Berilah kami makan. Bismillah...

Monday, December 27, 2010

Wahai hati

Bismillahirahmanirahim

Jiwa-jiwa yang terlalu ingin untuk mendengar kata-kata pujukan… . Kerana hati yang penat untuk bertindak dan berperasan ekstrim. Sudah terlalu banyak perkara yang mengecewakan sehingga bisa meragut pergi rasa tenang di hati. Kata-kata yang ditunggu oleh hati-hati ini adalah bersifat doa dan pujukan.

Tatkala ada banyak hati yang terluka. Terlalu penat untuk merawat satu persatu. Kerana di antara hati-hati yang terluka itu, terdapat juga hatiku. Ingin sekali lemas dibawa arus emosi dan juga amarah. Tetapi mengenangkan hati-hati yang lain mungkin lebih parah dan dalam lukanya, maka tak salah rasanya untuk menjadi kuat untuk seketika.

Biarkan sahaja hati yang sedih itu dirawat dengan sejuknya ayat-ayat al-Quran dan beningnya zikrullah. Dibalut rapi dengan selawat pada nabi. Dibelai lembut dengan doa dan harapan. Moga hati-hati yang terluka menjadi sihat dan bersih selepas ini. Kerana dugaan Allah hadir bersama hikmah. Buat hamba-hamba kesayanganNya….

Wahai mama, andai hatimu terluka, maafkan kesalahan anakmu…

Wahai adik, andai dirimu jatuh dan tenggelam dalam tangis sendumu dek kerana kelalaianku, maafkan diriku…

Wahai hati-hati yang rindukan Allah. Semoga langkahmu dibimbing Allah. Menyusuri duri-duri perjuangan mencari redha Allah. Bermimpikan istana di syurga yang abadi.

Wahai Allah, ampunilah dosaku. Kuatkan hati-hati kami… UjianMu hadir tanda kasih. Semoga Engkau memberi petunjuk dan hidayahMu kepada diri dan keluargaku. Ameen Ya rabbana.

Monday, November 22, 2010

Seindah Iman di Hati

Bismillahirahmanirahim


Jam menunjukkan waktu pukul 2.30 pagi. Alhamdulillah, Zahrah berjaya menyiapkan assignmentnya untuk subjek Mechanism Inorganic Chemistry. Keletihan mula membelenggu Zahrah dan matanya semakin lama semakin berat. Zahrah berbaring di atas tilam yang empuk dan tatkala itu, hatinya mula merayu pada diri yang kepenatan itu.

‘Wahai Zahrah, sudah beberapa hari ukhti tertinggal Qiamulail… Bangunlah ukhti, kerjakanlah solat sunat walau untuk beberapa rakaat. Sebab ukhti pasti tidak akan sempat terjaga sebelum subuh untuk solat tahajud. Jika ukhti rela mengorbankan masamu untuk kerja-kerja dan perkara-perkara dunia, mengapa tidak mengorbankannya untuk bertemu Allah seketika?’ Pujuk hati Zahrah.

‘SubhanAllah, ana sangat penat…’Akal Zahrah memberi alasan walaupun hatinya memujuk. Hakikatnya, dia tidak mampu berdustakan hatinya lagi. Kala air mata mula terbit memikirkan betapa dirinya lebih mementingkan nafsu dan dunia daripada akhirat. Sehingga sungguh liat untuk rukuk dan sujud pada Tuhannya. Hatinya rindukan saat mengalunkan ayat suci Al-Quran…

‘Ya, benar. Ana rindu.. Baiklah wahai hati, ana menurut kehendakmu.’ Zahrah akur dengan pujukan imannya itu. Ya, solat itu adalah cahaya. Cahaya yang akan sentiasa ada pada hati-hati orang yang beriman menjadikan dirinya seorang yang luar biasa. Tambahan lagi, Allah S.W.T telah menjanjikan darjat yang istimewa buat hamba-hambanya yang bangun di tengah malam semata-mata untuk mencari redhaNya.

“Dan pada sebagian malam, lakukanlah salat tahajud (sebagai satu ibadah) tambahan bagimu: mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.”

(Surah Al-Isra’: 79).

Zahrah menggagahkan langkah ke bilik air. Usai sahaja mengambil wuduk, dia menapak ke bilik tetapi terhenti oleh sesuatu yang berbulu coklat dan bermata bulat…

“Kugar, kenapa sayang?” Tanya Zahrah pada kucingnya yang berwarna coklat itu.

“Meow”. Kugar menarik perhatian Zahrah dan dia seolah-olah cuba untuk menyampaikan sesuatu yang tidak Zahrah fahami.

“Ya saya. Tidurlah kugar… Dah malam ni...” Pujuk Zahrah lalu meninggalkan Kugar di ruang tamu.

Zahrah ke bilik menyarung telekung dan membentangkan sejadah. Bermulalah solat dan munajat Zahrah, meninggalkan segala cinta yang ada dunia, dan mengabdikan dirinya semata-mata pada Allah. Solat taubat sebagai pembuka, disusuli pula dengan tahajud, hajat dan ditutup dengan witir. Ayat-ayat Al-Quran meniti bibir Zahrah dengan alunan yang indah. Semoga bacaan itu adalah bacaan yang terindah, buat Allah, Tuhan yang Maha Mendengar. Tidak ada yang berharga ketika itu buat Zahrah, kecuali Allah yang Maha Melihat hamba-hambanya.

Munajat Zahrah disambung dengan doa. Selepas selesai, hati Zahrah masih sayu dek kerana masih belum puas membaca Al-Quran. Ketika dia bangun untuk mencapai Al-Quran, kucing peliharaannya mengiaow meminta perhatian.

“Kenapa Kugar?” Tanya Zahrah. Dia musykil tentang apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh Kugar.

“Nak air ke?” Tanya Zahrah dan tentunya hanya dijawab dengan ‘meow’.

Zahrah ke dapur diikuti oleh Kugar. Dia menghulurkan semangkuk air kepada Kugar. Kugar minum sedikit dan dia memandang tepat pada mata Zahrah dan mengiaow lagi seolah-olah hajatnya masih belum dipenuhi. Zahrah mengambil makanan kucing dan memberikan padanya. Sedikit demi sedikit Kugar makan dan selepas selesai dia mengiaow lagi pada Zahrah.

“SubhanAllah, Kugar nak apa?” Tanya Zahrah dengan lembut sambil mengusap kepalanya.

Zahrah membawa Kugar ke bilik dan diletakkan Kugar di atas katilnya. Dia sudah mula mengantuk dan kudratnya tak mampu untuk membantunya fokus membaca Al-Quran dengan melihat mushaf. Lalu, dia duduk di sisi Kugar dan mula mengulang surah-surah di dalam Juz Amma yang telah dihafalnya bermula dengan Surah An-Naba’. Tangannya leka membelai Kugar sedang mulut dan hatiya tenang mengalunkan ayat Al-Quran. Sampai ke surah Al-Infitar, Kugar akhirnya lena dipupuk tidur. Zahrah tersenyum melihat Kugar yang tenggelam dalam alam mimpinya dan tak lama kemudian, dia juga melelapkan mata.

…………………

Kelas Organic Synthesis akhirnya tamat. Kebanyakan pelajar telah melepasi proses perbentangan term paper dan kini jam telah menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Zahrah bersedia untuk balik ke rumah tetapi, Amni, seorang pelajar dari Libya meminta pertolongannya untuk menterjemahkan teks Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris. Dengan senyuman di bibir, Zahrah menerima permintaan Amni.

Amni adalah seorang wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Malaysia menjadi tumpuan Amni dan sahabat dari Libya yang lain sebagai tempat yang sesuai untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam ucapan bahasa Inggeris yang berloghat bahasa Arab, Amni menerangkan tujuan terjemahan teks yang diberikan.

“Would you help me with something? Could you translate this for me?” Amni menghulurkan sehelai kertas kepada Zahrah.

“Yes, I could.” Jawab Zahrah lalu duduk di sebelah Amni dan memulakan proses penterjemahan.

Alhamdulillah, Zahrah mempunyai kelebihan dalam perbualan dan juga penulisan dalam Bahasa Inggeris. Kerana perwatakan Zahrah yang senang bergaul dengan pelajar Libya, Zahrah menjadi tumpuan rujukan kepada mereka. Zahrah sudah biasa dengan proses terjemahan dan mengalu-alukan sesiapa yang memerlukan pertolongannya.

Proses terjemahan selesai dalam masa yang singkat dengan bantuan Amni. Kegembiraan Amni tidak mampu ditafsir oleh Zahrah. Tidak semana-mana, kepala Zahrah dicium oleh Amni, tanda penghargaan yang biasa dilakukan oleh masyarakat Libya. Sungguh tidak disangka, tetapi Zahrah berasa senang hati kerana dapat menolong sahabatnya lebih-lebih lagi sahabat yang seakidah dengannya.

“BarakaAllahufik”. Ujar Amni kepada Zahrah. Zahrah tersenyum, memberi salam dan bergegas ke rumah. Terlalu banyak perkara yang perlu dia selesaikan, termasuklah tugasan-tugasan yang perlu dihantar di hujung bulan ini dan juga perbentangan term paper yang akan dibuat pada minggu hadapan. Zahrah juga telah diingatkan untuk berjumpa dengan Rogaya, seorang lagi pelajar dari Libya yang sama-sama ditugaskan untuk membuat tugasan Quantum Chemistry.

……………..

Pukul 3.00 petang di Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM.

Zahrah menunggu Rogaya sambil mata dan mindanya memberikan tumpuan sepenuhnya pada helaian buku Quantum Chemistry yang dijumpai di rak perpustakaan. Dia berasa sangat tenang di dalam suasana yang senyap dan aman, dikelilingi oleh ‘cinta-cintanya’ yang tersusun rapi di rak-rak besi berwarna kelabu.

Teringat suatu ketika, perpustakaan ditutup dengan tidak disangka-sangka atas tujuan peyelenggaraan. Hampir sahaja Zahrah menitiskan air mata kerana tidak berpeluang untuk meneruskan bacaannya. Buku yang tidak boleh dibawa keluar daripada perpustakaan seolah-olah sedang menanti dirinya untuk datang dan meneroka ilmu di dalamnya. Sejak itu, dia tahu bahawa di antara tempat yang dia ingin pastikan sentiasa terbuka ialah masjid atau surau dan juga perpustakaan. Tempat-tempat di mana cebisan hatinya sentiasa berada.

“Assalamu’alaikun.” Rogaya memberi salam.

“Wa’alaikumsalam W. R. B.” Zahrah tersenyum melihat Rogaya yang manis berjubah hitam. Seledang bercorak bunga dipakai rapi menutup kepalanya seperti cara pemakaian wanita moden Libya.

Could we seat somewhere to discuss our assignment?” Tanya Zahrah dengan loghat British.

Ok.”

Rogaya dan Zahrah berbincang tentang tugasan yang telah diberikan. Masing-masing cuba memahami isi penting dan juga perkara yang diperlukan untuk memenuhi kehendak tugasan tersebut. Mereka juga melayari internet dan juga mencari buku-buku yang tersedia di perpustakaan untuk menambahkan maklumat yang ada.

Ada ketika Rogaya dan Zahrah disapa oleh sahabat- sahabat dari Libya yang bertandang ke perpustakaan. Widad dan Fadwa memberi salam, bersalaman tangan, bertanya khabar dan beredar untuk melakukan kerja mereka. Kemudian, Naemah, seorang lagi pelajar Master Kimia juga datang menghampiri Zahrah bertanya khabar. Naemah adalah di antara pelajar Libya yang selalu merujuk kepada Zahrah dan dia sangat menghormati Naemah kerana kecekalannya untuk belajar walaupun ada anak yang masih kecil.

Naemah bersalaman dengan Zahrah dan Rogaya lalu bertanyakan sesuatu kepada Rogaya di dalam bahasa Arab. Zahrah membiarkan sahabatnya berbual dan hanya berdiam diri. Dia tidak mengetahui apakah isi perbualan mereka kerana dia tidak tahu berbahasa Arab tetapi terkadang dia membalas senyuman yang diberikan Naemah kepadanya. Ketika dahulu, Zahrah berasa hairan dengan cara pelajar bangsa Arab yang berkomunikasi yang mana bukan sahaja mulut mereka berbicara, tetapi tangan dan badan mereka juga turut bergerak memberikan penekanan kepada apa yang hendak mereka katakan.

Kini, Zahrah sudah biasa dengan suara mereka yang kuat dan tangan mereka yang banyak bergerak ketika berkata-kata. Bahasa Arab ammiyah yang mereka gunakan agak sukar ditangkap dan difahami oleh orang lain.

Naemah ingin beredar dan dia memberi salam kepada Zahrah dan Rogaya. Naemah sempat memberikan senyuman kepada Zahrah dan mencubit pipinya sebelum berlalu. Zahrah keliru seketika kerana dilayan seperti budak kecil apabila pipinya dicubit orang.

Rogaya yang melihat Zahrah hanya ketawa perlahan. Lalu dia berkata,

She likes you.”

“Oh.” Hanya itu yang terkeluar dari bibir Zahrah kerana hatinya berbelah bagi samaada perlu berasa bangga ataupun malu. Tetapi pipinya kelihatan merah seperti menahan malu.

Secara rahsia, Zahrah sebenarnya merasa senang dengan Naemah kerana dia adalah di antara sahabat dari Libya yang sudi berbicara dengannya tentang Al-Quran. Dia juga mendapati Naemah suka menghafal Al-Quran. Dari perbualan dengannya ketika bulan Ramadan dahulu, Zahrah diberitahu bahawa Naemah telah menghafal Surah An-Najm sehingga Surah An-Nas. Sejak itu, Zahrah terus menyuburkan cita-citanya untuk mempelajari dan menghafal Al-Quran di samping mempelajari ilmu kifayah yang lain.

Usai sahaja membahagikan tugas dan juga membincangkan isi- isi penting yang diperlukan untuk memenuhi keperluan yang diminta, Zahrah menarik nafas lega dan menyusun barang-barangnya untuk beredar. Kala itu, Rogaya mengajukan satu soalan kepada Zahrah ketika perhatiannya jatuh pada mushaf yang berwarna merah di hadapan Zahrah.

“Is this your Al-Quran?” Rogaya mengambil terjemahan Al-Quran yang terletak di atas meja. Terjemahan Al-Quran itu sentiasa dibawa oleh Zahrah kemana-mana sahaja dia pergi.

“Yes, my Al-Quran with translation in Bahasa Melayu.” Jawab Zahrah sambil tersenyum.

Do you like to read Al-Quran?” Tanya Rogaya.

Zahrah menelan air liur dan menarik nafas panjang. Perasaan cintanya pada Al-Quran sebenarnya tidak termampu hendak digambarkan dengan kata-kata. Namun begitu pertanyaan perlu dijawab kerana pandangan Rogaya yang tepat pada wajah Zahrah menunggu jawapan darinya.

“Yes, I do. I love to read Al-Quran. It is the words of Allah.” Zahrah tersenyum panjang dan pandangannya lirik pada mushaf berwarna merahnya itu.

Alhamdulillah.” Rogaya tersenyum. Zahrah mengambil peluang tersebut untuk bertanya kepada Rogaya tentang sesuatu.

Do you know anything about qiraat? What kind of qiraat you used when you read Al-Quran in Libya?”

Zahrah terlalu ingin bertanya tentang pembacaan Al-Quran di negara Timur Tengah lebih-lebih lagi Libya. Setiap tempat menggunakan qiraat ataupun cara pembacaan yang berbeza bersandarkan pada perawinya. Di Malaysia, qiraat yang biasa digunakan ialah Hafs An Asim.

Oh, we use qiraah Qolun. But here in Malaysia is different isn’t it? When I go to musolla or masjid, they read Al-Quran in a different way.”

Yes, here we used Hafs an Asim. My ustaz used to say that qiraah Hafs an Asim actually quite hard, but we usually recite Al-Quran using this qiraah, it doesn’t feel hard.”

Yes, it is.”

I love Al-Quran. Maybe one day, I would formally learn about Al-Quran after I finish my Master. InsyaAllah.” Ujar Zahrah jujur dengan pengharapan yang tinggi. Mungkinkah cita-cita itu akan tercapai? Hanya pada Allah, Zahrah meminta.

InsyaAllah, I pray that your dream will come true.” Doa Rogaya dan diaminkan oleh Zahrah.

Dalam pengetahuan Zahrah, Libya adalah negara yang berjiran dengan Mesir dan juga Sudan. Libya juga sebuah negara padang pasir yang mana majoriti penduduknya beragama Islam serta bahasa rasmi mereka adalah bahasa Arab. Terdapat beberapa tempat yang menarik di sana seperti bangunan peninggalan orang Greek dan juga Roman, gunung-ganang, pantai dan sebagainya. Tidak ketinggalan juga makanan yang sedap dan menyelerakan menjadi salah satu trademark kepada negara Timur Tengah ini. Zahrah dan sahabat yang lain sangat bertuah apabila berpeluang merasa makanan tradisional mereka seperti ‘Couscous’, ‘Mahshi’, ‘Arabian coffee’ dan banyak lagi ketika jamuan akhir semester yang lepas.

Do you know that you are different than the other girls in the class?”

Tangan Zahrah terhenti menyusun buku tatkala Rogaya mengutarakan satu soalan yang jelas menyatakan pandangan Ragoya tentang dirinya. Zahrah tersenyum panjang dan menjawab,

Yes, I know. Why?” Tanya Zahrah pula.

Because I see that the way you dress, speak, communicate with people are different. You are different then the other Malay girls.” Jawapan Rogaya terhenti seketika dan senyuman Zahrah semakin panjang namun terus berdiam diri.

You are beautiful outside and inside. There is something about you that make you special.” Rogaya memberi pandangan tentang apa yang dilihat pada diri Zahrah.

SubhanAllah… Yes, I am different the other girls in the class. I wear very long Hijab and I might be a little shy compare to others. I won’t say that I am beautiful outside. Well… not really. But, yes, I do believe in inner beauty.” Zahrah menarik nafas dan menyambung.

When I see the other person, I’ll look at their faces and their beauty are reflected by their piety. You do you know what ‘piety’ is?” Tanya Zahrah pada Rogaya. Kening Rogaya yang berkerut memberitahu Zahrah bahawa dia tidak tahu maksud perkataan tersebut.

“Piety is ‘alim’ or ‘taqwa’.”

“Oh, ’taqwa’. Yes, I know”

“Their prayers and believe to Allah… The light of piety that shone from them will make them beautiful. I do believe if someone is close to Allah, do their prayers, good to other human being, read Al-Quran or even hafaz Al-Quran… he or she is beautiful in the eye of Allah. Later, of course, he or she will be beautiful in the eyes of man.” Zahrah menjelaskan dengan kata-kata yang senang difahami.

Yes, I agree with you. When you did solah, read Al-Quran, do good to the other people, do everything that Allah ask you to do and prevent anything that Allah forbids, then people will see that you are a kind person.” Ujar Rogaya setuju dengan kata-kata Zahrah.

Other than that, I would say that those who do Qiamulail also make themselves extraordinary than the others. This is because while others asleep, he or she stays awake to pray to Allah. Same as those who have wuduk and hafiz Al-Quran. Well, at least I would say that they are beautiful, compared to the others.” Zahrah melihat tepat ke wajah Rogaya memerhatikan reaksinya untuk memastikan dia memahami apa yang cuba Zahrah sampaikan. Terkadang ayat yang diolah dicampur dengan perkataan bahasa Arab agar lebih mudah difahami.

“Do you Qiamulail and hafz Al-Quran?” Tanya Rogaya kepada Zahrah.

Yes. I do Qiamulail and try to memorize Al-Quran. I only memorize Juz Amma and certain Surah like Al-Mulk, As-Sajdah, Al-Insan and others. Right now I started to memorize Al-Baqarah“

MasyaAllah. Before this, I only memorize two juz and I stop. I hope that Allah will help me to continue memorizing the Al-Quran.”

“Ameen. May Allah help us.”

“Ameen. I wish to be like you. I like your Hijab, it is plain and look modest. Unlike my hijab that has a lot of colour and pattern.”

I think that your hijab is ok as long as it cover your hair, neck and, chest. Do you know which verse in Al-Quran that says about wearing hijab?” Zahrah cuba menguji pengetahuan Rogaya tentang perintah Allah supaya mengenakan hijab.

“Hmm… I knew but I forgot

It’s okay, Here.. It is in Surah An-Nur, ayat 31.” Zahrah menghulurkan Al-Quran terjemahannya dan mereka sama-sama mencari ayat tersebut.

‘Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau para perempuan (sesama Islam) mereka, atau hamba sahaya yang mereka miliki, atau para pelayan laki-laki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung.‘

(Surah An-Nur : 31)

“Alhamdulillah. Thank you Zahrah for sharing this with me.”

“Barakallahufik, ya ukhti. May Allah always be with you and me.” Sambut Zahrah dengan doanya.

Kalau hendak dibandingkan dirinya dengan sahabat-sahabat dari negara-negara Arab, terasa dirinya sangat kerdil. Pemahaman mereka dengan Al-Quran dan As-Sunnah lebih tinggi kerana kelebihan bahasa Arab sebagai bahasa ibunda mereka. Sesungguhnya setiap insan yang ada di muka bumi ini suka kepada kebaikan samada orang itu orang yang baik mahupun jahat.

Namun begitu, Allah yang Maha berkuasa memilih hamba-hambanya; antara beriman dan juga kafir. Nikmat yang dikurniakan pada orang yang beriman seharusnya menjadikan mereka lebih dekat dengan Allah manakala nikmat kepada orang yang kafir hanya lebih menyesatkan diri mereka sendiri.

Setiap umat Islam menyedari hakikat bahawa Al-Quran adalah harta yang terlalu berharga yang ditinggalkan oleh Rasul kepada kita. ‘Surat Cinta dari Tuhan’ yang tidak boleh dirampas oleh sesiapapun jikalau ia tersemat rapi di dalam hati dan terpancar indah pada peribadi.

Cantik dan indahnya seseorang kerana taat dan juga cinta pada Allah dan Rasulullah. Kerana cinta itu juga menyebabkan seseorang berfikir dari sudut mata Rasulullah sendiri, manusia yang perlu dicintai lebih dari diri sendiri. Kerana cinta pada Rasulullah maka cuba meletakkan diri sendiri di tempat Rasulullah. Mungkin tidak mampu untuk ku miliki seorang kekasih seperti Rasulullah tetapi akan ku cuba untuk memiliki sifat yang Rasulullah ada. Ilmu yang disampaikan baginda bagaikan hujan yang menyuburkan tanaman. Merungkai hati manusia bersama peribadi yang mulia. Indahnya Rasullullah sebagai contoh orang yang beriman kerana bagindalah yang dikatakan sebagai Al-Quran yang berjalan.

Sunday, October 10, 2010

Hargailah iman kurnian Allah.

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillahirabbil'alamin. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah S.A.W, ahlul bait, para sahabat baginda, tabi' tabiin dan semua umat Islam di seluruh dunia.

Kala ini, hati cuba berbicara dengan madah, tatkala tangan yang menari di atas papan kekunci tidak bisa mengambarkan resah yang ada di hati. Alunan Al-Quran oleh Sheikh Said Saad Al-Ghamidi terus berkumandang menemanku. Sebagai ganti buat diri yang agak liat untuk muraja'ah (mengulang) hafalan Al-Quran. Astaghfirullahal'azim.. Ya Allah, jauhkanlah diriku dari sifat malas dan bertangguh. Tak ingin ku jatuh ke lubang yang sama beberapa kali. Hanya dengan kurnia dan rahmatMu yang membawa ku ke syurga...

Tak keterlaluan untuk ana katakan bahawa madah kata dan bunga bahasa dari ana sangat sukar untuk dihulurkan. Teringat ana pada ukhti habibati yang dikasihi.. Kala di dalam pelukan rindu itu ukhti meluahkan rasa susah hatinya... Seolah-olah bicara kata dari dirinya dan juga diriku sudah kering dek kemaraunya ilham. Impaknya dilihat jelas pada taman cyber yang kian suram dari hiasan kata dan tazkirah yang membina. Ana mohon ampun pada Allah dan juga kemaafan dari sahabat semua di atas kekhilafan diri ini.

Sejujurnya, iman cuba diukur buat muhasabah diri. Saban hari, terasa iman di dada mula menurun. Maka, dicapai buku-buku yang ada dalam koleksi di rumah. Penuh satu rak yang berisi dengan buku-buku bersifat ruhiah dan juga ilmiah. Dari novel-novel tarbiyah kepada syarah tarbiyah rasmul bayan. Ingin disenaraikan tajuk-tajuknya, takkan terlarat untuk tangan ini menaipnya. Tetapi, sempat juga dicapai novel Hidayah Cinta oleh Ilham Hamdani dan juga novel Wa Ai Ni Allah oleh Vanny Chrisma W. Terdapat banyak buku-buku menarik, tetapi kedua-dua buku ini telah mengetengahkan perjuangan beberapa hamba Allah yang mencari erti bertuhan dan juga perjalanan iman. Terlalu indah untuk diungkapkan tentang hati-hati diluar sana yang dihinggap dengan iman kurniaan Allah. Indahnya dirimu kerana iman di dada itu.

Ya, ungkapan yang sesuai buat mereka-mereka ini ialah 'revert' dan bukannya 'convert'. 'Convert' lebih bermaksud bertukar kepada, tetapi 'revert' bermaksud tukar kembali. Mengapa ana katakan begini?

Manusia itu lahirnya dengan fitrah. Roh ciptaan Allah itu telah mengaku dan menyedari bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah sebelum lahirnya ke dunia. Dan ditakdirkan sahabat-sahabat ini dilahirkan di dalam keluarga yang tidak beriman kepada Allah. Bukankah ibu-bapa yang mencorakkan seorang anak menjadi Yahudi, Nasrani dan juga Majusi?

Hakikatnya, Allah Yang Maha Berkuasa mengurniakan hidayah kepada yang Dia kehendaki. Walaupun seorang itu bergelar Ayumi, Amei, Mei Fong, Takahashi dan sebagainya, ketentuan itu tetap akan berlaku dengan izinNya. Biznillah, sahabat-sahabat yang dahulunya jauh sesat dalam kekafiran kini dibawa kembali kepada cahaya iman yang terang. SubhanAllah, besarnya kuasa Allah tidak diduga dengan akal fikiran.

Diri ingin membawa satu pertanyaan kepada semua. Adakah kita bersyukur dengan iman kurniaan Allah? Apakah buktinya? Iman itu tidak diwarisi dari seorang ayah kepada anak dengan begitu sahaja... Berapa banyak kes murtad yang terjadi di Malaysia... Kesedihan yang tak terkata... Sedangkan terlalu banyak hati-hati diluar sana yang menagih pedoman dan juga iman yang membawa ke syurga... ya Allah, tolongilah hamba-hambaMu. Hargai iman yang ada di dalam diri. Semoga Allah menjadi penolong kita semua di dunia dan juga di hari pembalasan itu.

Asif jiddan, ana berundur diri dahulu dek kerana tugas meminta perhatianku. Doakan ana wahai sahabat-sahabatku. Salam'alaik.

Wallu'alam.

Friday, September 17, 2010

Salam mujahadah buat diri dan semua

Bismillahirahmanirahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Diri ini masih dikurniakan dengan nikmat iman dan juga Islam. Selawat dan salam buat junjungan nabi Muhammad S.A.W, kekasih yang pada hatinya turunnya Al-Quran, salam juga buat ahlul bait dan juga sahabat, serta semua umat Islam di luar sana. Salam Aidifitri di bulan syawal yang berkah ini. Mohon maaf zahir dan batin atas kekhilafan diri ini. Semoga dirimu sentiasa di dalam naungan kasih dan cinta Allah.

Ternyata, diri ini sudah terlalu lama tidak menyusun kata. Tidak dapat kuberikan kata-kata alasan ataupun berita, kerana terasa sangat berat hati ini menyusun kata-kata untuk disampaikan pada semua. Mungkin sampai satu ketika, diri ini takut dek kerana kata-kata yang dilontarkan di sini bisa menjadi hujah dan saksi buatku. Penyebab samada dosa ataupun pahala buatku...

Mungkin sahabat ramai yang tertanya, mengapa? Bukankah kata-kata itu mencerminkan empunya diri? Tentang peribadinya, tentang akhlaknya, tentang pendiriannya, tentang iman dan juga tentang apa yang tersirat di dalam hatinya... Maka, cuba ku hulurkan walau sepotong nasihat dan kata-kata. Demi menjejak langkah Rasulullah tercinta. Mencari mardhotillah dan sebagai bukti cinta pada Allah.

SubhanAllah, benarlah kata-kata yg ana baca di sebuah buku; "Kecantikan akhlak adalah bayangan kepada kesempurnaan iman. Kesempurnaan iman pula terbentuk dari akidah yang mantap dan ibadah yang sahih. Akidah dan ibadah hanya dapat dibina melalui kefahaman dari ilmu yang benar dan tepat."

Apakah kesempurnaan akhlak tanpa dihiasi dgn kesempurnaan iman? Apakah erti taqwa wahai sahabatku? Imam Ali berkata, "Takwa adalah rasa takut kepada Allah, mengamalkan ajaran Al-Quran, merasa ridha dengan sesuatu yang sedikit, dan mempersiapkan diri untuk hari kiamat".

Kala hati ini kembali mengimbau indahnya bulan Ramadahan itu.... rupanya ia telah berlalu dan pasti banyak hati-hati di luar sana yang sangat merinduinya... Tatkala ruang dan peluang utuk membuat maksiat itu tidak dibendung dengan baik ketika hati mulai lalai dek kata-kata nafsu dan bisikan syaitan... SubhanAllah... kuatkan imanku dan juga tetapkan hatiku..

Maka, kita kembali kepada maksud takwa wahai sahabat yang ana kasihi. Ramadhan yang berlalu memberi erti pada diri dengan meningkatnya iman dan takwa itu. Tatkala diri hampir tergelincir ke jurang maksiat dan kelalaian, carilah kembali kekuatan jati diri yang telah dibina ketika menjalani tarbiyah di bulan ramadhan. Hidupkan solat sunat di waktu malam dan gencarkan tilawah dan tadabbur Al-Quranmu. Kuatkan langkah di siang hari melaksanakan ajaran-ajaran dari 'surat cinta dari Tuhan' dan teruslah bersabar menempuhi ujian dari Allah, bersabar dari perkara yang diharamkan dan bersabarlah dalam menunaikan amalan-amalan yang difardhukan.

Sukarkah? Hm... diri ini juga merasai susahnya.. Tatkala dada terasa sempit dan air mata mula bertakung kerana menanggung sedih mengenangkan lemahnya imanku dan sedikitnya usahaku. Tetapi, Allah itu Maha Penyayang dan Maha Mengetahui akan keadaan hamba-hambaNya. Maka, kupohon agar Dia melapangkan dadaku. Semoga dengan sabar itu membolehkan hamba-hamba yang bertuah itu dipersilakan ke syurga dengan penuh penghormatan.

22. Dan orang yang sabar kerana mengharap keredhaan Tuhannya, melaksanakan solat dan menginfakkan sebagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik).

23. (iaitu) syurga-syurga 'Adn, mereka masuk ke dalamnya bersama dengan orang yang soleh dari nenek moyangnya, pasangan-pasangannya dan anak cucunya, sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;

24. (sambil mengucapkan) "Selamat sejahtera atasmu kerana kesabaranmu." Maka alangkah nikmatnya tempat kesudahan itu.

(Ar-Ra'du 13: 22-24)

Baiklah... ana perlu berundur diri menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan. Salam mujahadah para khalifah di bumi Allah. Semoga Allah memudahkan segala urusanku dan juga urusanmu.

P/S: Marilah kita sama-sama tenggelam dalam ketenangan dek alunan ayat-ayat cinta dari Tuhan (Al-Quran). Janganlah tenggelam dalam kehendak nafsumu wahai syabab (pemuda) sekalian. Allah Maha Melihat dan sentiasa bersama denganmu. Pintu taubat masih terbuka. Kerana bukti cinta adalah membawa diri yang disayangi ke syurga. Bersama rasa harap yang tinggi untuk mencari redha Allah dan peluang melihat wajahNya di akhirat kelak.

Wallahu'alam.

Monday, August 16, 2010

Salam Ramadhan. Bergembiralah wahai para pencari cinta Allah.

Bismillahirahmanirahim

Segala puji hanya pada Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam pada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, pada ahlul bait, para sahabat, tabi’ tabi’in dan juga semua umat muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian.

SubhanAllah, asif jiddan kepada semua yang setia membaca taman cyber yang bernama ‘Pencari CintaNya’. Lebih-lebih lagi pada akhawat sekalian yang tertanya bilakah ukhti Farah akan ‘update’ post yang baru? Dan kata-kata yang ditinggalkan ukhti Jahsy bisa jadi pujukan buatku. Ya… memang sudah terlalu lama halaman ini sepi tanpa bunga-bunga bahasa. Masa dan ‘situasi’ yang menguji diri ini memaksa ana untuk berundur diri seketika. Tidak ketingglan juga, keluarga masih keletihan dek kesibukan memindah barang ke rumah yang baru. Kepada sesiapa yang mengenali diri, kini ana tidak lagi tinggal di KIY, tetapi berpindah ke KKM. Maka, carilah ana di sana ya…

Walaupun terlewat, ingin ana ucapkan selamat menyambut bulan Ramadan. Semoga Allah ,mengurniakan nikmat-nikmatnya yang tidak terhingga di bulan yang mulia ini. Bulan di mana turunnya Al-Quran, adanya hari Lailatul Qadar dan banyak lagi peristiwa yang menarik terjadi. Bulan yang menjadi saksi hamba-hamba Allah mencari permata pahala. Dan semoga melambung tinggi iman di dada dek kerana seluruh jasad itu diabdikan pada Tuhan, menyembahNya, mematuhi perintahNya. Semoga dikurniakan juga rasa cinta pada Allah, Rasulullah, Al-Quran dan juga jihad dijalanNya. Ameen.

Kala kita semua dilarut indah dalam ibadah pada Allah,berita kemalangan yang dialami 2 orang ikhwah baru-baru ini menjadi ujian dan juga iktibar buat semua ikhwah wa akhawat yang lain. Ujian itu hadir sesuai dengan kesanggupannya. SubhanAllah, terkadang itu, kata-kata manusia tidak bisa menjadi penawar buat diri yang lara. Maka, kita kena kembali kepada pujukan firman Allah dan juga hadis nabi.

Terkadang itu, hati yang terluka dek kerana ujian yang hadir menjadi asbab kepada terasa dekatnya diri kita pada Tuhan. Dia yang memberikan ujian, dan Dia juga Yang berkuasa untuk memberikan kegembiraan pada hamba-hambaNya.

Al-kisah satu hari, seorang hamba Allah telah diuji dengan cinta dan juga tegasnya mama dan abah tidak membenarkannya untuk keluar dari rumah, menyebabkan tergendala langkahnya ke medan halaqah. SubhanAllah, walau jasad akur menerima, mata dan hati itu menangis penuh kesedihan lalu melangkah mengerjakan solat. Benar, bukankah kita perlu meminta pertolongan dariNya dengan sabar dan solat?

“Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk” (Surah Al-Baqarah: 45)

Selesai solat, Al-Quran pula dicapai buat penerang hati, penghibur jiwa, penawar rindu dan juga kata bijaksana. Sungguh, Allah Maha Mengetahui akan segala perkara yang dialaminya. Tatkala ayat-ayat berikut menjadi ayat-ayat tilawah yang seterusnya memujuk dirinya.

“Dan tidakkah engkau (Muhammad) berada dalam menjalankan suatu urusan, dan tidak membaca suatu ayat Al-Quran serta tidak pula kamu melakukan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu ketika kamu melakukannya. Tidak lengah sedikit pun dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarrah, baik di bumi ataupun di langit. Tidak ada sesuatu yang lebih kecil dan yang lebih besar daripada itu, melainkan semua tercatat dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).”

“Ingatlah wali-wali Allah itu, tidak ada rasa takut pada mereka, dan mereka tidak bersedih hati.”

“(Yaitu) orang- orang yang beriman dan senantiasa bertakwa.”

“Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Tidak ada perubahan bagi janji-janji Allah. Demikian itulah kemenangan yang agung.”

“Dan janganlah engkau (Muhammad) sedih atas perkataan mereka. Sungguh, kekuasaan itu seluruhnya milik Allah. Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui.”

(Surah Yunus: 61-65)

Ayat-ayat cinta itu menyedarkan empunya diri yang kesedihan. Dan kala itu, hati berbicara penuh sayu;

‘Sedarkah wahai diri bahawa Allah itu Maha Mengetahui segala perkara yang terjadi pada diri... Dia Maha Mengetahui dan kerana itu Dia memberikan ujian ini kepadamu... Solat dan tangismu didengar olehNya dan Dia menjawab dengan ayat-ayat cintaNya... Janganlah bersedih hati lagi….’

Air mata berbaki di mata dan juga pipi. Cukuplah pujukan firman dari Allah. Telah ia tinggalkan kesan riang dan juga rasa cinta pada hatinya.

Setiap insan itu berlainan ujiannya. Mungkin hambatan dakwahku berlainan dengan sahabat di luar sana, tetapi, segala ujian hadir bersama hikmah yang diberi Allah. Satu bentuk kasih dan sayang buat diri. Sebagai satu wasilah penghapus dosa-dosa kita. Agar akhirnya kita melangkah di bumi ini bersih dari dosa.

Wallahu’alam.

Monday, June 7, 2010

Monolog iman buat diri... Ya Allah, selamatkan Palestin.

Bismillahirahmanirahim.

MONOLOG iman untuk memujuk diri yang lara...

SubhanaAllah, hati seperti tiada kata-kata untuk diluahkan. Perasaan yang terlalu banyak dek kerana perkara yang menguji kekuatan hati. Berita tentang Misi ke Gaza dan juga kekejaman Israel ternyata menyebabkan perasaan marah meluap-luap. Bagai ingin pergi sendiri menjejak kaki ke bumi Palestin yang berdarah itu... Tidak ketinggalan juga kebiadapan pihak Israel yang terlalu jelas tetapi cuba dinafikan pula.... Sungguh, segala perbuatan mereka sudah melampaui batas.... Wahai jiwa-jiwa yang cintakan kedamaian, ini hanyalah permulaan dan bukanlah yang terakhir. Ada Satu kuasa yang jauh lebih besar dari Israel iaitu ALLAH.

Wahai diri, bersabarlah... Jika dilihat pembelaan terhadap Islam seperti jauh dari pandangan mata, percayalah yang pertolongan Allah itu sangat dekat.

Wahai diri, bersiap sedialah... Satu ketika nanti, mungkin akan sampai seruan untuk keluar berjihad. Dan sesungguhnya orang yang syahid itu bukanlah mati, sebaliknya pergi menemui Kekasih iaitu Allah.

Wahai diri, bangunlah.... ummat memerlukanmu. Walau tidak bersenjatakan senapang patah ataupun pesawat MIG, ruang untukmu berjihad terlalu luas; di medan dakwah, di medan ilmu, di medan pekerjaan dan tidak ketinggalan juga di medan juang melawan hawa nafsu.

Wahai diri, bergembiralah... kiranya kau berduka kerana tidak sampai apa yang dicita, cari hikmah di sebalik setiap peristiwa. Percayalah bahawa Allah sedang mentarbiyah diri dengan kasih sayangNya.

Wahai diri, senyumlah.... bukankah seorang daie itu selalu tersenyum walau hati sedang menangis penuh duka? Setiap titis peluh, darah dan air mata akan dibalas Allah dengan nikmat-nikmatNya.

Wahai diri, bersyukurlah.... segala pemberian Allah yang tidak terkira banyaknya. Nikmat iman, dan Islam... Kasih sayang Allah yang didamba... wahai hati, ana kasih pada Allah... berhentilah bersedih dan bangunlah mencari cintaNya.

Wahai diri, kuatkan langkah mencapai surat cinta dari Allah..... semoga ketenangan menjadi milikmu kala ayat-ayat suci kalam Furqan itu berkumandang lembut menyusup telinga dan hatimu.

Wahai diri, bermanjalah dengan Allah.... lunakkan suaramu memanggil namaNya... kerana hati yang terlalu sunyi... maka mengadulah padaNya... kerana Allah Maha Mengetahui segala yang tersembunyi di dalam hati.

Wahai diri, cukuplah.... semoga Allah sentiasa memberkatimu....

Dan suatu ketika dahulu, sahabat pernah bertanya;

"Ukhti, sanggup tak ukhti melepaskan ayah pergi untuk berjuang?"

SubhanAllah, hati seperti dirobek keluar tatkala gambaran imaginasi abah, dan adik-adik lelaki pergi dijemput Allah.... Apa yang hendak dijawab pada soalan yang sukar ini? Apa yang mampu dilakukan ialah termenung panjang melihat sesuatu di kejauhan dan berdiam diri. Seperti ingin menangis apabila sedar bahawa hati seperti tidak merelakan sekiranya ahli keluarga sendiri pergi mengangkat senjata.... air mata yang tumpah memikirkan tanpa insan yang disayangi di sisi... Cuba dipujuk hati yang terlalu sayang pada mereka yang bergelar abah... adik.... Wahai diri... sesungguhnya, Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang... Dia juga Maha Adil dan Maha Kuasa. Dari Dia kita hidup dan kepada Dia juga kita kembali... Syahid itu balasannya syurga....

Ternyata Allah menguji lagi apabila persoalan yang sama ditanya oleh akhwat yang lain tidak lama kemudian;

"Ukhti, sanggup tak ukhti melepaskan ayah pergi untuk berjuang?"

Pertanyaan itu cuba ku jawab...

"Sanggup.... cuma ada syarat."

"Syaratnya?" Tanya akhwat dengan nada kehairanan.

"Syaratnya... ana nak ikut sekali berperang."

Sungguh... adakah tercapai cita-cita itu? Adakah diri ada semangat yang cukup kuat untuk merealisasikan kata-kata itu? Adakah masa itu pasti akan tiba? Sanggupkah diri merasai kesedihan para ibu di Palestin yang setiap hari melihat suami dan juga anak-anak mereka syahid berperang dengan musuh-musuh Allah? Wahai Allah, tiada pertolongan selain dariMu.

SubhanAllah, cemburu ana pada serikandi-serikandi di zaman Nabi dan juga para khalifah. Kisah Nusaibah, Khaulah, dan tidak ketinggalan juga serikandi-serikandi yang lain membuktikan bahawa seorang perempuan boleh memperjuangkan kedaulatan Islam di muka bumi mahupun di medan peperangan. Tidak pernahkah terfikir tentang indahnya ciptaan Allah yang bergelar kaum Hawa ini? Boleh menjadi sangat kuat tetapi sangat lembut pada masa yang sama. Naluri yang terlalu kompleks menjadi pelengkap kepada fitrah seorang perempuan yang menjadi lambang kecantikan, kelembutan dan juga kasih sayang. Lembutnya seorang ibu membelai si anak dan pada masa yang sama kuatnya si ibu mendukung anak untuk berjam-jam. Kasih si ibu memberi anaknya minum air kala dirinya sendiri kuat menahan dahaga... Maha Suci Allah, dengan segala kekuasaan dan juga sifatNya yang Maha Pemurah.

SubhanAllah, semoga Allah S.W.T menyelamatkan Palestin dan kita semua. Akan ku tunggu bangkitnya ummat ini dan juga hadirnya pertolongan Allah. Bantuan dari Allah adalah pasti.... Kekuasaan Allah itu tiada taranya... Kerana Dialah yang menghantar burung ababil menghancurkan tentera Abrahah. Dialah yang menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari Firaun... Dan suatu hari nanti, akan tiba waktu kemenangan berada di pihak yang benar...

Dear the enemy of true belivers,

The truth lies behind the curtain of deception,
Are men are allowed to get away with every pain they cause to others?
Mark my words, you maybe above the law made by man,
But you will never escape the law made by God.
For Allah is The Just and The Almighty.
Accept the fact, eventhough the truth is hurt.

farahzulaikha,
be great for truth.

Wallahu'alam.

Friday, May 28, 2010

Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 5

Bismilahirahmanirahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Selawat dan salam buat murabbi agung, Nabi Muhammad S.A.W, pada ahlul bait, sahabat baginda, tabi' tabiin, ikhwah wa akhwat dan seluruh umat Islam. Semoga sentiasa dalam naungan kasih dan cinta Allah. Tika ini, diri memanjatkan segala pujian padaNya, lantas mama dan abah telah kembali ke pangkuan kami sekeluarga dengan selamat daripada negara China. Alhamdulillah, pengalaman yang ditimba saban hari menjadi titik tolak kepada diri yang semakin dekat dengan masa pertemuan itu. Pertemuan untuk berjumpa dengan Allah, Kekasih yang dirindui.

Sela masa yang ada cuba kuambil untuk terus menulis dan membaca. Dan alhamdulillah, kisah tarbiyah dari kem hafazan episod ke-5 bersambung lagi. Episod kali ini tidak memfokuskan pada kem hafazan, tetapi lebih menceritakan tentang watak Iqra, sang pencinta kalam Furqan.

Sebelum membaca Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod ke-5, pastikan antum telah membaca Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 1, Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 2, Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 3, dan Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009 Episod 4.

Kisah Tarbiyah dari Kem Hafazan 2009, Episod 5.

Iqra duduk sendirian di meja belajarnya di kediaman keluarga yang tercinta. Dia melayangkan pandangannya pada mushaf terjemahan Al-Quran yang tertutup di atas meja belajar. Selain Al-Quran, ada banyak jenis buku tersusun rapi di hadapan Iqra; samada yang berbentuk ilmu agama dan juga ilmu alam. Meja ini telah menjadi saksi kepada jihad ilmu Iqra, dan juga tempat kegemaran Iqra mengalunkan ayat-ayat cinta Allah dengan suara yang nyaring ataupun kuat.

Sekiranya Iqra tidak ada di meja belajarnya, Euprates, kucing kesayangan Iqra akan datang dan berbaring di situ. Sehingga kini, Iqra masih tidak dapat mengenal pasti kenapa Euprates suka melepak di atas mejanya. Biasanya, ada sahaja kehadiran kucing yang berbulu hitam dan putih itu menemani Iqra kala dirinya membaca Al-Quran dan seterusnya tidur diulit bacaan ayat-ayat suci al-Quran itu. Bagaimanapun, saat itu, Iqra duduk keseorangan tanpa kelibat Euprates berhampiran.

Pada malam yang indah selepas selesai menyempurnakan solat Isyak dan solat taubat, Iqra mengambil mushaf kesayangannya dan berazam untuk mulakan aktiviti menghafal Al-Quran. Dengan izin Allah, hari esok akan menjelma lagi hari yang baru dan kem hafazan akan bersambung lagi. Namun begitu perasaan Iqra kala itu agak bercelaru kerana merasakan sangat rindu pada akhwat-akhwat, mawar-mawar berduri yang indah yang sering menjadi temannya di sisi. Kadang-kadang Iqra sendiri sedar tentang hakikat bercinta. Apabila bercinta, mengharap untuk dicintai semula. Sahabiah-sahabiah yang setia dalam perjuangan dakwah dan keberlangsungan tarbiyah adalah antara insan- insan yang sangat dekat dengan dirinya. Dan kerana nikmat kurniaan Allah itu, Iqra terasa sangat bahagia dan sangat bersyukur pada Tuhannya.

Dalam kerinduan yang sangat mencengkam jiwa, Iqra menaip bait-bait kata untuk disampaikan pada seorang akhwat tercinta buat penawar rindunya.

“Hati ini milik Allah. Walaupun dunia menuntut kudrat dan jasadku, namun, dunia tidak akan mendapat tempat di hatiku. Kerana Allah adalah Tuhanku dan juga Tuhanmu. Hanya Dia Pemilik hati yang mengirim salam rindu ini dan juga Pemilik hati yang membaca cebisan kata perkhabaran ini. Sayang ana, ana merinduimu. Kelak andai mungkin… ingin ku pimpin tanganmu di syurga. Buat melepas rindu yang tak akan pernah hilang. Semoga Allah merestui segala usahaku dan usahamu di sini. Sebagai tukaran nikmat yang terlalu banyak di syurga nanti. Ana asif di atas segala kekhilafan. Semoga sentiasa dalam naungan kasih dan cinta Allah… Ana cinta, kasih, rindu, sayang padamu, wahai hamilul Quran kesayanganku.”

Message sent. Kata-kata disusun indah buat Ukhti Zainab Jahsy dengan harapan ia disambut. Diseka titisan air mata yang bertakung di hujung matanya. Hatinya terasa sangat sayu dan cuba diungkap perasaan rindu dengan untaian kata. Dirasakan sedikit berbunga, tetapi hakikatnya, diri Iqra selalu bermadah kata dengan ukhti yang dirinduinya itu. Ukhti Zainab Jahsy yang hadir dalam hidup Iqra bagaikan kurniaan Allah yang tak terhingga banyaknya. Hadir dirinya bagaikan doa Iqra yang dimakbulkan Allah dan juga diantara salah satu kuntum mawar mewangi yang menceriakan taman Islam bersama akhwat-akhwat yang lain. Ukhti ini sentiasa menjadi rujukan Iqra kerana di adalah seorang hafizah yang telah menghafal 30 juz Al-Quran.

Mengimbas kenangan-kenangan dan pengalaman indah yang tercipta bersamanya, menambahkan lagi kemanisan halawatul ukhwah yang telah terjalin. Ukhti yang dikasihi ini digelarkan oleh Iqra, ukhti habibati Hamilul Quran kerana kasihnya Iqra pada diri ukhti yang dirinduinya itu. Kasihnya yang ingin membawa semua sahabiah-sahabiah yang dikasihi ke syurga. Diri Iqra terkadang digelar ‘pecinta kalam Furqan’ atau ‘habibati’ oleh Ukhti Zainab Jahsy. Biar apapun yang dizahirkan di mata, kata-kata dan juga perilaku, ia tidak bisa mengungkap rasa cinta yang Allah terbitkan buat sahabatnya itu.

Selang 1 minit, SMS baru masuk ke inbox.

“Salam’alaik ukhti habibati. Cinta ana selepas Allah, rasul, ummi abi dan juga di kalangan akhawat…. Asif, ana ada meeting tika ini. Tunggu ana, ya? Nanti ana call ukhti..” Jawapan ukhti Zainab Jahsy.

Iqra menyambut baik permintaan ukhti Zainab Jahsy;

“Ok, ana tunggu.”

‘SubhanaAllah, Kau permudahkanlah urusan ukhtiku ini. Semoga dia sentiasa sejahtera dalam jagaanMu. Ameen.’ Doa Iqra di dalam hati. Ukhti Zainab Jahsy kini jauh di Kedah dan dirinya pula berada di Bangi. Saban hari, doa dipertemukan Allah dengan akhwat-akhwat kesayangan tak pernah lekang dari bibir dan hati Iqra. Hendak diikutkan hati, bisa sahaja dirinya untuk berjumpa dengan sahabiah-sahabiah semua, tetapi ternyata belum sampai masanya. Dirinya redha dengan ketentuan Allah. Semoga halawatul ukhwah terus dirasai, kala diri jauh memedam rasa rindu dan kasih di hati.

Iqra mencapai mushafnya dan memulakan hafalannya. Dia sudah berusaha menghabiskan surah Mutaffifin dan juga Al-Infitar. Kini, dia cuba menghafal surah At-Takwir yang terdiri daripada 29 ayat. Pena dan juga buku hafazan teknik huffaz setia bersama Iqra. Satu persatu perkataan ditulis termasuklah terjemahanannya dalam bahasa Melayu. Bait-bait ayat-ayat cinta Allah ini terlalu menguji hatinya.

‘Apabila matahari digulung,

dan apabila bintang-bintang dijatuhkan,

dan apabila gunung-gunung dihancurkan,

dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan (tidak terurus),

dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan,

dan apabila lautan dipanaskan,

dan apabila ruh-ruh dipertemukan (dengan tubuh),

dan apabila bayi-bayi perempuan dikubur hidup-hidup ditanya,

kerana dosa apa dia dibunuh?’

(Surah At-Takwir: 1-9).

Tatkala sampai ayat ke-9, Iqra tak mampu menahan sebaknya lagi. Gambaran tentang hari pembalasan bermain-main di minda Iqra.

‘Kasihannya bayi-bayi yang menjadi korban jahilliyah manusia di zaman kegelapan dahulu. Dan sungguh, Allah S.W.T Maha Adil. Apa yang akan terjadi pada mereka yang ditanya oleh Allah dengan pertanyaaan ‘kerana dosa apa dia dibunuh’?’ Hati Iqra gementar memikirkan hukuman-hukuman Allah buat jiwa-jiwa yang telah menyebabkan murkaNya.

Dan sekiranya dirinya hendak dikaitkan dengan zaman globalisasi yang serba canggih kini, walau setinggi mana tamadun lahiriah dapat dicapai, namun ia tak mampu membina tamadun hati dan juga pemikiran penghuni-penghuninya. Sudah terlalu banyak gejala sosial yang berleluasa sehingga meragut keamanan masyarakat sekeliling khususnya di Malaysia sendiri dek kerana terlalu jauh dari penghayatan Al-Quran dan juga As-Sunnah. Sekiranya difokuskan skop yang lebih kecil, sudah terlalu banyak kes pembuangan bayi yang berlaku, sehingga saban hari semua orang tertanya dimanakah silapnya. Ada yang dibuang di dalam tong sampah, dibiarkan dibaham anjing dan sebagainya. Lebih kejam dari orang-orang jahiliyah dahulu. Dan kini, ayat 8 dan 9 dari surah At-Takwir seperti menegur dan memberi peringatan kepada Iqra tentang perkara-perkara ini.

Rasa takut, malu, kesal dan lemah terus terbit di hati Iqra. Terasa dirinya tak mampu lagi meneruskan hafazannya. Kala itu, Iqra terus memujuk diri yang lara.

‘SubhanaAllah, ternyata surah-surah di dalam Juz ke-30 ini terlalu banyak menyatakan tentang keadaan hari kiamat dan juga neraka. Surah Al-Ghasyiyah, surah Al-Insyiqaq, surah Al-Mutafiffin, surah Al-Infitar dan kini surah At-Takwir. MasyaAllah, keadaan yang terlalu menakutkan wahai Allah. Tiada pelindung selain daripadaMu, ya Rabbi’. Doa Iqra di dalam hati.

Dia tahu bahawa surah-surah ini juga pernah menyentuh hati-hati sekalian sahabatnya ketika program-program di slot muhasabah diri. Al-Quran itu terlalu agung dan sangat indah dan telah jelas hakikatnya ia adalah kata-kata dari Allah dan bukanlah manusia. Dirinya mengimbas kembali muhasabah diri yang pernah dikendalikan Iqra satu ketika dahulu. Kala Allah menguji Iqra dengan tanggungjawab yang dirasakan terlalu besar buat dirinya yang hina…

Kolej Pendeta Zaba’, UKM
30 Mei 2009, 11.15 malam

Suasana hening memenuhi ruang bilik persidangan yag sengaja digelapkan oleh para fasilitator yang bertugas. Satu-satunya punca cahaya dari belakang bilik dibiarkan terpasang. Iqra mengambil tempat di hadapan para peserta yang terdiri daripada para pelajar puteri tingkatan 5 dari pelbagai sekolah yang mengikuti halaqah. Mereka duduk membuat separuh bulatan di hadapannya. Hampir 15 minit sudah berlalu sejak slot muhasabah bermula. Lakonan para fasilitator sangat menggugat ketenangan hati-hati yang melihatnya sehingga diganti dengan perasaan sedih dan juga bungkam. Hakikatnya, lakonan itu telah menceritakan tentang kedegilan seorang anak yang bernama Hidayah dan kasihnya seorang ibu. Iqra yang menjadi suara di sebalik tabir merungkai satu demi satu babak lakonan yang dipersembahkan.

“Hidayah seorang yatim, tinggal bersama ibunya yang bekerja keras membanting tulang untuk mencari sesuap nasi. Hidayah bersekolah di asrama penuh bersama rakan baiknya yang bernama Murni dan tinggallah ibu seorang di rumah yang tidak putus putus berdoa untuk kesejahteraannya di dunia dan di akhirat. Namun begitu, hakikatnya, Hidayah sangat mementingkan pelajaran sehingga terkadang melewatkan solat dan jauh sekali untuk membaca Al-Quran.”

Seorang fasi yang melakonkan watak Hidayah melangkah masuk ke ruang hadapan bersama earphone di telinga. Hidayah duduk bersila di hadapan meja mengulang kaji pelajaran. Sedang dia asyik melayan lagu yang melalaikan dan juga buku di hadapan, Murni mengajaknya untuk solat berjemaah bersama-sama. Hidayah mendengus kuat dan tidak mengendahkan ajakan Murni. Kala itu, dia terus hanyut dibuai mimpinya sendiri.

“Hidayah sebenarnya tahu erti pengorbanan yang sebenarnya dek kerana hidupnya yang tinggal sendirian bersama ibunya. Dia seperti melihat hanya ada satu sahaja jalan mencari kebahagiaan iaitu ilmu dan juga SPM yang bakal dia duduki. Kejayaan itu akan dibawa pulang untuk ibunya. Sedangkan hakikat kehidupan yang bahagia bukanlah semata-mata mencari kejayaan dunia tetapi akhirat. Cinta hakiki yang sebenar ialah cinta pada Allah dan bukan pada selainNya. Hidayah lebih mementingkan pelajaran daripada mengerjakan ibadah-ibadah yang difardukan ke atasnya. Hidayah tidak menyedari tentang hakikat ini, dan dia terus lalai dipupuk godaan dunia.”

“Perangai Hidayah berlanjutan sehingga ke rumah. Hati si ibu luluh apabila mendengar kata ‘ah’ dari Hidayah tatkala disuruh bangun untuk solat Subuh dan juga membaca Al-Quran. Si ibu terus berusaha, bersabar dan berdoa demi kebahagiaannya dan juga Hidayah. Hati si ibu yang kasih pada anaknya membawa ke syurga.”

“Masa berlalu dan pada hari-hari yang berikutnya, keputusan SPM keluar. Hidayah melangkah keluar dari pagar sekolah dengan hati yang berbunga dan senyuman yang lebar. Slip keputusan peperiksaan SPM di tangannya menunjukkan bahawa Hidayah telah mendapat 10A1. Dia tidak sabar untuk pulang ke rumah dan menunjukkan slip keputusan peperiksaan SPMnya pada ibu.”

“Hidayah pulang dengan hati yang sangat berbunga. Langkah diatur dengan cepat beriringan dengan hatinya yang girang. Dia telah membayangkan riak wajah ibu yang gembira apabila melihat anaknya ini berjaya.” Iqra mengenakan intonasi yang sesuai pada suasananya. Dan kala itu, Surah Yaasin mula berkumandang mengambil alih suasana yang suram.

“Tatkala Hidayah melangkah ke halaman rumah, terdapat ramai orang yang berada di situ. Hidayah tertanya apa yang terjadi. Adakah mereka ini hadir untuk mengucapkan tahniah kepadanya? Kenapa ada orang membaca Surah Yaasin? Kenapa ramai orang berkerumun di tengah ruang tamu rumahnya? Persoalan demi persoalan diungkapkan mengambarkan hati Hidayah yang berasa tidak senang. Apabila dilihat sekujur tubuh yang diselimutkan kain putih, realiti yang sangat pahit dan menakutkan mula menikam hati kecil Hidayah. Takdir Allah telah tersurat, si ibu pergi meninggalkan Hidayah seorang diri. Perginya dia tidak akan kembali. Pergi mendapatkan rabbu'alamin.”

Hidayah mengalirkan air mata tatkala jasad itu disentuhnya.

“Tangan ibu diambil, sejuk... Tidak lagi hangat seperti dahulu. Ibu, bangunlah… Hidayah datang nak beritahu ibu yang Hidayah dapat 10A, ibu. Ibu, tengoklah ini kalau tak percaya. Hidayah seperti tidak dapat menerima hakikat yang ibunya telah meninggal dunia. Dia terus menunjukkan slip putih itu di muka si ibu yang telah pergi meninggalkan dunia. Wajah tua yang penuh dengan bukti-bukti bebanan hidup yang ditanggung itu tetap kelihatan tenang dan jernih seperti dipupuk tidur yang lena.” Iqra bermain nada dan juga kata. Hatinya sendiri mula dicengkam rasa sedih apabila meletakkan dirinya di tempat Hidayah. Pastinya hati remuk rendam dek kerana ibu yang sentiasa bersamanya telah pergi. Pergi pada hari yang sepatutnya membahagiakan dirinya dan juga diri ibu sendiri.

“Hidayah berundur ke bilik ibu tercinta untuk mencari ketenangan setelah lama dipujuk oleh jiran tetangga. Langkahnya mati tatkala matanya terpandang sepucuk surat yang ditujukan untuknya dibawah mushaf Al-Quran kesayangan ibu;

Kepada anakku Hidayah,

Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum w.b.t. Tatkala dirimu menatap warkah ini, kemungkinan besar Allah telah menjemput ibu menemuiNya. Tak terkata rasa hati ketika ibu menulis luahan hati ibu di helaian kertas ini. Sedih, sayu, ragu, rindu, kasih dan banyak lagi. Gembira kerana akan berjumpa dengan Allah Yang dirindui, sedih kerana meninggalkan Hidayah, satu-satunya anak yang ibu ada. Ibu sebenarnya menderita sakit. Ibu tidak mahu memberitahui Hidayah kerana takut Hidayah merisaukan ibu. Ibu sangat sayangkan Hidayah.

Hidayah sayang, ibu sebenarnya sedih dengan Hidayah apabila ibu meminta Hidayah solat, Hidayah memberi alasan. Ibu tertanya di mana rasa sayangmu pada Allah? Tetapi ibu gembira kerana Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Doa ibu, semoga Allah memberikan iman yang sempurna pada Hidayah. Ibu sayangkan Hidayah kerana Allah.

Suatu ketika dahulu, ibu kecewa tatkala ibu meminta Hidayah membaca Al-Quran, Hidayah lebih suka membaca buku-buku lain. Tahukah anakku, Al-Quran itu cahaya syafaat yang boleh menyelamatkan kita di akhirat nanti. Perginya ibu untuk selama-lamanya. Pohonku iringilah pemergianku dengan haruman wangi doa dan lagu alunan ayat Al-Quran. Jadilah anak yang soleh, wahai anakku. Jadikan Al-Quran, penemanmu. Jadikan solat, masa terbaikmu. Ibu sayangkan Hidayah.

Ketahuilah olehmu wahai Hidayah, ibu menyaksikan kesungguhanmu mengulangkaji pelajaran. Harapanku, Hidayah berjaya dalam kehidupan. Keyakinan ibu pada Allah menyebabkan ibu percaya anak ibu akan berjaya. Maka tahniah ibu ucapkan. Tetapi Hidayah, kejarlah akhirat, kerana dunia akan menyusulmu. Sematkan Al-Quran dan As-Sunnah di dadamu. Semoga akhlakmu seindah peribadi Rasulullah. Kerana akhlak Rasulullah ialah Al-Quran. Semoga kita berjumpa di taman syurga yang abadi di sana nanti. Ibu sayangkan Hidayah.

Andai mungkin kata-kata mampu untuk meringankan bebanan kesedihan perpisahan, sudah pasti ibu ungkapkannya di sini. Tetapi, panjatkanlah perasaan sedih itu pada Allah. Semoga Allah sentiasa membantumu, wahai anakku. Jadikan Islam, cara hidupmu. Ibu sayangkan Hidayah.

Anakku, ibu tinggalkan Al-Quran buatmu. Jadikan ia surat cinta teragung khusus dari Tuhanmu. Ayat-ayat cinta sangat indah dan mengharukan hatimu. Lagukan ia dengan suaramu, fahami ia dengan akalmu, rasailah semangatnya dengan hatimu, amalkan ia dalam setiap langkah hidupmu. Tatklala itu, semoga Al-Quran menjadi penemanmu. Bacalah ia di mana-mana sahaja. Semoga ia menjadi penerang kuburmu, penyelamat di akhirat sana nanti. Tiada apa yang mampu ibu berikan, kecuali kata-kata rindu dan juga sayang buat Hidayah, kesayangan ibu.

Sampai di sini kata-kata ibu. Semoga sentiasa dalam naungan kasih dan cinta Allah. Doakan mak semoga bahagia di taman-taman syurga. Jadilah anak yang soleh wahai anakku. Selamat tinggal. Ibu sayangkan Hidayah.

Yang benar,
Ibu.

Lakonan tamat tatkala Iqra mengambil alih perhatian peserta yang hadir. Babak terakhir berlalu dan semua pandangan ditumpukan ke arah Iqra. Taujih dimulakan dengan lafaz bismillah dan juga Surah Al-Ghasyiyah, surah pilihan yang perlu dihafal oleh para fasilitator program kali ini. Suara Iqra memenuhi ruang yang tampak suram dan juga sedih.

“Hal ataka hadithul ghasyiyah. Wujuhun..yamaizin khasyi’ah. ‘Amilatun nasibah.” Ayat-ayat cinta beralunkan seperti cara bacaan Saad Al-Ghamidi dengan diiringi rasa takut dan juga harap. Hati Iqra terus menelesuri kata-kata Allah itu satu persatu. Bersama doa agar bacaan yang terlafaz menyentuh hati yang mendengarnya. Agar dirinya menjadi perantaraan hidayah Allah pada manusia dan dengan itu saham akhirat dijanjikan untuknya. Hatinya terlalu takutkan neraka dan pada masa yang sama rindukan syurga seperti yang digambarkan sendiri dalam Surah Al-Ghasyiyah itu;

‘Sudahkah sampai kepadamu berita tentang (hari kiamat)?

Dan pada hari itu banyak wajah yang tertunduk terhina,

(kerana) bekerja keras lagi kepayahan,

Mereka memasuki api yang sangat panas (neraka),

Diberi minum dari sumber mata air yang panas.

Tdak ada makanan bagi mereka selain dari pohon yang berduri,

Yang tidak menggemukkan dan tidak menghilangkan lapar.

Pada hari itu banyak (pula) wajah yang berseri-seri,

Merasa senang kerana usahanya (sendiri),

(mereka) dalam syurga yang tinggi,

Di sana (kamu) tidak mendengar perkataan yang tidak berguna.

Di sana ada mata air yang mengalir.

Di sana ada dipan-dipan yang ditinggikan,

Dan gelas-gelas yang tersedia (di dekatnya),

Dan bantal-bantal sandaran yang tersusun,

Dan permaidani-permaidani yang terhampar.’

(Surah al-Ghasyiyah: 1-16).

Iqra menghabiskan ayat-ayat di dalam Surah Al-Ghasyiyah atau Hari Pembalasan. Dilihat peserta-peserta menundukkan kepala mereka. Air mata telah lama bertakung di mata Iqra, dan dirasakan semua yang bersamanya di dalam bilik itu turut sama dalam keadaan yang berduka. Iqra memulakan kata-kata.

“Adik-adik, akhwat yang ana kasihi dan cintai. Ukhti semua berada di sini kerana satu sebab, iaitu Allah S.W.T. Tika tadi Hidayah menghadapi saat getir yang sama seperti kita semua, menempuhi ujian hidup dan juga SPM yang bakal menjelma. Persoalannya di sini, apakah perbezaan antara anak yang baik dan anak yang solehah, wahai ukhti yang dikasihi Allah sekalian?” Tanya Iqra dengan sayu.

“Terfikirkah antunna jika satu ketika ukhti mendapat 10A dan ketika ingin memberitahu pada ibu, tetapi ibu telah tiada meninggalkan kita. Sedihkah antunna jika yang menyambut antunna di muka pintu adalah Surah Yaasin dan bukannya tawa riang ibu? Tidak hancurkah hati antunna tatkala yang menunggu di rumah ialah sekujur tubuh ibu yang tidak bernyawa dan bukannya si ibu yang mampu memberikan pelukan hangat penuh kasih sayang?” Dada Iqra sempit menyatakan kenyataan-kenyataan yang terlalu kejam yang mungkin dihadapi oleh beberapa hamba Allah di luar sana. Iqra terus berkata-kata dengan suara yang tersekat-sekat menahan sebak.

“Anak yang baik hanya inginkan kebaikan diri dan keluarganya di dunia sahaja, manakala anak yang soleh berusaha mencari kejayaan di dunia dan juga di akhirat sana….. Dan kala itu, hati ibu pernah tercalar kerana kita pernah berkata tidak, ‘ah’ dan sebagainya. Dan kini dia tiada untuk kita meminta maaf di atas kesalahan yang lalu…. Di manakah ruang keampunan untuk kita kembali? Di manakah ketenangan bisa kita cari? Andai ibu dibawa pergi, di mana tempat kita berteduh dan mengadu?” Tanya Iqra lagi.

“Ketahuilah wahai sahabatku…. Allah itu Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Antara perkara yang mampu menjadi saham akhirat untuk ke syurga ialah amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan juga anak soleh yang mendoakan ibu bapanya. Dan di kala ini….. kita seorang anak yang juga menggalas tugas sebagai seorang pelajar. Apakah bukti cinta ukhti pada ibu dan bapa antunna? Adakah hanya dengan mendapat keputusan yang cemerlang, wahai sahabatku? Tidak…. Segalanya perlu kembali pada Allah S.W.T. Carilah kasih dan sayang dari Allah, lakukan segala pekerjaan keranaNya. Jaga solat dan juga bacalah Al-Quran. Semoga Allah meletakkan diri orang-orang yang beriman di tempat yang istimewa di sisiNya….” Iqra menarik nafas panjang cuba menyusun kata.

“Kata-kata Allah tak pernah menghampakan kita. Ia sesuatu yang hak dan akan terjadi. Bukti cinta yang sebenar adalah untuk membawa mereka yang kita sayangi ke syurga…. Di sana nanti terdapat air mata yang mengalir, dipan-dipan yang ditinggikan, gelas-gelas yang didekatkan, bantal-bantal yang tersusun dan permaidani-permaidani yang terhampar… Sahabatku, impikanlah untuk memimpin tangan-tangan yang antunna rindui ke syurga. Bersama redha Allah yang dicari berpegang pada tinggalan oleh Nabi, Al-Quran dan As-Sunnah…. Rindukah antunna pada bau haruman syurga? Pada wajah-wajah mereka yang telah tinggalkan kita? Tidak terbitkah rasa kasih pada Rasulullah yang indah peribadinya bak Al-Quran? Tidak cemburukah antunna pada sahabat yang pernah berjumpa dengan baginda? Pohonku pada hari ini agar hati-hati yang berada di sini terus melangkah mencari cinta Allah dengan jalan yang diredhaiNya. Berusahalah kita menjadi khalifah yang beribadah semata-mata kepadaNya…. Buktikanlah cinta antunna pada Allah… Dan semoga dengan itu, syurga menjadi destinasi terakhir kita.” Iqra mengakhiri sesi muhasabah diri. ‘Wasiat dari si ibu’ karangannya sebelum ini juga telah berbekas di hati semua.

Hakikatnya, sebak Iqra mula bertukar menjadi sendu. Iqra lantas menyerahkan majlis pada moderator dan dia beredar mencari ruang untuk muhasabah dirinya sendiri. Kala hati merindui pelukan mama yang dikasihi di rumah…. Kala hatinya bersalah pada Allah di atas dosa-dosanya selama ini…. Kala dirinya melangkah membawa pergi mencari erti cinta pada Allah yang sebenarnya… Kala hatinya terlalu harap untuk menjejak ke taman abadi yang bernama syurga dengan memimpin semua yang disayangi ke sana….
…………………………………………

Telefon vibrate di tangan Iqra yang sejuk. Iqra menyeka air matanya yang mengalir dan melihat siapakah gerangan hamba Allah yang menelefonnya.

‘Habibati.’ Jerit hati Iqra yang girang.

“Assalamu’alaikum ukhti habibati Iqra.” Salam diberi oleh ukhti Zainab Jahsy.

“Wa’alaikumsalam sayang ana.” Salam disambut dengan girang oleh Iqra. Seperti dicita ulam mendatang. Suara yang dirindui itu berada di sebelah sana. Walaupun jauh, ia cukup membuatkan hatinya berbunga buat sekian kalinya.

“Ukhti, ana asif kerana menyebab ukhti menunggu. Kaifahaluki ya ukhti habibati?” Tanya habibati yang dikasihi.

“Alhamdulillah bi khair. Ukhti macamana? Sihat?”

“Alhamdulillah. Allah masih mengurniakan nikmat-nikmatnya untuk terus melangkah di bumiNya. Tadi usai sahaja syura bersama pakcik-pakcik yang turut sama mengendalikan syarikat arwah abi sekarang. Kini dalam safar ke rumah. InsyaAllah, segalanya dipermudahkan Allah berkat doa yang tidak pernah lekang dari akhwat-akhwat sekalian. SubhanaAllah ukhti, lantunan rindu ini menjadikan ana terlalu ingin berjumpa dengan ukhti.” Ukhti Zainab Jahsy meluahkan rindu.

“Ukhti… semoga rindu ini akan terbalas nanti. Semoga pertemuan itu akan tiba jua. Bersama tautan hati pada akidah yang sama. Jika tidak di sini maka di syurga nanti. Bukankah ana berjanji untuk memimpin tangan ukhti di syurga nanti?” Ujar Iqra penuh kasih.

“Ya, tak akan ana lupa. Dan di sana nanti, kita akan berjumpa dengan Kekasih kita…”

“Ya… Kekasih kita…” Iqra seperti ingin menangis mengenangkan rasa rindu dan sedih ini. Perjuangan Ukhti Zainab Jahsy dan dirinya sendiri penuh dengan ujian dari Allah. Tika itu, semangat jihad dan cita-cita untuk syahid yang telah tertanam di hati mereka berdua dan semua akhwat yang lain menjadikan setiap halangan yang ada di jalan tarbiyah dan dakwah itu sangat indah. Hinggakan satu ketika, saat pemergian atau kematian itu bukanlah dilihat sebagai perpisahan yang menyedihkan, tetapi titik masa untuk bertemu Allah iaitu Kekasih yang dirindui dan dipuja. Terkenang pada ukhti yang dikasihi ini yang baru kehilangan abi yang tercinta... perginya habibi abi itu berjumpa Kekasih dahulu. Dan masa akan mengungkap bilakah akan tiba waktu untuk dirinya menemui Kekasihnya.

“Ukhti, bagaimana dengan program kem hafazan ukhti? Ternyata akhwatku sudah mula melangkah untuk menghafaz Al-Quran…” Tanya Ukhti Zainab Jahsy, prihatin.

“Ukhti, esok akan bersambung lagi. Doakan agar segala urusan ana di sini dipermudahkan Allah.” Jawab Iqra.

Ukhti Zainab Jahsy mengaminkan doa Iqra. Iqra menyambung lagi.

“Tika ini, ana cuba menghafal Surah At-Takwir, ya ukhti.”

“SubhanAllah. At-Takwir… Alhamdulillah.”

“Tetapi… ketahuilah ukhti… ana sebenarnya sangat takut..” Iqra berterus terang pada Ukhti Zainab Jahsy tentang keadaan dirinya.

“Kenapa ukhti? Khabarkanlah pada ana…”

“Ukhti, ana takut. … kala hati melewati ayat-ayat itu.... Surah-surah ini berceritakan tentang hari pembalasan… Tentang syurga dan juga neraka… kala hati ana melewati ayat-ayat itu, rasa sangat takut dan gementar…Seperti ingin ana melarikan diri...tetapi, ana gagahkan kembali kerana ingin terus mencari dan merasai kekuasan Allah yang tidak pernah lekang menunjukkan kebesaranNya… SubhanAllah… Dan juga tentang antara hak-hak Al-Quran terhadap kita… Apabila kita menghafalnya, kita perlulah mengamalkannya… perlu pastikan jua supaya tidak lupa… SubhanAllah, ana takut… ana takut jika ana tidak mampu untuk buat semua ini ya ukhti…“ Luah hati Iqra yang gusar. Tangannya diraup ke mukanya yang tampak keletihan.

“Alhamdulillah, ukhti tidak merasa gembira lantaran merasakan rasa takut untuk menghafal Al-Quran itu. Ukhti merasai indahnya ayat –ayat cinta Allah itu… Teruskanlah. Semoga Allah permudahkan usahamu…Al-Quran itu penuh dengan kata-kata Allah, ayat-ayat cinta dariNya… Tiada yang pernah ana lihat di kalangan akhwat yang mempunyai semangat dan cinta pada Al-Quran seperti ukhti. Rasa takut itu dek kerana hati lembut ukhti yang merasai keagungan kata-kata dan janji Allah. Janganlah mengalah dan teruskan mujahadah ukhti. Balasan untuk seorang yang memelihara kalam Allah itu tidak ternilai harganya… Dan semoga Allah memberikan sakinah teristimewa buat ukhti dek kerana Al-Quran yang berkumandang lembut di hati ukhti.” Kata-kata Ukhti Zainab Jahsy memberi belaian lembut pada hati Iqra seperti air yang mengalir. Sekiranya dibayangkan Ukhti Zainab Jahsy dihadapannya, pasti tangannya telah diambil lembut dan digenggam erat.

“Ukhti… ana mohon doamu agar ana agar terus kuat melangkah…” Pohon Iqra.

“Saban hari, tidak lekang doa untuk akhwat-akhwat dari bibir ana. Rindu itu menyebabkan wajah-wajah indah lantaran terlalu wangi haruman ukhwah dari taman tarbiyah bertandang pada hati dan fikiran. Kala itu, dipanjatkan rasa rindu dan doa itu agar disampaikan pada semua yang dirindui. Doakan ana juga, ya ukhti?” Pujuk Ukhti Zainab Jahsy penuh madah.

“Ya. Dan InsyaAllah, semoga kita dipertemukan lagi…” Doa Iqra.

“Ameen, ya rabb. Ya… bertemu dalam tautan akidah yang sama…” Sahut Ukhti Zainab Jahsy.

“Asif ya ukhti, ana kena berundur diri dahulu. MasyaAllah… Di hadapan ana seperti ada kemalangan, ya ukhti.” Tambah Ukhti Zainab Jahsy dengan nada yang cemas.

“SubhanaAllah… Ukhti ok ke?” Tanya Iqra yang agak terkejut.

“Ana ok je. Ana kena berhenti untuk membantu. SubhanaAllah, ada seorang perempuan kelihatan dalam kesakitan yang amat. Ukhti, ana berundur diri dahulu.” Kata-kata sahabat itu mencengkam jiwa Iqra dengan rasa risau.

‘Ya Allah, Engkau peliharalah sahabatku ini. Sesungguhnya ana menyintainya keranaMu , Allah.’ Doa Iqra di dalam hati.

“Baiklah. Sayang ana jaga diri. InsyaAllah, kita akan berhubung lagi. Sayang ukhti kerana Allah. Assalamu’alaikum.” Ujar Iqra penuh harap.

“InsyaAllah. Wa’alaikumsalam w. b. t.” Ukhti Zainab Jahsy menamatkan perbualan yang terasa ringkas. Iqra memanjatkan doanya pada Allah dengan penuh harap. Mohon agar doa-doanya dimakbulkan.

‘Ya Allah, pertemukanlah kami kembali. Ana sangat merindui akhwat-akhwat ana yang sudah lama tidak bertemu. Engkau kurniakanlah rezeki dan nikmat iman, ketabahan, kekuatan dan kebahagiaan pada semua akhwat-akhwat yang dikasihi. Pertemukanlah kami kembali dalam taman-taman syurgaMu, Allah. Ya Allah, Engkau peliharalah kami semua. Ameen, ya rabbana.’

Bersambung.......