Monday, July 23, 2012

Selamat beribadah, wahai pencari cintaNya...

Bismillahirahmanirahim. 

Berkata hati yang cuba meluahkan perasaan. Hampir ingin pecah dirasakan menanggung bebanan itu. Tetapi di dalam hati ini juga letaknya iman dan juga cinta. Tatkala setiap helaan nafas dan degupan jantung itu bergerak dengan izin Allah. Sekiranya Allah menghendaki jantung itu untuk berhenti berdegup atau terus bergerak mengepam darah, maka jantung itu pasti akan mematuhi arahan Allah.

Dan dikala bulan ramadhan akhirnya menjelma, hati ini melonjak riang. Telah bermula pesta beribadah dan mencari pahala Allah. Mengencarkan langkah mencari redha Allah. Seperti ingin menyanyi dan tersenyum panjang. Tibanya ia saban hari bersama dengan hujan rahmat… SubhanAllah, nikmat hidayah Allah itu terlalu berharga… Terkadang tertanya, syukurkah kita dengan apa yang telah dikurniakan olehNya?

Segala yang berlaku adalah dalam perancangan dan susunan Allah. Segalanya telah tercatat awal pada kitab di Luh Mahfuz. Perancangan dan implimentasi Allah S.W.T telah berlaku dengan penuh bijaksana dan hikmah. Terlalu cantik aturanNya sehingga setiap perkara yang berlaku ada sebab dan munasabab di sebaliknya.

Lantaran meyakini Qada’ dan Qadar adalah salah satu daripada rukun iman. Setiap yang berlaku adalah mengikut sunatullah. Ada hukum universal yang diikuti sesuai dengan fitrah yang telah dijadikan oleh Allah. Begitu juga dengan manusia. Fitrah manusia dijadikan bertuhan. Sekiranya fitrah itu dilanggar, maka kucar-kacirlah bumi ini dengan pertumpahan darah dan juga kerosakan.

Kerana hati itu adalah raja kepada badan, maka hendaklah kita menjaganya dengan sebaik mungkin. Hati itu perlu sentiasa dibersihkan. Dibalut cantik dengan kekuatan iman agar tidak pernah goyah dek kerana keduniaan. Mintalah pada Allah agar dikurniakan iman yang sempurna dan hati yang bersih. Berdoalah kepadaNya, sesungguhnya Dia akan memperkenankan doa hamba-hambaNya.

Dengan itu, jadikanlah bulan Ramadhan ini satu bulan yang bermakna. Mendidik diri untuk menjadikan sesuatu perkara yang baik sebagai satu tabiat. Berpuasa sudah menjadi satu kewajiban. Tatkala hati itu sayu dan juga syukur apabila kuat diri lelah berlapar perut, tetapi diteruskan juga kerana mengikut perintah Allah dan rasulNya. Dan ingatlah juga bahawa kebahagiaan orang yang berpuasa adalah ketika berbuka dan berjumpa dengan Allah di akhirat kelak.

Selain itu, di antara ibadah yang dianjurkan ialah membaca Al-Quran. Carilah Al-Quranmu dan alunkan ia walau sehelai setiap hari. Lantunan rindu kepada alunan Al-Quran selalu sahaja menerjah hati-hati yang cintakan kalam Allah itu. Impikanlah agar Al-Quran yang akan menerangi kita di alam kubur dan menyelamatkan kita di akhirat nanti. Maka, jangan pernah berputus asa. Semoga terus istiqamah walaupun selepas bulan Ramadhan berlalu.

Dan pintu syurga Allah itu ada banyak. Ada pintu untuk orang yang berpuasa, solat, bersedekah dan lain-lain lagi. Maka, carilah kekuatan diri dan gunakan sepenuhnya untuk mencari pahala dan redha Alah. Hakikatnya Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui. Maukah kamu bersabar? Sesungguhnya Allah Maha Melihat… Semoga dapat menjalankan ibadah dengan tenang dan istiqamah. Buktikan cinta kita kepadaNya dan semoga tercapai cita-cita menjadi penghuni syurga.

Doakan untukku wahai sahabatku… Semoga Allah memberkati diriku dan dirimu. Amin.

Sunday, July 8, 2012

Teruskan perjuanganmu...

Bismillahirahmanirahim. 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan baginda, Rasulullah S.A.W, ahlul bait, sahabat, tabi’, tabi’in serta semua umat Islam di luar sana.

Di kala hening malam ini, diri cuba menyusun gubahan kata untuk semua. Walaupun diri keletihan selepas urusan seharian, hati tetap meronta-ronta untuk menghulurkan untaian kata walau secebis cuma.

