Sunday, May 27, 2012

Berbicara tentang hati dan juga cinta...

Bismillahirahmanirahim. 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah s.a.w., ahlul bait, sahabat baginda, tabi tabi’in, dan semua umat Islam di luar sana.

Perlu untuk ku taip walau sedikit bingkisan kata-kata… Bukti diri mensyukuri nikmat dan petunjuk dari Allah. Dihantarkan hamba-hambaNya menjadi perantaraan ilmu dan hidayah Allah kepada diriku. Dan sejujurnya, hati ini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seorang mujahid pembela akidah.

Dikatakan kepada ana; ‘Kalau blog lama tak update, saya malas nak baca.‘

Haha… Tatkala kata-katanya itu berbaur nasihat, teguran dan juga pengakuan yang lucu, tetapi ku terima dengan hati yang terbuka. Kerana kata-katanya mengetuk hati ini untuk kembali menyusun kata menyebarkan ilmu di taman cyber. Telah ku lupa nikmatnya peluang yang diberikan Allah untuk ku mencari permata pahala dengan nukilan kata-kata. Jazakallahukhairan kathira buat sang mujahid pembela akidah tadi. Semoga Allah memberkatimu. Amin.

Dan kepada semua sahabat ana yang dikasihi, maafkan ana disebabkan kekhilafan diri menyebabkan ana terkadang lupa dengan tugasku menyebarkan risalah kepada umat manusia. Dugaan Allah ketika ini benar-benar menguji hatiku. Tetapi Allah ingin mengajarkan kepadaku tentang sesuatu… Doakan semoga diri ini terus kuat berjuang untukNya. Amin.

Risalah kali ini ku sisipkan teristimewa buat semua yang setia membaca dan juga buat semua yang mengenali diri ini. Risalah yang membicarakan tentang hati dan juga cinta.

Saban hari diri ini semakin menyelami erti perkataan itu. Cinta. Tatkala cinta itu letaknya di hati. Hati yang menjadi raja kepada diri dan akal pula bertindak sebagai penasihat. Kiranya hati itu bersih dan suci, maka lahirlah niat, kata-kata dan juga perbuatan yang baik. Tetapi jika hati itu dikotori dengan titik hitam akibat maksiat dan kejahilan, maka lahirlah niat, kata-kata dan juga perbuatan yang jahat. SubhanAllah, gugurkanlah semua sifat mazmumah yang ada pada diriku ini. Amin.

Dan cinta… terlalu banyak yang mentafsirkan erti cinta dan memberi terlalu banyak kategori kepadanya. Teringat kepada anak-anak halaqahku yang dikasihi. Tatkala kita pernah berbicara tentang Mahabatillah. Tentang cinta mengikut syariat Allah dan juga cinta selain daripada mengikut syariatNya. Begitu juga dengan tanda-tanda cinta yang terdiri daripada taat, cemas, harap, takut, kagum, redha, sering menyebut namanya dan rela berkorban. Sekiranya tanda-tanda ini wujud, maka kita sedang bercinta. Tetapi persoalannya, kepada siapakah cebisan hati itu diberikan?

Cinta yang terpuji adalah pada Allah, rasul dan jihad di jalanNya. 

‘Katakanlah, “Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusanNya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.’ 


(Surah Taubah, ayat 24)

Hati itu sepenuhnya milik Allah dan Dialah yang mengurniakan rasa cinta itu kepada hamba-hambaNya. Cinta hakiki adalah cinta kepada Ilahi. Dalam setiap degupan jantung ini, ia seperti bertasbih menyebut nama Allah. Ketika tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) bisa sahaja menjadikan kita rapat denganNya. Semoga Allah mengurniakan rasa cintaku padaNya. Amin.

Pada Tuhanku, ku meminta. Agar dituntun langkah ini dalam jalan redhaNya. Apabila hati diuji dengan cinta manusia, maka perlu dipastikan cinta itu tidak melebihi cinta kepada Pencipta. Tatkala rindu bertaut, maka berdoa pada Allah… Ya Allah, semoga Kau ampunkan segala dosaku dan dosanya. Amin.

Teringat ana kepada seorang serikandi pencinta Quran… Kata-katanya menyingkap erti cinta yang sebenarnya.

