Bismillahirahmanirahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Kerana kurniaanNya, diri ini masih menghirup udara segar di malam hari yang indah. Baru tadi cuba ku penuhi permintaan ukhti Mila yang dirindui. Walaupun hanya mengulang hafalan Surah Al-Insan kepadanya melalui telefon, semoga terurai rindu ukhti padaku. Doaku agar dirimu sentiasa dirahmati Allah. Tika diri juga merindui senyuman manismu.
Cuba kuhiburkan hatimu selepas SMS yang menyatakan rindunya untuk berjumpa dan mendengar bacaan Al-Quran dariku. Semoga sampai hajatmu walau dengan sedikit usaha dariku....
Sungguh wahai ukhtiku yang indah dengan senyummu... Ketahuilah olehmu, Al-Quran itu adalah kata-kata Allah yang akan menyentuh hati-hati yang dipilih olehNya. Maka, panjatkan rasa syukur pada Allah, tika hatimu merasai akan kebesaran dan keagunganNya dari kalimah-kalimah cinta Allah itu. Juga dengan kurniaan hidayah dan iman yang tiada taranya.
Dan kala ini, ku mengimbas kembali kisah tempoh hari yang bisa sahaja mengukirkan senyuman di bibirku.
Tatkala ketika itu, diri diuji Allah dengan perasaan 'inferior' atau rendahnya diri ini berbanding dengan orang yang lain. Dipersoalkan samada menjadi kesalahanku di atas usaha yang sangat kurang dibandingkan dengan orang lain. Atau mungkin kerana iman yang mula lemah menjadikan hari-hari yang dilalui tidak seindah mana. Atau mungkin kerana diri ini tidak lagi lanyak mendapat perhatian atau mungkin sedikit kasih sayang dan juga ampunan dari Tuhan di atas segala kesalahan yang pernah dilakukan. Diri mula melangkah lemah dan pada malam itu juga ditakdirkan ada kelas Quran yang perlu dihadiri.
"Kakak, bawa Luqman ke kedai boleh?" Pinta adik lelakiku yang sedang belajar di tingkatan 4.
Dipandang wajah adik yang bercermin mata dan lesung pipit di sebelah kiri itu. Cuba menjawab dengan hati yang sangat berat untuk berbuat apa-apa. Tika diri tahu akan hakikat jika tidak mendapat kasih dan cinta Allah, maka, apakah ertinya hidup di dunia ini?
"Ok, tunggu kakak siap sekejap ya..." Ku jawab dengan lembut cuba untuk mencari sedikit ruang menyembunyikan perasaan sedih itu.
Selepas mengenakan tudung, menyarung stokin tangan dan kaki, diri teringat tentang tugasan untuk menfotostat bahan kelas Al-Quran untuk semua sahibah di kelas. Kucapai beberapa kertas yang penting dan mengambil kunci kereta mama. Mama tidak ketinggalan memesan beberapa barang untuk kegunaan rumah.
"Luqman.... kakak dah siap." Ku melangkah menyarung kasut hitamku dan menghidupkan enjin Satria Neo hitam yang banyak berjasa pada tuannya. Perjalanan yang suram, bersama sayup-sayup enjin kenderaan yang lain. Walaupun nasyid kegemaran adik dipasang dengan kuat dengan bass yang tinggi namun, ia masih lagi tak mampu meringankan hati yang lara... tika diri sedang sayu dibawa murung sendiri...
Sampai ke kedai pilihan, dengan kaki yang longlai melangkah masuk ke kedai fotostat yang terletak di kedai bersebelahan.
"Minta fotostat 20 salinan untuk setiap helai" Muamalah dimulakan dengan lafaz bismillah di dalam hati. Bertemankan adik di sisi, diri terasa selamat namun kegusaran itu masih belum hilang.
Namun begitu, seperti Allah menghulurkan hadiah teristimewa buat diri hambaNya.... kala itu berkumandang indah ayat-ayat suci Al-Quran yang sangat dikenali, Surah Al-Baqarah oleh Sheikh Saad Al-Ghamidi dari speaker computer yang berdekatan mula menyusup indah membelai diri dan hati yang lara.
'Sungguh indah ayat-ayat ini, wahai Allah'. Hati mula merasa ringan walaupun dada merasa sebak. Cuba kutahan air mata yang mula menakung. Telinga mengamati bacaan dan bibir cuba mengikut dengan hafalan yang ada di dalam dada.
"Kakak, jom balik." Suara adik menegurku dan melihatkan kepada bahan yang telah siap difotostat, muamalahku di sini telah selesai.
"Luqman.... kakak macam taknak balik lagi." Cuba ku rayu dengan suara yang lembut walaupun hakikatnya keperluan lebih mendesak untuk segera pulang ke rumah... Walaupun ada sahaja bacaan lengkap Al-Quran oleh sheikh itu di dalam telefon dan komputer...
"Kakak..."
"Ok, ok". Tangan membuka pintu keluar dan kaki melangkah kearah kereta. Hati dan akal ligat berbicara sendiri sedang tangan memegang stereng kereta dengan kemas.
'SubhanAllah, Kau masih kurniakan nikmat iman dan Islam padaku... hati yang masih rindukan Al-Quran... dan ayat-ayat indah itu..... Terima kasih Allah... Alhamdulillah.... Astaghfirullah.. Ana mohon ampunanMu.. Kadang-kadang ku terlupa yang Engkau Maha Pengampun dan pintu taubat masih terbuka dengan seluas-luasnya. Engkau jua yang telah menetapkan setiap orang dengan derajatnya yang tersendiri. Walaupun ku tidak berharga di sisi manusia.. ku tahu ku berharga di sisiMu... kerana ku adalah hambaMu... dan ku pohon agar sentiasa dalam pemeliharaanMu..'
Hati yang berat menjadi ringan dan senyuman itu mampu terukir di bibirku. Mengingatkan hatiku ini masih dipilih Allah untuk merasai keindahan ayat-ayat cinta-Nya... seperti hadiah teristimewa buat diri yang lara...
Tiba di rumah, disambut oleh adik yang dikasihi, 'murabbiyah in making',
"Kakak, kenapa kakak macam happy je?"
Oh, pertanyaan itu....
"Rahsia." Jawapan yang kuberi bersama senyuman di bibir masih tidak memuaskan hatinya. Namun begitu, pertanyaan itu akhirnya kujawab juga di atas desakan-desakan yang tak pernah mengenal erti mengalah.
Walaubagaimanapun, andai dirimu merasai apa yang kurasa.... Indahnya dunia ini.... walau diuji dengan kasih dan sayangNya...
Wallahua'alam.
No comments:
Post a Comment