Wednesday, May 30, 2012

Al-Quran dan sains... Alam bagaikan kalam yang terbuka

Bismillahirahmanirahim

SubhanAllah, syukur pada Allah di atas segala kurniaanNya. Alhamdulillah… setiap helaan nafas dan degupan jantung ini adalah kerana sifat Allah Yang Maha Pemurah. Hari yang baru dengan misi yang baru. SubhanAllah, pagi tadi sangat indah dengan turunnya hujan renyai… Diri ini sangat sukakan hujan… Tetapi, hujan pagi ini hadir seperti tahu hatiku menangis kerana rindu. Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku. UjianMu hadir sebagai penebus dosaku. Ya Allah, sampaikanlah rindu ini pada yang ana sayangi.

Dan Allah itu Maha Mengetahui… Hadirnya seorang pelajar PhD Kimia daripada Libya menceriakan pagiku ini dengan soalan dan penjelasan darinya kepadaku tentang empat orang sahabat Rasulullah. Tentang Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan juga Saidina Ali bin Abi Talib. Walaupun perbincangan dalam Bahasa Inggeris diselang seli beberapa istilah Bahasa Arab tetapi ia cukup bermakna.

Diceritakan kepada ana tentang Saidina Abu Bakar yang membenarkan kata Rasulullah ketika orang lain tidak mempercayainya; Saidina Umar yang sangat digeruni sehingga syaitan juga takut dengannya; Saidina Uthman yang sangat pemalu sehingga malaikat juga malu dengannya dan tentang Saidina Ali yang dicintai oleh Allah.

Dan sebenarnya semalam juga Allah hiburkan diriku ini dengan izin dan kuasaNya. Allah sangat Penyayang dan Dialah Yang Maha Penyayang di antara yang penyayang. Dihiburkan hati yang lara dengan ilmu dan petunjuk. Dan semalam diriku dibawa adik kembar ke seminar ‘Al-Quran dan Sains’ anjuran Pusat Pengajian Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.

Pada mulanya kami sesat mencari bilik mesyuarat tempat diadakan seminar tersebut. Haha… Harap maklum bahawa bilik mesyuarat kat Fakulti Sains dan Teknologi ini sangat banyak... Ada di bangunan kedekanan yang baru, di bangunan kimia, di sebelah Dewan Anuwar Mahmud dan banyak tempat lagi. Akhirnya, walaupun lambat, diri ini berpeluang menghadiri perbentangan oleh dua speaker pada pagi semalam.

Ketika kami sampai ke bilik mesyuarat tersebut (sebelah Dewan Anuwar Mahmud), speaker pertama telah mengulas hampir setengah perbentangannya. Tetapi, diungkapkan satu per satu tentang banyak kejadian dan penceritaan di dalam al-Quran yang boleh dikaji secara saintifik. Speaker kedua pula menyentuh perkaitan manhaj nabawi atau hadis dengan sains. Petunjuk Allah itu ada pada Al-Quran dan pada alam semester.

Arahan ‘Iqra’ atau bacalah itu bukan sahaja spesifik kepada material yang ditulis sahaja. Tahukah semua bahawa alam ini juga bagaikan kitab yang terbuka? Ketika Al-Quran menjadi bukti kebenaran apabila dikaitkan dengan kalam yang terbentang luas di hadapan mata. Pada bumi dan juga langit serta makhluk dan penciptaan Allah di antara keduanya. Kerana itu Allah mengurniakan nikmat akal, hati, telinga dan mata. Agar kita mencari bukti kekuasaan Allah di dalam penciptaanNya.

Diungkapkan secara umum tentang banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran yang boleh menjadi idea kepada penyelidikan saintifik. Tentang air, besi, perkembangan bayi dalam rahim ibu, gelombang, bumi, lautan dan banyak lagi. Datangnya kebenaran Al-Quran sebelum ilmu sains dan penyelidikan. Maka, tiada ragu lagi bahawa Al-Quran itu adalah mukjizat dari Allah. Kata-kata yang indah dan bijaksana itu hanyalah datang dari Allah.

