Betapa sayangnya mama pada semua, dikuatkan langkah mengutip baju-baju kotor yang bersepah, dibasuhkan pinggan yang menggunung di sinki dapur, disapukan lantai yang berhabuk, dilapkan air yang tertumpah dan diangkat baju yang sudah kering berjemur. MasyaAllah, kuatnya mama tetapi hatinya lembut.
Tatkala ana sedar dari kealpaan diri, terkejut diri ini melihat semua kerja yang telah mama lakukan. Apa yang telah ku buat? Sibuk dengan kerja dan projek sehingga lupa dengan tanggungjawab sebagai seorang anak perempuan. Ana pandang wajah mama, ana senyum lalu bertanya:
“Mama nak air? Kita buatkan air teh… “
Dan selepas air dihulur, pertanyaan yang sentiasa ingin ana tahu jawapannya akhirnya ana ajukan.. Kalau seorang ibu marah dekat anak dia, mesti dia sabar sebab setiap kata-katanya menjadi satu doa, betul tak? Dan jawapan yang kuperolehi: Senyuman yang panjang dan perkataan ‘Ya’. Dan dari mata dan suaranya ana tahu kasih mama sangat indah dan tak ternilai harganya….
Apabila diimbas semula peristiwa lalu.. ketika pulang ke kampung di Johor, perjalanan mengambil masa selama 3 jam. Tak sabarnya untuk sampai ke rumah nenek. Dalam perjalanan mama mengajar kami bahasa Jawa. Masing-masing dah letih dan kelaparan…
“ Nanti cakap kat nenek nak ‘segoh’ (nasi dalam bahasa jawa).”
Rupanya terlalu banyak perkara yang ana tak tahu tentang mama dan pengetahuan yang mama ada
Teringat ketika kecil dahulu, ana terjatuh tangga dan mendapat demam panas yang agak teruk di kampung nenek. Kasih mama kepada anaknya ini, dipangku ana dalam perjalanan pulang ke Selangor. Diganti tuala basah yang diletakkan di atas dahi ana untuk mengurangkan suhu badan ana yang panas. Sungguh.. kasih mama tak terkira harganya.
Dan tatkala mama terasa hati dengan anaknya, dia berundur diri ke bilik, menyibukkan diri dengan tugasan lain. Adikku yang sorang ni buat hal rupanya. Ana pujuk adik untuk meminta maaf pada mama. Adik pun masuk ke bilik mama dengan matanya yang berair dan ditemani ana disisinya. Lalu ungkapan maaf pun terkeluar dari mulutnya:
“Maaf mama.”
Mama yang pada mulanya tidak mahu bertentang mata, merenung adik bagaikan boleh tembus ke hati. Kata-katanya ketika itu diungkap dengan penuh rasa sayang:
‘Mama bukannya marah. Tapi lain kali ikut cakap mama, ya?’
Adikku menganggukkan kepala dan menangis bagaikan tiada hari esok.
Kenangan yang tidak akan ana lupa, kerana ana bagaikan menyambungkan kembali satu pertalian yang sangat suci. Dan terserlah kini tali persaudaraan akan menguatkan diri dan ahli keluarga yang lain. Juga satu cinta yang berharga nilainya… Kasih seorang ibu.
Ya Allah, bersyukur padaMu ku dikurniakan ibu yang penyayang. Berkatilah dia didunia dan akhirat nanti. Semoga kami berjumpa di syurga nanti bersama-sama dalam naungan kasihMu, Allah.
Pada semua ibu di luar sana.. kasihmu tidak mampu dibalas. Hanya Allah yang mampu memberi balasan selayaknya untuk kasihmu yang tak terhingga..
Dan sekiranya ibu telah tiada.. doakan dia berada di kalangan orang-orang yang beriman dan semoga berada di taman-taman syurga yang aman damai..
No comments:
Post a Comment