Bismillahirahmanirahim.
Alhamdulillahirabbil'alamin. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah S.A.W, ahlul bait, para sahabat baginda, tabi' tabiin dan semua umat Islam di seluruh dunia.
Kala ini, hati cuba berbicara dengan madah, tatkala tangan yang menari di atas papan kekunci tidak bisa mengambarkan resah yang ada di hati. Alunan Al-Quran oleh Sheikh Said Saad Al-Ghamidi terus berkumandang menemanku. Sebagai ganti buat diri yang agak liat untuk muraja'ah (mengulang) hafalan Al-Quran. Astaghfirullahal'azim.. Ya Allah, jauhkanlah diriku dari sifat malas dan bertangguh. Tak ingin ku jatuh ke lubang yang sama beberapa kali. Hanya dengan kurnia dan rahmatMu yang membawa ku ke syurga...
Tak keterlaluan untuk ana katakan bahawa madah kata dan bunga bahasa dari ana sangat sukar untuk dihulurkan. Teringat ana pada ukhti habibati yang dikasihi.. Kala di dalam pelukan rindu itu ukhti meluahkan rasa susah hatinya... Seolah-olah bicara kata dari dirinya dan juga diriku sudah kering dek kemaraunya ilham. Impaknya dilihat jelas pada taman cyber yang kian suram dari hiasan kata dan tazkirah yang membina. Ana mohon ampun pada Allah dan juga kemaafan dari sahabat semua di atas kekhilafan diri ini.
Sejujurnya, iman cuba diukur buat muhasabah diri. Saban hari, terasa iman di dada mula menurun. Maka, dicapai buku-buku yang ada dalam koleksi di rumah. Penuh satu rak yang berisi dengan buku-buku bersifat ruhiah dan juga ilmiah. Dari novel-novel tarbiyah kepada syarah tarbiyah rasmul bayan. Ingin disenaraikan tajuk-tajuknya, takkan terlarat untuk tangan ini menaipnya. Tetapi, sempat juga dicapai novel Hidayah Cinta oleh Ilham Hamdani dan juga novel Wa Ai Ni Allah oleh Vanny Chrisma W. Terdapat banyak buku-buku menarik, tetapi kedua-dua buku ini telah mengetengahkan perjuangan beberapa hamba Allah yang mencari erti bertuhan dan juga perjalanan iman. Terlalu indah untuk diungkapkan tentang hati-hati diluar sana yang dihinggap dengan iman kurniaan Allah. Indahnya dirimu kerana iman di dada itu.
Ya, ungkapan yang sesuai buat mereka-mereka ini ialah 'revert' dan bukannya 'convert'. 'Convert' lebih bermaksud bertukar kepada, tetapi 'revert' bermaksud tukar kembali. Mengapa ana katakan begini?
Manusia itu lahirnya dengan fitrah. Roh ciptaan Allah itu telah mengaku dan menyedari bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah sebelum lahirnya ke dunia. Dan ditakdirkan sahabat-sahabat ini dilahirkan di dalam keluarga yang tidak beriman kepada Allah. Bukankah ibu-bapa yang mencorakkan seorang anak menjadi Yahudi, Nasrani dan juga Majusi?
Hakikatnya, Allah Yang Maha Berkuasa mengurniakan hidayah kepada yang Dia kehendaki. Walaupun seorang itu bergelar Ayumi, Amei, Mei Fong, Takahashi dan sebagainya, ketentuan itu tetap akan berlaku dengan izinNya. Biznillah, sahabat-sahabat yang dahulunya jauh sesat dalam kekafiran kini dibawa kembali kepada cahaya iman yang terang. SubhanAllah, besarnya kuasa Allah tidak diduga dengan akal fikiran.
Diri ingin membawa satu pertanyaan kepada semua. Adakah kita bersyukur dengan iman kurniaan Allah? Apakah buktinya? Iman itu tidak diwarisi dari seorang ayah kepada anak dengan begitu sahaja... Berapa banyak kes murtad yang terjadi di Malaysia... Kesedihan yang tak terkata... Sedangkan terlalu banyak hati-hati diluar sana yang menagih pedoman dan juga iman yang membawa ke syurga... ya Allah, tolongilah hamba-hambaMu. Hargai iman yang ada di dalam diri. Semoga Allah menjadi penolong kita semua di dunia dan juga di hari pembalasan itu.
Asif jiddan, ana berundur diri dahulu dek kerana tugas meminta perhatianku. Doakan ana wahai sahabat-sahabatku. Salam'alaik.
Wallu'alam.