Dan sebenarnya, baru sahaja selesai kelas hafazan untuk malam ini. Wajah-wajah adik-adik yang dikasihi kelihatan terus cekal walaupun diuji dengan perjuangan menghafal Al-Quran. Dan perjuangan itu menuntut kepada persediaan yang lengkap dan juga niat yang ikhlas, serta sabar. Dan diri ini terus tersenyum di kala dilayan penuh santun oleh adik-adik tersebut. Ada si kecil menasihati:

‘Kena baca Al-Quran, nanti boleh dapat pahala. Boleh masuk syurga. Kat syurga ada banyak benda. Ada gula-gula, buah-buah, istana....’

SubhanAllah, tak terkata rasa hati apabila merasai keikhlasan adik yang dikasihi. Semoga Allah memudahkan untuk kita menghafal ayat-ayatNya. Amin.

Walaubagaimanapun, ada sahaja keluhan yang menyatakan diri tidak lagi mampu menghafal Al-Quran kerana otak terasa penat… Hakikatnya, otak manusia dijadikan dengan penuh keajaiban. Kemampuannya jauh lebih tinggi daripada supercomputer yang ada di luar sana. Maka, janganlah berputus asa untuk menimba ilmu dan mengembangkan potensi diri.

Namun begitu, dalam setiap perjuangan ada masanya kita akan diuji sehingga kita lemah dan jatuh. Bak tindak balas kimia… Untuk mendapatkan produk, perlukan bahan yang secukupnya untuk tindak balas berlaku. Jika sikit bahan pemula digunakan, maka sikitlah produk yang dihasilkan. Oleh itu, persediaan sangat penting dalam segala yang kita lakukan. Dilihat kepada kudrat seorang manusia yang lemah dan juga tidak berkemampuan. Apabila motivasi telah berkurangan, carilah dari sumbernya. Allah S.A.W sentiasa bersama dengan kita. Mintalah kepadaNya tanpa kenal erti putus asa.

Setiap manusia menyukai kebaikan. Dan untuk mencari kebaikan itu terkadang diuji dengan onak dan ranjau. Kalau dahulu segalanya ada pemisah yang sangat jelas antara hitam dan juga putih. Tetapi kini, ada sahaja kebatilan yang bertopengkan hak. Walhal, manusia dijadikan dengan limitasi dan juga pemikiran yang terhad. Pengadilan seorang manusia tidak sama dengan pengadilan Yang Maha Adil. Dan kerana itu, jangan pernah terlupa dengan peninggalan baginda; Al-Quran dan As-Sunnah. Semoga jalan-jalan yang kita lalui sentiasa dalam redhaNya.

Ana berundur diri dahulu. Teruskanlah perjuanganmu dan doakanlah untukku wahai sahabatku. Semoga Allah memberkati diriku dan dirimu. Amin.

Wednesday, July 4, 2012

Jangan berputus asa daripada rahmat Allah.

Bismillahirahmanirahim.

SubhanAllah, Maha Suci Allah, Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Penyayang. Asif jiddan semua. Ana pasti ada yang tertunggu nukilan kata daripada ana. Buat ukhti nurqalbi786, semoga Allah sentiasa merahmatimu. Begitu juga kepada pembaca semua… Walaupun dirimu jauh di mata, tetapi sangat dekat di hati ini. Dan Allah sentiasa bersama kita semua.

SubhanAllah, diri ini seperti ingin melarikan diri untuk seketika waktu. Saban hari dirasakan sangat kurang motivasi diri untuk terus melangkah melakukan kerja makmal. Sudah hampir 2 liter etanol telah habis digunakan sebagai pelarut untuk kajian. Lebih 50 kali cubaan yang telah dibuat tetapi seperti tidak berganjak ke mana-mana. Dan dikala ini juga Allah mengujiku dengan hati. Ya Allah, ampunkan segala dosaku dan dosanya. Ya Allah, tuntunilah kata hati, tutur kata, akal dan juga perilakuku ini. Amin.

SubhanAllah… seperti terlalu sukar… Ingin sekali berputus asa, tetapi itu bukanlah satu pilihan yang wajar. Dipujuk diri agar sentiasa meletakkan harapan yang tinggi pada Allah. Dan perjuangan ini juga keranaNya … Buktikan cinta kerana sayang kepadaNya. Maka, jangan pernah berputus asa… Allah berkata,

“Jangan berputus asa daripada rahmat Allah.” 

(Surah Az-Zumar: 53)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah di atas segala kurniaanNya. Dua minggu yang lalu, Allah mengizinkan diri ana dan serikandi sang pencari ilmu untuk menghadiri satu majlis ilmu di Surau An-Nur, Bangi. Penceramah yang dijemput ialah Sheikh Ali Saleh bin Ali Jabir, salah seorang imam dari Madinah. MasyaAllah, tidak terungkap rasa hati kerana ternyata Allah telah memilih ana dan sahabat di antara jemaah yang hadir ke majlis ilmu itu.

Penceramah mengungkap pengisian dengan cara yang ruhiyyah tatkala kata-kata yang keluar daripada hati pasti akan tersentuh di hati juga. Beliau telah mengungkap juga tentang kepentingan untuk terus berdoa dan mengharap kepada Allah. Kerana berdoa adalah menjadi tugas kita sebagai seorang hamba. Doa adalah senjata seorang muslim. Apabila hati dan mulut itu berbicara meminta pada Allah, ketahuilah olehmu bahawa dirimu adalah di kalangan hambaNya yang tidak berputus asa daripada rahmat Allah.

Ada doa yang dimakbulkan seperti yang kita minta. Ada juga doa yang diperkenankan dengan caraNya yang penuh hikmah. Ada juga doa yang tidak dimakbulkan di dunia tetapi itulah yang menolongnya di akhirat nanti. Taufik dan hidayah Allah itu dicari dan bukan hanya ditunggu. Ketika diri dilanda resah dan gelisah, bertanya kepada diri apakah tujuan utama dirimu dijadikan di dunia ini… Tatkala nama Allah itu meniti di bibir… SubhanAllah, segala kenikmatan yang ada pada diri ini adalah titipan dari Allah yang akhirnya akan dipulangkan kepadaNya.

Ana pasti ramai sahabat di luar sana sedang diuji. Sama ada diuji dengan kesenangan atau kesusahan. Tidak boleh untuk terus hanyut dalam kesedihan dan kesusahan. Syukurlah dengan nikmatNya yang sangat banyak. Dan terus mencari potensi untuk menyumbang kepada agama Allah. Terus melangkah membuktikan cinta padaNya. Dan Allah akan menyingkap bukti-bukti kebesaran dan kekuasaanNya dengan izinNya.

Tidak lupa kepada diri yang membaca nukilan hati ini. Dirimu adalah bukti kebesaran Allah. Dirimu adalah salah satu keajaiban ciptaanNya. Dijadikan dengan penuh hikmah tetapi dibebankan dengan tanggungjawab sebagai khalifah dan beribadah kepada Allah.

Manusia itu dijadikan lemah, miskin, memerlukan, dan juga tidak berkemampuan. Kerana sifat-sifat ini menjadikan kita manusia yang bergantung kepada Allah. Kita juga sangat membutuhkan nikmat-nikmatNya kerana tiada pemberi nikmat selain Allah. Dan aturan Allah itu sangat indah dengan sistemNya sendiri. Terkadang dihantarkan kesusahan kerana di sebalik kesusahan itu adalah kesenangan dan hikmahNya. Allah ingin ajarkan kita tentang sesuatu… dan diberikan peluang, ruang dan kekuatan untuk berbuat kebaikan dan mengumpul sebanyak mungkin permata pahala untuk saham di akhirat nanti.

SubhanAllah, terus impikan pengakhiran yang baik. Iman yang tersemat di dada itu tidak ternilai harganya. Yang bisa menjadi penyebab untuk menghuni syurga Allah nanti. Lihatlah kepada perjuangan sahabat di zaman Rasulullah dan juga sebelumnya. Menggadaikan nyawa dan juga harta untuk kekal di dalam iman. Tatkala hati juga diuji dengan cinta pada mama, abah dan juga yang tersayang seperti harta dan perniagaan… tetapi dikorbankan juga demi iman yang tidak ternilai itu.

Terdapat satu kata-kata hikmah:

Barangsiapa yang memiliki Allah, jangan takut kehilangan sesuatu. Biarkan sahaja kehilangan dunia dan segalanya, selama kita memiliki Allah, tidak akan terasa kehilangan apa-apa. Tetapi barangsiapa yang kehilangan Allah, walaupun memiliki dunia dan isinya… tidak ada erti dan gunanya.

Hati itu berbeza di antara satu sama lain. Hati seorang manusia juga adalah milik Allah. Hati itu digerakkan dengan kuasaNya. Maka, mintalah pada Allah akan petunjuk dan hidayahNya. Semoga Allah memberi petunjuk kepadamu. Amin. Dan ketahuilah juga sayang Allah kepada hambaNya lebih tinggi dari sayang seorang ibu kepada anaknya. Allah Maha Mengetahui setiap apa yang tersembunyi dan yang terzahir pada hambaNya… Yakinlah bahawa janji Allah itu benar…

SubhanAllah… Doakan untukku wahai sahabatku… Semoga Allah memberkati diriku dan dirimu. Amin.