Hanya pada Allah, Tuhan Yang Disembah ana memohon. Bersama derai air mata hati yang tidak kelihatan di pipi, hati dan minda terus menyusun kata dan madah. Andai mungkin menjadi tatapan mata-mata yang memahami diri yang lemah dan kerdil ini. Diri ini kini diuji dengan ketiadaan seorang insan yang sangat dirindui di sisi, Muhammad Faris Al-Ghazi. Alhamdulillah, walauapapun yang berlaku, kini Faris berada di dalam jagaan ayahnya dan wan di kampung dan bukan lagi bersama dengan ana.
Wajah comel yang ana rindui, jasad kecil yang pernah berada dalam pelukan ana, mata yang bulat dan bercahaya memandang penuh rasa ingin tahu dan kasih. Segala-galanya sangat indah dan kini, ana tidak lagi bergelar 'babysitter' apabila tugas diambil alih oleh orang lain. Biarlah hati ini memanjat rasa syukur, kasih dan rindu pada Allah, semoga Allah menyampaikannya pada dia yang ana rindui.
Dan kesedihan ini hanya sementara mungkin... sehingga Allah mempertemukan ana dengan Faris lagi dengan izinNya. Seperti menjadi lumrah, seorang insan untuk mempunyai seseorang yang disayangi. Insan yang mungkin bergelar mama, abah, kakak, adik, sahabat dan sebagainya. Dan akhirnya, cinta-cinta ini membawa kita kembali kepada Pencipta rasa cinta ini. Maka segala puji buat Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Rasa serba salah pada kekasihku, Allah, tak sanggup untuk ana jelaskan dengan kata-kata. Satu ketika dan setiap masa diri bertanya, apakah nilai cinta dan hati manusia? Andai mungkin ana dan sesesiapa sahaja mampu berjuang di jalanNya, pernahkah tertanya tentang kasih dan cintaNya. Cinta kita padaNya dan redhaNya kepada kita.....
Dan ini mengingatkan ana kembali tentang satu cerita yang telah ana baca di dalam buku Nota Hati Seorang lelaki. Buku yang sangat berfalsafah dan menyentuh hati diri ini. Karangan seorang daie iaitu Ustaz Pahrol Mohd Juoi, mengungkap dengan indah, kisah-kisah tarbiah seorang anak, suami, ayah dan da'i.
Dalam nota 52, bertajuk "Kau, Aku dan Kami dalam Kurniaan Rezeki" sangat berbekas dalam hati ana yang merujuk kepada sifat Pengasih Allah S.W.T yang sangat jelas dalam surat cinta Allah iaitu Al-Quran. Sebagaimana Allah S.W.T telah menurunkan Al-Quran dengan bahasa Arab yang sangat indah, dan terdapat beberapa persoalan yang mungkin timbul di dalam penggunaan kata ganti nama bagi Allah; dimana sebahagian menggunakan kata ganti diri 'Aku' dan selain itu, terdapat kata ganti nama 'Kami'.
Dijelaskan di dalam nota 52 itu, Ustaz Pahrol mengikuti satu kuliah tafsir, dan beliau bertanya kepada ustaz yang mengajar tentang perbezaan kata ganti diri 'Aku' dan 'Kami' dalam ayat-ayat cinta itu, dan jawapannya:
"Bila Allah gunakan 'Kami' itu menunjukkan ada keterlibatan 'pihak' lain dalam perlakuan dan ketentuanNya. Contohnya, dalam pemberian rezeki kepada manusia, Allah gunakan ganti nama ‘Kami’. Sebab dalam pemberian rezeki Allah libatkan matahari, hujan, air, haiwan, tumbuhan dan lain-lain. Buah-buahan yang dimakan manusia misalnya, ada campur tangan makhluk lain yang menyampaikan rezeki daripada Allah itu kepada kita.”
Penjelasan ustaz di atas menyedarkan kita bahawa makhluk-makhluk Allah menjadi perantaraan atau saluran rezeki Allah S.W.T kepada kita. Maka, sifat penyayang Allah S.W.T terbukti dengan kehadiran manusia yang bergelar mama, abah, sahabat dan sesiapa sahaja, kerana mereka adalah perantaraan kasih sayang itu. Kerana itu, segala pujian hendaklah dipulangkan kepada Allah, kerana kurniaanNya iaitu insan-insan yang menyayangi dan menjaga kita.
Dalam nota tersebut juga menyebut tentang maksud di sebalik ganti nama ‘Aku’;
“Bila Allah menggunakan ana atau aku, Allah selalunya merujuk kepada pengampunan dosa, penerimaan taubat. Maksudnya, dalam penerimaan taubat dan pengampunan dosa, Allah menggunakan ganti nama diri-Nya sendiri. Allah tidak melibatkan ‘saluran-saluran’ dalam kalangan makhluk-makhluk yang lain.”
SubhanAllah. Mahu sahaja ana menaip keseluruhan cerita itu, tetapi, mungkin adalah lebih baik jika antum mencari buku Nota Hati Seorang Lelaki karangan Ustaz Pahrol Mohd. Juoi dan membacanya sendiri. Terlalu banyak yang boleh diambil sebagai tarbiyah kepada kita semua.
Hanya kerana ia bertajuk Nota Hati Seorang Lelaki, tidak bermaksud tidak sesuai untuk dibaca oleh kaum hawa. Untuk ana, buku ini sesuai untuk dibaca oleh semua. Lebih-lebih lagi kepada kaum Adam untuk meluaskan cara kognitif yang lebih berfalsafah dan ruhiyyah.
Kembali kepada pembicaraan kita tentang ‘saluran-saluran’ atau perantaraan rezeki dan kurniaan Allah. Timbul persoalan dalam diri ana; mengapa kita tidak bersyukur kepada Allah atas kurniaanNya yang jelas adalah milikNya? Mengapa kadang-kadang kita memberi pujian kepada perantaraan rezeki itu dan tidak kepada Al-Khaliq? Dan mengapa kita tidak berterima kasih kepada perantaraan itu (manusia), yang mungkin kerana kasih sayang yang ada pada mereka membolehkan kita merasai kasih Allah yang tidak terkira?
MasyaAllah. Harapan ana agar kita terus mensyukuri nikmat kurniaanNya. Terus melafazkan segala pujian kepada Allah kerana sifat Pengasih dan PenyayangNya. Kerana ini, ana mengajak antum semua untuk sentiasa melihat kepada kebesaran dan keajaiban Allah yang ada pada Al-Quran, penciptaan langit dan bumi, pada diri mama dan abah, pada kasih sayang ikhwah wa akhwat, pada sebutir nasi yang disuap ke mulut dan sebagainya. Percayalah bahawa Allah telah memperlihatkan kepada kita tentang kewujudan dan kebesaranNya.
Wallahu’alam.
1 comment:
Banyak nyer gambar bunga kat blog ni... boleh la geng dgn akak.
Post a Comment