hafazan 2009.
Tatkala itu, masa berlalu sangat cepat. Sehingga hampir tiba masa untuk solat Dhuha dan makan pagi. Iqra menatap setiap diri adik-adik hafizah yang khusyuk dengan ayat-ayat Allah di mushaf dan di bibir masing-masing. Walaupun Iqra meninggalkan halaqahnya untuk seketika, semua masih lagi dengan mujahadah menghafal Al-Quran. Terdapat juga beberapa orang adik hafizah yang menunggu untuk mentasmi’ bacaan dengannya.
Seorang adik hafizah bernama Afifah menunggu dengan sabar sehingga Iqra duduk di tempatnya. Lalu, Afifah meminta Iqra untuk mentasmi’ surah Al-Buruj.
“Ustazah, nak hafal surah Al-Buruj?”. Pinta Afifah.
“Baiklah. Mulakan”. Ujar Iqra supaya Afifah meneruskan dengan hafalannya. Dengan dimulakan dengan Isti’azah dan Basmallah, bait-bait kalimah Allah dalam surah Al-Buruj diperdengarkan pada Iqra. Terkadang itu, Iqra membetulkan maghraj huruf yang salah dan juga menegur andai ada dengung atau Qalqalah yang tidak cukup sempurna. Iqra cuba untuk mengesan sebarang kesalahan tajwid termasuk yang bersifat jali (terang) atau khafi (tersembunyi) walaupun peserta telah ditasmi’ bacaannya dan ditegur dari segi maghraj huruf dan tajwidnya sebelum memulakan hafalan. Ingin sekali Iqra menerangkan secara terperinci tentang hukum-hukum tajwid, namun mungkin ia agak sukar untuk diterima oleh adik-adik kecil. Hakikatnya, walaupun dia telah cuba untuk menerangkan hukum-hukum tajwid secara teori, aplikasi secara praktikal adalah yang paling penting.
“Sodakallahul’azim….”. Afifah menamatkan hafalannya.
“Alhamdulillah. Afifah kena sempurnakan lagi Qalqalah kubra. Baiklah, teruskan usaha. Surah apa lepas ni?” Tanya Iqra untuk menguji pengetahuan adik hafizah yang saban hari telah menghafal semua nama-nama surah.
“Al-Insyiqaq”. Jawab Afifah dengan senyuman di bibir.
“Nak ustazah bacakan untuk Afifah dahulu?” Tanya Iqra lagi.
“Nak.” Jawab Afifah yang sudah bersedia dengan mushaf di hadapannya sambil menunggu Iqra membacakan surah tersebut untuknya.
“Bismillahirahmanirahim. Izassama unsyaqqat. Waazinatlirabiha wa huqqat…...”.
Iqra terus membacakan ayat-ayat cinta Allah itu kepada Afifah. Andai mungkin, dia didengari oleh adik-adik hafizah yang lain, semua berhenti menghafal dan mendengar bacaan Iqra. Hati Iqra melewati ayat-ayat yang terlafaz di bibirnya.
‘Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya,’‘maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah,’‘dan dia akan kembali kepada kaumnya (yang sama-sama beriman) dengan gembira.’‘Adapun orang yang diberikan kitabnya dari belakang,’‘maka dia akan berteriak “Celakalah aku.”'‘Sesungguhnya dia dahulu (di dunia) bergembira di kalangan kaumnya (yang sama-sama kafir).’‘Sesungguhnya dia yakin bahawa dia sekali-kali tidak akan kembali (kepada Tuhan-nya).’‘(Bukan demikian), yang benar, sesungguhnya Tuhan-nya selalu melihatnya’(Surah Al-Insyiqaq: 7-15)Ayat-ayat yang pernah membuatnya menangis di malam harinya tatkala bercerita tentang golongan yang mendapat buku amalannya dari sebelah tangan kanan atau dari belakangnya. Yang juga menceritakan tentang azab api neraka buat orang kufur dan juga nikmat syurga buat mereka yang beriman. Ayat-ayat yang menimbulkan tanda gusar dan takut di hati Iqra kerana dirinya terlalu ingin menjadi mereka yang dibalas syurga dan bukannya yang tidak tunduk pada Tuhannya. Pohonan harapan dan doa dipanjatkan agar dirinya mendapat kesudahan yang baik di akhirat nanti. Ameen.
Sesudah selesai, Iqra bertanya pada adik hafizah sekiranya terdapat apa-apa masalah. Gelengan kepala adik Afifah menandakan segala-galanya baik dan Iqra menggalakkan adik hafizah yang bertudung putih itu untuk teruskan surah hafalan yang seterusnya. Selepas adik Afifah, disusuli pula oleh adik Huda, Alysssa, Narimah, Aisyah, Akmar, Syafiqah, Yani, Ain, dan beberapa adik-adik hafizah yang lain. Masing-masing memberikan reaksi yang baik tatkala Iqra memberikan kebenaran untuk meneruskan hafalan yang seterusnya dan ada juga yang agak bermuram durja apabila Iqra tidak berpuas hati dengan hafalannya.
“Ana asif, anti kena ulang bacaan sekali lagi. Ustazah tak puas hati… Anti pun tak puas hati dengan hafalan anti, kan?” Teka Iqra pada beberapa adik hafizah yang mempunyai masalah dalam hafalannya.
“Takpe, cuba lagi ya. Nanti tasmi’ dengan ustazah lagi.” Senyum tawar yang diberikan tetap menzahirkan kekuatan yang tersembunyi di dalam diri sebahagian besar adik-adik hafizah.
'Alhamdulillah. Semoga semua terus bermujahadah untuk terus menghafal Al-Quran. MasyaAllah, semoga mereka merasai semangat Al-Quran dengan hati mereka. Agar lahir peribadi yang indah, seindah peribadi Rasulullah.' Doa Iqra di dalam hati. Saban hari, kata-kata motivasi dihulurkan oleh Iqra pada adik-adik hafiazah agar tertanam rasa minat dan cita-cita yang tinggi untuk mereka terus berjuang mempunyai Al-Quran di dalam diri. Cahaya Al-Quran yang semoga menerangi dirinya dan diri semua yang berada di sisi.
Tatkala ini dirinya sangat mencemburui mereka yang menghafal Al-Quran atau Halimul Quran (Pembawa Al-Quran). Kerana dalam dada-dada mereka ini ada ayat-ayat cinta Allah yang sangat tinggi nilainya. Harapan Iqra agar mereka semua terus istiqamah dalam perjuangan ini. Ketenangan yang sangat agung hadir dalam diri Iqra tatkala ayat-ayat itu berkumandang indah hinggap di telinganya dan juga di hati kecilnya.
Hadirnya Al-Quran dengan perantaraan Jibril kepada Rasulullah. Kalam suci Al-Quran itu sentiasa ada dalam diri Rasulullah. Dirinya terlalu merindui Rasulullah, yang mungkin di mata hati Iqra, membayangkan indahnya akhlak baginda, ketenangan dan cahaya di wajah baginda, senyuman dan tawa baginda, setiap langkah yang diatur olehnya, setiap kata yang mungkin tertutur dari mulut Rasulullah yang mulia itu…
'MasyaAllah, andai mungkin Rasulullah berada di sini....' Lamunan Iqra terhenti dek kerana merasakan dirinya menjadi tatapan mata adik-adik hafizah.
"Ustazah, dah sampai waktu rehat". Ujar adik Huda kecil yang sangat comel, seperti mempunyai iras wajah orang daripada Pakistan.
"Baiklah. Kita baca doa khatam Al-Quran." Iqra memberi arahan. Suara adik-adik melagukan doa khatam Al-Quran dan disambung dengan tasbih kafarah dan Surah Al-Asr.
"Ustazah, nak ambil wuduk untuk solat Dhuha?" Tanya seorang lagi Huda yang berumur 7 tahun. Tudung comel membingkai indah wajah kecil Huda bersama mata bulat yang bersinar.
"Ya, pergi ambil wuduk, Huda... nanti ustazah ikut." Jawab Iqra dengan lembut. Ternyata adik-adik hafizah yang kecil tak mampu untuk berenggang dengannya. Ada sahaja yang bertanya samada boleh solat di sebelahnya, tasmi' dengannya ataupun baca mathurat bersamanya. Andai mungkin satu ketika dirinya tiada, pasti ada sahaja yang bertanya di manakah dirinya berada.
'MasyaAllah. Semoga ukhwah ini terus mekar. Walau selepas kem ini tamat. Apa yang akan berlaku pada diriku andai adik-adik ini tiada di sisi?' Persoalan mula mencengkam diri. Tatkala mungkin Iqra sudah biasa bergaul rapat dengan budak kecil kerana dialah anak yang sulung dan ada tujuh orang adik-beradik yang lain di bawah jagaannya. Ketawa riang adik-adiknya sentiasa menjadikan hari-harinya ceria.
Iqra menyusun buku-buku dan alat tulis sebelum beredar untuk ke tempat wuduk. Namun begitu, pergerakan Iqra terhenti dek kerana hadirnya seorang mujahidah comel bernama Najihah duduk di sebelahnya dengan muka yang penuh dengan rasa ingin tahu.
“Ustazah…. Boleh saya tanya satu soalan?” Tanya Najihah.
“Ya, saya. Apa dia?” Iqra cuba menggalakkan Najihah untuk bertanya.
“ Kenapa kita menghafal Al-Quran?” Pertanyaan itu diutara oleh Najihah bersulamkan pengharapan yang amat tinggi agar soalan yang diajukan dapat dijawab dengan baik. Ditambah lagi dengan berita yang adik hafizah ini akan pulang ke rumah lebih awal dari biasa di atas beberapa sebab, mungkin mendorong dirinya untuk mendapatkan kata-kata semangat untuk dibawa pulang sebelum bercuti dan berjumpa kembali pada minggu hadapan.
Iqra menundukkan pandangannya sebaik sahaja solan itu diajukan dan berzikir di dalam hati tatkala mata yang menatapnya itu penuh dengan rasa ingin tahu.
‘MasyaAllah…. soalan yang sukar untuk dijawab. Apakah jawapan yang paling sesuai untuk diberikan pada seorang mujahidah kecil yang berumur kurang dari 12 tahun ini, Allah?’ Bicara Iqra di dalam hati. Akalnya ligat mencari kata-kata untuk cuba memuaskan rasa ingin tahu adik hafizah yang dikasihi.
Iqra mencapai Al-Qurannya dan meletakkan mushaf kesayangannya itu dekat di dadanya. Dengan senyuman di bibir, Iqra memandang Najihah dan memulakan bicara.
“Tahu tak Najihah? Salah satu sifat Al-Quran ialah ia terpelihara sehingga hari kiamat. Betul tak?”
Najihah menganggukkan kepalanya tanda setuju.
“Andai satu hari mushaf Al-Quran ini tiada, Al-Quran akan tetap terus terpelihara kerana ada ramai orang di luar sana termasuk Najihah yang menghafal Al-Quran ini. Selain dari itu, terlalu banyak pahala dan ganjaran yang kita dapat kalau kita menghafal Al-Quran. Bukankah terdapat banyak pahala sekiranya kita membaca Al-Quran?” Iqra cuba menjelaskan dengan mudah agar mampu untuk difahami.
“Jadi, kita boleh masuk ke syurga, kan ustazah?” Tanya Najihah.
“Ya.” Iqra tersenyum panjang mendengar pertanyaan itu. Lalu Iqra menyambung.
“Sebenarnya untuk ustazah, Al-Quran ini bagaikan surat cinta dari Allah. Sebab, semua ini ialah kata-kata Allah, kalimah-kalimah cinta Allah. Yang ada cerita tentang langit, bumi, syurga dan neraka, tentang para nabi dan banyak lagi. Kadang-kadang, apabila kita tidak membaca Al-Quran, kita akan terasa rindu padanya. Mungkin kita tidak berada di tempat yang sesuai untuk membuka mushaf Al-Quran ini. Maka, apabila kita menghafal ayat-ayat ini, kita boleh membacanya di mana-mana sahaja. Kalau tidak dialunkan dengan suara, kita alunkan ia di dalam hati. Cuba Najihah bayangkan, kalau Al-Quran ini ada di dalam hati Najihah. Mesti kita sentiasa rasa tenang, kan?” Tanya Iqra.
“Hm… betul, betul, betul.” Jawab Najihah bak Upin dan Ipin, karekter kartun kegemaran kanak-kanak masa kini.
Iqra tertawa kecil melihat reaksi adik kecil itu, tatkala di dalam hatinya mengingatkan kepada Surah Az-Zumar ayat ke 23;
‘Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) Al-Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhan-nya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan barang siapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya’(Az-Zumar:23)“Selain itu, Najihah tahu tak tentang cahaya Al-Quran?” Iqra cuba bertanya untuk mengetahui sejauh mana adik hafizah ini tahu tentang Al-Quran agar dia mampu memberi penjelasan dengan lebih efektif. Tatkala itu, terkilas satu hadis di minda Iqra, yang mana Imam Ahmad pernah melaporkan tentang satu hadis dari Rasulullah oleh seorang sahabat Abu Hurairah yang mendengar Nabi Muhammad berkata;
“Sesiapa yang mendengar satu ayat daripada kitab Tuhan, dituliskan kebaikan yang berlipat ganda bagi dirinya. Sesiapa yang membacanya, mendapat cahaya pada Hari Kiamat”(Riwayat Imam Ahmad)‘Pastinya antunna semua tahu tentang cahaya Al-Quran...’ Detik hati Iqra mengenangkan kata-kata motivasi yang sentiasa diberikan tatkala memulakan hari yang baru untuk menghafal Al-Quran.
“Tahu.” Jawab Najihah dengan ceria. Ternyata emosi adik-adik hafizah yang penuh dengan kegembiraan mula berjangkit pada diri Iqra.
‘Ah… mata yang bercahaya ini tak pernah lekang dengan rasa ingin tahu.’ Iqra berbisik di dalam hati tatkala ditatap kembali mata Najihah yang bersinar dan menyambung kata-katanya.
“Cahaya Al-Quran akan menerangi kubur kita nanti. Selain itu, Al-Quran mampu untuk memberi syafaat untuk kita di akhirat nanti. Kalau kita membaca, menghafal Al-Quran, Allah akan memberikan mahkota dan baju persalinan yang sangat cantik untuk mama dan abah Najihah. Orang yang menghafal Al-Quran juga dapat menyelamatkan keluarganya dari api neraka.” Jelas Iqra lagi. Mindanya mencari kata-kata yang mudah untuk menjelaskan pada adik kecil itu.
“Seperti dalam hadis Rasulullah;
“Barangsiapa yang membaca Al-Quran dan menghafalnya sampai (tiga puluh juzuk) dengan sempurna, lalu menghalalkan yang halal dan mengharamkan perkara yang haram, maka Allah akan memasukkan ke dalam syurga dan diberikan kebenaran untuk memberikan syafaat kepada sepuluh orang dari keluarganya yang semestinya masuk neraka” (Hadis Riwayat Ahmad dan Tarmizi).“Ternyata, senyuman terus berbunga di bibir Najihah tatkala kata-kata yang dibekalkan bagaikan air yang meredakan api rasa ingin tahu yang membara di hatinya.
“Najihah sayang kat mama dengan abah, kan?” Tanya Iqra pada Najihah.
“Sayang.”
“Hm… Kalau macam tu, Najihah hafallah Al-Quran. Tapi, Najihah sentiasa betulkan niat, kenapa kita menghafal Al-Quran. Bukan supaya orang lain menggelarkan kita hafizah dan sebagainya. Kita berbuat kerana Allah. Boleh?” Iqra mencapai tangannya dan menepuk bahu Najihah untuk cuba menghulurkan walau sedikit sokongan dan semangat pada mujahidah kecil itu.
“Boleh.” Jawab Najihah dengan bersungguh-sungguh bersama senyuman puas di bibirnya.
“Ok? Ada apa-apa lagi?” Tanya Iqra pada Najihah untuk memastikan sama ada soalannya terjawab ataupun tidak. Iqra cuba mengupas sedikit demi sedikit tentang kelebihan membaca dan menghafal Al-Quran dan dia juga telah memberikan pengisian tentang perkara ini di hari pertama kem ini berlangsung. Pada pengetahuan Iqra, terdapat banyak lagi kelebihan yang ada untuk penghafal Al-Quran. Terlalu banyak dalil Al-Quran dan hadis tentang fadhilat membaca dan menghafal Al-Quran namun keterbatasan kata-kata yang terlahir di minda Iqra menyebabkan ia tidak terzahir secara lisan.
“Ok. Terima kasih ustazah.”
“Sama-sama”.
‘Alhamdulillah.’ Iqra memanjatkan syukur pada Ilahi, diberi kesempatan menjelaskan sesuatu pada seseorang tentang Al-Quran. Selain itu, dirinya bersyukur dengan pengisian dan juga ilmu yang diperolehi dari pembacaannya tentang Al-Quran, kelebihan membaca dan menghafal Al-Quran dari buku-buku yang dibaca. Iqra sedar bahawa kata-kata motivasi yang sentiasa dihulurkan pada adik-adik hafizah perlu sentiasa diulang beberapa kali untuk membakar semangat mereka. Tatkala mungkin, dirinya merisaukan keadaan adik-adik hafizah yang sentiasa bermujahadah melawan nafsu dan sifat malas yang menjadi ujian buat mereka yang menghafal Al-Quran. Hari-hari seterusnya bakal menjadi saksi kepada perjuangan suci mereka ini.
Iqra melangkah mengambil wuduk dan bersiap untuk solat Dhuha. Solat sunat yang menjadi rutin dalam hariannya dan kini dilakukan bersama-sama di Kem Hafazan. Dan solat Dhuha yang dianjurkan kepada umat Islam yang membuka pintu-pintu rezeki dari Tuhan, bagai pertemuan seketika dengan Tuhan sebelum menunggu masuknya waktu Zohor. Hatinya berbunga memanjat syukur pada Allah dengan keberadaannya di sini menghulurkan walau sedikit ilmu dan bakti. Dirinya bertekad untuk terus berusaha menjadi di antara sebaik- baik antara umat manusia seperti dalam hadis Rasulullah:
‘Sebaik-baik antara kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.’ (Hadis Riwayat Bukhari)Selepas solat sunat Dhuha, semua peserta berkumpul untuk makan pagi di ruang bahagian luar surau. Apabila semua telah bersedia, seorang yang telah dilantik mengerusikan perhimpunan juga bertanggungjawab membaca doa. Setelah doa dilafazkan dan diaminkan secara jemaah, semua peserta makan bersama-sama. Di dalam kem ini, semua dianjurkan untuk makan bersama-sama dengan menggunakan dulang dan bukan pinggan; sesuai mengikut sunnah Rasulullah.
Iqra mengambil kesempatan beramah mesra dengan ustazah-ustazah yang lain pada ketika ini kerana di antara perkara yang boleh menguatkan jalinan ukhwah ialah makan bersama selain dari berjaulah (jalan-jalan) dan mabit bersama-sama. Ustazah Sakinah, Ustazah Wan, Ustazah Huda, Ustazah Yan dan Ustazah Rohaya; semua tenaga fasilitator yang bertanggungjawab mentasmi’ bacaan peserta-peserta berkongsi cerita, pengalaman dan masalah yang timbul sepanjang program berlangsung dan masing-masing memberi pendapat untuk menyelesaikannya.
Usai sudah makan pagi, semua peserta dikehendaki untuk kembali ke halaqah hafazan masing-masing. Iqra mengambil tempatnya dan menunggu semua peserta mengambil tempat masing-masing. Kelihatan semua serikandi-serikandi sejati itu masih larut dalam perbualan masing-masing kerana ternyata kem ini telah menemukan mereka yang berasal dari sekolah yang sama. Selain itu, apabila bertemu dengan rakan yang baru, pasti ada banyak perkara yang hendak dikongsikan bersama.
‘SubhanaAllah, permudahkan urusanku, ya Allah. Ana memohon dengan lemahnya kudratku ini. Semoga semua terus istiqamah menghafal Al-Quran.’ Doa Iqra di dalam hati.
“Bismilahirahmanirahim. Baiklah, kita buka majlis kita kembali dengan Al-Fatihah dan doa sebelum menghafal Al-Quran.” Iqra memberikan arahan.
Al-Fatihah dilafazkan dan doa diaminkan. Semua peserta melihat Iqra menunggu arahan seterusnya. Iqra mencapai sebuah buku di dalam beg dan membuka buku Titian Ke Surga karangan Amr Khalid terbitan Era Intermedia. Buku Titian ke Surga adalah antara buku kegemaran Iqra yang penuh dengan kata-kata motivasi untuk beribadah yang terkesan di hatinya. Di antara bahagian yang paling disukai ialah bahagian yang berkaitan dengan keutamaan Al-Quran.
“Ok, semua dah sedia untuk teruskan perjuangan?” Pertanyaan Iqra dibalas dengan senyuman pahit oleh beberapa peserta yang bersamanya. Secara kasarnya, menghafal Al-Quran secara berterusan juga mungkin menimbulkan perasaan bosan dan penat pada adik-adik hafizah.
Alhamdulillah, slot pada petangnya diisi dengan subjek yang lain seperti fikah, akhlak, tajwid, kemahiran keakhwatan dan sebagainya untuk meringankan sedikit tekanan yang mungkin dihadapi oleh peserta-peserta. Oleh kerana itu, fasilitator menjadi tunggak yang paling penting untuk memastikan para peserta terus bermujadah dengan hafalan mereka.
“Percaya tak antunna semua kalau ustazah katakan yang kita sedang dikelilingi oleh malaikat-malaikat?”
Persoalan itu membuatkan ramai adik-adik hafizah berkerut dan ada juga yang menjawab dengan perkataan ‘percaya’.
“Ok. Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
Tidak ada satu kaum pun yang berkumpul dalam salah satu rumah Allah, di mana mereka membaca Kitabullah dan saling mempelajarinya di antara mereka, kecuali mereka akan dikelilingi oleh para malaikat, akan turun ketenangan kepada mereka, akan diselubungi rahmat, dan Allah akan menyebut (nama) mereka di antara orang-orang yang ada di sisi-Nya (para malaikat). (Hadis riwayat Imam Muslim dan Abu Daud).Maka, apa yang antunna semua rasakan sekarang ini?” Soal Iqra kepada peserta selepas dia mengutarakan hadis tersebut. Mata adik-adik hafizah yang tadi kebanyakannya layu kembali bersinar diiringi dengan senyuman simpul di bibir. Iqra meneruskan bicaranya.
“Ana tahu yang antunna sudah mula penat, letih dan kalau tidak keterlaluan untuk ana katakan mungkin berputus asa untuk menghafal sebab ayat-ayat ini susah untuk diterima. Tapi, tahukah antunna, malaikat sedang mengelilingi kita, dan InsyaAllah, kita semua dalam rahmat Allah S.W.T. Hmm… mungkin itu sebab ada yang mengantuk sebab masing-masing selesa dipayungi oleh sayap-sayap malaikat.” Gurauan Iqra disambut dengan sengih dan senyum panjang yang menghiasi wajah-wajah adik-adik hafizah.
“Sebenarnya, antunna semua sedang bermujahadah dengan hawa nafsu antunna, perasaan malas, letih dan penat. Maka, antunna semua adalah mujahidah dan mungkin antunna juga sedang dicemburui oleh bidadari-bidadari di syurga sekarang ini. Sebab antunna dalam perjuangan menghafal Al-Quran. Antunna ada misi di dunia untuk memperjuangkan kata-kata Allah. Untuk mempunyai Al-Quran di dalam diri. Antunna semua nak jadi bidadari-bidadari di dunia yang dicemburui bidadari syurga, kan?” Senyuman-senyuman itu terus mekar dan berbunga bersama azam di dalam dada masing-masing.
“Baiklah. Bismillahirahmanirahim. Antunna boleh teruskan hafalan masing-masing.” Ujar Iqra supaya mereka meneruskan usaha hafalan Al-Quran masing-masing.
Iqra mencapai kembali pen dan buku untuk menyambung hafalannya. Mushaf kesayangan dibuka pada tempat di mana dia berhenti.
‘Astaghfirullah…. Ya Allah, kuatkan hati ana, Allah. Kurniakan ana ketabahan untuk ana terus kuat berjuang keranaMu.’ Kata-kata dan doa terus dipanjatkan pada Allah. Tak sangka, surah Mutaffin yang menyebabkan berderai air matanya hari ini. Iqra kembali menguatkan hati dan semangatnya. Dengan tangan yang menggeletar, Iqra mencapai penanya dan menulis ayat-ayat cinta Allah itu di helaian-helaian kertas di buku hafalan teknik Al-Huffaz.
Sungguh, hatinya bertekad untuk terus membaca, memahami, mentaddabur, dan mengamalkan ayat-ayat yang indah itu. Walaupun kadang-kadang dirasakan ingin melarikan diri tatkala ayat-ayat bercerita tentang hari kiamat dan azab neraka yang menakutkan. Namun, ayat-ayat ini adalah janji-janji Allah yang benar. Sesuatu yang haq, yang pasti akan terjadi. Maka, dia akan tetap kembali untuk menagih lagi kata-kata dan janji yang tersedia oleh Tuhannya untuk penghayatan dirinya yang bergelar hamba Allah. Ketakutan di dalam diri Iqra juga timbul mengenangkan apakah usahanya untuk mengamalkan ayat-ayat yang telah dihafalnya.
‘Ya Allah, semoga ayat-ayat ini menjadi hujah buatku dan bukan hujah ke atasku. Ameen….ameen…ameen’. Harapan terus bersemi di dada Iqra untuk terus mencari ilmu Al-Quran dan mungkin kecenderungannya adalah untuk mendalami tajwid, cara bacaan Al-Quran dengan wajah rawi Hafs ‘An ‘Asim; qiraat yang biasa digunakan oleh masyarakat di Malaysia dan juga kaedah Resam Uthmani. Semoga segala-galanya dipermudahkan Allah.