Dibincangkan juga bagaimana kebanyakan ayat-ayat yang menceritakan tentang pengetahuan Allah adalah pada surah-surah Makiyyah. Tatkala ketika permulaan Islam disebarkan, terdapat banyaknya hujah-hujah ini yang bersifat anjuran melihat alam dan juga penciptaan Allah bagi membuktikan kebenaran dan keindahan Al-Quran. Tentang bagaimana unta diciptakan, bagaimana langit ditinggikan, bagaimana gunung-gunung ditegakkan dan bagaimana bumi dihamparkan. Al-Quran terlebih dahulu menerangkan kesimpulan dan data kajian sebelum datangnya konsep teknologi dan penyelidikan.

Speaker pertama telah mengemukakan pertanyaan secara umum tentang bagaimana Allah secara spesifik menurunkan dua perkara kepada kita iaitu air dan juga besi. Air sebagai satu sebatian dan logam adalah satu elemen. Allah S.W.T telah menerangkan besi ini diturunkan kepada kita dalam surah Al-Hadid ayat 25:

‘Sungguh, Kami telah mengutuskan rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata dan Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca (keadilan) agar manusia dapat berlaku adil. Dan Kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasulNya walaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa.’ 


(Surat Al-Hadid, ayat 25) 

Hakikatnya besi ini adalah satu elemen yang sangat penting bagi manusia. Kegunaannya merangkumi dalam bidang kejuteraan, pembinaan, senjata, elektronik, kenderaan, teknologi satelit, biologi, fizik, kimia dan banyak lagi. Dalam post yang bertajuk “Ilmu, satu pintu kebahagiaan” telah ana jelaskan dengan panjang lebar tentang ion ferum di dalam hemoglobin yang bertanggungjawab dalam pengangkutan oksigen pada manusia.

Besi atau elemen ferum juga boleh membentuk koordinasi dengan beberapa elemen lain selain oksigen seperti karbon, nitrogen dan banyak lagi. Maka ia mempunyai potensi yang tinggi dalam bidang sensor selain sifat katalisis, konduktor elektrik dan juga magnet. SubhanAllah, semua ini mengingatkan ana kepada projek siswazah ana ketika ini yang berkaitan dengan sintesis garam ferosenium-asid diprotik. Terlalu banyak cabaran yang dihadapi ketika ini tetapi doakanlah agar semunya berjalan dengan lancar.

Maka benarlah seperti yang diungkapkan dalam Al-Quran bagaimana Allah S.W.T telah jadikan semua yang ada di langit dan di bumi dengan manfaat dan tujuan yang tertentu. AturanNya sangat cantik dan penuh hikmah… Hikmah itu kebijaksanaan Allah…

Panjang sungguh bicaraku dan ingin ku undur diri dikala ini. Doakan untuk diriku wahai sahabatku. Semoga Allah memudahkan segala urusanku dan urusanmu. Amin.

Monday, May 28, 2012

Ya Allah, kuatkan semangatku...

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat murabbi agung, Rasulullah s.a.w. Juga ahlul bait, sahabat baginda, tabi tabi’in dan semua umat Islam diluar sana.

SubhanAllah, tak mampu untuk kugambarkan apa yang ada di dalam hati. Tatkala diri ini cuba mengelak daripada menjadikan laman ini seperti tempat meluahkan rasa sahaja. Cuba ku susun ayat dengan baik tetapi terlalu banyak yang ingin ku rahsiakan. Mengenangkan diri kita juga sebahagian daripada rahsia Allah. Kebaikan dan keaiban seseorang itu dijaga rapi olehNya. Dan terkadang ku bimbang kerana tersilap kata, bisa sahaja mengundang dosa.

Bukan itu sahaja… Seperti kini diuji kecekalan hatiku. Pernahkah pembaca sekalian tertanya mengapa Farah suka berbunga bahasa? Kerana hati ini cuba untuk menyembunyikan banyak perasaan. Kiasan kata adalah cara yang terbaik untuk mencapai objektif itu. Supaya diri tidak larut dibawa emosi lantaran diri yang sedang diduga. Tetapi, apabila ku hulurkan kiasan kata pemujuk jiwa untuk kalian, ia juga bisa menghiburkan hatiku. Kerana ku tahu ramai di luar sana lebih berat ujiannya dariku… Dan Allah juga Maha Mengetahui setiap isi hati seorang hamba.

Ku sedar juga bahawa hakikatnya ramai yang mengambil berat tentang diri ini di luar sana. Dan ketika ada yang bertanya; ‘Farah ok?’ SubhanAllah, insan-insan ini sangat baik dan prihatin. Air mata pasti akan terbit, bibir ini akan diketap rapat, senyuman akan ku hulur dan kujawab pertanyaan itu dengan jawapan ‘Ok...’.

Ya Allah, kurniakanlah kekuatan dalam hatiku. Amin.

Beberapa kali diri ini diberi dua patah perkataan yang penuh hikmah;

‘Kuatkan semangat’

Bukan dari orang yang sama, tetapi oleh beberapa orang yang berlainan… Dari sang mujahid pembela akidah, dari serikandi pencari ilmu dan dari guruku yang dihormati…

SubhanAllah, hadirnya mereka bagaikan perantara kurniaan dan petunjuk Allah buat hamba. Maka segala puji bagi Allah di atas nikmat-nikmatNya.

Dan suatu ketika dahulu, guruku pernah berpesan;

‘Kamu adalah seorang pemimpin. Maka kena kuat dan tak boleh lemah. Bagaimana hendak membimbing orang jika kita sendiri tidak kuat?’

SubhanAllah. Terlalu berat dirasakan tanggungjawab ini. Dan ku tahu juga bahawa ramai lagi di luar sana yang merasai tanggungjawab yang sama. Tetapi syukur pada Allah kerana kurniaanNya yang banyak tidak terhingga. Syukur pada Allah kerana dugaanNya mengajar diri tentang banyak perkara. Syukur pada Allah kerana ujian ini menjadikan setiap hamba terasa dekat denganNya. Syukur pada Allah kerana peluang untuk ku beramal di jalan jihadNya. Syukur pada Allah di atas kurniaan insan-insan yang mengambil berat tentang diriku. Syukur pada Allah kerana petunjuk-petunjukNya yang teristimewa untukku.

Wahai Allah, aturanMu sangat indah… Jadikanlah diriku seorang hamba yang sentiasa bersangka baik denganMu.

Wahai hati… hentikanlah tangisan itu. Biarlah nama Allah sahaja yang kuat bergema dalam setiap degupan jantung itu.

Wahai sahabat… Doakanlah untuk diriku. Dan jangan terlalu risau akan keadaanku. Allah sentiasa bersama dengan kita dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.

Sampai di sini sahaja nukilan dariku. Semoga Allah memberkati diriku dan dirimu. Salam’alaik.

Sunday, May 27, 2012

Berbicara tentang hati dan juga cinta...

Bismillahirahmanirahim. 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah s.a.w., ahlul bait, sahabat baginda, tabi tabi’in, dan semua umat Islam di luar sana.

Perlu untuk ku taip walau sedikit bingkisan kata-kata… Bukti diri mensyukuri nikmat dan petunjuk dari Allah. Dihantarkan hamba-hambaNya menjadi perantaraan ilmu dan hidayah Allah kepada diriku. Dan sejujurnya, hati ini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seorang mujahid pembela akidah.

Dikatakan kepada ana; ‘Kalau blog lama tak update, saya malas nak baca.‘

Haha… Tatkala kata-katanya itu berbaur nasihat, teguran dan juga pengakuan yang lucu, tetapi ku terima dengan hati yang terbuka. Kerana kata-katanya mengetuk hati ini untuk kembali menyusun kata menyebarkan ilmu di taman cyber. Telah ku lupa nikmatnya peluang yang diberikan Allah untuk ku mencari permata pahala dengan nukilan kata-kata. Jazakallahukhairan kathira buat sang mujahid pembela akidah tadi. Semoga Allah memberkatimu. Amin.

Dan kepada semua sahabat ana yang dikasihi, maafkan ana disebabkan kekhilafan diri menyebabkan ana terkadang lupa dengan tugasku menyebarkan risalah kepada umat manusia. Dugaan Allah ketika ini benar-benar menguji hatiku. Tetapi Allah ingin mengajarkan kepadaku tentang sesuatu… Doakan semoga diri ini terus kuat berjuang untukNya. Amin.

Risalah kali ini ku sisipkan teristimewa buat semua yang setia membaca dan juga buat semua yang mengenali diri ini. Risalah yang membicarakan tentang hati dan juga cinta.

Saban hari diri ini semakin menyelami erti perkataan itu. Cinta. Tatkala cinta itu letaknya di hati. Hati yang menjadi raja kepada diri dan akal pula bertindak sebagai penasihat. Kiranya hati itu bersih dan suci, maka lahirlah niat, kata-kata dan juga perbuatan yang baik. Tetapi jika hati itu dikotori dengan titik hitam akibat maksiat dan kejahilan, maka lahirlah niat, kata-kata dan juga perbuatan yang jahat. SubhanAllah, gugurkanlah semua sifat mazmumah yang ada pada diriku ini. Amin.

Dan cinta… terlalu banyak yang mentafsirkan erti cinta dan memberi terlalu banyak kategori kepadanya. Teringat kepada anak-anak halaqahku yang dikasihi. Tatkala kita pernah berbicara tentang Mahabatillah. Tentang cinta mengikut syariat Allah dan juga cinta selain daripada mengikut syariatNya. Begitu juga dengan tanda-tanda cinta yang terdiri daripada taat, cemas, harap, takut, kagum, redha, sering menyebut namanya dan rela berkorban. Sekiranya tanda-tanda ini wujud, maka kita sedang bercinta. Tetapi persoalannya, kepada siapakah cebisan hati itu diberikan?

Cinta yang terpuji adalah pada Allah, rasul dan jihad di jalanNya. 

‘Katakanlah, “Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusanNya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.’ 


(Surah Taubah, ayat 24)

Hati itu sepenuhnya milik Allah dan Dialah yang mengurniakan rasa cinta itu kepada hamba-hambaNya. Cinta hakiki adalah cinta kepada Ilahi. Dalam setiap degupan jantung ini, ia seperti bertasbih menyebut nama Allah. Ketika tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) bisa sahaja menjadikan kita rapat denganNya. Semoga Allah mengurniakan rasa cintaku padaNya. Amin.

Pada Tuhanku, ku meminta. Agar dituntun langkah ini dalam jalan redhaNya. Apabila hati diuji dengan cinta manusia, maka perlu dipastikan cinta itu tidak melebihi cinta kepada Pencipta. Tatkala rindu bertaut, maka berdoa pada Allah… Ya Allah, semoga Kau ampunkan segala dosaku dan dosanya. Amin.

Teringat ana kepada seorang serikandi pencinta Quran… Kata-katanya menyingkap erti cinta yang sebenarnya.

‘Apabila cebisan hati itu telah diberikan kepada seseorang, maka tak boleh diminta kembali. Buruk siku namanya…’

Haha… sangat kelakar, tetapi benar. Kata-kata itu menyedarkan diri tentang salah satu tanda cinta iaitu redha ataupun rela dengan segala yang dilakukan oleh yang dicintai serta pengorbanan. Dan apabila hajat yang dicita tidak kesampaian, redhalah dengan ketentuanNya. Kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Dan kepada sahabatku di luar sana yang risau memikirkan soal jodoh, maka janganlah berpanjangan kerisauan itu. Ku pasti ramai sahaja sahabatku di luar sana diuji Allah dengan cinta manusia. Ada yang berjaya dan ada juga yang kecundang. Ada hati yang berbunga dan ada juga hati yang terluka. Tak kurang juga ada hati yang berkorban melepaskan pergi yang dicintai kerana Allah.

Hakikatnya, jodoh itu ketentuan Ilahi. Maka serah pada Allah sahaja. Ada yang bercinta bertahun-tahun lamanya tetapi tidak sampai ke gerbang perkahwinan. Ada pula yang menolak sepenuh hati, tetapi kalau sudah jodoh, dipertemukan juga dengan izin Allah. SubhanAllah, memang benarlah kata-kata pujangga… Berhati-hatilah menjaga hati.

Apabila diuji dengan cinta yang boleh membawa kepada kemaksiatan, maka kenalah cari cinta yang halal buat diri. Bermanjalah dengan Allah… Berbicara dan mengadu kepadaNya… Meminta pertolongan dariNya dengan sabar dan juga solat, tak kurang juga berpuasa dan menyibukkan diri dengan ibadat kepadaNya.

Carilah juga inspirasi dari kisah rasul… Semoga lahir kekuatan dalam hati yang resah itu… Dan hanyutkan dirimu dalam alunan suci kalam Burhan… Tatkala bukti kebenaran karangan Allah itu bisa menghiburkan dan memberi peringatan. Carilah juga nasihat dan kasih sayang dari insan-insan kesayangan seperti mama dan abah, adik-adik, sahabat dan juga guru. Boleh sahaja menyibukkan diri dengan perkara yang baik agar diri tidak hanyut dibawa rindu.

Ingatlah juga, Allah Maha Mendengar segala bisikan hatimu.

“Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati.” 


(Surah Al-Mulk, ayat 13). 

Hmm… Adakah kata-kata yang dinukilkan di sini bisa meringankan hati yang lara? Tatkala berat sungguh ujian hati yang melanda. Terkadang diuji oleh cinta pada mama dan abah, adik, tanggungjawab, ilmu, dan banyak lagi… dan kini mungkin diuji oleh cinta fitrah seorang manusia. Serba salah melanda diri dek kerana diri terkadang lemah dan jatuh ke daerah yang bisa mengundang murka Allah… SubhanAllah, berdoalah kepada Allah… bersyukur dengan nikmat pemberianNya ketika ini. Tanda cinta adalah rela. Wahai Allah… jika Kau ambil orang yang dikasihi dariku, ku terima ketentuanMu. Hanya Engkau Yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Dan ku yakin bahawa aturanMu sangat cantik… Maka, laksanakanlah aturanMu… Ku serahkan segala-galanya kepadaMu. Amin….

Ingatan ana kepada anak-anak halaqahku dan semua pembaca yang masih setia menyoroti tinta pada skrin komputer kalian…. Ana bimbang tatkala menilai sejauh mana usahaku mendidik sahabatku. Adakah Allah akan menerima amalan-amalanku? Hadirnya diriku bukanlah seorang penghukum tetapi ingin menjadi seorang pendidik. Kerana hakikatnya pengadilan manusia tidak sama dengan pengadilan Allah. Maka pada Allah jualah kita kembali dan doaku agar sentiasa diluruskan niat hanya keranaNya.

Sampai di sini bingkisan nasihatku. Andai kata-kata di sini melukai hatimu, ku susun sepuluh jari meminta maaf dengan rendah diri. Dan pada Allah ku meminta, agar djaga tutur kataku dan gerak perilakuku… Semoga Allah memberkati diriku dan dirimu. Amin.

P/S: Kepada Nailah dan Aizat: Luqman akan ke KMM hari esok. Sepupu kita, Siti Rahmah pula akan ke Asasi UiTM, Shah Alam. Doakan untuk diorang ya… Dah besar adik-adikku ni… Ukhti Nailah update blog ya… Ku nantikan nukilanmu dalam Blog HIJAU-PUTIH. Salam’alaik.

Saturday, May 26, 2012

Ya Allah, kurniakanlah ilmuMu kepadaku...

Bismilahirahmanirahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan rasulullah, murabbi yang dirindui, ahlul bait, sahabat, tabi’ tabiin dan juga semua umat Islam di seluruh dunia.

Bagaimanakah keadaanmu wahai saudaraku? Semoga Allah memberkatimu. Amin ya rabbana. Kini diri bertemankan dengan alunan al-quran oleh Qari Khalil Al-Hussary. Bacaan yang indah memenuhi makhraj dan sifat hurufnya. Ternyata membawa perasaan rindu pada Pencipta.

Apabila dimuhasabah kembali, diri ini bukanlah seorang ustazah atau seorang yang mempunyai pendidikan rasmi tentang ilmu-ilmu agama di peringkat yang tinggi. Jauh sekali bergelar seorang ustazah. Maka, diri ini tidak perlu berpura-pura untuk menjadi orang lain. Hanya mungkin berbekalkan ilmu yang dicari dan diterima kerana sifat pemurah Allah Yang Mengurniakan ilmuNya kepadaku. Dan perjalanan untuk mencari ilmu itu sentiasa berterusan dan tak pernah berhenti.

Dan seperti kata guruku, apabila ilmu itu telah sampai kepada kita, kita akan diuji. Kata-kata yang sangat benar… Terkadang juga kita akan belajar daripada sesuatu peristiwa atau kesalahan yang lalu. And the terms would be ‘learning from the hard way’. Kerana setiap peristiwa yang berlaku ada hikmahnya. Hanya perlu bersabar dan tersenyum… Rupa-rupanya, inilah yang Allah ingin ajarkan kepadaku. Hanya mungkin janganlah pernah terasa otak tepu dengan ilmu. Tarik nafas panjang-panjang dan teruskanlah langkahmu menimba ilmu dan pengalaman walau di mana kita berada.

Menimba ilmu juga adalah satu bentuk jihad. Ketika ini mungkin ada yang sedang membaca buku dan menyiapkan assignment. Mungkin juga yang sedang bersedia untuk ujian. Ana ucapkan selamat membaca. Diri antum sekalian sedang memenuhi perintah Allah… Iqrabismirabbikallazihalaq. Teruskan usahamu. Mungkinkah mata-mata yang membaca ini adalah bakal seorang doktor, akauntan, jurutera, ustaz, guru dan lain-lain… Mulakanlah perbuatanmu dengan nama Allah, Bismillahirahmanirahim. Ilmu yang ditimba menjadi asbab kita dekat denganNya dan bukan sebaliknya. Maka, perhatikan petunjuk-petunjuk dan kebesaran Allah dalam setiap penciptaanNya.

SubhanAllah, rindu ana pada ukhti Nailah di UIA, Pahang. Apakah keadaanmu wahai adikku? Kak long sangat merinduimu. Mama dan abah semuanya sihat dan pada Isnin depan, Luqman akan ke Kolej Matrikulasi Melaka, taman syurga yang pernah ku jejak dahulu. Alhamdulillah, Allah telah aturkan satu peluang dan ruang untuk ana luangkan masa bersama Luqman semalam. Jauh sekali kami berjaulah dan akhirnya sampai ke destinasi yang dicita. Sempat ku bertukar maklumat dengan Luqman memberitahu keadaan di matrikulasi…. Tempat bermulanya tarbiyah diri dengan izinNya. Ya… apabila Luqman ke sana, kini hanya ada 5 orang sahaja adik di rumah. Aizat di Mesir, Nailah di Pahang dan Luqman bakal ke Melaka… SubhanAllah, semakin sunyi rumah ini. Tetapi, walau di mana kita berada, kita tetap di bumi Allah. Dan telah akak serahkan semua dalam jagaan Allah. Semoga Allah memberkatimu walau dimana pun dirimu berada. Amin.

Wahai Allah… Ana rindu…. Sampaikanlah rindu ini kepada yang ana sayangi. Ku syukuri nikmat cinta dan rindu ini. Semoga Kau kurniakan ketenangan dan kegembiraan dalam hatinya dan hatiku. Amin ya rabbana.

Sekian sahaja untuk post kali ini. Tiba masa untuk ku kembali berjuang dalam medan jihad menimba ilmu. Doakan untukku wahai saudaraku. Salam’alaik.

Friday, May 25, 2012

Syukur itu...

Bismillahirahmanirahim.

SubhanAllah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Pagi yang indah menyaksikan lagi gugurnya air mataku ke bumi. SubhanAllah, dugaan Allah ternyata hadir membawa pergi tawa riangku…. Tetapi hadirnya ujian tanda cintaNya. Rindu ana pada habibati-habibati ana di luar sana. Sudah lama tidak ketemu. Ku rindui saat kita berjaulah bersama-sama mencari ilmu dan beramal dalam ruang tarbiyah dan dakwah itu. Rindu ana pada bingkisan nasihat dan untaian kata pembangkit jiwa. Semoga Allah memudahkan segala urusanku dan urusanmu. Amin. 

Di pagi yang hening ini, cuba untuk ku bangkit dari mimpi semalam. Terlalu banyak yang bisa menggugahkan hati yang lemah tetapi bisa sahaja dihiburkan oleh Allah. Kerana Dialah pemilik hati ini. Dan Dia juga Penjaga rahsia kebaikan dan juga keaibanku. Maha Mendengar bisikan hati hamba-hambaNya.

Tatkala seorang sahabat yang dikasihi menelefon dengan suaranya yang ceria. SubhanAllah, Kau utuskan padaku seorang serikandi pencari ilmu. 

‘Janganlah bersedih, ya... Ingat Allah… Kena syukur dengan segala pemberianNya. Ujian juga satu nikmat… Syukur pada Allah ya… Nanti akan tersenyum..’ Bicaranya penuh ikhlas terkesan di hati. 

Walaupun dirinya tidak mengetahui apa yang berlaku pada diri ini… Petunjuk Allah itu sampai kepada hamba-hambaNya dengan cara yang tersendiri… 

Syukur… Satu kata yang sangat dalam maknanya. Syukur juga seperti membawa diri ini kepada satu perasaan yang berbeza. Menyebabkan diri mengerti erti rendah diri dan tawakal kepada Allah. Hakikatnya, terlalu banyak nikmat yang diberikan Allah kepada kita. Dan suatu ketika Allah menguji kita dengan kehilangan sesuatu yang kita sayangi dan juga lemahnya diri ini untuk cuba melindungi seseorang yang dikasihi. Walau sebanyak mana usaha yang dihulurkan, segalanya diakhiri dengan Bismillahirahmanirahim… Ku serahkan segala-galanya padaMu, ya Allah. Maka, lahirlah erti redha pada ketentuanNya. 

Ya… sangat benar pujukan serikandi itu. Semoga Allah membalas segala jasamu. Amin, ya rabbana.

Ternyata Allah telah meletakkan tugas kita sebagai seorang khalifah di dunia ini. Manusia yang bersifat dinamik yang sentiasa berubah. Terlalu indah ciptaan Allah itu. Lihatlah secara jelas sahabat terdekatmu. Perhatikanlah dia… senyumnya, tarik nafasnya, degupan jantungnya, mata yang bersinar, tangan yang bergerak… semua itu adalah keajaiban Allah. Setiap orang mampu membawa perubahan kepada orang lain.

Maka, carilah potensimu wahai sahabatku. Umat manusia menunggu di luar sana untuk dipimpin tangannya untuk mencari jalan kepada Tuhannya. Dan tanamkan cita-cita di dalam hatimu… Ingin ku pimpin tangan orang yang disayangi ke syurga… Lihatlah pada indahnya peribadi Rasulullah. Tatkala kudratnya digunakan menyampaikan wahyu Allah kepada umatnya. Sifatnya sentiasa memberi dan memberi tanpa mengharap kepada pembalasan dari manusia. Sabarnya baginda menyuap makanan ke mulut seorang Yahudi yang buta. Sabarnya baginda menahan lapar. Sabarnya baginda digelar seorang gila, ahli sihir dan banyak lagi. Tetapi, setiap perbuatan baginda itu diiringi dengan keikhlasan, pengharapan dan juga tawakal pada Allah. Kerana hakikatnya bahawa baginda adalah seorang Rasul, utusan dari Allah. Hanya Allah sahaja yang berkuasa memberikan hidayah kepada manusia kerana hidayah dan iman itu milik Allah. Dan Rasulullah hanya menjalankan tugasnya menyampaikan wahyu dan amanah Allah.

Ya, Allah... Kuatkan langkah kaki ini berjuang keranaMu. Tuntunlah langkahku di jalan redhaMu. Jagalah tutur kataku dan gerak perilakuku. HambaMu ini mengharap ampunan dan redhaMu. Hanya Engkau Yang Maha Penyantun lagi Maha Berkuasa. Amin, ya rabbana...

Thursday, May 24, 2012

Janji Allah itu benar...

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah, bermulalah hari ku yang baru bersama misi yang baru. Sepanjang tempoh semester satu, telah selesai penulisan dan perbentangan kertas kerja cadangan penyelidikan di hadapan pemeriksa. Begitu juga urusan permohonan sebagai Graduate Research Assistant. Eksperimen di dalam makmal juga turut dijalankan tetapi masih dalam tahap ‘try and error'. Walaubagaimanapun sukarnya, langkah ini perlu diteruskan kepada perjuangan yang berikutnya. Semoga Allah memudahkan segala urusanku. Amin.

Kini, hati cuba untuk berbunga bahasa mengungkap kata rindu dan juga cinta… tetapi dirasakan sangat sukar kerana keringnya ilham yang ada. Terlalu lama tidak ku hias laman ini dengan bunga bahasa dan buah pemikiran, kala kesibukan yang menjelma mengekang jari-jemari ini untuk menaip kata-kata. Ya, memang sudah terlalu lama ku menyepikan diri. Namun begitu, kini telah kurang sedikit bebanan yang ditanggung kerana hanya satu projek kimia yang perlu diberi perhatian. Allah itu Maha Pemurah dan Maha Mengetahui… Semoga Allah memudahkan segala urusanku di dunia dan akhirat.

