Thursday, September 3, 2009

Pengalaman Menjadi 'Babysitter'

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah, sifat Allah Yang Maha Penyayang terbukti dengan nikmat nafas yang masih lagi diberikan pada hamba yang lemah ini. Syukur dengan nikmat iman dan Islam di atas kurniaan Allah S.W.T sehingga memungkinkan kita untuk bertemu dalam ruang yang damai di alam cyber ini. Selawat dan salam buat murobbi agung, Nabi Muhammad S.A.W. Juga pada keluarga baginda, sahabat, tabi’ tabi’in, serta semua umat Islam di seluruh dunia. Didoakan semoga sentiasa dalam naungan cinta dan kasih Allah.

Andai mungkin untuk diungkapkan perasaan yang ada di dalam hati dalam bentuk kata-kata, Alhamdulillah, syukur pada Allah di atas segala nikmat pemberiaanNya, ana berpeluang untuk mencoretkan sesuatu di ruangan yang indah ini dengan dimulakan dengan nama Allah Yang Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Mungkin ruangan ini tidak seindah taman-taman Islam yang lain, tetapi semoga keikhlasan niat, kecantikan kata-kata dan pembawaan doa dan pengharapan yang baik mampu menyentuh hati-hati yang membacanya. Mungkin ini antara usaha yang mampu ana hulurkan untuk mengutip walau sedikit pahala sebagai balasan kemenangan di syurga nanti, InsyaAllah.

Dalam bulan Ramadhan yang penuh berkah ini, semoga setiap niat, kata-kata dan perbuatan menjadi ibadah kepada Allah. Setiap doa, semoga dikabulkan olehNya. Pohonlah keampunan dariNya di bulan yang dijanjikan oleh Allah berganda-ganda pahala dan ampunan. Semoga solatku, zikirku, doaku, ibadahku, hidup dan matiku adalah kerana Allah. Diri dibanjiri rasa syukur dengan ibadah solat yang wajib dan juga sunat yang perlu dilakukan oleh umat Islam. Seperti yang kita tahu, segala yang dianjurkan dalam Islam adalah untuk kebaikan kita sendiri sebenarnya. Maka, terima kasih Allah untuk solatku padaMu.


MasyaAllah, keajaibanNya terlalu besar kerana bukti terdapat di mana-mana sahaja. Diri ana kini di bumi Tanjung Malim, Perak, dalam misi untuk menjaga sepupu yang baru sahaja lahir melihat dunia. Maha Suci Allah, indahnya ciptaanMu, tidak tergambar oleh kata-kata. Hanya mungkin dilafazkan bahawa hati ini penuh syukur dan bahagia dengan kehadiran mujahid kecil yang sangat comel bernama Muhammad Faris Al-Ghazi. Ana dapat rasakan kebahagian seorang ibu dan ayah apabila dikurniakan seorang cahaya mata yang baru, maka lengkaplah sakinah, mawaddah dan rahmah di dalam sesebuah instituasi kekeluargaan. Tidak pernah terlintas dalam kotak pemikiran dan juga gambaran imaginasi tentang kebahagian sebuah keluarga yang dihujani dengan nikmat Tuhan dengan kehadiran seorang insan yang bergelar anak.


Keberadaan ana di sini untuk menjaga mujahid kecil ini, dan tampaknya bukanlah senang seperti yang dijangka. Namun begitu, setiap usaha yang dilakukan untuk si kecil berbaloi apabila melihat dirinya senang hati selepas diberi minum susu dan beberapa keperluannya yang lain telah dipenuhi. Akhi Faris perlu ditukarkan lampin, diletakkan minyak bayi, diberi minum susu, didukung dan ditidurkan. Semua pengalaman yang ana dapat, mewarnakan hidup yang sudah sedia ceria. Hehe… baru tadi ana melihat Faris tersenyum. Tak kurang juga dengan mukanya yang comel, terkadang seperti memahami setiap perkataan yang ana katakan padanya. Cuma kadang-kadang meragam kerana mahu keluar dari bendungnya (bayi yang baru lahir dibendung untuk mengelakkan kejutan yang dibuat oleh pergerakan dirinya sendiri).




Kepada semua sahabat di luar sana, secara jujurnya ana nyatakan di sini, kasih sayang mama dan abah adalah sangat tidak terhingga. Allah S.W.T, Tuhan Yang Maha Bijaksana telah menciptakan manusia untuk menjadi khalifah di dunia. Lahirnya seorang manusia selepas menumpang di rahim ibu selama 9 bulan. Dan hakikatnya seorang ibu akan semakin hari, semakin lemah.

Seperti jelas yang dinyatakan di dalam Al-Quran, Surah Luqman, ayat ke-14:

‘Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapihnya (menyusukan) dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang ibu bapamu, hanya kepadaKulah kembalimu.’ (31:14)

Ana teringat pada satu ketika apabila berkongsi cerita dengan makcik yang dikasihi, bagaimana ketika mengandung, dirinya tidak merasai keseorangan walaupun terpaksa berjauhan dengan suami di atas sebab belajar dan bekerja. Ini adalah kerana dirinya tahu bahawa terdapat anak yang sedang dikandungkannya. Andai berasa sedih, gembira, penat, dan sebagainya, dia bercerita dengan si kecil yang sentiasa menemaninya. Maka, terserlah sifat keibuan yang sangat tinggi dalam diri seseorang yang kini bergelar ibu.

