Thursday, April 15, 2010

Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009; episod 3

Bismillahirahmanirahim

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, diri ini masih bernafas menghirup udara segar kurniaanNya. Kala ini, kesibukan mula terasa kerana ana bakal menghadapi final exam minggu hadapan. Doakan agar segala urusan dipermudahkan oleh Allah. Maka, ana cuba sedaya upaya mencari ruang masa untuk menghiaskan karangan bunga kata di taman cyber ini. Namun begitu, cuba ana sisipkan disini sambungan kisah tarbiyah dari kem hafazan episod 3. Sebenarnya, karangan ini telah lama ana gubah, cuma menunggu masa untuk ana 'publish'kan di sini. Sebelum itu, pastikan anda telah membaca kisah tarbiyah dari kem hafazan 2009 episod 1, dan kisah tarbiyah dari kem hafazan 2009 episod 2. Selamat membaca.

Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan Episod 3


Masa berlalu meninggalkan semua. Adik-adik hafizah terus bermujahadah dalam hafalan Al-Quran mereka. Terkadang itu, mata-mata adik-adik hafizah yang menatap Iqra menunjukkan keletihan dan kesusahan. Iqra hanya mampu menghulurkan senyuman tabah buat penguat semangat. Sungguh, Iqra juga merasai kesusahan untuk menghafal kerana dia juga dalam perjuangan yang sama. Kala itu, ada sahaja wajah yang kemurungan apabila Iqra meminta agar mentasmi’ bacaan sekali lagi kerana hafalan yang tidak lancar. Sehingga kadang-kadang ia menyeababkan terbit air mata Iqra kerana turut merasakan kesusahan itu dan siapalah dirinya untuk menghafalkan ayat-ayat suci ini untuk adik-adik ini kecuali dengan usaha sendiri.

‘Wahai sayang-sayang ana sekalian. Teruslah berusaha, semoga Allah redha dengan usahamu’. Doa Iqra di dalam hati. Adik-adik hafizah mempamerkan gelagat masing-masing dalam menghafal. Ada yang meminta sahibah di sebelah mentasmi’ bacaan, ada juga yang membaca Al-Quran dengan berlagu untuk menguatkan lagi ingatan. Ada juga yang terkadang berselang-seli membaca bahan lain untuk mengurangkan mengantuk. Pihak penganjur kem hafazan juga menyediakan kismis untuk menghilangkan rasa mengantuk para peserta. Sehinggalah sampai satu tahap, otak masing-masing tidak mampu menerima hafalan yang lain dan jiwa kebudak-budakan mula memberontak untuk menunjukkan dirinya.

Waktu menunjukkan pukul 12.15 tengah hari. Pada pukul 12.30 tengah hari, semua akan berhenti rehat dan Qailullah. Masih ada masa 15 minit lagi berbaki dan ternyata, ramai adik-adik hafizah yang kepenatan dan letih. Seorang adik hafizah menghampiri Iqra dan membuat satu permintaan.

“Ustazah, ceritalah satu cerita… Bolehlah ustazah…” Pujuk rayu Syafiqah. Ketika itu, adik-adik hafizah yang lain juga meminta Iqra untuk bercerita. Mungkin sudah menjadi satu kebiasaan untuk Iqra bercerita kepada kepada mereka apabila semua keletihan. Masalahnya, ada ketika Iqra sendiri tiada idea untuk bercerita tentang apa. Iqra memandang ke arah ustazah-ustazah yang berada di halaqah hafazan masing-masing. Ada yang menghulurkan senyum simpati kepada Iqra kerana perlu melayan kerenah adik-adik hafizah dengan permintaan masing-masing.

Iqra menarik dan melepaskan satu nafas panjang melihatkan adik-adik hafizah bersama permintaan mereka. Hatinya bertanya-tanya sendiri,

‘SubahanaAllah, adik-adik ini hendak ana bercerita lagi…. Nak cerita apa, ya?’

