There was an error in this gadget

Sunday, June 24, 2012

Intelek vs Keinsanan

Bismillahirahmanirahim. 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekali alam. Selawat dan salam buat Rasulullah. Semoga Allah merahmati baginda, ahlul bait, sahabat, tabi’, tabi’in dan semua umat Islam di luar sana. Diri ini akhirnya kembali menyusun kuntuman kata buat pengunjung di laman cyber ini.

Alhamdulillah, ana telah berjaya menempuh ujian untuk subjek ‘Research Methodology’ hari ini. Ternyata, ia telah membuka ruang untukku fokus kepada penyelidikan di makmal selepas ini. Walaubagaimanapun, suka untuk ana ungkapkan tentang kepentingan etika dalam sesebuah penyelidikan.

Diimbas kembali ketika ana berada di UPM untuk pengajian sarjana muda beberapa tahun lepas, ana telah mengambil satu subjek yang menarik iaitu ‘Inorganic Chemistry’. Salah satu tugasan yang diberikan adalah perbentangan berkaitan elemen Plutonium dan Uranium yang digunakan dalam menghasilkan tenaga nuklear.

Tindak balas pelakuran nuklear menghasilkan tenaga yang sangat tinggi sehingga kini ia digunakan di beberapa negara di dunia ini. Walaupun terdapat beberapa peristiwa hitam seperti di Chernobyl dan Fukushima, rekod keselamatan tenaga nuklear adalah lebih baik berbanding tenaga yang lain. Tenaga ini akan digunakan untuk tujuan yang ternyata memberikan kebaikan kepada manusia.

Di akhir perbentangan tersebut, pensyarah menjelaskan tentang Projek Manhattan. Apakah itu Projek Manhattan? Dengan persoalan yang ditimbulkan daripada perbentangan kami, pensyarah tersebut membuka bicara.

Diungkapkan kepada kami bahawa pada tahun 1945, komuniti penyelidik dalam bidang sains khususnya kimia dan fizik di dunia meraikan kejayaan yang sangat besar dalam bidang penyelidikan nuklear melalui ‘Projek Manhattan’. Walaubagaimanapun, pada masa yang sama juga, mereka menangisi kehilangan moral dan juga erti kemanusiaan dalam diri masing-masing….

Maka, apakah dia Projek Manhattan ini?

Projek ini adalah projek penyelidikan yang memanipulasikan tenaga nuklear untuk dijadikan senjata nuklear. Tatkala Hiroshima dan Nagasaki dibedil dengan bom atom yang tidak bermata itu, ada yang bersorak gembira dan ada juga yang menangis penuh duka… Terlalu banyak perdebatan yang timbul sebelum, ketika dan selepas projek itu berlangsung. Dan ingin dibawakan persoalan kepada semua… Bagaimanakah sesuatu penyelidikan boleh membawa kita dekat dengan Tuhan dan juga sebaliknya.

Ya… sesuatu penyelidikan bermula dengan rasa ingin tahu. Dan rasa ingin tahu mendorong ramai manusia di luar sana untuk cuba memahami fenomena yang berlaku di alam semester. Bagaimanakah awan boleh terbentuk? Bagaimana bumi ini berputar? Bagaimana manusia bernafas dan bergerak? Satu per satu persoalan akan terus timbul sehinggalah manusia mencari persoalan yang terakhir. The ultimate question. The absolute reason… Mengapakah manusia dijadikan di muka bumi ini?

Apabila diri seorang penyelidik dirahmati dengan nikmat akidah dan hidayah dari Allah, pasti persoalan itu telah terjawab. Bahawa manusia dijadikan di dunia ini untuk beribadah kepadaNya. Setiap niat, tutur kata dan perbuatan boleh menjadi ibadah lebih-lebih lagi apabila ia mengikuti sunnah nabi. Penyelidikan akan membawa kebaikan kepada manusia dan seterusnya membawa sang penyelidik menyingkap kebesaran Allah daripada pemerhatiannya.

Tetapi apabila etika, moral dan juga akidah itu tidak ada, maka habis rosaklah umat manusia di muka bumi ini. Penyelidikan yang melanggar hukum alam akhirnya melahirkan penyelidik-penyelidik yang pandai tetapi kosong nilai pekertinya. Inilah yang terjadi seperti kisah Projek Manhattan. Ini hanyalah salah satu contoh daripada situasi yang berlaku di sekeliling kita.

Penyelewengan berlaku di mana-mana sahaja. Gejala sosial berleluasa dengan ledakan teknologi. Banyak lagi keruntuhan insaniah yang berlaku apabila perkembangan rohani, etika dan juga spiritual tidak berlaku seiring dengan perkembangan fizikal sesebuah peradaban. Terlalu ironik… meraikan kebijaksaan manusia tetapi menangisi kehilangan moral dan etika. Seperti telah jelas dinyatakan dalam ayat Al-Quran, bahawa manusia bisa merosakkan dan menumpahkan darah di atas muka bumi ini. Apakah erti kebahagiaan apabila ia berpaksikan kepada kebendaan dan juga hawa nafsu semata-mata?

Celik sains tetapi buta agama… SubhanAllah, apakah yang akan berlaku kepada manusia yang tidak dibatasi tingkah lakunya dengan syariat agama? Namun begitu, tidak seharusnya diri ini hanya mengkritik dan berkata-kata tanpa berusaha untuk melakukan sesuatu. Hanya mungkin berbekalkan ilmu di dada serta bersenjatakan kata-kata dan doa, semoga Allah menjadikan kita orang yang bertaqwa dan berusaha membawa perubahan kepada masyarakat. Cuba dijejak sunnah nabi, menjadi mu’allim yang penyabar dan tinggi pengharapannya pada Allah. Menerapkan erti bertuhan pada hati-hati yang dipilih olehNya.

SubhanAllah, tak terkata rasa hati yang berkobar berbicara. Terkadang diri ini ingin hanyut dibawa resah dan gelisah dek kerana urusan dunia. Tetapi hati ini cuba dididik untuk tidak berpaut kepada dunia. Biarlah ia terus berhubung dengan Rabb, terus berdoa memohon petunjuk dan kekuatan dari Yang Maha Kuasa.

Telah panjang ku ungkapkan kata-kata. Ingin ku berundur dahulu. Doakan untukku wahai sahabatku. Semoga Allah memberkati diriku dan dirimu juga. Amin.

Thursday, June 14, 2012

Ya Allah, ana rindu...

Bismillahirahmanirahim. 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia, Rasulullah S.A.W. Juga kepada ahlul bait, sahabat, tabi’, tabi’in dan semua umat Islam di luar sana.

SubhanAllah, sudah terlalu lama ku tidak mengarang kata-kata. Di kala ketenangan mula membanjiri diri, kala itu dipanjatkan syukur pada Ilahi. Terkadang kita lemah diuji. SubhanAllah, kala itu kembali kepadaNya. Cari kekuatan dari sumbernya. Allah… Tuhan yang Maha Berkuasa.

Ya Allah, jadikanlah hatiku ini setenang Rasulullah.

Ketika hening malam itu, rindu pada Rasulullah bisa mencengkam dada. Ingin untuk berada dalam majlis halaqah dan tazkirah yang diberi oleh baginda. Ingin untuk melangkah pada jalan yang pernah baginda lalui. Ingin melihat wajah baginda yang bercahaya mengalahkan bulan purnama. Ingin untuk melihat baginda senyum kepadaku. Ingin sekali mengadu dan meminta nasihat dari baginda… Ya Allah, limpahkan rahmat kepada Rasulullah dan keluarga baginda. Amin.

Ketika futur dalam perjuangan, pasti ada langkah-langkah yang mula menyimpang dari jalan yang betul. Dan ada ketika Allah memberi ujian kepada kita agar kita kembali kepadaNya. Terkadang timbul rasa takut, menangis dan jatuh. Akhirnya pada Allah kita kembali. Manusia dijadikan kerana diberi tanggungjawab beribadah dan menjadi khalifah di dunia.

Khalifah… Terlalu berat tanggungjawab itu. Dan manusia telah dikurniakan dengan pendengaran, penglihatan dan hati oleh Allah S.W.T untuk mendengar, melihat dan memikirkan kekuasaan Allah. Dan siapakah yang selayaknya diikuti akhlaknya? Rasulullah S.A.W….

Katakanlah (Muhammad), “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. 


(Surah Ali Imran: 31) 

Bukti cinta pada Allah….. sukar untuk diungkapkan kata-kata itu apatah lagi untuk melaksanakannya. Tetapi pada Allah juga ku mohon petunjuk dan kurniaanNya agar diberi kekuatan untuk terus melangkah mencari cintaNya.

Ku berundur diri dahulu. Doakan untukku wahai sahabatku. Semoga Allah memberkatimu. Amin.

Saturday, June 2, 2012

Pengorbanan itu...

Bismillahirahmanirahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam buat junjungan baginda, Rasulullah s.a.w., ahlul bait, sahabat, tabi, tabi’in dan semua umat Islam di seluruh dunia.

Asif jiddan kepada semua… Terkadang diri ini tidak mampu untuk menzahirkan apa yang terbuku di benak pemikiran lantaran tidak ada kata-kata yang sempat dikarang untuk sahabat sekalian. Doakanlah semoga Allah mengurniakan ilmu pengetahuan dan ilham kepada diriku dan dirimu. Amin.

Walaubagaimanapun, hari ini ternyata membawa pengajaran buatku. Terkadang kita lupa tentang suatu perkara iaitu erti pengorbanan. Dan hari ini Allah menguji hambaNya ini dengan kata itu… Sangat berat dirasakan tetapi apabila tangan mencapai kalam Burhan, ada sahaja pujukan firman dari Tuhan yang memujuk diri untuk terus berjuang.

Perjuangan menuntut kepada pengorbanan. Dan apa itu pengorbanan wahai sahabatku? Ketika hati menjadi berat, tekak terasa sempit, dada mula merasa sesak dan air mata itu mulai terbit… SubhanAllah, terkadang berat terasa pengorbanan itu… Tetapi telah diajar apa itu syukur… Telah ku kenal apa itu ganjaran dan pahala Allah… Telah ditunjuk jalan dan petunjuk… Telah tersedia wasilah dan kemudahan untuk perjuangan itu… Tetapi mengapa masih berat untuk berjuang?

Ya Allah, mudahkan segala urusanku. Ku hanya mengharap redhaMu. Luruskanlah niatku, ya Allah. Ku tidak berbuat kerana manusia tetapi kerana Engkau, wahai Allah…

Dan pengorbanan mengajar erti keikhlasan. Ketika usaha itu dijalankan seiring dengan tawakal kepada Allah. Semua yang masih berada dalam kekuatan untuk kita lakukan, hendaklah kita berusaha untuk melakukannya. Tatkala apabila seseorang memerlukan pertolongan dan juga nasihat, hulurkannya dengan semampu yang boleh.

Dan apabila sahabat berkata:

‘Malunya…. Serba salah kerana seperti menyusahkan sahaja…’

Senyuman akan terukir dan jawapan diberi:

‘Eh, janganlah macam tu… Dirimu menjadi penyebab kepada diriku untuk mendapat pahala Allah. Lagipun, kita gunakanlah segala kekuatan yang ada. InsyaAllah… Jangan risau…’

Tatkala harapan yang tinggi diletakkan pada Allah. Usaha telah dihulur dan doa sentiasa dipanjatkan pada Allah. Hanya Allah sahaja Yang Maha Berkuasa Menentukan segala-galanya. Berjaya atau tidak, bersedih atau gembira, untung atau rugi, segala-galanya ditentukan oleh Allah.

Dan di akhir setiap perkara dan peristiwa, Allah akan ajarkan sesuatu kepada kita. Maka senyumlah dan bersyukurlah pada yang memperolehi hikmah di sebalik setiap kejadian dan peristiwa… Allah ingin ajarkan kita tentang sesuatu…

Dan ayat-ayat kalam Burhan… Burhan itu adalah nama lain bagi Al-Quran. Burhan membawa maksud bukti. Al-Quran adalah kalam bukti kebenaran dan kekuasaan Allah. Dan alam dan isinya adalah kalam yang terbuka untuk kita baca petunjukNya dalam setiap penciptaan, keindahan dan peristiwa yang berlaku kepadanya. Maka, setiap perkara yang berlaku kepada kita telah diaturkan oleh Allah.

Apabila bersedih… mengadu pada Allah.

Apabila ketawa… panjatkan syukur pada Allah.

SubhanAllah. Ujian itu hadir mendekatkan kita pada Allah. Ujian itu hadir agar kita tidak leka dibawa arus kesenangan dunia. Ya Allah, tolongilah hamba-hambaMu ini. Amin.

Ku berundur diri dahulu. Doakan untukku wahai sekalian sahabatku… Semoga Allah memberkatimu. Amin.