Ingin ana meletakkan diri ana di tempat seorang ibu… Seseorang yang telah menyayangi anaknya sejak sebelum dia lahir melihat dunia lagi. Andai mungkin kasih sayang bersifat kuantitatif dan mampu diukur, kasih ibu terlalu banyak dan tidak terhingga. Dan sungguh, kasih itu lahir dari kurniaan Allah yang Maha Penyayang. Diberikan oleh Allah kepada setiap manusia yang bergelar ibu dan bapa. Selepas lahir, si anak yang kecil dijaga seperti kaca yang sangat mudah untuk pecah. Setiap tangisan disambut dengan kata-kata sayang. Walaupun terpaksa bersekang mata pada waktu malam hari untuk menyusukan anak, sifat penyayang seorang ibu mengatasi keinginannya untuk terus larut dipupuk tidur yang lena.


Sekiranya hati seorang ibu mampu untuk ana selami, pastinya setiap kali susuan, dukungan, sentuhan dan dodoian diiringi dengan doa dan pengharapan pada Allah agar anak sentiasa dalam keadaan sihat, bahagia dan gembira serta berjaya di dunia dan akhirat. Kerisauan pada seorang anak sentiasa ada dan tidak akan pernah padam. Kerisauan itu berganda-ganda apabila si anak menangis, tersedu-sedu, terkadang muntah ataupun sekiranya bunyi nafas yang ditarik dan dilepaskan adalah berbeza dari biasa. Walau apapun yang berlaku, kesusahan dan keletihan seorang ibu boleh hilang hanya dengan melihat anaknya yang tidur nyenyak dalam keadaan aman dan damai tanpa sebarang gangguan.




Namun begitu, ada sesuatu yang mungkin tidak dapat untuk ana gambarkan keadannya; iaitu apabila sampai masa si ibu melahirkan anaknya ke dunia. Dikatakan pada ana bahawa seorang ibu perlu kuat dalam proses kelahiran bayi kerana dua nyawa dalam pertaruhan; iaitu si ibu dan si anak. Diungkapkan pada ana bahawa kesakitan ketika saat melahirkan anak tidak boleh untuk digambarkan sakitnya. Si ibu mengalami sakit yang amat sangat, menyabung nyawa, bertarung untuk membawa satu nyawa ke dunia dan nyawanya sendiri juga ditaruhkan. Segala-galanya diserahkan pada Allah, kerana dengan kuasaNya, apa sahaja kehendakNya pasti akan terjadi.

MasyaAllah… Suatu ketika ana juga sekecil Akhi Faris. Mengenangkan budi mama pada diri ini, SubhanAllah, hanya Allah yang mempu membalas jasamu. Andai kini, ana cuma menjaga akhi Faris seorang, tetapi dahulu mama lahirkan ana dan kembar. Hehe.. dua orang sekali.. maka, bayangkanlah kesusahannya. Tidak dapat dinukilkan dalam kalimah-kalimah yang biasa.

Dalam surah Bani Israel ayat ke-23 dan 24:

‘Dan TuhanMu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucaplah kepada mereka perkataan yang mulia.’ (17:23)

‘Dan rendahkan dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, ”Wahai Tuhanku, kasihilah keduanya sebagaimana keduanya telah mendidik aku waktu kecil” (17:24)

Maka, diri ingin berbicara tentang keindahan Islam yang menyuruh kita untuk berbuat baik kepada ibu-bapa. Dan bagaimana dalam setiap doa, bahawa pengharapan dipanjatkan kepada Allah; semoga Allah memelihara kedua ibu ayah kita seperti mereka memelihara kita ketika kita kecil. Redha Allah terletak pada redha ibu dan ayah. Telah jelas seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat cinta di atas tentang keperluan untuk melayan dan menjaga ibu dan ayah .

Serta, ingin juga ana tekankan bahawa anak lelaki khususnya, tanggungjawabnya yang pertama terletak pada si ibu yang telah memeliharanya. Hmm… betapa ana sangat setuju dengan kenyataan ini kerana selepas melihat pengorbanan yang dibuat oleh seorang ibu kepada anak lelaki…… ana tak boleh nak berkata apa… Anak perempuan adalah berlainan dengan anak lelaki. Anak lelaki lebih kuat minum susu dan sebagainya. Maka, si ibu perlu lebih banyak berikhtiar dan berusaha untuk memenuhi kehendak si anak kecil itu.


Hehe… kalau untuk akhi Faris, selagi dalam kemampuan untuk kakak lakukan, InsyaAllah boleh sahaja permintaanmu dipenuhi. Semoga dirimu setiasa tenang apabila mendengar kakak membaca surat cinta dari Allah, Al-Quran untuk akhi Faris, semoga menjadi pelembut hati dan penenang buat diri yang baru sahaja melihat dunia. Tak lupa juga semoga sentiasa sihat dan baik. Nanti besar kena ikut cakap ibu… dan semoga menjadi pejuang yang berjaya di dunia dan di akhirat… sepadan dengan namamu yang indah iaitu Muhammad Faris Al-Ghazi.

Kini, segala pujian pada Allah di atas semua kuniaanNya di dunia ini. Segala yang berlaku penuh dengan hikmah dan Maha Suci Allah, semoga keluargaku dan semua umat Islam di luar sana sentiasa dalam naungan kasih dan cintaMu. Ameen.

Wallahu’alam.