Bismillahirahmanirahim.
Alhamdulillah, ana kembali bersama karangan bunga kata untuk menghiasi taman cyber ini. Syukur pada Allah dengan nikmat-nikmat yang tidak terhingga memungkin ana untuk melangkah mencari cintaNya. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, pada ahlul bait dan juga sahabat baginda, tabi' tabiin, ikhwah wa akhwat dan semua umat Islam keseluruhannya. Sejujurnya, ana cuba untuk menyusun kata-kata, kala hati sebenarnya dilanda rindu pada akhwat-akhwat yang jauh di mata. Mungkin rindu itu sedikit terubat dengan sms dan juga telefon, tetapi rindu itu masih terpendam di dalam hati. Walaubagaimanapun, syukur ku jua pada Allah, kerana diri ini diberikan nikmat merasai izzah dan juga manisnya ukhwah keranaNya. Semoga dirimu sentiasa dalam naungan kasih dan cinta Allah. Dan ana doakan agar Allah pertemukan kita kembali. Ameen.
Kini, ana persembahkan Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 4. Sebelum itu, pastikan antum telah membaca Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 1, Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 2 dan juga Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 3.
Semoga Allah redha dengan segala usahaku dan usahamu mencari cintaNya. Selamat membaca.
Kini, ana persembahkan Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 4. Sebelum itu, pastikan antum telah membaca Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 1, Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 2 dan juga Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 3.
Semoga Allah redha dengan segala usahaku dan usahamu mencari cintaNya. Selamat membaca.
Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 4
Selepas selesai, adik-adik hafizah kembali untuk menghafal Al-Quran untuk seketika dan aktiviti gotong-royong menyusul. Selepas itu, semua mujahidah comel dan serikandi sejati bersedia untuk solat Asar secara berjemaah. Saf-saf diatur dan semua lengkap bertelekung. Walaubagaimanapun, terdapat sela masa yang panjang sebelum masuk waktu solat dan adik-adik hafizah mula bermain dan berbual. Beberapa orang fasilitator cuba mengawal keadaan yang mula bising. Setelah semua kembali senyap, Iqra mengambil peluang untuk memberi kata-kata motivasi pada semua adik-adik hafizah.“Ok. Ustazah minta perhatian antunna semua.” Iqra cuba mengambil perhatian adik-adik hafizah. Semua mata-mata yang ada di situ melihat ke arah Iqra. Sungguh, sifat pemalu Iqra terkadang diuji walaupun hanya berhadapan dengan adik-adik kecil. Sejujurnya, Iqra agak sukar melihat seseorang di wajah terlalu lama. Dirasakan mata-mata ini seperti mampu menembusi hati kecilnya kerana mata itu bagaikan jendela kepada hati. Seseorang itu boleh membaca orang lain dengan hanya melihat matanya berbekalkan sifat empati yang ada. Namun dibuang jauh-jauh perasaan malu itu kerana di hadapannya hanyalah adik-adik hafizah dan juga para ustazah dan bukannya orang asing ataupun lelaki ajnabi.
‘SubhanAllah. Kau berilah kekuatan pada diriku ini, Allah.’ Doa Iqra di dalam hati sebelum dia memulakan sedikit pengisian buat semua peserta yang berada di hadapannya.
“Bismillahirahmanirahim. Sekarang ini, ustazah minta semua orang berzikir. Boleh?” Pinta Iqra kepada semua yang berada di situ. Walaubagaimanapun, permintaan itu disambut dengan suasana yang sangat hening kerana adik-adik hafizah yang malu untuk mengeluarkan suara.
“Hmm… Bila ustazah minta berzikir, takde suara pun yang keluar. Kalau bercakap, SubhanaAllah, Allah sahaja yang tahu betapa kuatnya suara antunna semua. Takpelah. Ustazah ajarkan satu zikir yang baru. Nak tak?”
Tanpa menunggu jawapan dari semua peserta, Iqra meminta semua mengikutnya berzikir;
“Ya Allah, Ya Allah, Ya Allahu Ya Rahman,
Ya Rahman, Ya Rahman, Ya Rahmanu Ya Rahim,
Ya Rahim, Ya Rahim, Ya Rahimu antallah,
Lailahailallah, Muhammadu rasulullah.”
Zikir diulang beberapa kali sehingga semua dapat menghafalnya.
‘Alhamdulillah. Sekarang, adik-adik hafizah dalam keadaan tenang untuk mendengar sedikit peringatan daripadaku. Semoga Engkau permudahkan urusanku ini, Allah.’ Syukur Iqra di dalam hati dan dengan ini Iqra mengambil kesempatan untuk memberi sedikit pengisian untuk menyediakan adik-adik hafizah yang bakal menghabiskan masa di rumah untuk tempoh tiga hari sebelum kembali ke kem hafazan.
“Alhamdulillah, Alhamdulillah, alhamdulillah. Syukur pada Allah, kita telah habiskan aktiviti kemahiran kita tadi. Sementara menunggu untuk solat Asar, ana ingin memberi sedikit peringatan kepada antunna semua berkaitan dengan Al-Quran dan mengulang bacaan Al-Quran yang telah dihafal.” Iqra memulakan bicara pada petang yang indah itu. Bersama sedikit catatan dari pembacaan dan talaqqi Al-Qurannya dahulu, Iqra berharap agar segala ilmu yang dihulurkan ini diredhai Allah dan semoga menjadi saham akhiratnya kelak.
“Sebelum itu, ustazah nak tanya satu soalan. Apakah Al-Quran bagi antunna semua? Ok, sesiapa yang nak jawab, sila angkat tangan.” Tanya Iqra kepada adik-adik hafizah yang berada di hadapannya yang telah memakai telekung putih berada dalam keadaan tenang dan ceria dengan wajah yang bercahaya dengan wuduk.
Seorang adik hafizah mengangkat tangannya.
“Ok, Wani. Tafadhali.” Iqra menggalakkannya untuk menjawab.
“Al-Quran itu bagaikan surat cinta. Sebabnya, kalau kita tak baca, akan rasa rindu pada Al-Quran. Kalau tidak membacanya, kita akan rasa seperti kehilangan…. Jadi, terasa seperti hendak baca Al-Quran selalu.” Ujar Wani.
Nafasnya bagai terhenti dan dada Iqra seperti menjadi sesak seketika. Tiada kata-kata yang terkeluar tatkala hatinya berbicara;
‘SubhanAllah, terima kasih di atas kurniaanMu. Ada sahaja di luar sana hamba-hambamu yang merasai cinta pada kalamMu. Maha suci Allah, kurniakanlah nikmat-nikmatMu kepada hambaMu yang kerdil ini.’ Iqra memanjat syukur dan harapan pada Allah kerana ternyata adik-adik ini terpilih di kalangan hamba-hambaNya dalam perjuangan menghafal Al-Quran.
“Alhamdulillah, anti telah merasai nikmat membaca Al-Quran.” Ujar Ustazah Huda kepada semua.
Iqra menarik nafas panjang kembali mencari kekuatan dalam dirinya untuk meneruskan bicara. Tangannya erat memegang mushaf Al-Quran kesayangannya dan buku catatan yang ada.
“Alhamdulillah. Betul kata Wani dan Ustazah Huda. Al-Quran itu adalah mukjizat daripada Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. Al-Quran itu bagaikan surat cinta dari Allah. Pernah Al-Hasan Al-Basri berkata, “Sesungguhnya orang terdahulu dari kamu menganggap Al-Quran itu sebagai surat-surat yang dikirimkan Allah Ta’ala kepada kamu. Maka mereka sibuk menelitinya di waktu malam dan melaksanakan permintaannya di waktu siang”. Iqra mengungkap kata-kata daripada Hasan Al-Basri, tokoh Islam terkenal di zaman Khalifah Umar Al-Khattab
“Jadi, daripada kata-kata tadi, kita boleh simpulkan betapa berharganya nilai ayat-ayat Allah S.W.T pada para sahabat. Mereka semua ini mempunyai cinta pada Allah yang sangat tinggi. Kerana itu, dirasakan kalimah-kalimah suci itu bagaikan kalimah-kalimah cinta dari Allah. Cinta pada Al-Quran adalah sangat berkaitan dengan cinta pada Allah. Sahabat ketika itu memahami dan menghayati isi kandungannya pada malam hari dan pada waktu paginya diamalkan dalam kehidupan harian.” Iqra berhenti dan melemparkan senyuman pada semua adik-adik hafizah yang khusyuk mendengar. Melihatkan mereka masih memberi perhatian, Iqra meneruskan kata-katanya.
“Al-Quran ini adalah mukjizat Rasulullah yang sangat hebat. Ianya diturunkan dengan bahasa Arab yang sangat indah, sehingga ke hari ini, tiada sesiapa yang dapat mencipta ayat-ayat seperti Al-Quran. Selain itu, isi kandungannya yang lengkap merangkumi banyak benda. Terdapat kisah-kisah Nabi, hukum-hakam, kejadian tentang hari kiamat, syurga dan neraka, ilmu pengetahuan, dan banyak lagi. Ilmu sains juga pun ada.” Iqra berjaya mewujudkan tanda tanya dalam diri adik-adik hafizah tatkala ada yang berkerut apabila Iqra menyebut tentang ilmu sains di dalam Al-Quran.
“Kenapa ustazah kata di dalam Al-Quran ada sebut tentang ilmu sains?” Tanya Iqra kepada semua. Keadaan hening sebentar kerana tiada sesiapa yang berani menjawab.
“Takpelah, biar ustazah jawabkan. Contohnya dalam Al-Quran ada menyebut tentang matahari, bumi, bagaimana bayi membesar di dalam rahim ibu, tentang besi, lebah dan sebagainya. Semua penemuan-penemuan ini hanya dibuat selepas wujudnya ilmu-ilmu sains, sedangkan Al-Quran telah menjelaskan semua ini sejak 1400 tahun yang lalu. Terbukti bahawa Rasulullah tidak akan mengetahui semua perkara ini melainkan kata-kata ini adalah daripada Allah S.W.T.“ Jelas Iqra dengan panjang lebar.
“Apapun, secara umumnya, penemuan kajian sains pada masa kini tidak pernah bercanggah dengan Al-Quran. Sebaliknya, ia menyokong fakta yang terdapat di dalam Al-Quran itu. Maka, terserlah keagungan Al-Quran itu yang mana turunnya ayat-ayat ini dengan kurnian Allah S.W.T Yang Maha Mengetahui.” Ujar Iqra lagi.
“Walaubagaimanapun, ada sesuatu yang perlu untuk ustazah ungkapkan di sini, iaitu tentang kepentingan untuk mengulang hafalan Al-Quran. Baiklah, kenapa kita kena mengulang hafalan al-Quran?” Tanya Iqra kepada adik-adik hafizah mengembalikan mereka ke tujuan utama penyampaiannya.
“Supaya kita tidak lupa apa yang kita sudah hafal.” Jawab Adik Afifah yang berada di hadapan Iqra.
“Ya, kita kenalah muraja’ah hafalan ayat Al-Quran selalu agar ingatan kita kuat dan kita tidak melupakannya.”Tambah Iqra lagi.
“Muraja’ah?” Tanya Afifah.
“Muraja’ah atau mengulang hafalan adalah sangat penting. Seperti hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Sya’ari r.a. daripada Nabi S.A.W bersabda:
‘Peliharalah baik-baik Al-Quran ini, maka demi jiwa Muhammad yang berada digenggamanNya, bahawa Al-Quran itu lebih mudah terlepas daripada seekor unta dari tambatan.’
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Menghafal Al-Quran adalah umpama menangkap haiwan. Apabila haiwan itu telah ditangkap, kita kenalah mengawasinya agar tidak terlepas daripada sangkarnya. Dan bila menangkap haiwan yang lain, haiwan yang telah ditangkap sebelum ini perlu dipastikan selamat dalam pengawasan kita. Begitu juga dengan hafalan. Hafalan itu mudah hilang sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh untuk mengikatnya."
"Dalam menghafal Al-Quran, apabila kita menumpukan pada hafalan yang baru, ayat yang telah dihafal sebelum ini akan menjadi samar-samar dan kemungkinan besar ia akan terus hilang dari ingatan. Apa yang hendak ana katakan di sini ialah proses mengulang itu sangat penting untuk mengekalkan hafazan kita. Dan sekiranya kita dilupakan maka, untuk mendapatkannya kembali mungkin sukar. Kesimpulannya, kita kena mengulang untuk mengelakkan daripada lupa."
“Sebenarnya, kita boleh mengulang hafalan kita pada masa-masa terluang; contohnya di dalam kereta, sedang mengemas rumah, memasak, berjalan, dan sebagainya. Untuk menguatkan hafalan juga, cubalah kita bawa hafalan ke dalam solat khususnya pada waktu Qiamulail seperti yang telah ustazah selalu katakan pada semua. Pada waktu Qiamulail atau sepertiga malam itu, betapa indahnya kalau kita dapat membaca Al-Quran dengan baik dan juga dengan penghayatan. Pada ketika itu, kita alunkan ayat-ayat al-Quran itu untuk didengari oleh Allah dan juga para malaikat yang ada.” Iqra berhenti seketika kala hatinya berbunga mengingatkan indahnya malam yang diisi dengan solat sunat dan juga bacaan Al-Quran. Masa yang sangat istimewa buat hamba-hamba Allah yang merindukan ruang untuk berdua-duan dengan Tuhannya. Iqra menyambung lagi kata-katanya,
“Satu lagi hadis yang ingin ana bawakan disini:
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah S.A.W:
‘Telah didedahkan kepadaku semua ganjaran umatku sehingga yang sebesar lidi penyapu sekalipun yang dikeluarkan dari masjid. Dan didedahkan jua kepadaku semua dosa-dosa umatku, maka aku tiada melihat suatu dosa yang lebih besar daripada satu surah dari Al-Quran, atau suatu ayat daripadanya yang telah dihafalnya oleh seseorang, kemudian dilupakannya pula.’
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
“Jadi, sangat besar dosanya sekiranya kita mengabaikan hafalan atau lupa. Oleh itu, kita mesti cuba sedaya upaya untuk mengekalkan hafalan kita. Hakikatnya, lupa itu adalah tabiat semula jadi manusia. Sekejap ingat, sekejap lupa. Sebab itu manusia dinamakan insan yang berasal daripada kata nisyan ataupun sifat lupa. Maka, kita kena sentiasa mengulang hafalan supaya ia ada dalam diri kita. Dan selepas ini, antunna akan balik rumah dan kita akan jumpa hari Isnin hadapan, Betul tak? Tanya Iqra.
Semua adik-adik hafizah mengangguk tanda ya.
“Jadi, ustazah minta semua mengulang hafalan di rumah, boleh?” Tanya Iqra lagi.
“InsyaAllah”. Jawab semua adik-adik hafizah. Iqra tersenyum dan menambah kata-katanya;
“Serikandi-serikandi semua yang ada di sini… ana ucapkan salam mujahadah dan selamat bercuti. Ana tahu bahawa dalam proses menghafal ini perlukan istiqamah dan juga mujahadah yang sangat tinggi. Ana doakan juga agar segala urusan dan hafalanmu dipermudahkan oleh Allah. SubhanAllah, antunnnalah yang bakal menjadi Hamilul Quran ataupun Pembawa Al-Quran nanti. Teruskan dengan cita-cita antunna untuk mempunyai Al-Quran di dalam diri. Semoga dengan ini, Allah akan meletakkan antunna pada kedudukan yang tinggi dan pahala yang sangat banyak. Ameen, ya rabbana.” Iqra mengaminkan doanya.
‘Semoga cahaya Al-Quran itu menerangi diriku dan dirimu jua.’ Tambah Iqra di dalam hati.
Jam menunjukkan bahawa lagi 2 minit akan masuk waktu solat Asar. Iqra menyudahi kata-katanya pada petang itu;
“Sebelum itu, ana hendak antunna ikut ustazah cakap. Saya sayang Allah, saya sayang Rasul, saya sayang Al-Quran.”
“Saya sayang Allah”
“Saya sayang Rasul”
“Saya sayang Al-Quran”.
Sekalian adik-adik hafizah mengikut kata Iqra dengan semangat dan senyuman di bibir. Dan kala itu, terpatri sudah satu ungkapan yang menjadi pegangan adik-adik hafizah. Iqra sengaja meminta mereka melaungkan ungkapan itu. Semoga ia menjadi semangat dan juga satu ingatan untuk meluruskan niat dalam penyertaan mereka di kem hafazan ini. Diharapkan juga agar ia terus berterusan sehingga bila-bila masa sahaja.
“Maka, antunna kena buktikan pada Allah, rasul dan juga pada semua yang antunna sayang pada Allah, rasul dan juga Al-Quran. Di antaranya ialah dengan..? ” Tanya Iqra pada adik-adik hafizah.
“Menghafal Al-Quran”. Jawab semua adik-adik hafizah.
“Ya, Alhamdulillah.” Jawab Iqra tanda puas hati. Alhamdulillah, tercapai objektif pengisian Iqra pada petang itu. Kala itu, semoga apa yang disampaikan oleh Iqra dapat diterima oleh semua. Juga doanya agar dirinya juga terus bermujahadah dalam perjuangan yang sama dan mengamalkan kata-katanya. Sebagai seorang daie, yang meletakkan kata-kata Allah di tempat yang paling tinggi, maka dirinya sentiasa diingati dengan Surah As-Saff, ayat 2 dan 3;
‘Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mangatakan apa yang tidak kamu perbuat?’
‘Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan’
(Surah As-Saff: 2-3)
Azan berkumandang tanda masuk solat Asar. Semua bersedia untuk solat. Mujahidah-mujahidah comel; Anis dan Fatimah mengingatkan Iqra tentang janjinya untuk membaca mathurat di samping mereka selepas itu.
Iqamat dilaungkan dan takbir diangkat. Solat Asar dikerjakan secara berjemaah berimamkan seorang penduduk dari Taman Kembangan Seri itu. Selepas selesai solat Asar, buku kecil Mathurat diedarkan kepada semua dan Mathurat dibaca secara beramai-ramai.
Usai sahaja membaca doa, adik-adik hafizah berebut menyalam semua ustazah-ustazah. Kata-kata salam dan juga maaf bertukar ganti, juga diiringi doa agar pulang ke rumah dengan selamat. Ramai ibu-bapa yang mengambil anak-anak mereka pulang dengan kereta dan juga motor. Tak ketinggalan juga ada yang berjalan kaki pulang kerana rumah mereka dekat dengan Surau Al-Firdaus itu. Setelah beberapa lama, hanya tinggal Iqra dan juga beberapa adik hafizah lain yang belum balik ke rumah kerana ibu bapa mereka masih dalam perjalanan ke situ. Iqra menunggu bersama mereka agar keselamatan mereka terjaga sementara adik-adik ini sampai ke pangkuan ibu bapa mereka.
Di sela waktu itu, Iqra mengeluarkan mushaf kesayangannya dan mengambil kesempatan itu untuk tilawah Al-Quran. Hatinya bermonolog sendiri ketika dicapai Al-Quran;
‘SubhanAllah…. Alhamdulilah, Engkau berikan ana sela masa ini untuk membaca Al-Quran di kala kesibukan ini. Dan semoga Engkau beri kesabaran pada diri adik-adik ini menunggu untuk pulang ke rumah.’ Doa Iqra di dalam hati. Dirinya dirasakan bertuah kerana ada sedikit ruang untuk membaca Al-Quran. Dia telah meletakkan target untuk menghabiskan satu juz sehari. Pohonnya jua agar dirinya terus istiqmah menyempurnakan bacaan Al-Qurannya.
Di kala ayat-ayat suci itu memenuhi ruang surau, adik-adik hafizah yang ada mendengar bacaan Iqra dengan senyap.
Tidak lama kemudian, sebuah kereta Kancil berwarna putih masuk ke perkarangan surau Al-Firdaus. Ayah Ain dan juga Kamilah sudah sampai rupanya. Kedua-dua adik hafizah itu memberi salam pada Iqra dan masuk ke dalam kereta. Iqra membalas lambaian mereka dan dia sendiri bersedia untuk pulang ke rumah di Bangi. Perjalanan dari Serdang ke Bangi mungkin akan mengambil masa kerana waktu-waktu ini, ramai yang baru habis kerja.
Walaubagaimanapun, Iqra terus melangkah ke kereta Iswara merahnya dengan hati yang lega kerana semua adik-adik hafizah telah selamat di samping ibu bapa masing-masing. Sekilas pandang, kereta merah itu seperti telah lama dimamah usia. Tetapi, kereta merah itu jugalah yang setia menjadi teman seperjuangannya dalam perjalanan liku-liku dakwah sehingga mendapat gelaran ‘Unta Merah’ daripada para sahabiah yang lain. Terlalu banyak memori indah yang tercipta dengannya.
Enjin dihidupkan dan doa menaiki kenderaan dilafazkan. Harapan Iqra terus berbunga dengan doa agar hari esok lebih baik daripada hari ini. Dengan lafaz bismillah, unta merah dibawa pergi oleh serikandi pencinta kalam furqan itu bersama keyakinan dan juga harapan yang menjulang tingg; terus melangkah mencari cinta dan redhaAllah.
bersambung....