Wednesday, October 28, 2009

Mujahadah cinta pada Allah.

Bismillahirahmanirahim.


Saban hari, terlintas satu ketika dan setiap masa tentang mencari keredhaanNya. Dan hari demi hari, hakikat yang sentiasa perlu diterima iaitu belum sampai masanya untuk kita berjumpa dengan Allah. MasyaAllah, kerinduan untuk melihat Allah itu pasti hadir di relung hati mereka yang bergelar insan bersama tautan akidah pengakuan Allah Yang Maha Esa. Tertunggu saat bilakah boleh berjumpa denganNya?

MasyaAllah, tatkala persoalan itu diajukan pada hati dan juga sahabat ..... Persoalan yang hanya dijawab dengan persoalan yang lain.

"Sudah bersediakah diri ukhti untuk mengadapNya?"

"Bagaimana dengan amanah-amanah ukhti?"

"Sudah selesaikah semua hutang yang perlu dibayar?"

"Sudah cukupkah amalan untuk dibawa sebagai bukti tanda cinta pada Allah dan rasulNya?"

"Bagaimana dengan dosa-dosa kita yang lalu?"

SubhanAllah, beristigfar panjang ana dibuatnya. Ikhwah wa akhwat yang dirahmati Allah, perjuangan belum selesai lagi. Andai mungkin diri kalah pada nafsu dan bisikan syaitan pada hari ini, teruslah melangkah walau dengan lelah kerana kasih dan cinta Allah. Kerana itulah dinamakan mujahadah. Bersama memerangi anasir dalaman dan luaran kerana memperjuangkan sesuatu yang hak. Diri ingin mengajak antum semua mencari walau sedikit kekuatan dalam diri yang mungkin remuk rendam dibanjiri rasa serba salah, sedih, kecewa, marah, berdosa, takut, lelah, letih dan sebagainya dalam melangkah menggapai redhaNya. Kerana ujian-ujian yang hadir pada diri yang mengaku mencintai Allah. Bukankah tanda-tanda Mahabatillah ialah Ar-redha ataupun rela?



Teringat pesan sahibah; yang penting ialah usaha dan bukan natijahnya.

Andai mungkin diungkapkan kata-kata untuk dibawa ke ruang muhasabah, diri ini dan semua pasti diuji dengan sesuatu yang tidak dijangka, namun sesuai dengan kesanggupannya. Dan kini, kebanyakan sahabat di luar sana diuji dengan imtihan. Final exam, research or final project, assignment dan sebagainya. Bersama amanah-amanah bernama hamba Allah, khalifah Allah, daie, murabbi, mutarabbi, student, kakak atau abang, anak, pekerja, suami atau isteri, ayah atau ibu dan sebagainya.




MasyaAllah. Tenangkan diri antum semua. Cari ketenangan dalam alunan zikirullah dan ayat cinta Allah; Al-Quran. Biar kata-kata indah itu berkumandang lembut di hati antum yang bergelar insan. Lihat pada keagungan Allah yang terbentang indah di hadapan mata. Keajaiban Allah yang ada pada angin yang menerpa diri, pada pokok yang berdiri teguh pada akarnya, pada bunga yang mekar mewangi, pada diri seorang anak, sahabat, ibu, ataupun pada kucing yang antum sayangi. Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang......

Teringat pada satu ketika. Diri seperti ditegur dengan hadirnya satu jasad dalam mimpi pada waktu diri sangat larut dipupuk tidur yang nyenyak. Persoalan yang diajukan pada diri tidak akan pernah hilang di dalam hati;

"Apakah bukti cinta anti pada Allah?"

Astaghfirullah. Bagai dibangunkan untuk tahajud dengan hati yang gundah gelana dan kemarahan pada diri yang lalai dan berdosa. Diri terus melangkah berwuduk dan menghadap Allah mengadu dan memohon kemaafan padaNya tentang kelemahan dan kelalaian diri ini.

Dan persoalan yang sama ana tanyakan pada antum semua, APAKAH BUKTI CINTA ANTUM PADA ALLAH?


Kembali kepada amana-amanah dan ujian yang datang menyapa diri. Sebagai tanda kasih dan sayang Allah yang menjadi tarbiyah buat diri antum yang terpilih oleh Allah. Dan tatklala sedang menatap nota-nota tentang kimia, biologi, kejuruteraan dan sebagainya, yakinlah pada diri bahawa antum sedang melakukan satu bentuk ibadah pada Allah dengan menyediakan diri untuk memikul tanggungjawab yang bakal menjelma. Bakal-bakal doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya yang akan memenuhi amanah fardhu kifayah di dalam masyarakat kita. Menjadi wadah mencari pahala dan saham akhirat untuk menyediakan diri dan keluarga untuk berjumpa dengan Allah, tanda memenuhi perjuangan, amanah dan bukti cinta pada Allah. Tidak ketinggalan dengan ibadah fardhu ain dan ibadah sunat yang lain yang menjadi teras utama kuntuman bunga cinta Allah yang mekar di hati antum semua. Teruskan usaha dan bertawakallah padaNya.




Pada yang bergelar daie, guru, murabbi, mu'allim dan sebagainya. Saham akhirat berbentuk ilmu yang bermanfaat hendaklah sentiasa dicari. Hadirnya diri antum sebagai perantaraan hidayah Allah pada hati-hati manusia dengan mengungkapkan keindahan ilmu Allah yang ada pada antum semua. Menanamkan sifat mahmudah dan mendidik hati-hati di luar sana kepada pengislahan diri kembali kepada fitrah manusia yang sebenarnya iaitu beriman kepada Allah. Teruskanlah mujahadah wahai diri yang lelah. Tanda cintaku dan cintamu pada Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Dan kepada yang masih belajar, ilmu itu membuka banyak pintu kebahagiaan.

"...Dan Allah akan meninggikan orang-orang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat....." (58:11)

Ingin ana ungkapkan hadis yang sangat dekat dihati ana;

'Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya' (Riwayat Bukhari)

Salam mujahadah.

Wallahu'alam.

Thursday, October 22, 2009

Cahaya di wajahmu...; Jamuan Hari Raya DQ Al-Wildan


Bismillahirahmanirahim.



Terpanggil untuk diri ini bercerita tentang pengalaman jaulah bersama-sama akhwat yang dikasihi. Sebagai tanda tercipta sebuah kenangan yang indah dalam lingkungan iman dan halawatul ukhwah yang sangat manis dinikmati. Satu aturan Allah yang termaktub di helaian-helaian takdir tentang pertemuan dan silaturahim yang terjalin antara kita. Jaulah yang akhirnya membawa ana ke madrasah tercinta, Darul Quran Al Wildan.

Walaupun ini kali pertama kali menjejakkan kaki ke DQ Al Wildan, bi'ah solehah yang tercipta di sana dapat diri rasai. Terima kasih sahabat, kerana membawa ana ke sana bersempena dengan Jamuan Hari Raya 2009. Sesungguhnya terdapat satu tempat khas di hati ana ini untuk semua yang berada di DQ Al Wildan. Bersama-sama mekar kuntum bunga persahabatan yang terjalin, semoga terus subur bersama doa-doa dan cita-cita yang sama, memperjuangkan Islam di muka bumi Allah dan mempelajari, menghafal dan mengamalkan Al-Quran, warkah cinta dariNya.





Perjalanan ana mulakan dengan bismillah dan doa, agar segala-galanya dipermudahkan. Bersama ana, ukhti habibati Zainab Jahsy, dan seorang ukhti mujahidah yang baru kukenali (Semoga pertemuan itu menjadi permulaan kepada ukhwah dan kisah tarbiyah yang bermakna buat dirinya dan diriku). Tidak lekang ujian Allah buat diri, sebagai tanda kasih dan sayangNya, kami sesat ketika perjalanan ke sana.

Andai ukhti habibati tertanya, apakah ibrah di sebalik ujian itu? Jawapan ana.... sungguh, hati ini melihat kembali kepada niat ana berjaulah bersama ukhti semua. Diri tidak kisah walau kemana ukhti membawa ana, walau ke hujung dunia. Namun, biarlah kerinduan untuk bersama antunna semua hilang. Kerana hati ini sayangkan antunna kerana Allah. Pada Allah jualah ana panjatkan doa dan harapan kerana kerinduan itu tak pernah luntur, malah bertambah-tambah walaupun selepas hampir sehari kita berjaulah bersama. Semoga diri ini mendapat sesuatu dari jaulah kita kali ini.

Walaubagaimanapun, Alhamdulillah, Allah mempermudahkan segalanya dan kami selamat sampai disambut oleh adik-adik Al Wildan yang ceria dan salam perkenalan dan ukhwah daripada Ummu Aishah yang dihormati.


MasyaAllah, tidak mampu untuk diungkapkan perasaan diri yang bahagia, keliru, cemburu, gembira, kasih, rindu.... 1001 perasaan melihat wajah-wajah yang bercahaya itu. Cahaya Al-Quran dambaan diri yang terpancar indah dari mereka seperti memanggil diri ini untuk mendekati, mengenali, menyayangi, dan melindungi adik-adik tahfiz ini. Pada Allah, Tuhan Yang Maha Mendengar, ana memohon nikmat dan kurniaanMu, agar cahaya itu juga turut menerangi diri ini. Pertemuan ini ternyata membakar semangat diri ini untuk terus mencari cinta pada Allah dan Al-Quran. Doaku semoga mereka semua sentiasa dalam naungan kasih dan cinta Allah.

Ana dan sahabiah sempat membantu untuk menyiapkan makanan Jamuan Hari Raya dan secara tidak langsung, diri mula mengenali warga-warga DQ Al Wildan dengan lebih dekat lagi. Semua disusun dengan baik. Diri ini tersenyum apabila melihat usaha yang dilakukan oleh warga Al Wildan untuk memastikan ikhtilat dijaga antara muslimin dan muslimat yang hadir. Tabir dan kanopi yang disediakan secara berasingan, memberikan keselesaan kepada hadirin dan hadirat yang hadir ke majlis penuh berkah ini.

Program bermula dengan ucapan pengerusi DQ Al Wildan dan bacaan Al-Quran oleh anak Al Wildan. SubhanAllah, berkumandang indah ayat suci Al-Quran oleh putera dan puteri Al-Wildan. Diri seperti diperkenalkan dengan keajaiban Allah apabila melihat dan mendengar hafalan kalimah-kalimah cinta Allah itu meniti di bibir mereka yang baru berusia 9 hingga 12 tahun ini. Tercabar juga diri ini untuk terus bermujadah dalam menghafal Quran. Tertanya pada diri, masih adakah kudrat dan kemampuan utuk diri ini terus menghafal Al-Quran? Ya Allah, jadikanlah Al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap rasa duka dan kegelisahanku. Ameen.



Persembahan diteruskan dengan dendangan nasyid dan pementasan pentomen oleh adik-adik DQ Al Wildan. Ternyata penguasaan bahasa Inggeris dan Arab turut diterapkan di dalam institusi pendidikan yang diperkenalkan oleh DQ Al Wildan. Semoga adik-adik Al Wildan terus mengatur langkah menimba ilmu di madrasah itu. Seterusnya acara penyampaian hadiah untuk menghargai pencapaian adik-adik Al Wildan dalam pelbagai bidang.

Terlalu banyak kenangan yang tercipta, gurauan puteri-puteri Al Wildan menceriakan lagi suasana. Kami turut disertai oleh beberapa akhwat yang lain; ukhti Adieq, ukhti Ayu dan ukhti Yan. Mawar-mawar berduri yang mewangikan lagi taman Islam yang indah permai. Silaturahim terus terjalin bersama akhwat dari UIA, Gombak. Walaupun kita berada dalam wadah perjuangan yang berlainan tetapi, tujuan dan cita-cita kita sama. Semoga terus tegar meniti jalan redhaNya.


Salam dihulurkan tanda selamat tinggal. Ternyata, harapan yang sangat tinggi agar diri dapat kembali lagi, terus bersemi di dalam hati. Terima kasih pada semua putera puteri dan tenaga pengajar Al Wildan. Pengalaman manis yang akan sentiasa disimpan di dalam hati.

Wallahu'alam

Tuesday, October 20, 2009

Allah, Yang Maha Pengasih; 'Kau, Aku dan Kami dalam Kurniaan Rezeki'


Hanya pada Allah, Tuhan Yang Disembah ana memohon. Bersama derai air mata hati yang tidak kelihatan di pipi, hati dan minda terus menyusun kata dan madah. Andai mungkin menjadi tatapan mata-mata yang memahami diri yang lemah dan kerdil ini. Diri ini kini diuji dengan ketiadaan seorang insan yang sangat dirindui di sisi, Muhammad Faris Al-Ghazi. Alhamdulillah, walauapapun yang berlaku, kini Faris berada di dalam jagaan ayahnya dan wan di kampung dan bukan lagi bersama dengan ana.


Wajah comel yang ana rindui, jasad kecil yang pernah berada dalam pelukan ana, mata yang bulat dan bercahaya memandang penuh rasa ingin tahu dan kasih. Segala-galanya sangat indah dan kini, ana tidak lagi bergelar 'babysitter' apabila tugas diambil alih oleh orang lain. Biarlah hati ini memanjat rasa syukur, kasih dan rindu pada Allah, semoga Allah menyampaikannya pada dia yang ana rindui.

Dan kesedihan ini hanya sementara mungkin... sehingga Allah mempertemukan ana dengan Faris lagi dengan izinNya. Seperti menjadi lumrah, seorang insan untuk mempunyai seseorang yang disayangi. Insan yang mungkin bergelar mama, abah, kakak, adik, sahabat dan sebagainya. Dan akhirnya, cinta-cinta ini membawa kita kembali kepada Pencipta rasa cinta ini. Maka segala puji buat Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.




Rasa serba salah pada kekasihku, Allah, tak sanggup untuk ana jelaskan dengan kata-kata. Satu ketika dan setiap masa diri bertanya, apakah nilai cinta dan hati manusia? Andai mungkin ana dan sesesiapa sahaja mampu berjuang di jalanNya, pernahkah tertanya tentang kasih dan cintaNya. Cinta kita padaNya dan redhaNya kepada kita.....

Dan ini mengingatkan ana kembali tentang satu cerita yang telah ana baca di dalam buku Nota Hati Seorang lelaki. Buku yang sangat berfalsafah dan menyentuh hati diri ini. Karangan seorang daie iaitu Ustaz Pahrol Mohd Juoi, mengungkap dengan indah, kisah-kisah tarbiah seorang anak, suami, ayah dan da'i.

Dalam nota 52, bertajuk "Kau, Aku dan Kami dalam Kurniaan Rezeki" sangat berbekas dalam hati ana yang merujuk kepada sifat Pengasih Allah S.W.T yang sangat jelas dalam surat cinta Allah iaitu Al-Quran. Sebagaimana Allah S.W.T telah menurunkan Al-Quran dengan bahasa Arab yang sangat indah, dan terdapat beberapa persoalan yang mungkin timbul di dalam penggunaan kata ganti nama bagi Allah; dimana sebahagian menggunakan kata ganti diri 'Aku' dan selain itu, terdapat kata ganti nama 'Kami'.


Dijelaskan di dalam nota 52 itu, Ustaz Pahrol mengikuti satu kuliah tafsir, dan beliau bertanya kepada ustaz yang mengajar tentang perbezaan kata ganti diri 'Aku' dan 'Kami' dalam ayat-ayat cinta itu, dan jawapannya:

"Bila Allah gunakan 'Kami' itu menunjukkan ada keterlibatan 'pihak' lain dalam perlakuan dan ketentuanNya. Contohnya, dalam pemberian rezeki kepada manusia, Allah gunakan ganti nama ‘Kami’. Sebab dalam pemberian rezeki Allah libatkan matahari, hujan, air, haiwan, tumbuhan dan lain-lain. Buah-buahan yang dimakan manusia misalnya, ada campur tangan makhluk lain yang menyampaikan rezeki daripada Allah itu kepada kita.”

Penjelasan ustaz di atas menyedarkan kita bahawa makhluk-makhluk Allah menjadi perantaraan atau saluran rezeki Allah S.W.T kepada kita. Maka, sifat penyayang Allah S.W.T terbukti dengan kehadiran manusia yang bergelar mama, abah, sahabat dan sesiapa sahaja, kerana mereka adalah perantaraan kasih sayang itu. Kerana itu, segala pujian hendaklah dipulangkan kepada Allah, kerana kurniaanNya iaitu insan-insan yang menyayangi dan menjaga kita.

Dalam nota tersebut juga menyebut tentang maksud di sebalik ganti nama ‘Aku’;

“Bila Allah menggunakan ana atau aku, Allah selalunya merujuk kepada pengampunan dosa, penerimaan taubat. Maksudnya, dalam penerimaan taubat dan pengampunan dosa, Allah menggunakan ganti nama diri-Nya sendiri. Allah tidak melibatkan ‘saluran-saluran’ dalam kalangan makhluk-makhluk yang lain.”


SubhanAllah. Mahu sahaja ana menaip keseluruhan cerita itu, tetapi, mungkin adalah lebih baik jika antum mencari buku Nota Hati Seorang Lelaki karangan Ustaz Pahrol Mohd. Juoi dan membacanya sendiri. Terlalu banyak yang boleh diambil sebagai tarbiyah kepada kita semua.

Hanya kerana ia bertajuk Nota Hati Seorang Lelaki, tidak bermaksud tidak sesuai untuk dibaca oleh kaum hawa. Untuk ana, buku ini sesuai untuk dibaca oleh semua. Lebih-lebih lagi kepada kaum Adam untuk meluaskan cara kognitif yang lebih berfalsafah dan ruhiyyah.




Kembali kepada pembicaraan kita tentang ‘saluran-saluran’ atau perantaraan rezeki dan kurniaan Allah. Timbul persoalan dalam diri ana; mengapa kita tidak bersyukur kepada Allah atas kurniaanNya yang jelas adalah milikNya? Mengapa kadang-kadang kita memberi pujian kepada perantaraan rezeki itu dan tidak kepada Al-Khaliq? Dan mengapa kita tidak berterima kasih kepada perantaraan itu (manusia), yang mungkin kerana kasih sayang yang ada pada mereka membolehkan kita merasai kasih Allah yang tidak terkira?

MasyaAllah. Harapan ana agar kita terus mensyukuri nikmat kurniaanNya. Terus melafazkan segala pujian kepada Allah kerana sifat Pengasih dan PenyayangNya. Kerana ini, ana mengajak antum semua untuk sentiasa melihat kepada kebesaran dan keajaiban Allah yang ada pada Al-Quran, penciptaan langit dan bumi, pada diri mama dan abah, pada kasih sayang ikhwah wa akhwat, pada sebutir nasi yang disuap ke mulut dan sebagainya. Percayalah bahawa Allah telah memperlihatkan kepada kita tentang kewujudan dan kebesaranNya.

Wallahu’alam.

Monday, October 19, 2009

Menyingkap Cinta Allah dari Manusia dan Al-Quran

Bismillahirahmanirahim.

Sajak berikut ditujukan kepada semua. Terutamanya kepada semua akhwat dan adik-adik DQ Al-Wildan. Ana sayang antunna semua.



Ungkapan kata menjadi ganti
Daripada hamba yang kerdil ini
Bersama kasih dan rindu yang membanjiri hati
Ingin dipanjat rasa syukur pada Ilahi
Pertemuan tersurat dalam helaian takdir
Bersulam cinta Allah yang mengalir
Bagai titisan hujan yang membawa air.

Susunan kata, madah pujangga
Kucari kasih Allah melalui makhlukNya
Hadir manusia bersama kasih dan juga cinta
Perantaraan Allah kepada hamba
Berteraskan iman dan juga taqwa
Subur tumbuh mentarbiyah diri, hati dan jiwa.

Al-Khaliq menyingkap hijab keagunganNya
Dengan utusan Rasulullah kepada manusia
Turunnya Al-Quran, sebuah warkah cinta
Mukjizat agung lagi bercahaya
Nikmat Allah buat hamba yang dipilih olehNya.

Cahaya Al-Quran, dambaan diri
Terpancar indah pada wajah dan juga hati
Peneman terbaik di persinggahan perut bumi
Sebelum menghadap Allah yang dirindui
Semoga menerangi jalan yang penuh cubaan dan juga duri
Mengejar cita-cita yang tertinggi
Bertemu Allah di syurga yang abadi

Maha Suci Allah,
Tuhan Yang Maha Dermawan
Dalam kata-kata pohonan kasih dan dedaun harapan
Kurniaan Al-Quran menjadi rebutan
Sumber ketenangan yang sangat agung bersulam kekuatan
Biar berkumandang lembut pada hati hamba yang bergelar insan.

Harapan dan doa terus bersemi
Terus istiqomah di jalan Ilahi
Membenih cinta Tuhan tanpa henti
Semoga ia terus mekar di hati
Mekar bersama bakti dan budi
Membuah istana di syurga menanti.



oleh farahzulaikha.

Saturday, October 17, 2009

Rindu dan cinta itu untuk siapa?- oleh Ustaz Pahrol

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah dengan kurniaan dan kemurahan Allah, diri ini masih bernafas meneruskankan perjuangan di bumi Allah ini.

MasyaAllah, ingin ana kongsikan kepada sahabat di luar sana satu artikel yang sangat indah untuk dibaca, semoga menjadi antara perantaraan tarbiyah buat mata-mata yang membacanya:

http://genta-rasa.com/2009/08/05/rindu-dan-cinta-itu-untuk-siapa/#comment-1232

Wednesday, October 7, 2009

Allah, Penolong dan Pelindungku


Bismillahirahmanirahim


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Sudah terlalu lama ruang cyber ini tidak ana hiasi dengan kata-kata, dan akhirnya ana mampu untuk nukilkan sesuatu apabila ana kembali ke Bangi.

Harapan dan doa pada Allah, buat diri yang sangat lemah. Diri mengharapkan kekuatan, kasih dan cinta Allah agar dikurniakan pada diri, keluarga, sahabat dan semua muslimin dan muslimat di luar sana. Semoga cinta dan kasihNya terus mekar mewangi di hati-hati mereka yang dirahmati Allah dengan perasaan ini.

MasyaAllah, kemampuan ana untuk terus menyusun ayat tersangat terhad. Hanya mungkin berbekalkan keinginan, perasaan, kemahuan dan emosi untuk jari ana terus menaip mengungkap kata-kata. Diri ini perlu untuk diluahkan perasaan hati yang dambakan cahaya yang mampu membawa ana ke syurga, mengutip walau sedikit permata pahala sebagai bekal menghadap Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Kaya.

Sahabat yang ana kasihi dan dirindui. Pemergian ana di Perak untuk mencari sedikit saham akhirat dengan niat untuk beramal dengan mencurah tenaga dan kasih sayang yang ada untuk menjaga adik kecil, Muhammad Faris Al-Ghazi bersama makcik yang ana kasihi. Selain itu, ana sangat diperlukan kerana ana boleh membawa kereta kerana makcik masih dalam proses belajar memandu kereta. Pengalaman yang tidak mungkin untuk ana dapat di mana-manapun dan semoga ilmu dan pengalaman itu dapat menyediakan diri ana untuk menghadapi masa hadapan yang bakal menjelma dengan kehendak Allah S.W.T.



Pengalaman apa yang ana dapat???

Huhu... pengalaman menjadi seorang ibu...... (well, literally said). Betapa ana sangat mengagumi kekuatan seorang ibu yang telah melahirkan seorang anak dan seterusnya menjaganya dengan penuh kasih sayang.

Keadaan ini mengingatkan ana kepada program keakhwatan yang telah kita hadiri dahulu. Dan terbukti, apa yang dibincangkan adalah sangat berguna... namun begitu, ia masih tidak mencukupi. Mungkin ada membincangkan tentang bagaimana mendirikan baitul muslim, tarbiyatul aulad, kesihatan wanita dan sebagainya, tetapi tidak pula membincangkan tentang bagaimana untuk menjaga seorang bayi yang baru lahir. SubhanAllah, ana syukur dengan ketentuanMu, sungguh cantik aturan penciptaanMu.

Seorang perempuan dikurniakan dengan hati yang lembut dan sifat kasih sayang yang sangat banyak. Maka, terdapat banyak kelebihan yang Allah S.W.T. berikan kepada seorang perempuan sepadan dengan lambang kelembutan, kecantikan dan kasih sayang yang ditampilkan. Contohnya dibolehkan untuk memakai emas dan sutera untuk perempuan tetapi tidak dibolehkan kepada lelaki. Betapa kekuasaan Allah itu dapat dilihat di mana-mana sahaja termasuklah dalam hukum fikh wanita, syariah dan sebagainya. Bagaimana Allah S.W.T. sebenarnya telah menjaga semua kaum hawa dengan hak dan batasan yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam, contohnya anjuran menjaga pandangan dan menutup aurat. Tidak perlu untuk ana ulas panjang lebar di sini kerana sahabiah di luar sana juga pasti sedang menikmati hakikat hukum ini adalah untuk kebaikan diri sendiri jua.

Sekiranya ditanya, sukarkah menjaga seorang bayi kecil yang berusia sebulan lebih? MasyaAllah, tidak terkata oleh diri untuk menggambarkan keadaan yang sebenarnya...
Bersama Faris yang sangat comel ini... yang perlu diberi susu setiap 2 jam (perut bayi adalah kecil, maka perlu kerap diberi susu). Maka, cubalah bayangkan diri antum di tempat ibu yang berjaga malam... pada pukul 1, 3, 5 am dan seterusnya.... tidak termasuk dengan tugas menukar lampin dan sebagainya.... Namun begitu, akhirnya si ibu akan senang hati melihat si anak tidur dengan aman dan tenang.


Dan akhirnya juga ana tahu kenapa air kencing kanak-kanak lelaki yang berumur kurang dari 2 tahun adalah kategori najis muhafafah... kenapa ya? cuba antum tanya ibu antum sendiri... atau mungkin suatu hari nanti antum akan sedar betapa rasionalnya hukum ini apabila antum mempunyai anak lelaki sendiri. hehe...

Apabila menjaga seorang bayi yang masih kecil, hanya tangisan sebagai cara si kecil ini untuk berkomunikasi dengan orang di sekelilingnya. Dan satu ketika, kita akan tahu jenis-jenis tangisannya; menangis hendak susu, hendak lampinnya ditukar, hendak diangkat dan didodoi, dan sebagainya. Selain itu, pada umur seperti ini, bayi akan tidur sebanyak 20 hingga 22 jam. Selebihnya adalah masa untuk keperluan-keperluannya dipenuhi.

Ana sangat berharap agar agar mujahid kecil ini membesar dengan baik dan sihat. Kepulangan ana ke Bangi juga tidak dirancang kerana gara-gara Faris. Kerisauan dan perasaan yang sangat lemah melanda diri ini apabila melihat Faris menangis kesakitan akibat ruam yang agak teruk di bahagian pungggungnya. Lebih teruk apabila tangisannya itu tidak reda dan kami (ana dan makcik) tidak mampu untuk berbuat apa-apa untuk meredakan sakitnya. Hampir sahaja ana dan makcik menangis kerana perasaan tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Jam pada ketika itu menunjukkan pada pukul 1.30 pagi. Tiada klinik yang buka ketika ini tetapi Faris perlukan perhatian doktor pakar kanak-kanak dengan segera.

Selepas berikhtiar untuk seketika, daripada tunggu sehingga pukul 8 pagi esok untuk ke klinik, kami membuat keputusan untuk kembali ke Bangi dan mencari klinik 24 jam yang buka di sini. Pada mulanya, kami sangat risau untuk travel pada waktu malam kerana bayi agak sensitif dengan keadaan sekeliling yang gelap dan terdapat kepercayaan yang bayi dan budak kecil mampu untuk melihat sesuatu di luar jangkaan kita. Ana tidak tahu tetapi wallahu'alam. Apa yang mampu ana lakukan hanyalah percaya kepada Allah kerana tiada pelindung dan penolong selain dariNya. Pengharapan dan kepercayaan yang sangat tinggi diletakkan pada Allah berbekalkan surah-surah pilihan (Al-Mulk dan As-Sajdah) yang sempat ana baca sebelum kami membuat keputusan untuk masuk tidur.


Sepanjang ana memandu, ana mengulang semua surah-surah yang telah ana hafal. Semoga menjadi penenang hati untuk ana, makcik dan Faris untuk meredah malam yang telah lama melabuhkan tirainya. Alhamdulillah, Allah S.W.T memudahkan kami untuk sampai ke Bangi dan sepanjang perjalanan, Faris tidur dengan nyenyak. Andai Faris menangis, pasti ana tidak dapat fokus untuk memandu. Sesampai kami di sini, kami terus bergegas ke klinik 24 jam untuk mendapatkan perkhidmatan doktor. Syukur pada Allah, kesakitan Faris berkurangan dan doktor membekalkan ubat untuk ruam dan juga paracetamol (tahan sakit) untuk merawatnya. Akhirnya kami selamat sampai ke rumah ana (Bangi) pada pukul 3.30 pagi.

MasyaAllah, pengalaman yang tidak mungkin untuk dilupakan. Betapa ana sangat menghargai kehadiran mama yang menyambut kami dengan tangan terbuka. Bagaikan bantuan yang turun dari langit, mama mengambil alih tugas menjaga Faris untuk seketika supaya ana dan makcik dapat sedikit rehat selepas mengharungi malam yang sangat menguji ketahanan mental dan fizikal kami berdua. Pelukan mama sangat ana hargai menjadi penawar kepada diri yang keletihan dan kesedihan memikirkan keadaan Faris. Sehingga sekarang diri sentiasa tertanya, bagaimana dan dari mana datangnya kekuatan seorang ibu untuk memelihara anak-anaknya yang ramai ini? Sukur pada Allah, ana dikurniakan dengan mama ang penyabar dan penyayang.

Secara jujurnya, untuk menjaga bayi yang masih kecil adalah agak sukar dan perlukan banyak kesabaran. Namun begitu, kasih sayang yang Allah S.W.T wujudkan pada hati-hati yangbergelar ibu memberi kekuatan padanya untuk terus memenuhi keperluan si kecil itu.

Syukur Alhamdulillah, Faris semakin sembuh dari sakitnya. Ana dan makcik boleh menarik nafas lega apabila melihat keadaannya sekarang. Tidak terkata rasa hati dengan peluang yang telah Allah berikan pada ana untuk menyayangi mujahid kecil itu. Doaku dalam dodoian untukmu agar menjadi penghuni syurga.

"Tidurlah tidur, adikku sayang,
Tidurlah tidur, dalam pelukan,
Jangan risau, Allah yang jaga,
cita-citamu, penghuni syurga."

Ops... asif jiddan. Faris dah menangis... mesti nak susu.

Semoga coretan ini memberi sesuatu pada sesiapa yang membacanya. salam'alaik

Wallahu'alam