‘Apabila cebisan hati itu telah diberikan kepada seseorang, maka tak boleh diminta kembali. Buruk siku namanya…’

Haha… sangat kelakar, tetapi benar. Kata-kata itu menyedarkan diri tentang salah satu tanda cinta iaitu redha ataupun rela dengan segala yang dilakukan oleh yang dicintai serta pengorbanan. Dan apabila hajat yang dicita tidak kesampaian, redhalah dengan ketentuanNya. Kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Dan kepada sahabatku di luar sana yang risau memikirkan soal jodoh, maka janganlah berpanjangan kerisauan itu. Ku pasti ramai sahaja sahabatku di luar sana diuji Allah dengan cinta manusia. Ada yang berjaya dan ada juga yang kecundang. Ada hati yang berbunga dan ada juga hati yang terluka. Tak kurang juga ada hati yang berkorban melepaskan pergi yang dicintai kerana Allah.

Hakikatnya, jodoh itu ketentuan Ilahi. Maka serah pada Allah sahaja. Ada yang bercinta bertahun-tahun lamanya tetapi tidak sampai ke gerbang perkahwinan. Ada pula yang menolak sepenuh hati, tetapi kalau sudah jodoh, dipertemukan juga dengan izin Allah. SubhanAllah, memang benarlah kata-kata pujangga… Berhati-hatilah menjaga hati.

Apabila diuji dengan cinta yang boleh membawa kepada kemaksiatan, maka kenalah cari cinta yang halal buat diri. Bermanjalah dengan Allah… Berbicara dan mengadu kepadaNya… Meminta pertolongan dariNya dengan sabar dan juga solat, tak kurang juga berpuasa dan menyibukkan diri dengan ibadat kepadaNya.

Carilah juga inspirasi dari kisah rasul… Semoga lahir kekuatan dalam hati yang resah itu… Dan hanyutkan dirimu dalam alunan suci kalam Burhan… Tatkala bukti kebenaran karangan Allah itu bisa menghiburkan dan memberi peringatan. Carilah juga nasihat dan kasih sayang dari insan-insan kesayangan seperti mama dan abah, adik-adik, sahabat dan juga guru. Boleh sahaja menyibukkan diri dengan perkara yang baik agar diri tidak hanyut dibawa rindu.

Ingatlah juga, Allah Maha Mendengar segala bisikan hatimu.

“Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati.” 


(Surah Al-Mulk, ayat 13). 

Hmm… Adakah kata-kata yang dinukilkan di sini bisa meringankan hati yang lara? Tatkala berat sungguh ujian hati yang melanda. Terkadang diuji oleh cinta pada mama dan abah, adik, tanggungjawab, ilmu, dan banyak lagi… dan kini mungkin diuji oleh cinta fitrah seorang manusia. Serba salah melanda diri dek kerana diri terkadang lemah dan jatuh ke daerah yang bisa mengundang murka Allah… SubhanAllah, berdoalah kepada Allah… bersyukur dengan nikmat pemberianNya ketika ini. Tanda cinta adalah rela. Wahai Allah… jika Kau ambil orang yang dikasihi dariku, ku terima ketentuanMu. Hanya Engkau Yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Dan ku yakin bahawa aturanMu sangat cantik… Maka, laksanakanlah aturanMu… Ku serahkan segala-galanya kepadaMu. Amin….

Ingatan ana kepada anak-anak halaqahku dan semua pembaca yang masih setia menyoroti tinta pada skrin komputer kalian…. Ana bimbang tatkala menilai sejauh mana usahaku mendidik sahabatku. Adakah Allah akan menerima amalan-amalanku? Hadirnya diriku bukanlah seorang penghukum tetapi ingin menjadi seorang pendidik. Kerana hakikatnya pengadilan manusia tidak sama dengan pengadilan Allah. Maka pada Allah jualah kita kembali dan doaku agar sentiasa diluruskan niat hanya keranaNya.

Sampai di sini bingkisan nasihatku. Andai kata-kata di sini melukai hatimu, ku susun sepuluh jari meminta maaf dengan rendah diri. Dan pada Allah ku meminta, agar djaga tutur kataku dan gerak perilakuku… Semoga Allah memberkati diriku dan dirimu. Amin.

P/S: Kepada Nailah dan Aizat: Luqman akan ke KMM hari esok. Sepupu kita, Siti Rahmah pula akan ke Asasi UiTM, Shah Alam. Doakan untuk diorang ya… Dah besar adik-adikku ni… Ukhti Nailah update blog ya… Ku nantikan nukilanmu dalam Blog HIJAU-PUTIH. Salam’alaik.

No comments: