There was an error in this gadget

Wednesday, March 31, 2010

Ilmu; satu pintu kebahagiaan.... Struktur Heme

Bismillahirahmanirahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Tak terkata rasa hati ketika ini yang punyai 1001 perasaan. Cemas, gembira, sedih, sayu dan sebagainya. Perasaan rindu pada akhwat-akhwat yang jauh di mata. Walau baru semalam ku jejak seketika ke UPM, namun rindu itu masih basah membanjiri hati. Pada adikku yang berada di UIA, PJ, ana sangat merinduimu. Ana asif jiddan di atas ketidaksempatan untuk bertanya khabar, dan kala ini ana seperti merindui kata-kata semangatmu (wahai diri yang sudah pandai bermadah kata...). Dan tidak ketinggalan pada semua anak-anak halaqah yang dikasihi. Didoakan agar dirimu sentiasa dalam naungan kasih dan cinta Allah. Doakan diri ini terus kuat melangkah mencari ilmu Allah. Ameen.

Dalam kesibukan menghadirkan diri ke kuliah, menyiapkan assignment, presentation dan sebagainya, diri ini cuba mencari ruang untuk berkongsi sesuatu dengan semua pembaca yang mengunjungi taman Islam ini.

Teringat kata-kata Ustaz Pahrol pada program IGT yang lalu tentang adab menuntut ilmu. Diibaratkan ilmu itu seperti air yang turun dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah dan bertakung. Begitu juga dengan menuntut ilmu. Hadir dari seorang guru kepada murid dengan hati yang rendah diri dan tawaduk untuk menadah ilmu yang disampaikan. Dan untuk pandanganku, biarlah ilmu itu terus mengalir dan tidak bertakung... agar ia tidak busuk tanpa amalan dan juga dikongsikan dengan orang lain. Juga umpama titisan air hujan yang membawa rahmat.... menyuburkan tanaman dan menghijaukan bumi. Dan yang paling penting, harapan dan doa yang diletakkan pada Allah S.W.T kerana ilmu juga adalah milik Allah. Sungguh, diriku ini mungkin hanya mampu menadah setitis ilmu dari lautan ilmuMu, wahai Allah.

Maka, hari ini; ana ingin bercerita sedikit tentang hemoglobin dan heme B. Hehe.... macam lari dari topik je... Walaubagaimanapun, ingin ku ingatkan tentang bukti kekuasaan Allah yang terdapat di mana-mana sahaja; termasuklah dalam struktur kimia Heme B yang terlibat dalam pengangkutan oksigen yang diperlukan dalam badan kita untuk tujuan aktiviti biologi di dalam badan. Namun, di dalam kelas 'Applied Inorganic Chemistry', skop lebih menekankan tentang penglibatan elemen tidak organik yang terlibat dalam aktiviti biologi secara umumnya.

SubhanAllah, macam sudah mula 'complicated' ya. Takpe, dengan lafaz bismillah, semoga Allah memberi nikmat ilmu pengetahuan dan ilham kepada kita semua. Ameen.

Struktur kimia Heme B.

Sebelum itu, kenapa darah berwarna merah?

Jawapannya, kerana terdapat ion Fe 2+ dalam hemoglobin yang menyebabkan darah berwarna merah.

'Heme' ialah kumpulan heme dan juga 'globin' iaitu protein yang berbentuk sfera. Sebenarnya, molekul hemoglobin terdiri daripada tetramer ataupun empat unit protein yang berbentuk globul.

Dan, persoalan kedua; kenapa daging berwarna merah?

Jawapannya kerana terdapat satu unit pengikat oksigen sahaja yang dinamakan 'myoglobin' yang disimpan pada tisu-tisu otot. Ia akan digunakan pada ketika kita berada dalam satu situasi kita berlari dan sebagainya yang memerlukan penggunaan oksigen pada kadar yang cepat.

Baiklah, kembali kepada hemoglobin.... Sekiranya satu unit, ia mampu mengangkut satu molekul oksigen sahaja. Sekiranya ada terdapat empat, maka ada empat molekul oksigen yang boleh dibawa. Unit yang terlibat dalam pengangkutan oksigen ialah struktur heme yang terdiri daripada molekul bukan protein yang dinamakan porpyrin dan satu atom besi atau ferum yang terdapat ditengah-tengahnya. Propyrin ini berbentuk seperti cincin dan ion ferum terletak betul-betul di tengahnya. Ferum mampu mengkordinat membuat 6 ikatan. 4 pada atam nitrogen (N), 1 pada molekul protein dan satu lagi di mana oksigen masuk dan keluar.
Ferum hanya akan membentuk 1 ikatan spesifik pada histadin residue daripada 153 bahagian lain pada protein tersebut. Sifat selektiviti ini ternyata membuka mata ana kerana ia mengungkap keagungan Allah yang bersifat terlalu halus dan bijaksana dalam penciptaanNya.

Sungguh tidak disangka, bahawa bahan tidak organik seperti ion ferum adalah satu ion yang sangat penting kepada manusia. Dan juga bagaimana keadaan ferum yang boleh berubah dari satu keadaan pengoksidaan (2+ dan 3+) menjadikannya sesuai sebagai 'oxygen carrier'. Ketika oksigen terikat pada ferum, ferum berada di dalam struktur cincin pyporin dan dan ketika oksigen tidak terikat pada ferum, ia akan berada di luar. Kerana apa? ini ada kaitan dengan sistem 'spin' electron pula... ok. Itu akan melibatkan satu cerita yang lebih panjang lagi...

Hakikatnya, besi ternyata terbukti kepentingannya pada manusia telah diterangkan sejak dahulu lagi seperti jelas di dalam surah Al-Hadid (Besi) ayat ke 25:

Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasulNya padahal Allah tidak melihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

(Al-Hadid:25)

Walauapapun, hakikatnya, Allah S.W.T telah menciptakan sekecil-kecil zarah kepada sebesar-besar alam semester dengan bijaksana dan teliti. Indahnya akan ciptaanNya memberi bukti pada kekuasaan Allah S.W.T yang tiada tandingannya. Sehingga kini, ada sahaja kajian yang ingin mensintesis 'oxygen carrier' tiruan untuk kegunaan manusia. Walaupun terdapat juga 'subtituted blood' dalam bentuk hemoglobin-base, perfluorocarbon dan sebagainya, tetapi, ia tidak akan setanding dengan ciptaan Allah yang sebaik-baiknya.

Sekiranya ditanya pada ana, apa yang mampu disimpulkan secara umum. Ya, ana kagum dengan ciptaan Allah pada manusia iaitu adanya akal untuk berfikir, bersifat dinamik dan membangun. Melihat pada alam sekitar dan bertindak untuk mengkaji mekanisme dan juga proses yang terlibat sehinggalah timbul kajian-kajian untuk mensintesis sesuatu itu di dalam makmal sendiri. Namun begitu, biarlah ia untuk kebaikan manusia dan bukan sebaliknya.

MasyaAllah, jika benar tekaan ana, ketika ini... pasti adikku yang dirindui sedang tersenyum simpul kerana akhirnya kakakmu ini bercerita tentang kimia di dalam taman yang bergelar "Pencari CintaNya". Ana asif pada semua sekiranya kata-kata yang ana persembahkan kali ini ada kekurangannya. Ana hanya mampu berdoa; Ya, Allah, tambahkanlah ilmu pengetahuan kepadaku. Ameen, ya Rabbana.

Ana juga memohon pendapat daripada semua tentang cadangan sama ada perlu atau tidak untuk ana membuat blog yang berlainan untuk bercerita tentang kimia atau sudah cukup dengan pengisian pada blog yang sama... walau apapun yang berlaku, semoga perkongsian ilmu yang bermanfaaat itu mampu membuah saham di akhirat nanti.

Wallahu'alam.

Friday, March 26, 2010

Terimalah usaha dan pengorbananku sebagai mahar ke syurgaMu, Allah. Ameen.

Bismillahirahmanirahim.

*Entry ini di'edit' kembali pada 28.3.2010.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan Rasulullah, yang mana pada hatinya turunnya Al-Quran. Seterusnya pada ahlul bait, sahabat, tabi' tabiin, ikhwah wa akhwat dan semua umat Islam di luar sana. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tika ini, hati cuba merungkaikan kata-kata buat penawar rindu untuk seseorang yang meminta agar ana meng'update' blog ini dengan gubahan ceritera. Namun, ketahuilah adikku, ana terkadang tiada kata-kata mampu untuk dikarang menjadi susunan ayat yang indah buat tatapanmu. Maka, hanya pada Allah, ku pohon nikmat ilmu pengetahuan dan juga ilham untuk menafikan segala kejahilan pada diriku dan dirimu. Semoga dengan usahaku, terlaksana antara tuntutan syahadahku. Semoga dengan redhaNya. Ameen.

Ukhti habibati halimul Quran pernah berkata, "Yang penting adalah usaha dan bukanlah natijahnya." Kebenaran daripada kata-kata itu sentiasa kuuji kala diri dilanda dengan mehnah yang hadir sebagai tarbiyah untuk mengajar diri erti pengorbanan dan hakikat sebenar hidup di muka bumi Allah ini.

Ya, kata-kata itu boleh jadi motivasi diri. Pada hari Ahad yang lalu, tercipta lagi memori yang terpahat di hati. Pada paginya hanya berkesempatan mengikut program selama setengah hari, selepas itu, bergegas pula ke liqo' medan dakwah, dan seterusnya ke halaqah pada petangnya.

Dan pada Allah terus ku berharap, ketika diri ini meredah hujan yang sangat lebat dengan menaiki kereta untuk menghantar seorang akhwat dan mujahidah comel ke rumah. Dengan jalan yang licin, pemandangan yang kabur, kerisauan pada si kecil yang nyenyak tidur di pangkuan si ummi mula menjalar menjerut hati. Kala itu, hanya pada Allah diserahkan segala-gala urusan. Bermula dengan doa menaiki kenderaan, perjalanan pulang dari halaqah pada petang itu, mencipta banyak memori dan juga pengalaman;

'Sungguh, wahai diri.... Ujian itu sesuai dengan tahap kesanggupannya. SubhanAllah, rupanya ana punya kemampuan untuk menghadapi semua ini. Ya Allah, kurniakan kekuatan buat hambamu yang lemah ini.' Tangan kanan memegang stereng kereta dan tangan kiri menukar gear sesuai dengan kelajuan kereta.

Dan hujan yang turun itu..... mengingatkan pada akhwat yang memarahi diri ini kerana sanggup meredah hujan ke kereta untuk mengambil payung.

"Ukhti.... ana suka hujan..." Jawabku dengan senyum di bibir. Benar... hujan itu seperti menyucikan diriku yang banyak berdosa seperti sucinya bumi ini dibersihkan dengan titisan-titisan rahmat itu. Walaubagaimanapun, ketika itu, sejujurnya, ku lebih risaukan pada akhwat tersebut dan mujahidah kecil dipelukannya.

Wahai diri dan sahabat, apabila bersama-sama di lingkungan ibu-ibu mithali ini, semakin Allah uji dengan lembutnya hatiku. Hati-hati yang sentiasa bersama denganku ini hadir bersama nur dan rahmat kurniaan Allah. Jasad-jasad yang lelah melayan anak-anak kecil, menyusukan dan memberi makan anak-anak, melayan zauj masing-masing, di samping kerjaya yang juga menuntut komitmen... dan syukur pada Allah; masih mengurniakan kekuatan, masa dan ruang untuk bersama-sama menghidupkan taman Islam yang indah.... Bersama pengisian tentang tarbiyatul aulad, semoga terus berjihad mentarbiyah anak-anak yang bakal mengorak langkah menyambut panji-panji perjuangan Islam.

"Terima kasih ammah... Sekarang barulah tahu apa erti pengorbanan..." Kata-kata yang diberikan pada diri ini selepas selamat sampai ke rumah.

'Tak...Terima kasih pada ukhti....' Getus hati kecilku. Kata-kata itu lebih layak buat dirinya yang tabah itu.

Sungguh, wahai sahabatku... terus memohon doa pada Allah semoga dicukupkan segala kekuranganmu. Bercita-citalah agar menjadi para pencintaNya dengan cinta orang yang mencintaiNya, impikan menjadi para muqarrabin yang menunaikan janji, berjuang bersama para waliNya menegakkan Islam di dunia, semoga meniti jalan lurusNya untuk menjadi penghuni syurga.

Dan di syurga nanti ada apa???

Hehe... soalan yang sangat indah untuk dibincangkan bersama Muhammad Nabil, adikku yang paling bongsu berumur 8 tahun.

Antara jawapan-jawapan yang diberi kepadaku;

"Ada gula-gula, ais krim, buah angggur, istana, jus epal, ayam goreng, buku tajwid, pensel, bantal, cawan, coklat, kolam renang, bunga, madu, susu, permainan......"

Dan jawapan-jawapannya sangat banyak dan kreatif.... hanya menjadikan hatiku riang dan sayu pada masa yang sama.

Ku tambah dalam list yang panjang itu;

"Mama, abah, kak long, kak ngah...."

"Mestilah, semua keluarga kita ada....." Adikku menambah sebelum sempat ku sebut seorang demi seorang ahli keluargaku.

'Semoga Allah memasukkan kita semua ke dalam syurgaNya. Ameen ya Rabbana.'

Ku timbulkan juga persoalan kepentingan membaca dan menghafal Al-Quran kepadanya,

"Kalau kita hafal Al-Quran...?"

"Kita boleh masuk syurga...." Jawab adik kecilku yang terus bersemangat mentasmi' surah At-Takwir padaku.

Semoga Allah mempermudahkan hafalanku dan hafalanmu. Ameen..

*Selepas perkongsian yang panjang bersama seorang saudara, maka, terdapat beberapa pencerahan yang telah diberikan.

Hakikatnya, tawakal itu perlu sentiasa dan seiring. Ketahuilah juga, segala-galanya adalah nikmat Allah; nikmat iman, amal, usaha, ilham, pengorbanan yang dilakukan oleh kita adalah bersumberkan dari Tuhan Yang Maha Esa. Usaha dan amal itu juga adalah kerana rahmatNya. Dan jika diimbas kembali, manusia itu tidak akan layak untuk menjejak syurga Allah tanpa redha dan juga rahmat dariNya.

Maka, usaha, amal dan ilham untuk berbuat kebaikan juga adalah daripada Allah. Kerana segala-galanya adalah milik Allah, termasuk hati yang sedang berbicara ini dan juga mata yang sedang membaca karangan nukilan ini.

Semoga Allah sentiasa merahmati saudara yang menjadi perantaraan sayang Allah kepada diriku. Semoga rahmat juga dikurniakan buat semua.... Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang.... Segala pujian diberikan kepadaNya.

Wallahu'alam.

Monday, March 15, 2010

Intelect Generation Training

Bismillahirahmanirahim

Assalamu'alaikum w. b. t.. Ana ingin mengambil kesempatan mempromosi satu program anjuran Pure Base Training Centre yang akan berlangsung di Kolej Keris Mas, UKM. Daftar segera untuk merebut peluang keemasan ini.




Friday, March 12, 2010

Terima kasih, Allah. Asif....

Bismillahirahmanirahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Kerana kurniaanNya, diri ini masih menghirup udara segar di malam hari yang indah. Baru tadi cuba ku penuhi permintaan ukhti Mila yang dirindui. Walaupun hanya mengulang hafalan Surah Al-Insan kepadanya melalui telefon, semoga terurai rindu ukhti padaku. Doaku agar dirimu sentiasa dirahmati Allah. Tika diri juga merindui senyuman manismu.

Cuba kuhiburkan hatimu selepas SMS yang menyatakan rindunya untuk berjumpa dan mendengar bacaan Al-Quran dariku. Semoga sampai hajatmu walau dengan sedikit usaha dariku....

Sungguh wahai ukhtiku yang indah dengan senyummu... Ketahuilah olehmu, Al-Quran itu adalah kata-kata Allah yang akan menyentuh hati-hati yang dipilih olehNya. Maka, panjatkan rasa syukur pada Allah, tika hatimu merasai akan kebesaran dan keagunganNya dari kalimah-kalimah cinta Allah itu. Juga dengan kurniaan hidayah dan iman yang tiada taranya.

Dan kala ini, ku mengimbas kembali kisah tempoh hari yang bisa sahaja mengukirkan senyuman di bibirku.

Tatkala ketika itu, diri diuji Allah dengan perasaan 'inferior' atau rendahnya diri ini berbanding dengan orang yang lain. Dipersoalkan samada menjadi kesalahanku di atas usaha yang sangat kurang dibandingkan dengan orang lain. Atau mungkin kerana iman yang mula lemah menjadikan hari-hari yang dilalui tidak seindah mana. Atau mungkin kerana diri ini tidak lagi lanyak mendapat perhatian atau mungkin sedikit kasih sayang dan juga ampunan dari Tuhan di atas segala kesalahan yang pernah dilakukan. Diri mula melangkah lemah dan pada malam itu juga ditakdirkan ada kelas Quran yang perlu dihadiri.

"Kakak, bawa Luqman ke kedai boleh?" Pinta adik lelakiku yang sedang belajar di tingkatan 4.

Dipandang wajah adik yang bercermin mata dan lesung pipit di sebelah kiri itu. Cuba menjawab dengan hati yang sangat berat untuk berbuat apa-apa. Tika diri tahu akan hakikat jika tidak mendapat kasih dan cinta Allah, maka, apakah ertinya hidup di dunia ini?

"Ok, tunggu kakak siap sekejap ya..." Ku jawab dengan lembut cuba untuk mencari sedikit ruang menyembunyikan perasaan sedih itu.

Selepas mengenakan tudung, menyarung stokin tangan dan kaki, diri teringat tentang tugasan untuk menfotostat bahan kelas Al-Quran untuk semua sahibah di kelas. Kucapai beberapa kertas yang penting dan mengambil kunci kereta mama. Mama tidak ketinggalan memesan beberapa barang untuk kegunaan rumah.

"Luqman.... kakak dah siap." Ku melangkah menyarung kasut hitamku dan menghidupkan enjin Satria Neo hitam yang banyak berjasa pada tuannya. Perjalanan yang suram, bersama sayup-sayup enjin kenderaan yang lain. Walaupun nasyid kegemaran adik dipasang dengan kuat dengan bass yang tinggi namun, ia masih lagi tak mampu meringankan hati yang lara... tika diri sedang sayu dibawa murung sendiri...

Sampai ke kedai pilihan, dengan kaki yang longlai melangkah masuk ke kedai fotostat yang terletak di kedai bersebelahan.

"Minta fotostat 20 salinan untuk setiap helai" Muamalah dimulakan dengan lafaz bismillah di dalam hati. Bertemankan adik di sisi, diri terasa selamat namun kegusaran itu masih belum hilang.

Namun begitu, seperti Allah menghulurkan hadiah teristimewa buat diri hambaNya.... kala itu berkumandang indah ayat-ayat suci Al-Quran yang sangat dikenali, Surah Al-Baqarah oleh Sheikh Saad Al-Ghamidi dari speaker computer yang berdekatan mula menyusup indah membelai diri dan hati yang lara.

'Sungguh indah ayat-ayat ini, wahai Allah'. Hati mula merasa ringan walaupun dada merasa sebak. Cuba kutahan air mata yang mula menakung. Telinga mengamati bacaan dan bibir cuba mengikut dengan hafalan yang ada di dalam dada.

"Kakak, jom balik." Suara adik menegurku dan melihatkan kepada bahan yang telah siap difotostat, muamalahku di sini telah selesai.

"Luqman.... kakak macam taknak balik lagi." Cuba ku rayu dengan suara yang lembut walaupun hakikatnya keperluan lebih mendesak untuk segera pulang ke rumah... Walaupun ada sahaja bacaan lengkap Al-Quran oleh sheikh itu di dalam telefon dan komputer...

"Kakak..."

"Ok, ok". Tangan membuka pintu keluar dan kaki melangkah kearah kereta. Hati dan akal ligat berbicara sendiri sedang tangan memegang stereng kereta dengan kemas.

'SubhanAllah, Kau masih kurniakan nikmat iman dan Islam padaku... hati yang masih rindukan Al-Quran... dan ayat-ayat indah itu..... Terima kasih Allah... Alhamdulillah.... Astaghfirullah.. Ana mohon ampunanMu.. Kadang-kadang ku terlupa yang Engkau Maha Pengampun dan pintu taubat masih terbuka dengan seluas-luasnya. Engkau jua yang telah menetapkan setiap orang dengan derajatnya yang tersendiri. Walaupun ku tidak berharga di sisi manusia.. ku tahu ku berharga di sisiMu... kerana ku adalah hambaMu... dan ku pohon agar sentiasa dalam pemeliharaanMu..'

Hati yang berat menjadi ringan dan senyuman itu mampu terukir di bibirku. Mengingatkan hatiku ini masih dipilih Allah untuk merasai keindahan ayat-ayat cinta-Nya... seperti hadiah teristimewa buat diri yang lara...

Tiba di rumah, disambut oleh adik yang dikasihi, 'murabbiyah in making',

"Kakak, kenapa kakak macam happy je?"

Oh, pertanyaan itu....

"Rahsia." Jawapan yang kuberi bersama senyuman di bibir masih tidak memuaskan hatinya. Namun begitu, pertanyaan itu akhirnya kujawab juga di atas desakan-desakan yang tak pernah mengenal erti mengalah.

Walaubagaimanapun, andai dirimu merasai apa yang kurasa.... Indahnya dunia ini.... walau diuji dengan kasih dan sayangNya...

Wallahua'alam.

Tuesday, March 9, 2010

Cuba ku ungkai manik kata-kata... DABDA?

Bismillahirahmanirahim.

Assalamu'alaikum kepada semua. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad S.A.W, keluarga dan sahabat, ikhwah wa akhwat dan semua umat Islam sekalian. Alhamdulillah, kurniaan nafas dan degupan jantung masih dalam linkungan rezekiku, kala berita demi berita tentang kemalangan dan kematian dikhabarkan padaku.

Sungguh, cuba untuk kuungkap sedikit demi sedikit bagaimana hati itu disentuh dek kerana hadirnya sesuatu yang menggugat tenangnya jiwa. Sejujurnya, ana lebih rela bertemankan rasa sedih, gembira, marah atau sebagainya daripada tidak mempunyai apa-apa perasaan langsung. Iman cuba untuk berbicara pada diri yang semakin diuji oleh Allah; apabila diri sedar bahawa hati ini kadang-kadang keras kerana tidak dilunakkan dengan air mata.

Maka, ingin ku bentangkan sedikit teori psikologi yang sangat dikenali oleh semua orang apabila satu perkara yang buruk menimpa seseorang, reaksi dan juga perkara yang akan terjadi. Secara umumnya, ia adalah seperti berikut:

DABDA..... Apakah itu DABDA?

D stands for Denial, A for Anger, B for Bargain, D for Depression and A for Acceptance.

Sekiranya diberi satu contoh; mendapat berita tentang satu penyakit yang teruk.... Bermula dengan level Denial atau menafikan. Seseorang akan berada dalam keaadaan penafian kerana tidak dapat menerima berita yang dikhabarkan padanya. Kata-kata yang biasa diungkapkan ialah: " Ini tidak mungkin terjadi....."

Selepas level Denial, disusuli pula level Anger ataupun marah. Selepas menafikan, seseorang akan berada dalam keadaan marah. Menghempas barang, ingin menyakitkan diri sendiri dan orang lain kerana keadaan yang terjadi.

Selepas marah, sampai ke tahap Bargain. Dalam keadaan Bargain atau 'tawar-menawar', seseorang cuba untuk mencari alternatif selain daripada hakikat yang diberitahu. Mungkin terdapat sesuatu yang boleh dilakukan, atau berita yang diterima adalah salah dan sebagainya. Sekiranya sakit, seseorang cuba untuk mencari cara mengubati dengan pelbagai cara. Sehinggalah sampai satu tahap, diri perlu menerima hakikat bahawa tiada penawar untuk penyakit yang dihadapi.

Maka, fasa yang seterusnya ialah Depression atau kesedihan dan kemurungan. Biasanya bertemankan air mata dan jiwa yang berputus asa. Sekiranya seseorang tidak stabil dan tidak kuat akan imannya, mungkin mencari alternatif dengan mengambil alkohol atau dadah kerana perasaan berputus asa itu.

Namun begitu, setiap perkara buruk yang berlaku hendaklah diterima walau seteruk manapun. Tahap Acceptance atau penerimaan oleh diri seseorang itu. Penerimaan yang baik menimbulkan rasa redha dengan kejadian yang menimpa diri. Dan sebagai seorang muslim, hendaklah kembali kepada Allah, mencari kasih, sayang dan cintaNya...

Jika ditanya pada pembaca semua, bagaimanakah reaksi antum seandainya satu ujian menimpa diri? Adakah tahap emosi anda akan melompat terus kepada Acceptance tanpa melalui proses Denial, Anger, Bargain dan Depression?

Hmm..... ujian hadir tanda sayang daripada Ilahi. Sebagai seorang insan, kita kena berusaha dan bertawakal pada Allah. Terima dengan redha dan terus bersangka baik padaNya. SubhanAllah, kata-kata ini bagaikan cubaan untuk memujuk hati yang lara.... Sungguh wahai farahzulaikha, biarkan sahaja rasa berat hati itu.... Allah sedang memerhatikanmu.... dan semoga Allah menolongmu jua. Ameen.

Sampai di sini sahaja untaian kata-kataku. Semoga sentiasa dalam naungan kasih dan cinta Allah.

Wallahu'alam.

Friday, March 5, 2010

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati...

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah, kembali lagi kata-kata ini memenuhi ruangan taman ilmu yang sudah lama menyepi.

MasyaAllah, diri ini sebenarnya baru safar ke Hospital Sungai Buluh pada Jumaat yang lepas, menziarah ibu seorang akhwat yang dikasihi. Bertolak dari UKM pada pukul 12.00 tgh hari dan sampai ke sana selepas perjalanan selama satu jam. Diri cuba untuk menghulurkan kata-kata walaupun tidak mampu untuk membayangkan keadaan sahibah ketika itu. Dan kurang 1 jam daripada kepulangan kami, kami mendapat berita bahawa ibu kesayangan akhwat yang dikasihi itu telah pergi menemui Tuhannya. Sedekahkanlah Al-Fatihah, teristimewa untuk dirinya.

Ujian Allah yang hadir sepadan dengan diri yang diuji itu. Hari yang sama, kembar ana pula kemalangan tetapi, Alhamdulillah tiada sesiapa yang tercedera. Kerisauan itu mula hadir dalam diri ini dan juga mama. Dan Allah terus menguji, tatkala keluarga mendapat berita bahawa sepupu kemalangan yang agak teruk. Patah tangan dan tulang paha bahagian kanan. MasyaAllah, Semoga Allah melindungi keluargaku. Hati ini cuba mencari erti semua yang terjadi. Kerana segala-galanya yang berlaku itu penuh dengan hikmahnya.

SubhanAllah, saban hari, tazkirah tentang sakaratul maut dan kematian itu acap kali menyapa diriku. Kala kelas tajwid, kelas taranum, rancangan televisyen dan kini kemalangan yang ternyata memahat lebih dalam erti ayat-ayat cinta Allah:

'Tiap-tiap yang yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu kembali'

(Surah Al-Ankabut: 57)

Juga Surah Mutaffifin...... tatkala ukhti, halimul Quran wa mualim di kelas Quran menceritakan keadaan apabila roh meninggalkan jasad. Hati mula berdebar kencang dan tangan ini terasa sejuk. Bagai ingin melenyapkan diri dari permukaan bumi dan hilang ke tempat yang tiada sesiapa. Ingin sekali bertemankan air mata dan jiwa yang lara itu. Ketika diri kerisauan akan kesudahan samada mampu untuk melihat Allah ataupun tidak. Tika diri membayangkan keadaan dalam gelapnya liang lahad dan mungkinkah ia menjadi taman syurga atau mungkinkah jua menjadi bilik seksaan dari neraka.

Sebenarnya, tiada kata-kata yang mampu untuk diukir lagi di sini. Ujian-ujian itu hadir membawa pergi tawa dan riangku, namun ku yakin Allah Maha Penyayang. Dan apabila ku sakit, Dia yang sembuhkanku....

Salam halawatul iman teristimewa buat semua. Semoga Allah mengurniakan rahmah teristimewa buat dirimu. Doakan diri ini terus kuat melangkah menapak mencari kasih dan cintaNya.

Wallahu'alam.