Bismillahirahmanirahim.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekali alam. Selawat dan salam buat Rasulullah. Semoga Allah merahmati baginda, ahlul bait, sahabat, tabi’, tabi’in dan semua umat Islam di luar sana. Diri ini akhirnya kembali menyusun kuntuman kata buat pengunjung di laman cyber ini.
Alhamdulillah, ana telah berjaya menempuh ujian untuk subjek ‘Research Methodology’ hari ini. Ternyata, ia telah membuka ruang untukku fokus kepada penyelidikan di makmal selepas ini. Walaubagaimanapun, suka untuk ana ungkapkan tentang kepentingan etika dalam sesebuah penyelidikan.
Diimbas kembali ketika ana berada di UPM untuk pengajian sarjana muda beberapa tahun lepas, ana telah mengambil satu subjek yang menarik iaitu ‘Inorganic Chemistry’. Salah satu tugasan yang diberikan adalah perbentangan berkaitan elemen Plutonium dan Uranium yang digunakan dalam menghasilkan tenaga nuklear.
Tindak balas pelakuran nuklear menghasilkan tenaga yang sangat tinggi sehingga kini ia digunakan di beberapa negara di dunia ini. Walaupun terdapat beberapa peristiwa hitam seperti di Chernobyl dan Fukushima, rekod keselamatan tenaga nuklear adalah lebih baik berbanding tenaga yang lain. Tenaga ini akan digunakan untuk tujuan yang ternyata memberikan kebaikan kepada manusia.
Di akhir perbentangan tersebut, pensyarah menjelaskan tentang Projek Manhattan. Apakah itu Projek Manhattan? Dengan persoalan yang ditimbulkan daripada perbentangan kami, pensyarah tersebut membuka bicara.
Diungkapkan kepada kami bahawa pada tahun 1945, komuniti penyelidik dalam bidang sains khususnya kimia dan fizik di dunia meraikan kejayaan yang sangat besar dalam bidang penyelidikan nuklear melalui ‘Projek Manhattan’. Walaubagaimanapun, pada masa yang sama juga, mereka menangisi kehilangan moral dan juga erti kemanusiaan dalam diri masing-masing….
Maka, apakah dia Projek Manhattan ini?
Projek ini adalah projek penyelidikan yang memanipulasikan tenaga nuklear untuk dijadikan senjata nuklear. Tatkala Hiroshima dan Nagasaki dibedil dengan bom atom yang tidak bermata itu, ada yang bersorak gembira dan ada juga yang menangis penuh duka… Terlalu banyak perdebatan yang timbul sebelum, ketika dan selepas projek itu berlangsung. Dan ingin dibawakan persoalan kepada semua… Bagaimanakah sesuatu penyelidikan boleh membawa kita dekat dengan Tuhan dan juga sebaliknya.
Ya… sesuatu penyelidikan bermula dengan rasa ingin tahu. Dan rasa ingin tahu mendorong ramai manusia di luar sana untuk cuba memahami fenomena yang berlaku di alam semester. Bagaimanakah awan boleh terbentuk? Bagaimana bumi ini berputar? Bagaimana manusia bernafas dan bergerak? Satu per satu persoalan akan terus timbul sehinggalah manusia mencari persoalan yang terakhir. The ultimate question. The absolute reason… Mengapakah manusia dijadikan di muka bumi ini?
Apabila diri seorang penyelidik dirahmati dengan nikmat akidah dan hidayah dari Allah, pasti persoalan itu telah terjawab. Bahawa manusia dijadikan di dunia ini untuk beribadah kepadaNya. Setiap niat, tutur kata dan perbuatan boleh menjadi ibadah lebih-lebih lagi apabila ia mengikuti sunnah nabi. Penyelidikan akan membawa kebaikan kepada manusia dan seterusnya membawa sang penyelidik menyingkap kebesaran Allah daripada pemerhatiannya.
Tetapi apabila etika, moral dan juga akidah itu tidak ada, maka habis rosaklah umat manusia di muka bumi ini. Penyelidikan yang melanggar hukum alam akhirnya melahirkan penyelidik-penyelidik yang pandai tetapi kosong nilai pekertinya. Inilah yang terjadi seperti kisah Projek Manhattan. Ini hanyalah salah satu contoh daripada situasi yang berlaku di sekeliling kita.
Penyelewengan berlaku di mana-mana sahaja. Gejala sosial berleluasa dengan ledakan teknologi. Banyak lagi keruntuhan insaniah yang berlaku apabila perkembangan rohani, etika dan juga spiritual tidak berlaku seiring dengan perkembangan fizikal sesebuah peradaban. Terlalu ironik… meraikan kebijaksaan manusia tetapi menangisi kehilangan moral dan etika. Seperti telah jelas dinyatakan dalam ayat Al-Quran, bahawa manusia bisa merosakkan dan menumpahkan darah di atas muka bumi ini. Apakah erti kebahagiaan apabila ia berpaksikan kepada kebendaan dan juga hawa nafsu semata-mata?
Celik sains tetapi buta agama… SubhanAllah, apakah yang akan berlaku kepada manusia yang tidak dibatasi tingkah lakunya dengan syariat agama? Namun begitu, tidak seharusnya diri ini hanya mengkritik dan berkata-kata tanpa berusaha untuk melakukan sesuatu. Hanya mungkin berbekalkan ilmu di dada serta bersenjatakan kata-kata dan doa, semoga Allah menjadikan kita orang yang bertaqwa dan berusaha membawa perubahan kepada masyarakat. Cuba dijejak sunnah nabi, menjadi mu’allim yang penyabar dan tinggi pengharapannya pada Allah. Menerapkan erti bertuhan pada hati-hati yang dipilih olehNya.
SubhanAllah, tak terkata rasa hati yang berkobar berbicara. Terkadang diri ini ingin hanyut dibawa resah dan gelisah dek kerana urusan dunia. Tetapi hati ini cuba dididik untuk tidak berpaut kepada dunia. Biarlah ia terus berhubung dengan Rabb, terus berdoa memohon petunjuk dan kekuatan dari Yang Maha Kuasa.
Telah panjang ku ungkapkan kata-kata. Ingin ku berundur dahulu. Doakan untukku wahai sahabatku. Semoga Allah memberkati diriku dan dirimu juga. Amin.
2 comments:
informative article...:)
rajin2lah ye update blog awk nie
semoga dipermudahkan segala urusan oleh Allah swt amin
AllahuAkbar. IKHWAN MUSLIMEEN menang pilihanraya misr. Alhamdulillah.
Post a Comment