Saturday, February 27, 2010

Akan ku jejak sunnahmu, wahai Rasulullah

Bismillahirahmanirahim.

Saban hari, diri ini cuba untuk menyusun kata, dek kerana mungkin idea dan ilham dari Tuhan bukanlah dalam lingkungan rezekiku. Namun, ku cuba merungkai sedikit demi sedikit tentang sunnah dan hakikat diri ini untuk terus menapak menjadi seorang insan bersama tanggungjawab bernama khalifah di muka bumi. Maka, kenangan ku jejak menelusuri sirah nabi yang mulia, Nabi Muhammad bin Abdullah, Rasulullah S.A.W. Lebih-lebih lagi bersempena dengan Sambutan Maulidurasul yang kini menjelma.

Kala ini, ku jejaki sunnah terbesar Rasulullah iaitu menyampaikan dan menyeru manusia kembali ke jalan yang benar. Andai mungkin tidak sehebat Rasulullah dan sahabat, tetapi setiap perbuatan boleh menjadi sarana kepada dakwah yang meliputi skop yang sangat besar. Kini, diri dan juga semua sahabat yang sedang membaca rencana ini pasti sedang berada di dalam medan perjuangan ilmu yang indah untuk menyediakan pedang jihad ilmu dan pengalaman untuk bertempur di medan peperangan seterusnya yang bernama alam pekerjaan. Jika ditanya pada diri, siapakah model yang perlu dicontohi dalam kehidupan ini; Rasulullah S.A.W., kekasih Allah yang peribadinya seindah Al-Quran seperti yang diberitahu oleh Saidatina Aisyah R.A:

“Akhlak Rasulullah adalah Al-Quran”.

Selain itu, telah jelas Rasulullah sebagai suri teladan yang baik untuk semua seperti jelas dalam Surah Al-Ahzab, ayat ke-21,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Al-Ahzab:21)

Murabbi agung, junjungan besar Rasulullah S. A.W dilahirkan pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah. Kebesaran Allah S.W.T telah ditunjukkan dengan peristiwa-peristiwa menakjubkan mengiringi kelahiran insan mulia ini ke dunia. Rasulullah diutuskan di Tanah Arab tatkala manusia di dalam gejala kemusnahan, zaman kegelapan dan juga keruntuhan akhlak yang sangat membimbangkan. Ketika itu, berhala yang tidak berkuasa disembah dan dipuja, perempuan mempunyai taraf yang sangat rendah di mata semua, bayi-bayi perempuan ditanam hidup-hidup, riba dan korupsi berleluasa, si miskin dipandang dengan hina dan hamba-hamba dilayan dengan sangat zalim. Moral manusia ketika itu dikuasai dengan sifat kehaiwanan dan kesyaitanan. Namun begitu, Allah S.W.T Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang mengutuskan Rasulullah yang dikasihi membawa petunjuk kepada manusia kembali ke jalan fitrah yang sebenar.

Kembali kepada persoalan yang ingin ditimbulkan. Pernahkah tertanya tentang cinta yang mungkin ada dalam diri untuk seorang manusia yang agung yang dikurniakan dengan mukjizat Al-Quran ini?

Ingin kubawa semua pembaca ke dalam satu situasi. Cuba bayangkan satu ketika dahulu, Rasulullah sedang duduk bersama dengan sahabat di dalam satu majlis ilmu. Saat itu, Rasulullah yang mulia memperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran yang indah dengan tartil dan juga penghayatan. Sahabat yang mendengar merasa sangat takut, kagum, gembira, tenang dan sebagainya kerana hati dan diri mereka tahu bahawa ayat-ayat suci itu adalah dari satu-satunya Tuhan yang layak disembah iaitu Allah. Penuh dengan petunjuk, amaran, cerita tentang nabi-nabi terdahulu, hari kiamat, perintah, ilmu pengetahuan, hukum-hakam dan sebagainya. Insan-insan terpilih ini dikurniakan dengan nikmat iman dan Islam, serta tidak keterlaluan untuk kuungkapkan di sini iaitu nikmat untuk berjumpa dengan Rasulullah dan mendampingi baginda.

Cinta para sahabat pada Rasulullah mengalahkan cinta pada diri sendiri dan juga dunia keseluruhannya. Setiap perbuatan dan kata-kata dari mulut mulia baginda didengar, dihafal, diamalkan dan disampaikan oleh mereka kepada semua. Kerana kasih dan cinta pada Allah, Rasul dan juga Islam terus mekar di hati para sahabat, maka tersebarlah risalah Islam ke bumi tercinta kita yang kini bernama Malaysia.

