Bismillahirahmanirahim
Asif jiddan kepada semua… Terkadang diri ini tidak mampu untuk menzahirkan apa yang terbuku di benak pemikiran lantaran tidak ada kata-kata yang sempat dikarang untuk sahabat sekalian. Doakanlah semoga Allah mengurniakan ilmu pengetahuan dan ilham kepada diriku dan dirimu. Amin.
Walaubagaimanapun, hari ini ternyata membawa pengajaran buatku. Terkadang kita lupa tentang suatu perkara iaitu erti pengorbanan. Dan hari ini Allah menguji hambaNya ini dengan kata itu… Sangat berat dirasakan tetapi apabila tangan mencapai kalam Burhan, ada sahaja pujukan firman dari Tuhan yang memujuk diri untuk terus berjuang.
Perjuangan menuntut kepada pengorbanan. Dan apa itu pengorbanan wahai sahabatku? Ketika hati menjadi berat, tekak terasa sempit, dada mula merasa sesak dan air mata itu mulai terbit… SubhanAllah, terkadang berat terasa pengorbanan itu… Tetapi telah diajar apa itu syukur… Telah ku kenal apa itu ganjaran dan pahala Allah… Telah ditunjuk jalan dan petunjuk… Telah tersedia wasilah dan kemudahan untuk perjuangan itu… Tetapi mengapa masih berat untuk berjuang?
Ya Allah, mudahkan segala urusanku. Ku hanya mengharap redhaMu. Luruskanlah niatku, ya Allah. Ku tidak berbuat kerana manusia tetapi kerana Engkau, wahai Allah…
Dan pengorbanan mengajar erti keikhlasan. Ketika usaha itu dijalankan seiring dengan tawakal kepada Allah. Semua yang masih berada dalam kekuatan untuk kita lakukan, hendaklah kita berusaha untuk melakukannya. Tatkala apabila seseorang memerlukan pertolongan dan juga nasihat, hulurkannya dengan semampu yang boleh.
Dan apabila sahabat berkata:
‘Malunya…. Serba salah kerana seperti menyusahkan sahaja…’
Senyuman akan terukir dan jawapan diberi:
‘Eh, janganlah macam tu… Dirimu menjadi penyebab kepada diriku untuk mendapat pahala Allah. Lagipun, kita gunakanlah segala kekuatan yang ada. InsyaAllah… Jangan risau…’
Tatkala harapan yang tinggi diletakkan pada Allah. Usaha telah dihulur dan doa sentiasa dipanjatkan pada Allah. Hanya Allah sahaja Yang Maha Berkuasa Menentukan segala-galanya. Berjaya atau tidak, bersedih atau gembira, untung atau rugi, segala-galanya ditentukan oleh Allah.
Dan di akhir setiap perkara dan peristiwa, Allah akan ajarkan sesuatu kepada kita. Maka senyumlah dan bersyukurlah pada yang memperolehi hikmah di sebalik setiap kejadian dan peristiwa… Allah ingin ajarkan kita tentang sesuatu…
Dan ayat-ayat kalam Burhan… Burhan itu adalah nama lain bagi Al-Quran. Burhan membawa maksud bukti. Al-Quran adalah kalam bukti kebenaran dan kekuasaan Allah. Dan alam dan isinya adalah kalam yang terbuka untuk kita baca petunjukNya dalam setiap penciptaan, keindahan dan peristiwa yang berlaku kepadanya. Maka, setiap perkara yang berlaku kepada kita telah diaturkan oleh Allah.
Apabila bersedih… mengadu pada Allah.
Apabila ketawa… panjatkan syukur pada Allah.
SubhanAllah. Ujian itu hadir mendekatkan kita pada Allah. Ujian itu hadir agar kita tidak leka dibawa arus kesenangan dunia. Ya Allah, tolongilah hamba-hambaMu ini. Amin.
Ku berundur diri dahulu. Doakan untukku wahai sekalian sahabatku… Semoga Allah memberkatimu. Amin.
No comments:
Post a Comment