Bismillahirahmanirahim.
Berkata hati yang cuba meluahkan perasaan. Hampir ingin pecah dirasakan menanggung bebanan itu. Tetapi di dalam hati ini juga letaknya iman dan juga cinta. Tatkala setiap helaan nafas dan degupan jantung itu bergerak dengan izin Allah. Sekiranya Allah menghendaki jantung itu untuk berhenti berdegup atau terus bergerak mengepam darah, maka jantung itu pasti akan mematuhi arahan Allah.
Dan dikala bulan ramadhan akhirnya menjelma, hati ini melonjak riang. Telah bermula pesta beribadah dan mencari pahala Allah. Mengencarkan langkah mencari redha Allah. Seperti ingin menyanyi dan tersenyum panjang. Tibanya ia saban hari bersama dengan hujan rahmat… SubhanAllah, nikmat hidayah Allah itu terlalu berharga… Terkadang tertanya, syukurkah kita dengan apa yang telah dikurniakan olehNya?
Segala yang berlaku adalah dalam perancangan dan susunan Allah. Segalanya telah tercatat awal pada kitab di Luh Mahfuz. Perancangan dan implimentasi Allah S.W.T telah berlaku dengan penuh bijaksana dan hikmah. Terlalu cantik aturanNya sehingga setiap perkara yang berlaku ada sebab dan munasabab di sebaliknya.
Lantaran meyakini Qada’ dan Qadar adalah salah satu daripada rukun iman. Setiap yang berlaku adalah mengikut sunatullah. Ada hukum universal yang diikuti sesuai dengan fitrah yang telah dijadikan oleh Allah. Begitu juga dengan manusia. Fitrah manusia dijadikan bertuhan. Sekiranya fitrah itu dilanggar, maka kucar-kacirlah bumi ini dengan pertumpahan darah dan juga kerosakan.
Kerana hati itu adalah raja kepada badan, maka hendaklah kita menjaganya dengan sebaik mungkin. Hati itu perlu sentiasa dibersihkan. Dibalut cantik dengan kekuatan iman agar tidak pernah goyah dek kerana keduniaan. Mintalah pada Allah agar dikurniakan iman yang sempurna dan hati yang bersih. Berdoalah kepadaNya, sesungguhnya Dia akan memperkenankan doa hamba-hambaNya.
Dengan itu, jadikanlah bulan Ramadhan ini satu bulan yang bermakna. Mendidik diri untuk menjadikan sesuatu perkara yang baik sebagai satu tabiat. Berpuasa sudah menjadi satu kewajiban. Tatkala hati itu sayu dan juga syukur apabila kuat diri lelah berlapar perut, tetapi diteruskan juga kerana mengikut perintah Allah dan rasulNya. Dan ingatlah juga bahawa kebahagiaan orang yang berpuasa adalah ketika berbuka dan berjumpa dengan Allah di akhirat kelak.
Selain itu, di antara ibadah yang dianjurkan ialah membaca Al-Quran. Carilah Al-Quranmu dan alunkan ia walau sehelai setiap hari. Lantunan rindu kepada alunan Al-Quran selalu sahaja menerjah hati-hati yang cintakan kalam Allah itu. Impikanlah agar Al-Quran yang akan menerangi kita di alam kubur dan menyelamatkan kita di akhirat nanti. Maka, jangan pernah berputus asa. Semoga terus istiqamah walaupun selepas bulan Ramadhan berlalu.
Dan pintu syurga Allah itu ada banyak. Ada pintu untuk orang yang berpuasa, solat, bersedekah dan lain-lain lagi. Maka, carilah kekuatan diri dan gunakan sepenuhnya untuk mencari pahala dan redha Alah. Hakikatnya Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui. Maukah kamu bersabar? Sesungguhnya Allah Maha Melihat… Semoga dapat menjalankan ibadah dengan tenang dan istiqamah. Buktikan cinta kita kepadaNya dan semoga tercapai cita-cita menjadi penghuni syurga.
Doakan untukku wahai sahabatku… Semoga Allah memberkati diriku dan dirimu. Amin.
No comments:
Post a Comment