SubhanaAllah, tak tergambar rasa hati yang mungkin sedang mencemburu para sahabat ketika itu. As-sunnah adalah pelengkap kepada ayat-ayat Al-Quran yang turun kepada Rasulullah. Cuba kuimbas akan kekasih Allah yang dirindui; wajah bercahaya baginda yang terlalu elok sehingga mengalahkan seri cahaya bulan, jasad mulia baginda yang pernah memerah keringat menolong sahabat-sahabat membuat parit untuk perang Tabuk, darah merah baginda yang mengalir akibat dari perang Uhud, kisah romantik baginda bersama isteri-isterinya, perkataan “Ummati, ummati, ummati” yang terus diucapkan dari mulut mulia baginda ketika nafas yang terhintung menunggu saat dijemput pergi dan lain-lain lagi. Segala-gala yang telah terjadi membentuk sirah, sunnah dan menjadi qudwah hasanah kepada manusia lain yang mengaku dirinya seorang muslim.

Seperti baru sahaja kalimah syahadah meniti bibirku dengan lafaz asyhaduaLailahaillallah, WaasyhaduannaMuhammadurasulullah. Telah ku akui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Alhamdulillah. Alhamdulillah, Alhamdulillah. Diri ini telah dipilih olehMu menerima nikmat iman, nikmat panji Islam sebagai agamaku dan tanggungjawab membawa risalah itu kepada umat manusia keseluruhannya. Namun begitu, apabila dilihat pada situasi yang berlaku pada masa kini; zaman yang dihuni oleh manusia yang tidak dapat kunilai dimanakah letaknya ketinggian kata-kata Allah dan sunnah Nabi dalam diri mereka. Bagaikan sudah terlalu ramai telah bertukar kiblatnya sehingga menjadi hamba kepada bisikan syaitan dan hawa nafsu yang menggoda. Nauzubillahiminzalik…. Apa yang telah terjadi pada semua?

Jika dibandingkan dengan zaman para sahabat dan zaman kini, sungguh jauh bezanya. Kala ini, telah pergi Rasulullah sebagai tanda telah lengkap ajaran Islam yang turun kepada umat manusia? Maka, di manakah letaknya hati yang berkumandang indah dengan zikir, ayat Al-Quran dan selawat pada Nabi? Di manakah kata-kata bijaksana dan rasional tatkala hawa nafsu membawa kaki itu melangkah ke jurang kemaksiatan? Di manakah cinta pada akhirat tatkala dunia dikejar bagaikan diri ini tidak akan mati dan ditimbang amalannya di akhirat nanti? Sungguh sahabatku, di manakah ingatanmu pada Allah tatkala dirimu sedang diuji dengan pelbagai masalah? Juga, di manakah hatimu mencari contoh dan teladan mengharungi hidup sebagai hamba Allah selain Rasulullah yang mencintai kita?

Ketahuilah olehmu, Rasulullah pernah hadir di tengah-tengah kemelut kerosakan umat ketika Zaman Jahiliyah itu dengan membawa kata-kata Allah, wahyu dari Yang Esa iaitu Al-Quran. Dan ayat pertama yang turun ialah:

“Iqra bismirabikalazikhalak” (Al-‘Alaq:1).

Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.

Sungguh, wahai sahabatku. Kembali kepadaNya. Jejaklah langkah Rasulullah. Baca Al-Quran dan maksudnya. Telusuri sirah dan sunnah baginda. Amalkan dan perjuangkannya. Demi cinta pada Allah dan rasulNya. Berusaha mengumpul permata pahala dalam setiap perbuatan dan kata. Semoga dengan ini akan membuah istana di taman-taman syurga.

Dan kini, dirimu bergelar tentera Allah yang sedang berjuang di medan ilmu. Andai hati ini berat untuk terus melangkah ke medan kuliah dan juga kelas tutorial, pohonlah pada Allah yang Maha Mengetahui agar meringankan hati dan langkahmu untuk terus berjihad mencari ilmuNya.

‘Sungguh wahai Allah, diri ini sedang menyahut cabaran wahyuMu iaitu “Iqra bismirabikalazikhalak”. Semoga Engkau menyingkap kebesaranMu dalam setiap ilmu yang kutimba. Dan akan ku jejak sunnah nabi untuk berjuang di bumiMu dengan ilmu yang ada. Ameen, ya Rabbana.

Wallahu’alam.

No comments: