Bismillahirahmanirahim
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Diri ini masih dikurniakan dengan nikmat iman dan juga Islam. Selawat dan salam buat junjungan nabi Muhammad S.A.W, kekasih yang pada hatinya turunnya Al-Quran, salam juga buat ahlul bait dan juga sahabat, serta semua umat Islam di luar sana. Salam Aidifitri di bulan syawal yang berkah ini. Mohon maaf zahir dan batin atas kekhilafan diri ini. Semoga dirimu sentiasa di dalam naungan kasih dan cinta Allah.
Ternyata, diri ini sudah terlalu lama tidak menyusun kata. Tidak dapat kuberikan kata-kata alasan ataupun berita, kerana terasa sangat berat hati ini menyusun kata-kata untuk disampaikan pada semua. Mungkin sampai satu ketika, diri ini takut dek kerana kata-kata yang dilontarkan di sini bisa menjadi hujah dan saksi buatku. Penyebab samada dosa ataupun pahala buatku...
Mungkin sahabat ramai yang tertanya, mengapa? Bukankah kata-kata itu mencerminkan empunya diri? Tentang peribadinya, tentang akhlaknya, tentang pendiriannya, tentang iman dan juga tentang apa yang tersirat di dalam hatinya... Maka, cuba ku hulurkan walau sepotong nasihat dan kata-kata. Demi menjejak langkah Rasulullah tercinta. Mencari mardhotillah dan sebagai bukti cinta pada Allah.
SubhanAllah, benarlah kata-kata yg ana baca di sebuah buku; "Kecantikan akhlak adalah bayangan kepada kesempurnaan iman. Kesempurnaan iman pula terbentuk dari akidah yang mantap dan ibadah yang sahih. Akidah dan ibadah hanya dapat dibina melalui kefahaman dari ilmu yang benar dan tepat."
Apakah kesempurnaan akhlak tanpa dihiasi dgn kesempurnaan iman? Apakah erti taqwa wahai sahabatku? Imam Ali berkata, "Takwa adalah rasa takut kepada Allah, mengamalkan ajaran Al-Quran, merasa ridha dengan sesuatu yang sedikit, dan mempersiapkan diri untuk hari kiamat".
Kala hati ini kembali mengimbau indahnya bulan Ramadahan itu.... rupanya ia telah berlalu dan pasti banyak hati-hati di luar sana yang sangat merinduinya... Tatkala ruang dan peluang utuk membuat maksiat itu tidak dibendung dengan baik ketika hati mulai lalai dek kata-kata nafsu dan bisikan syaitan... SubhanAllah... kuatkan imanku dan juga tetapkan hatiku..
Maka, kita kembali kepada maksud takwa wahai sahabat yang ana kasihi. Ramadhan yang berlalu memberi erti pada diri dengan meningkatnya iman dan takwa itu. Tatkala diri hampir tergelincir ke jurang maksiat dan kelalaian, carilah kembali kekuatan jati diri yang telah dibina ketika menjalani tarbiyah di bulan ramadhan. Hidupkan solat sunat di waktu malam dan gencarkan tilawah dan tadabbur Al-Quranmu. Kuatkan langkah di siang hari melaksanakan ajaran-ajaran dari 'surat cinta dari Tuhan' dan teruslah bersabar menempuhi ujian dari Allah, bersabar dari perkara yang diharamkan dan bersabarlah dalam menunaikan amalan-amalan yang difardhukan.
Sukarkah? Hm... diri ini juga merasai susahnya.. Tatkala dada terasa sempit dan air mata mula bertakung kerana menanggung sedih mengenangkan lemahnya imanku dan sedikitnya usahaku. Tetapi, Allah itu Maha Penyayang dan Maha Mengetahui akan keadaan hamba-hambaNya. Maka, kupohon agar Dia melapangkan dadaku. Semoga dengan sabar itu membolehkan hamba-hamba yang bertuah itu dipersilakan ke syurga dengan penuh penghormatan.
22. Dan orang yang sabar kerana mengharap keredhaan Tuhannya, melaksanakan solat dan menginfakkan sebagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik).
23. (iaitu) syurga-syurga 'Adn, mereka masuk ke dalamnya bersama dengan orang yang soleh dari nenek moyangnya, pasangan-pasangannya dan anak cucunya, sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;
24. (sambil mengucapkan) "Selamat sejahtera atasmu kerana kesabaranmu." Maka alangkah nikmatnya tempat kesudahan itu.
(Ar-Ra'du 13: 22-24)
Baiklah... ana perlu berundur diri menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan. Salam mujahadah para khalifah di bumi Allah. Semoga Allah memudahkan segala urusanku dan juga urusanmu.
P/S: Marilah kita sama-sama tenggelam dalam ketenangan dek alunan ayat-ayat cinta dari Tuhan (Al-Quran). Janganlah tenggelam dalam kehendak nafsumu wahai syabab (pemuda) sekalian. Allah Maha Melihat dan sentiasa bersama denganmu. Pintu taubat masih terbuka. Kerana bukti cinta adalah membawa diri yang disayangi ke syurga. Bersama rasa harap yang tinggi untuk mencari redha Allah dan peluang melihat wajahNya di akhirat kelak.
Wallahu'alam.