Terlalu banyak perasaan yang melanda diri ketika ini. Hakikatnya diriku kini sedang diuji dengan pelbagai dugaan…. Tapi dugaan itu adalah tanda cinta dan sayang Allah kepada kita supaya kita semakin dekat denganNya. Saban hari bergenang dengan air mata, merayu dan bermanja pada Allah. SubhanAllah, aturan Allah itu terlalu cantik dan indah. HambaMu ini hanya boleh menyaksikan keajaiban dan kekuasaanMu itu diungkapkan di hadapan mata. Haha… pastinya semua tertanya, mengapa Farah masih berbunga kata tanpa memberitahu apa yang terjadi? Biarlah ia menjadi rahsia… Cuma Allah sahaja yang mengetahui…

Walaubagaimanapun, ingin ku kongsikan di sini satu kisah yang sangat menarik. Bukti janji Allah yang sangat pasti telah dinyatakan dalam kalam Burhan. Bahawa setiap yang kita infakkan, pasti infak itu akan diganti oleh Allah S.W.T. di samping pahala yang dijanjikanNya.

Al-kisah, pada suatu hari terdapat seorang hamba Allah yang berjalan ke kompleks membeli belah utuk mencari sebuah buku. Hatinya telah berbunga-bunga kala masuk ke dalam kedai buku yang terletak di dalam kompleks PKNS, Bangi. Tangannya membelek satu demi satu buku yang ada. Cuba dicari buku hadis 40 Fadhilat Al-Quran. Tetapi, dia menjadi rambang mata tatkala hati merasai gembira di kelilingi dengan buku yang sangat banyak…

Telefon bimbit bergema lagu, tanda ada panggilan yang masuk.

“Assalamu’alaikum.”

“Wa’alaikumsalam. Kakak, mama ni..”

“Ya mama. Kita kat kedai buku. Kenapa? Mama nak pesan apa-apa ke?” Tanya diri itu dengan manja.

“Mama pesan buah berangan boleh?” Tanya mama.

Akalnya terdetik untuk menjawab tidak kerana tahu hakikat dirinya tidak cukup duit untuk membeli buku dan buah berangan pada masa yang sama. Di tangannya cuma ada RM 20 dan sekiranya hendak membeli buah berangan untuk mama dan adik-adik di rumah, harganya juga RM 20. Maka, tidak sampailah hajatnya untuk membeli buku. Tetapi, hatinya juga yang menjawab pertanyaan mama…. Mengenangkan kasih pada mama, ingin sekali dipenuhi hasratnya.

“Boleh. Tapi mama tunggu lama sikit ya… Kita kat PKNS lagi.”

“Ok. Mama tunggu."

“Ok. Assalamu’alaikum.”

“Wa’alaikumsalam.”

Perbualan tamat dengan hati yang berbelah bagi. Sedikit rasa gembira dan sedikit rasa duka. Tak mengapalah wahai hati… ini permintaan mama… Kita penuhikannya dahulu… Buku boleh dibeli lain kali… Kaki melangkah membeli buah berangan di tepi jalan. Usai sahaja mualat berlangsung, safar pulang ke rumah membawa hajat mama di tangan.

“Mama… Ni buah berangannya.”

Tangan menghulurkan buah berangan dan disambut oleh habibati, mama yang sabar menunggu dengan senyuman.

“Berapa harganya?”

“20 ringgit.”

Mama mencapai dompetnya dan mengeluarkan duit kertas RM 50 lalu dihulurkan kepada anaknya itu.

“Kita takde duit pecah, mama…” Diri memberitahu secara terus terang.

“Takpe. Ambillah bakinya.” Jawab mama dengan tenang.

Duit kertas itu bertukar tangan sambil hatinya terasa syukur dengan kurniaan Allah. Ketika dirinya memenuhi harapan mama, Allah balas dengan nikmatNya berlipat ganda. Hatinya memanjat puji-pujian dengan ketidakpercayaan pada aturan ini. Terlalu indah tetapi hakikatnya benar… Allah itu Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui.

Terlalu banyak nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita sehingga tak terkira banyaknya. Helaan nafas ini, jantung yang berdegup, mata yang melihat, telinga yang mendengar dan banyak lagi… Tak mampu untuk seorang makhluk nafikannya lagi. Tatkala petunjuk-petunjukNya hadir mengetuk pintu hati untuk sentiasa mengingati Allah.

Di sini sahaja ku tinggalkan kalian dengan karangan kata. Semoga mendapat manfaat yang berguna. Ana berundur diri dahulu. Semoga Allah memudahkan segala urusanku dan urusanmu. Salam’alaik.