Bismillahirahmanirahim
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Sudah terlalu lama ruang cyber ini tidak ana hiasi dengan kata-kata, dan akhirnya ana mampu untuk nukilkan sesuatu apabila ana kembali ke Bangi.
Harapan dan doa pada Allah, buat diri yang sangat lemah. Diri mengharapkan kekuatan, kasih dan cinta Allah agar dikurniakan pada diri, keluarga, sahabat dan semua muslimin dan muslimat di luar sana. Semoga cinta dan kasihNya terus mekar mewangi di hati-hati mereka yang dirahmati Allah dengan perasaan ini.
MasyaAllah, kemampuan ana untuk terus menyusun ayat tersangat terhad. Hanya mungkin berbekalkan keinginan, perasaan, kemahuan dan emosi untuk jari ana terus menaip mengungkap kata-kata. Diri ini perlu untuk diluahkan perasaan hati yang dambakan cahaya yang mampu membawa ana ke syurga, mengutip walau sedikit permata pahala sebagai bekal menghadap Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Kaya.
Sahabat yang ana kasihi dan dirindui. Pemergian ana di Perak untuk mencari sedikit saham akhirat dengan niat untuk beramal dengan mencurah tenaga dan kasih sayang yang ada untuk menjaga adik kecil, Muhammad Faris Al-Ghazi bersama makcik yang ana kasihi. Selain itu, ana sangat diperlukan kerana ana boleh membawa kereta kerana makcik masih dalam proses belajar memandu kereta. Pengalaman yang tidak mungkin untuk ana dapat di mana-manapun dan semoga ilmu dan pengalaman itu dapat menyediakan diri ana untuk menghadapi masa hadapan yang bakal menjelma dengan kehendak Allah S.W.T.
Pengalaman apa yang ana dapat???
Huhu... pengalaman menjadi seorang ibu...... (well, literally said). Betapa ana sangat mengagumi kekuatan seorang ibu yang telah melahirkan seorang anak dan seterusnya menjaganya dengan penuh kasih sayang.
Keadaan ini mengingatkan ana kepada program keakhwatan yang telah kita hadiri dahulu. Dan terbukti, apa yang dibincangkan adalah sangat berguna... namun begitu, ia masih tidak mencukupi. Mungkin ada membincangkan tentang bagaimana mendirikan baitul muslim, tarbiyatul aulad, kesihatan wanita dan sebagainya, tetapi tidak pula membincangkan tentang bagaimana untuk menjaga seorang bayi yang baru lahir. SubhanAllah, ana syukur dengan ketentuanMu, sungguh cantik aturan penciptaanMu.
Seorang perempuan dikurniakan dengan hati yang lembut dan sifat kasih sayang yang sangat banyak. Maka, terdapat banyak kelebihan yang Allah S.W.T. berikan kepada seorang perempuan sepadan dengan lambang kelembutan, kecantikan dan kasih sayang yang ditampilkan. Contohnya dibolehkan untuk memakai emas dan sutera untuk perempuan tetapi tidak dibolehkan kepada lelaki. Betapa kekuasaan Allah itu dapat dilihat di mana-mana sahaja termasuklah dalam hukum fikh wanita, syariah dan sebagainya. Bagaimana Allah S.W.T. sebenarnya telah menjaga semua kaum hawa dengan hak dan batasan yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam, contohnya anjuran menjaga pandangan dan menutup aurat. Tidak perlu untuk ana ulas panjang lebar di sini kerana sahabiah di luar sana juga pasti sedang menikmati hakikat hukum ini adalah untuk kebaikan diri sendiri jua.
Sekiranya ditanya, sukarkah menjaga seorang bayi kecil yang berusia sebulan lebih? MasyaAllah, tidak terkata oleh diri untuk menggambarkan keadaan yang sebenarnya...
Bersama Faris yang sangat comel ini... yang perlu diberi susu setiap 2 jam (perut bayi adalah kecil, maka perlu kerap diberi susu). Maka, cubalah bayangkan diri antum di tempat ibu yang berjaga malam... pada pukul 1, 3, 5 am dan seterusnya.... tidak termasuk dengan tugas menukar lampin dan sebagainya.... Namun begitu, akhirnya si ibu akan senang hati melihat si anak tidur dengan aman dan tenang.
Dan akhirnya juga ana tahu kenapa air kencing kanak-kanak lelaki yang berumur kurang dari 2 tahun adalah kategori najis muhafafah... kenapa ya? cuba antum tanya ibu antum sendiri... atau mungkin suatu hari nanti antum akan sedar betapa rasionalnya hukum ini apabila antum mempunyai anak lelaki sendiri. hehe...
Apabila menjaga seorang bayi yang masih kecil, hanya tangisan sebagai cara si kecil ini untuk berkomunikasi dengan orang di sekelilingnya. Dan satu ketika, kita akan tahu jenis-jenis tangisannya; menangis hendak susu, hendak lampinnya ditukar, hendak diangkat dan didodoi, dan sebagainya. Selain itu, pada umur seperti ini, bayi akan tidur sebanyak 20 hingga 22 jam. Selebihnya adalah masa untuk keperluan-keperluannya dipenuhi.
Ana sangat berharap agar agar mujahid kecil ini membesar dengan baik dan sihat. Kepulangan ana ke Bangi juga tidak dirancang kerana gara-gara Faris. Kerisauan dan perasaan yang sangat lemah melanda diri ini apabila melihat Faris menangis kesakitan akibat ruam yang agak teruk di bahagian pungggungnya. Lebih teruk apabila tangisannya itu tidak reda dan kami (ana dan makcik) tidak mampu untuk berbuat apa-apa untuk meredakan sakitnya. Hampir sahaja ana dan makcik menangis kerana perasaan tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Jam pada ketika itu menunjukkan pada pukul 1.30 pagi. Tiada klinik yang buka ketika ini tetapi Faris perlukan perhatian doktor pakar kanak-kanak dengan segera.
Selepas berikhtiar untuk seketika, daripada tunggu sehingga pukul 8 pagi esok untuk ke klinik, kami membuat keputusan untuk kembali ke Bangi dan mencari klinik 24 jam yang buka di sini. Pada mulanya, kami sangat risau untuk travel pada waktu malam kerana bayi agak sensitif dengan keadaan sekeliling yang gelap dan terdapat kepercayaan yang bayi dan budak kecil mampu untuk melihat sesuatu di luar jangkaan kita. Ana tidak tahu tetapi wallahu'alam. Apa yang mampu ana lakukan hanyalah percaya kepada Allah kerana tiada pelindung dan penolong selain dariNya. Pengharapan dan kepercayaan yang sangat tinggi diletakkan pada Allah berbekalkan surah-surah pilihan (Al-Mulk dan As-Sajdah) yang sempat ana baca sebelum kami membuat keputusan untuk masuk tidur.
Sepanjang ana memandu, ana mengulang semua surah-surah yang telah ana hafal. Semoga menjadi penenang hati untuk ana, makcik dan Faris untuk meredah malam yang telah lama melabuhkan tirainya. Alhamdulillah, Allah S.W.T memudahkan kami untuk sampai ke Bangi dan sepanjang perjalanan, Faris tidur dengan nyenyak. Andai Faris menangis, pasti ana tidak dapat fokus untuk memandu. Sesampai kami di sini, kami terus bergegas ke klinik 24 jam untuk mendapatkan perkhidmatan doktor. Syukur pada Allah, kesakitan Faris berkurangan dan doktor membekalkan ubat untuk ruam dan juga paracetamol (tahan sakit) untuk merawatnya. Akhirnya kami selamat sampai ke rumah ana (Bangi) pada pukul 3.30 pagi.
MasyaAllah, pengalaman yang tidak mungkin untuk dilupakan. Betapa ana sangat menghargai kehadiran mama yang menyambut kami dengan tangan terbuka. Bagaikan bantuan yang turun dari langit, mama mengambil alih tugas menjaga Faris untuk seketika supaya ana dan makcik dapat sedikit rehat selepas mengharungi malam yang sangat menguji ketahanan mental dan fizikal kami berdua. Pelukan mama sangat ana hargai menjadi penawar kepada diri yang keletihan dan kesedihan memikirkan keadaan Faris. Sehingga sekarang diri sentiasa tertanya, bagaimana dan dari mana datangnya kekuatan seorang ibu untuk memelihara anak-anaknya yang ramai ini? Sukur pada Allah, ana dikurniakan dengan mama ang penyabar dan penyayang.
Secara jujurnya, untuk menjaga bayi yang masih kecil adalah agak sukar dan perlukan banyak kesabaran. Namun begitu, kasih sayang yang Allah S.W.T wujudkan pada hati-hati yangbergelar ibu memberi kekuatan padanya untuk terus memenuhi keperluan si kecil itu.
Syukur Alhamdulillah, Faris semakin sembuh dari sakitnya. Ana dan makcik boleh menarik nafas lega apabila melihat keadaannya sekarang. Tidak terkata rasa hati dengan peluang yang telah Allah berikan pada ana untuk menyayangi mujahid kecil itu. Doaku dalam dodoian untukmu agar menjadi penghuni syurga.
"Tidurlah tidur, adikku sayang,
Tidurlah tidur, dalam pelukan,
Jangan risau, Allah yang jaga,
cita-citamu, penghuni syurga."
Ops... asif jiddan. Faris dah menangis... mesti nak susu.
Semoga coretan ini memberi sesuatu pada sesiapa yang membacanya. salam'alaik
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment