Showing posts with label Bingkisan Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Bingkisan Ilmu. Show all posts

Wednesday, October 28, 2009

Mujahadah cinta pada Allah.

Bismillahirahmanirahim.


Saban hari, terlintas satu ketika dan setiap masa tentang mencari keredhaanNya. Dan hari demi hari, hakikat yang sentiasa perlu diterima iaitu belum sampai masanya untuk kita berjumpa dengan Allah. MasyaAllah, kerinduan untuk melihat Allah itu pasti hadir di relung hati mereka yang bergelar insan bersama tautan akidah pengakuan Allah Yang Maha Esa. Tertunggu saat bilakah boleh berjumpa denganNya?

MasyaAllah, tatkala persoalan itu diajukan pada hati dan juga sahabat ..... Persoalan yang hanya dijawab dengan persoalan yang lain.

"Sudah bersediakah diri ukhti untuk mengadapNya?"

"Bagaimana dengan amanah-amanah ukhti?"

"Sudah selesaikah semua hutang yang perlu dibayar?"

"Sudah cukupkah amalan untuk dibawa sebagai bukti tanda cinta pada Allah dan rasulNya?"

"Bagaimana dengan dosa-dosa kita yang lalu?"

SubhanAllah, beristigfar panjang ana dibuatnya. Ikhwah wa akhwat yang dirahmati Allah, perjuangan belum selesai lagi. Andai mungkin diri kalah pada nafsu dan bisikan syaitan pada hari ini, teruslah melangkah walau dengan lelah kerana kasih dan cinta Allah. Kerana itulah dinamakan mujahadah. Bersama memerangi anasir dalaman dan luaran kerana memperjuangkan sesuatu yang hak. Diri ingin mengajak antum semua mencari walau sedikit kekuatan dalam diri yang mungkin remuk rendam dibanjiri rasa serba salah, sedih, kecewa, marah, berdosa, takut, lelah, letih dan sebagainya dalam melangkah menggapai redhaNya. Kerana ujian-ujian yang hadir pada diri yang mengaku mencintai Allah. Bukankah tanda-tanda Mahabatillah ialah Ar-redha ataupun rela?



Teringat pesan sahibah; yang penting ialah usaha dan bukan natijahnya.

Andai mungkin diungkapkan kata-kata untuk dibawa ke ruang muhasabah, diri ini dan semua pasti diuji dengan sesuatu yang tidak dijangka, namun sesuai dengan kesanggupannya. Dan kini, kebanyakan sahabat di luar sana diuji dengan imtihan. Final exam, research or final project, assignment dan sebagainya. Bersama amanah-amanah bernama hamba Allah, khalifah Allah, daie, murabbi, mutarabbi, student, kakak atau abang, anak, pekerja, suami atau isteri, ayah atau ibu dan sebagainya.




MasyaAllah. Tenangkan diri antum semua. Cari ketenangan dalam alunan zikirullah dan ayat cinta Allah; Al-Quran. Biar kata-kata indah itu berkumandang lembut di hati antum yang bergelar insan. Lihat pada keagungan Allah yang terbentang indah di hadapan mata. Keajaiban Allah yang ada pada angin yang menerpa diri, pada pokok yang berdiri teguh pada akarnya, pada bunga yang mekar mewangi, pada diri seorang anak, sahabat, ibu, ataupun pada kucing yang antum sayangi. Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang......

Teringat pada satu ketika. Diri seperti ditegur dengan hadirnya satu jasad dalam mimpi pada waktu diri sangat larut dipupuk tidur yang nyenyak. Persoalan yang diajukan pada diri tidak akan pernah hilang di dalam hati;

"Apakah bukti cinta anti pada Allah?"

Astaghfirullah. Bagai dibangunkan untuk tahajud dengan hati yang gundah gelana dan kemarahan pada diri yang lalai dan berdosa. Diri terus melangkah berwuduk dan menghadap Allah mengadu dan memohon kemaafan padaNya tentang kelemahan dan kelalaian diri ini.

Dan persoalan yang sama ana tanyakan pada antum semua, APAKAH BUKTI CINTA ANTUM PADA ALLAH?


Kembali kepada amana-amanah dan ujian yang datang menyapa diri. Sebagai tanda kasih dan sayang Allah yang menjadi tarbiyah buat diri antum yang terpilih oleh Allah. Dan tatklala sedang menatap nota-nota tentang kimia, biologi, kejuruteraan dan sebagainya, yakinlah pada diri bahawa antum sedang melakukan satu bentuk ibadah pada Allah dengan menyediakan diri untuk memikul tanggungjawab yang bakal menjelma. Bakal-bakal doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya yang akan memenuhi amanah fardhu kifayah di dalam masyarakat kita. Menjadi wadah mencari pahala dan saham akhirat untuk menyediakan diri dan keluarga untuk berjumpa dengan Allah, tanda memenuhi perjuangan, amanah dan bukti cinta pada Allah. Tidak ketinggalan dengan ibadah fardhu ain dan ibadah sunat yang lain yang menjadi teras utama kuntuman bunga cinta Allah yang mekar di hati antum semua. Teruskan usaha dan bertawakallah padaNya.




Pada yang bergelar daie, guru, murabbi, mu'allim dan sebagainya. Saham akhirat berbentuk ilmu yang bermanfaat hendaklah sentiasa dicari. Hadirnya diri antum sebagai perantaraan hidayah Allah pada hati-hati manusia dengan mengungkapkan keindahan ilmu Allah yang ada pada antum semua. Menanamkan sifat mahmudah dan mendidik hati-hati di luar sana kepada pengislahan diri kembali kepada fitrah manusia yang sebenarnya iaitu beriman kepada Allah. Teruskanlah mujahadah wahai diri yang lelah. Tanda cintaku dan cintamu pada Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Dan kepada yang masih belajar, ilmu itu membuka banyak pintu kebahagiaan.

"...Dan Allah akan meninggikan orang-orang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat....." (58:11)

Ingin ana ungkapkan hadis yang sangat dekat dihati ana;

'Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya' (Riwayat Bukhari)

Salam mujahadah.

Wallahu'alam.

Tuesday, October 20, 2009

Allah, Yang Maha Pengasih; 'Kau, Aku dan Kami dalam Kurniaan Rezeki'


Hanya pada Allah, Tuhan Yang Disembah ana memohon. Bersama derai air mata hati yang tidak kelihatan di pipi, hati dan minda terus menyusun kata dan madah. Andai mungkin menjadi tatapan mata-mata yang memahami diri yang lemah dan kerdil ini. Diri ini kini diuji dengan ketiadaan seorang insan yang sangat dirindui di sisi, Muhammad Faris Al-Ghazi. Alhamdulillah, walauapapun yang berlaku, kini Faris berada di dalam jagaan ayahnya dan wan di kampung dan bukan lagi bersama dengan ana.


Wajah comel yang ana rindui, jasad kecil yang pernah berada dalam pelukan ana, mata yang bulat dan bercahaya memandang penuh rasa ingin tahu dan kasih. Segala-galanya sangat indah dan kini, ana tidak lagi bergelar 'babysitter' apabila tugas diambil alih oleh orang lain. Biarlah hati ini memanjat rasa syukur, kasih dan rindu pada Allah, semoga Allah menyampaikannya pada dia yang ana rindui.

Dan kesedihan ini hanya sementara mungkin... sehingga Allah mempertemukan ana dengan Faris lagi dengan izinNya. Seperti menjadi lumrah, seorang insan untuk mempunyai seseorang yang disayangi. Insan yang mungkin bergelar mama, abah, kakak, adik, sahabat dan sebagainya. Dan akhirnya, cinta-cinta ini membawa kita kembali kepada Pencipta rasa cinta ini. Maka segala puji buat Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.




Rasa serba salah pada kekasihku, Allah, tak sanggup untuk ana jelaskan dengan kata-kata. Satu ketika dan setiap masa diri bertanya, apakah nilai cinta dan hati manusia? Andai mungkin ana dan sesesiapa sahaja mampu berjuang di jalanNya, pernahkah tertanya tentang kasih dan cintaNya. Cinta kita padaNya dan redhaNya kepada kita.....

Dan ini mengingatkan ana kembali tentang satu cerita yang telah ana baca di dalam buku Nota Hati Seorang lelaki. Buku yang sangat berfalsafah dan menyentuh hati diri ini. Karangan seorang daie iaitu Ustaz Pahrol Mohd Juoi, mengungkap dengan indah, kisah-kisah tarbiah seorang anak, suami, ayah dan da'i.

Dalam nota 52, bertajuk "Kau, Aku dan Kami dalam Kurniaan Rezeki" sangat berbekas dalam hati ana yang merujuk kepada sifat Pengasih Allah S.W.T yang sangat jelas dalam surat cinta Allah iaitu Al-Quran. Sebagaimana Allah S.W.T telah menurunkan Al-Quran dengan bahasa Arab yang sangat indah, dan terdapat beberapa persoalan yang mungkin timbul di dalam penggunaan kata ganti nama bagi Allah; dimana sebahagian menggunakan kata ganti diri 'Aku' dan selain itu, terdapat kata ganti nama 'Kami'.


Dijelaskan di dalam nota 52 itu, Ustaz Pahrol mengikuti satu kuliah tafsir, dan beliau bertanya kepada ustaz yang mengajar tentang perbezaan kata ganti diri 'Aku' dan 'Kami' dalam ayat-ayat cinta itu, dan jawapannya:

"Bila Allah gunakan 'Kami' itu menunjukkan ada keterlibatan 'pihak' lain dalam perlakuan dan ketentuanNya. Contohnya, dalam pemberian rezeki kepada manusia, Allah gunakan ganti nama ‘Kami’. Sebab dalam pemberian rezeki Allah libatkan matahari, hujan, air, haiwan, tumbuhan dan lain-lain. Buah-buahan yang dimakan manusia misalnya, ada campur tangan makhluk lain yang menyampaikan rezeki daripada Allah itu kepada kita.”

Penjelasan ustaz di atas menyedarkan kita bahawa makhluk-makhluk Allah menjadi perantaraan atau saluran rezeki Allah S.W.T kepada kita. Maka, sifat penyayang Allah S.W.T terbukti dengan kehadiran manusia yang bergelar mama, abah, sahabat dan sesiapa sahaja, kerana mereka adalah perantaraan kasih sayang itu. Kerana itu, segala pujian hendaklah dipulangkan kepada Allah, kerana kurniaanNya iaitu insan-insan yang menyayangi dan menjaga kita.

Dalam nota tersebut juga menyebut tentang maksud di sebalik ganti nama ‘Aku’;

“Bila Allah menggunakan ana atau aku, Allah selalunya merujuk kepada pengampunan dosa, penerimaan taubat. Maksudnya, dalam penerimaan taubat dan pengampunan dosa, Allah menggunakan ganti nama diri-Nya sendiri. Allah tidak melibatkan ‘saluran-saluran’ dalam kalangan makhluk-makhluk yang lain.”


SubhanAllah. Mahu sahaja ana menaip keseluruhan cerita itu, tetapi, mungkin adalah lebih baik jika antum mencari buku Nota Hati Seorang Lelaki karangan Ustaz Pahrol Mohd. Juoi dan membacanya sendiri. Terlalu banyak yang boleh diambil sebagai tarbiyah kepada kita semua.

Hanya kerana ia bertajuk Nota Hati Seorang Lelaki, tidak bermaksud tidak sesuai untuk dibaca oleh kaum hawa. Untuk ana, buku ini sesuai untuk dibaca oleh semua. Lebih-lebih lagi kepada kaum Adam untuk meluaskan cara kognitif yang lebih berfalsafah dan ruhiyyah.




Kembali kepada pembicaraan kita tentang ‘saluran-saluran’ atau perantaraan rezeki dan kurniaan Allah. Timbul persoalan dalam diri ana; mengapa kita tidak bersyukur kepada Allah atas kurniaanNya yang jelas adalah milikNya? Mengapa kadang-kadang kita memberi pujian kepada perantaraan rezeki itu dan tidak kepada Al-Khaliq? Dan mengapa kita tidak berterima kasih kepada perantaraan itu (manusia), yang mungkin kerana kasih sayang yang ada pada mereka membolehkan kita merasai kasih Allah yang tidak terkira?

MasyaAllah. Harapan ana agar kita terus mensyukuri nikmat kurniaanNya. Terus melafazkan segala pujian kepada Allah kerana sifat Pengasih dan PenyayangNya. Kerana ini, ana mengajak antum semua untuk sentiasa melihat kepada kebesaran dan keajaiban Allah yang ada pada Al-Quran, penciptaan langit dan bumi, pada diri mama dan abah, pada kasih sayang ikhwah wa akhwat, pada sebutir nasi yang disuap ke mulut dan sebagainya. Percayalah bahawa Allah telah memperlihatkan kepada kita tentang kewujudan dan kebesaranNya.

Wallahu’alam.

Saturday, October 17, 2009

Rindu dan cinta itu untuk siapa?- oleh Ustaz Pahrol

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah dengan kurniaan dan kemurahan Allah, diri ini masih bernafas meneruskankan perjuangan di bumi Allah ini.

MasyaAllah, ingin ana kongsikan kepada sahabat di luar sana satu artikel yang sangat indah untuk dibaca, semoga menjadi antara perantaraan tarbiyah buat mata-mata yang membacanya:

http://genta-rasa.com/2009/08/05/rindu-dan-cinta-itu-untuk-siapa/#comment-1232

Wednesday, August 5, 2009

KasihMu Allah, tidak terkira.

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah dengan nikmat nafas yang diberikan oleh Allah, sebagai tanda kemurahanNya. Bermula lagi hari yang baru, dengan azam yang baru. Bismillah, semoga sentiasa dalam naungan kasih dan cintaNya.

Hati berbunga dengan kejadian semalam; ketika diri sekali lagi mengutarakan masalah kepada abah yang memahami. Seperti anugerah Allah dengan kejadian manusia yang bergelar abah, mendengar, berfikir, dan menyelesaikan masalah dengan logik dan munasabah.

Lelaki.... tidaklah hendak digelarkan satu subjek yang kompleks, tetapi akal dan pemikirannya sangat ana kagumi. Penuh hikmah dan falsafah. Sangat berlainan dengan seorang perempuan yang penuh dengan emosi dan perasaan. Mengingatkan ana kepada buku Di Jalan Dakwah Aku Menikah, Aku Terima Nikahnya dan juga Seven Habits of Highly Effective People. Mungkin kerana itu, ana lebih suka kepada sesuatu yang berfalsafah dan mencabar menyebabkan ana lebih rapat dengan abah daripada mama. Dan juga faktor ana sebagai anak sulung... Tetapi semua yang berlaku menyebabkan ana berfikir tentang hakikat yang kita semua telah dewasa. Tentang bagaimana suatu hari nanti, mama dan abah akan melepaskan anak-anaknya mengharungi kehidupan diluar sana. Yang perempuan, belajar, bekerja dan bakal meniti hidup sebagai isteri orang. Dan yang lelaki, bekerja dan suatu hari nanti bergelar suami. Melalui satu fasa hidup yang seterusnya. Bersediakah diri untuk mengharungi dugaan yang semakin hari, semakin besar? MasyaAllah, semoga diri terus melangkah dengan petunjuk dariMu.

Selain itu, persoalan yang lain juga timbul. Sejauh mana usahaku untuk dakwah family? Mungkin dahulu tiada sesiapa yang mengingatkan untuk solat, membaca Al-Quran dan sebagainya, kini tugas itu berada di tangan kita yang ditarbiyah. Ingin diri menjadi perantaraan kepada hidayah yang turun dari Allah kepada manusia. Namun begitu, sejauh mana kekuatanku? Suka dan duka dalam keluarga menjadi pengajaran buat diri. Cuma, manusia juga ada kelemahannya. Hambatan dakwahku mungkin dari aspek keluarga. Tidak dinafikan kasih sayang mereka sentiasa dicari. Tetapi, pengorbanan perlu dibuat untuk teruskan perjuangan. Mungkin, buat masa ini, hanya dakwah dengan akhlak yang mampu dibuat. Sebagai akhwat di rumah, semoga diri ini mampu menjadi qudwah kepada mereka yang disayangi. Ya Allah, semoga dilembutkan hati mereka merestui pemergianku untuk berjuang di jalanMu. Kuatkan juga diriku untuk terus mencintaMu, Allah; rasul dan jihad di jalanMu. Ameen.




Hariku terus diisi dengan kuliah Taranum selama 2 jam bersama akhwat yang dikasihi. Seperti masih berkumandang suara ustaz yang mengalunkan ayat al-Quran, azan dan Qasidah dengan lagu Bayyati, Hijaz, Rast, Soba, Nahwand dan sebagainya. Keindahan al-Quran terserlah dengan bacaan yang diiringi dengan tartil, tajwid dan taranum yang dibawa. Gementar hati ana mendengarnya. Bagai ingin menangis memikirkan keindahan ayat cintaNya dan mengenangkan kesukaran dan ujian buat diri yang ingin mencari ilmu al-Quran. Tetapi, Allah Maha Penyayang dan Maha Kaya. Biarlah kehadiran ana di kelas itu untuk melegakan hati yang kesedihan kerana ilmu al-Quran itu terlalu sukar untuk dicari. Seperti terlalu sedikit bilangan ustaz dan ustazah diluar sana yang mampu mengajar ana, walau sebanyak mana usaha dibuat untuk mencari seorang guru. Beberapa kali diri ini kekecewaan kerana tiada peluang untuk belajar. Bagaikan telah lali dengan perasaan itu; apabila menghubungi seseorang yang mungkin boleh mendengar bacaan Al-Quran ana, tetapi disambut dengan ucapan maaf, dan sebagainya. Tetapi diri ingin menyempurnakan bacaan ayat cinta Allah, ingin menyentuh hati manusia dengan ayat Al-Quran. Ingin menjadi perantaraan hidayah Allah kepada manusia.... Ya Allah, kirimkan untukku guru, mengajarku tajwid, Al-Quran, qiraat dan sebagainya. Seorang yang mungkin boleh ana bertalaqqi dengannya, berkongsi ilmu tentang Allah, Islam, al-Quran, dakwah dan sebagainya. Ameen..

Maka, syukur pada Allah di atas segala nikmat ilmu yang diberi. Wahai sahabat di luar sana, terlalu ramai di luar sana yang punya rasa ingin tahu dan kemahuan yang tinggi untuk belajar, tetapi kekangan hidup yang dihadapi yang mungkin berbentuk kewangan, kesihatan, keluarga dan sebagainya menyebabkan cita-cita itu tidak dapat dipenuhi. Kesusahan itu boleh menyebabkan cita-cita dan kemahuan itu menjadikan seseorang itu lebih berusaha untuk mencapainya atau menyebabkan seseorang itu murung kerana berputus asa dengan keadaan tersebut. Semoga diri kita menjadi orang yang terus berusaha.




Hendak bercerita tentang diri, Allah Maha Mengetahui di atas segala sesuatu. Tentang keimanan, keikhlasan, tujuan, usaha, kemampuan, perasaan, hati dan sebagainya adalah dalam pengawasanNya dan pengetahuanNya. Hakikat manusia diberi pilihan samada untuk beriman atau tidak, untuk mengimani Tuhan Yang Maha Esa atau kafir. Maka, syukuri nikmat iman dan Islam yang telah dikurniakan. Percaya pada diri bahawa diri ini telah dipilih olehNya dengan nikmat-nikmatNya yang besar itu. Perlulah muhasabah diri kembali apakah tujuan hidup di dunia. Kerana di luar sana, terlalu ramai yang telah beralih kiblatnya. Samada pada Allah atau dunia yang penuh dengan penipuan dan godaan.

Wahai Allah, Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ana berharap dan mengadu padaMu. Rugilah diri hambaMu ini andai Engkau tarik nikmat-nikmat yang telah Engkau berikan. Biarlah diri terus larut dalam nikmat kasih dan cintaMu. Tidak terlalu ku risaukan masa hadapan kerana ketentuanku telah ditulis di helaian takdirMu. Pintaku cuma kesudahan yang baik, disambut dengan pandangan rahmatMu. Berikanlah kekuatan supaya terus melangkah di bumi ciptaanMu, menabur budi dan bakti. Siapalah diri ini untuk menghulurkan sesuatu tanda cintaku. Kerana segala-galanya adalah milikMu. Kerana Engkau, ya Allah, adalah Pemilik dan Pencipta hatiku. Pemilik rinduku, Pemilik rasa cintaku, Pemilik nyawa dan badanku, semuanya adalah milikMu. Semua yang ada adalah pinjaman buat hambaMu yang lemah ini. Ya Allah, permudahkan urusanku di dunia dan akhirat. Ku mohon kasih dan redhaMu. Semoga Kau perkenankan doaku. Ameen.