Bismillah.
Sekiranya berbicara tentang cinta, setiap manusia sentiasa diuji dengan cinta, satu perasaan yang dicipta oleh Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Di dunia ini, manusia secara fitrahnya mempunyai perasaan untuk bercinta dan berkasih sayang. Tidak kiralah pada keluarga, sahabat, harta dan semua yang dirasakan indah yang ada di dunia. Maka, di sini Allah menguji keimanan seseorang hamba samada cinta tersebut adalah pada jalan yang diredhaiNya atau mengikut hawa nafsu semata-mata. Samada ia halal atau haram disisi ajaran Islam.
Cinta itu ada banyak jenisnya. Sebagai seorang perempuan, pastinya ada satu ketika dimana kita menunggu kehadiran mujahid yang bakal mengucapkan sumpah janji untuk menjadikan kita seorang isteri dan dirinya sebagai seorang suami dan qawam (pemimpin) di dalam bahtera rumahtangga yang bakal dikemudi. Namun begitu, sekiranya belum tiba pada waktunya, adalah lebih baik untuk diri mencari cinta yang lain. Cinta pada Allah, cinta pada al-Quran, cinta pada Rasul, cinta pada ibu, cinta pada ayah, cinta pada adik beradik, cinta pada ilmu, cinta pada sahabat dan sebagainya. Pada ketika diri hampir dihanyutkan oleh cinta manusia yang mungkin menggundang kemurkaan Allah luar sana, cinta-cinta yang halal buat diri hendaklah dicari sebagai ganti.
Pada risalah kali ini, ingin ana bawakan kepada antum tentang cinta kepada Al-Quran. Pengalaman mengajar ana, cinta adalah satu perasaan anugerah Allah kepada seorang manusia, yang mana hanya orang terpilih yang boleh menerimanya. Dan apabila mengungkapkan tentang cinta pada Al-Quran, sejujurnya untuk ana, ia adalah satu anugerah buat diri yang dambakan ketenangan dan bukti sebagai tanda cinta daripada Allah S.W.T. Cinta pada Al-Quran adalah berkait rapat dengan cinta pada Allah, dan kita tidak dapat lari dari keduanya. Ini adalah kerana ayat-ayat dalam Al-Quran itu adalah ayat-ayat cinta dari Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang dan Al-Quran itu adalah warkah atau surat cinta dariNya.
Lahirnya kecintaan pada al-Quran, kalimah cinta Allah itu bermula dengan mendengarnya. Malah, ia bagaikan perkenalan pertama pada Pencipta yang Maha Esa. Seterusnya bercambah dengan belajar dan membaca Al-Quran. Ketika ini, hati mula sedar bahawa Allah Maha Penyayang dengan pahala yang dijanjikan pada setiap hambaNya yang belajar dan membacanya. Seterusnya, cinta pada al-Quran mula tumbuh dengan tadabbur dan kefahaman pada ayat dan hikmah di dalamnya. Rinduku pada Allah apabila ayatNya ditadabbur dan kebesaranNya jelas ternyata pada alam yang terbentang luas di alam syuhada. Lalu, cinta itu berkembang dengan penghayatan dan amalan di dalamnya. Dan harapanku agar ia terus mekar di dalam hati dengan usaha mengajar dan menyampaikannya pada orang lain sebagai budi dan bakti untuk mencapai redha Allah dan istana di syurga menanti.
‘Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.’
(Riwayat Bukhari).
Cinta itu hadir dengan mendengarnya.....
Sebelum itu, cuba bayangkan diri berada di satu tempat yang sangat tenang dan senyap. Dikala itu, berkumandang ayat al-Quran yang sangat dikenali. Mungkin alunan Imam Al-Ghamidi, Masyari, Husori, Sudais, Maher, Manshawi atau imam-imam terkenal yang lain. Mungkin juga, alunan al-Quran yang indah itu dari ayah, ibu atau seseorang yang dirindui. Alunan yang sangat indah walaupun mungkin tidak difahami, tetapi hati seolah-olah merasai ketenangan yang sangat agung. Perasaan yang sangat bahagia bagaikan dipujuk untuk terus larut di dalamnya. Getaran suara yang bersulamkan perasaan sang pembaca itu seolah-olah sedang bercerita tentang sesuatu yang luar biasa. Tidak terlepas juga kesempurnaan pembacaan dari segi maghraj huruf dan tajwidnya. Apabila Al-Quran yang dibaca dengan tartil dan penghayatan, ia mampu menyentuh hati-hati yang mendengarnya dengan kehendak Allah Yang Maha Kuasa. Dan tiada keraguan lagi dalam diri bahawa kalimah-kalimah dalam bahasa Arab yang sungguh indah itu adalah dari Allah, Tuhanku Yang Maha Bijaksana.
Dan tatkala ayat mula berbicara tentang syurga; yang terdapat di dalamnya tahta-tahta yang ditinggikan, gelas-gelas , bantal-bantal dan juga permaidani yang dihamparkan, kerinduan sang pembaca seperti dirasai oleh diri yang juga berkeinginan untuk menjejakkan kaki ke sana. Indahnya syurga itu yang mana di sana nanti berjumpa dengan Allah dan rasul yang dirindui. Mungkin berjumpa dengan mereka yang disayangi yang telah kembali ke sisi Allah. Doaku semoga mereka berada di taman-taman syurga. Cuma, layakkah diriku untuk ke sana apabila telah sampai masanya? Sungguh, ana dambakan syurga dan kebahagiaan di dalamnya. Antum pula bagaimana?
Tetapi, apabila ayat al-Quran mengungkapkan tentang neraka dan api yang menyala-nyala; bagaimana buah Zaqqum yang menghancurkan perut dan air panas menggelegak dari logam yang dicairkan, dijanjikan untuk penghuninya,rasa ketakutan dan sebak mengiringi bacaan itu. Maka, dalam diri timbul perasaan takut, sedih dan haru kerana mengenangkan dosa yang telah diri lakukan selama ini. Betapa di dalamya, penghuni neraka itu diseksa dengan sangat dahsyat. Kerana janji Allah yang ada dalam Al-Quran itu adalah benar dan nyata buat mereka yang mengundang kemurkaanNya. Maha Suci Allah, jauhkan diri dan keluargaku dari api neraka.
Seterusnya, surat cinta itu terus bercerita tentang kebesaran Allah yang telah ditunjukkan kepada kita semua. Tentang bagaimana langit ditinggikan, bagaimana gunung ditegakkankan dan bagaimana bumi dihamparkan, segala-galanya menjadi bukti kekuasaan Tuhan. Terlalu agung. Diriku tersenyum bagaikan Allah membuka hijab menampakkan keajaiban ciptaanNya di hadapan mata sehingga timbul perasaan rindu ingin berjumpa kepada Pencipta alam ini. Indahnya Al-Quran kerana ia mampu membuat sesiapa yang mendengarnya terhibur, berfikir, menangis, bersyukur dan sebagainya.
Allah, Tuhanku Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Yang menghadirkan Al-Quran itu sebagai bukti yang nyata tentang kebesaranNya. Diturunkan dari Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. yang mana surat cinta Allah itu adalah mukjizat terbesar buat Rasulullah. Baginda yang diutuskan kepada kita sebenarnya adalah satu rahmat seluruh alam sebagai perantaraan wahyu Tuhan kepada hamba-hambaNya. Hadirnya Rasulullah membawa manhaj Al-Quran buat pedoman dan ikutan. Kerana di dalamnya terdapat hikmah, kebenaran, hakikat kejadian, hukum, sejarah, ilmu dan sebagainya. Tidakkah kita sedar dengan kebesaran dan kekuasaanNya dalam setiap perkara yang ada di bumi ini? Seperti berulangkali diungkapkan dalam Surah Ar-Rahman:
Maka, yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahman: 13)
Percayalah, Al-Quran adalah kurniaan Tuhan bagi mereka yang mempunyai akal untuk memikirkannya.Kepada mereka yang tidak sedar tentang hakikat Rasulullah sebagai penerima wahyu dan menyampaikan kepada manusia seluruhnya, maka, sedarlah. Pemergian Rasulullah bermaksud telah sempurnanya ajaran Islam yang diturunkan kepada manusia seluruhnya. Tetapi hakikatnya, pemergiannya juga bermakna telah terputusnya wahyu dari Allah S.W.T kepada kita semua. Kerana ini, kehilangan Rasulullah sangat dirasai oleh keluarga, sahabat baginda dan sekalian umat manusia.
Sekiranya kita mendengar alunan ayat Al-Quran, apabila ia disertakan dengan penghayatan samada yang berbentuk harapan, perasaan takut, kegembiraan, takjub, dan sebagainya, tidak mustahil untuk menyentuh hati-hati yang mendengarkannya. Seterusnya, hati mula tertanya-tanya tentang siapakah Pencipta ayat seindah ini? Betapa indahnya Al-Quran apabila dibaca dengan sempurna sehingga tertanya; bagaimana ayat-ayat Al-Quran yang keluar daripada mulut Rasulullah sendiri? Subhanallah… rindunya pada Rasulullah, ingin untuk ana dengar ayat agung ini dari baginda sendiri. Dan rindu ana pada Allah, mengenangkan ayat –ayat ini adalah kalimah-kalimahNya. Mungkinkah diri ini disambut dengan pandangan rahmatNya atau kemurkaanNya apabila sampai masa untuk ana bertemu denganNya?
Lahirnya perasan cinta apabila kita mula mengenalinya. Dalam surah Al-Anfal ayat ke-2, bagaimana Allah S.W.T berfirman bahawa :
‘Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal.’
(Al-Anfal :2)
Apabila ditelusuri ayat di atas, beberapa pertanyaan yang boleh kita timbulkan. Gementarkah hati antum apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran? Bagaimana dengan tahap keimanan kita? Adakah iman kita bertambah? Dan sungguh, soalan ini hanya boleh dijawap oleh yang empunya diri, dan percayalah, Allah itu Maha Mengetahui, samada yang jelas ditunjukkan ataupun yang tersembunyi di dalam hati.
Sekiranya kita mengimbas kembali sirah Rasulullah, ramai para sahabat yang memeluk Islam apabila mendengar Al-Quran dari Rasulullah. Seperti Mus’ab bin Umair, duta pertama Islam ke Madinah. Apabila beliau mendengar ayat Al-Quran daripada Rasulullah, dirinya seolah-olah berada di awang-awangan, kegembiraan yang amat sangat sehingga Rasulullah meletakkan tangan baginda di atas dadanya untuk menenangkan Mus’ab bin Umair. Tatkala itu, Rasulullah sedar tentang potensi dan keistimewaan yang ada pada Mus’ab bin Umair dalam perjuangan Islam di muka bumi ini dan Mus’ab adalah antara sahabat yang dipercayai oleh Rasulullah sehingga dilantik menjadi duta ke Madinah kerana perwatakannya yang baik dan menyenangkan.
bersambung.....
No comments:
Post a Comment