Saban hari Iqra sudah bercerita tentang kisah-kisah nabi dan juga beberapa kisah sahabat yang boleh diambil teladan dan juga pedoman daripadanya. Selain daripada itu, ia adalah salah satu usaha untuk meningkatkan minat adik-adik hafizah dalam membaca dan mentadabur Al-Quran kerana kisah-kisah ini terdapat dalam Al-Quran. Contohnya kisah Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Yusuf, Nabi Ayub, Nabi Khindir, Nabi Nuh dan sebagainya. Tidak ketinggalan juga, kisah Ghulam, atau nama lainnya Wada’ yang juga dikenali dengan kisah Ashabul Ukhdud yang terdapat di dalam Surah Al-Buruj. Maka, setiap kali kisah-kisah ini diceritakan, Iqra pasti mengaitkannya dengan ayat-ayat di dalam Al-Quran. Kisah-kisah sahabat, tabi’tabi’in juga diselitkan sekali untuk menjadi pengajaran pada adik-adik hafizah semua.

“Oklah, ustazah akan cerita kisah Nabi Sulaiman dan Balqis. Al-kisah bermula apabila burung hud-hud terbang ke sebuah negara iaitu negara Saba’ yang ditadbir oleh seorang ratu bernama Balqis……” Iqra bercerita sambil didengari oleh adik-adik halaqahnya. Kadang-kadang, adik-adik hafizah dari halaqah hafazan yang lain turut serta dalam sesi cerita Iqra. Kesabaran Iqra kadang-kadang teruji dek kerana sifat ingin tahu adik-adik hafizah untuk mengetahui setiap satu perkara dengan terperinci. Iqra hanya mampu berdoa di dalam hati agar dikurniakan ketabahan dan ilmu pengetahuan buat dirinya yang kerdil ini.

Selepas cerita tamat, Iqra menerangkan kepada mereka semua tentang pengajaran yang boleh diambil daripada kisah tersebut dan mengungkapkan di mana kisah ini disebut di dalam Al-Quran. Contohnya, kisah tentang Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis ini ada disebut dalam surah An-Naml, surah ke-27 ayat 20 hingga ayat 44.

“Sungguh indah al-Quran ini... Apabila kita kesedihan atau kesunyian, ada sahaja kisah yang boleh dibaca daripada kalam Allah ini untuk menghiburkan hati kita. Jadi, kita kenalah baca Al-Quran selalu, walau di mana-mana sahaja. Mukjizat Al-Quran ini perlu dipegang dengan baik dan hendaklah selalu diulang supaya ingat. Lebih-lebih lagi ketika solat.” Ujar Iqra kepada adik-adik hafizah semua dengan harapan agar mereka dapat melakukannya secara praktikal.

Dalam kem ini, Iqra cuba memperkenal dan menggalakkan adik-adik hafizah untuk Qiamulail sebagai cara untuk menguatkan hafalan dengan membawa hafalan itu di dalam solat. Pesta Qiamulail yang bermula selepas waktu Isyak yang sangat ditunggu-tunggu dan diraikan oleh hamba-hamba Allah yang rindukan waktu pertemuan itu. Masa yang sangat indah untuk mengalunkan ayat Al-Quran yang didengari oleh Allah dan juga malaikat. Malam yang menjadi saksi kepada air mata dan juga ranjutan rindu insan-insan yang mencari cinta Allah.

Tanpa disedari, telah sampai waktu untuk rehat, solat Zohor dan makan tengahari. Qailullah atau tidur tengah hari sebelum zohor mengikut sunnah nabi. Semoga dengan ini, membolehkan hamba-hamba Allah berjaga di waktu malam mengerjakan Qiamulail.

Adik-adik hafizah ada yang hendak tidur, ada yang bermain dan ada juga yang membaca buku. Sekali lagi, Iqra menjadi tumpuan adik-adik Hafizah.

“Ustazah, nanti baca mathurat lepas Asar sebelah Anis, ya?” Pinta Anis yang comel berbaju merah jambu.

“Saya pun sama.” Sambung Fatimah yang berwajah indah dengan senyuman.

“Ok. Nanti kita baca sama-sama. Bukan ke antunna semua sepatutnya tidur? Nanti letih, ustazah tak tahu.” Iqra memujuk semua supaya tidur.

“Ustazah tak tidur… Anis pun tak nak tidur.” Jawab Anis dengan suara kecilnya.

Iqra tidak tidur kerana terdapat tugasan yang perlu disiapkan dan ia memerlukan Iqra membuat sedikit pembacaan. Adik-adik hafizah yang lain berumur lingkungan 10 hingga 16 tahun berkumpul di hadapan Iqra dan masing-masing bercerita dan tidak kelihatan sedikit tanda-tanda untuk tidur.

“Antunna semua tidurlah... Petang nanti kita ada aktiviti lagi. Takut antunna semua letih.” Pujuk Iqra lagi.

“Petang ni kita buat apa, ustazah?” Tanya Fatimah.

“Hmm… Rahsia...” Iqra menjawab dengan senyuman panjang di bibir.

“Kenapa rahsia?” Tanya Anis dengan dahi yang berkerut.

“Sebab rahsialah tak boleh beritahu.” Ternyata jawapan yang diberi menyebabkan dahi Anis semakin berkerut dan ditambah pula dengan mulut yang muncung tanda dirinya tidak berpuas hati.

Iqra tertawa kecil melihat gelagat Anis. Hati Iqra terus berbunga dengan telatah adik-adik kecil.

Tiba-tiba, Iqra dipanggil oleh Yani, seorang peserta dalam halaqah hafalannya.

“Ustazah, nyanyikanlah satu lagu untuk kitorang tidur.” Permintaan yang pelik diajukan pada Iqra.

“Nyanyilah ustazah….” Rayu Khadijah, Mazni, Akmar, Syafiqah dan juga Yani.

“SubhanAllah. Tidurlah antunna semua. Nak ustazah dodoikan juga ke?” Tanya Iqra sebagai satu usaha untuk melepaskan dirinya daripada terpaksa menyanyi di hadapan adik-adik hafizah. Namun, adik-adik hafizah terus membuat permintaan dan disusuli dengan pujuk rayu yang tak mampu untuk ditolak oleh Iqra.

“Oklah. Semua ambil tempat masing-masing.” Adik-adik hafizah berbaring dan mencari tempat yang selesa. Masing-masing dengan posisi tidur yang tersendiri.

‘MasyaAllah. Rindu ana pada adik-adik di rumah apabila melihat antunna semua. Pasti juga ana akan merindui antunna semua selepas tamat Kem Hafazan ini. Ya Allah, kau rahmatilah semua adik-adik hafizah ini. Tetapkanlah cita-cita mereka menggapai syurgaMu. Ameen.’ Jantung Iqra berdetik tenang dengan doa yang mengiringi setiap nafasnya. Lalu, suara Iqra berkumandang mengalunkan lagu dodoian yang selalu dinyanyikan pada adik yang dirindui.

“Tidur-tidurlah adikku sayang,
Tidur-tidurlah dalam pelukan,
Jangan risau, Allah yang jaga,
Cita-citamu, penghuni syurga.”

Bait-bait kata yang sama dialunkan berulang-ulang, tetapi dengan nada yang berbeza. Iqra tidak tahu samada semua adik-adik hafizah sudah tidur ataupun hanya baring sambil menutup mata. Tetapi, apa yang penting untuk Iqra ialah semua adik-adik hafizah tidak bermain sehingga mereka akan penat selepas itu atau membuat bising sehingga mengganggu orang lain. Apapun yang berlaku, objektif-objektif tersebut tetap tercapai.

‘Syukur, Alhamdulillah. Amannya dunia ini.’ Bisik hati Iqra dengan lucu. Dilihat satu demi satu wajah tenang adik-adik hafizah yang melelapkan mata, sudah cukup menyejukkan hatinya.

Tanpa disedari, Iqra menerima kehadiran Ustazah Aini yang menjadi penaung kepada program Kem Hafazan 2009 ini.

“Assalamu’alaikum.” Ustazah Aini memberi salam.

“Wa’alaikumsalam w.b.t. Mak Ani.” Ustazah Aini yang lebih mesra dengan panggilan Mak Ani.

Seorang yang sederhana, berpengalaman dan sangat lembut orangnya. Tutur kata yang disusun kemas meniti bibir memulakan bicara.

“Bagaimana hari ini? Ada apa-apa masalah yang timbul? Mungkin boleh kita selesaikan sama-sama?” Tanya Mak Ani kepada Iqra.

Lazim sahaja soalan yang diutarakan tetapi buat Iqra, bagaikan seseorang menghulurkan tangan untuk meringankan bebanannya walau hanya dengan bertanya.

“Alhamdulillah. Semuanya ok. Cuma letih sedikit. Mungkin kerana melayan kerenah adik-adik yang banyak ragam.” Jawab Iqra dengan senyuman. Walaupun dirinya keletihan tetapi pengalaman yang didapati tetap menyeronokkan dan menjadikan segala-galanya berbaloi.

Iqra mendapat sedikit teguran dan cadangan untuk memastikan program berjalan dengan lebih lancar dan tercapai objektif-objektifnya. Beliau meminta agar adik-adik hafizah diberikan sedikit motivasi untuk mengulang hafalan Al-Quran dan memberitahu akibat melupakan ayat-ayat Al-Quran. Maklumlah, ketika cuti hujung minggu sebelum kembali menyertai Kem Hafazan pada minggu seterusnya, adik-adik hafizah perlu menjaga diri sendiri tanpa pemerhatian para fasilitator. Sama juga situasinya selepas kem hafazan ini tamat selepas minggu yang keempat. Kem hanya berlangsung setiap hari Isnin sehingga Khamis dan diadakan selama empat minggu berturut-turut. Bermula pukul 8 pagi dan tamat selepas bacaan Mathurat ba’da Asar. Selepas itu, adik-adik hafizah akan pulang ke rumah masing-masing.

Azan berkumandang menandakan telah masuk waktu Zohor. Ustazah Aini mengundur diri dan meninggalkan Iqra bersama tugasannya yang terbaru.

‘SubhanAllah. Permudahkanlah urusanku, ya Allah.’ Rayu Iqra di hati. Dirinya dirasakan perlu sentiasa kuat dan termotivasi agar mampu untuk memotivasikan orang lain. Iqra bergerak dari tempat duduknya dan mengejutkan adik-adik hafizah bangun untuk solat Zohor berjemaah. Selepas rehat dan solat zohor berimamkan seorang penduduk di sekitar Surau Firdaus, semua bersedia untuk makan tengah hari bersama-sama.

Alhamdulillah, perut telah diisi dengan makan tengah hari, maka aktiviti seterusnya ialah slot kemahiran yang dikendalikan pula oleh Iqra dan dibantu oleh semua fasi-fasi yang lain. Slot kemahiran kali ini memerlukan Iqra mengajar adik-adik hafizah sedikit kemahiran memasak. Selalunya slot yang dikendalikan oleh Iqra ialah slot tajwid, tetapi hari ini agak istimewa kerana semua fasilitator bersetuju untuk membuat Roti Bawang Putih atau ‘Garlic Bread’ dan Iqra yang perlu menerangkan prosedur yang perlu diikuti kerana hanya Iqra yang tahu bagaimana untuk membuatnya. Arahan diterangkan kepada para peserta dan amaran diberikan supaya berhati-hati ketika menggunakan pisau dan juga pembakar roti. Alhamdulillah, dengan izinNya, segala-galanya berjalan dengan lancar. Masing-masing berpuas hati dengan aktiviti hari ini, dan membawa pulang satu lagi memori dan juga kemahiran keakhwatan yang semoga berguna di masa hadapan.

bersambung.....

No comments: