Monday, May 28, 2012

Ya Allah, kuatkan semangatku...

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat murabbi agung, Rasulullah s.a.w. Juga ahlul bait, sahabat baginda, tabi tabi’in dan semua umat Islam diluar sana.

SubhanAllah, tak mampu untuk kugambarkan apa yang ada di dalam hati. Tatkala diri ini cuba mengelak daripada menjadikan laman ini seperti tempat meluahkan rasa sahaja. Cuba ku susun ayat dengan baik tetapi terlalu banyak yang ingin ku rahsiakan. Mengenangkan diri kita juga sebahagian daripada rahsia Allah. Kebaikan dan keaiban seseorang itu dijaga rapi olehNya. Dan terkadang ku bimbang kerana tersilap kata, bisa sahaja mengundang dosa.

Bukan itu sahaja… Seperti kini diuji kecekalan hatiku. Pernahkah pembaca sekalian tertanya mengapa Farah suka berbunga bahasa? Kerana hati ini cuba untuk menyembunyikan banyak perasaan. Kiasan kata adalah cara yang terbaik untuk mencapai objektif itu. Supaya diri tidak larut dibawa emosi lantaran diri yang sedang diduga. Tetapi, apabila ku hulurkan kiasan kata pemujuk jiwa untuk kalian, ia juga bisa menghiburkan hatiku. Kerana ku tahu ramai di luar sana lebih berat ujiannya dariku… Dan Allah juga Maha Mengetahui setiap isi hati seorang hamba.

Ku sedar juga bahawa hakikatnya ramai yang mengambil berat tentang diri ini di luar sana. Dan ketika ada yang bertanya; ‘Farah ok?’ SubhanAllah, insan-insan ini sangat baik dan prihatin. Air mata pasti akan terbit, bibir ini akan diketap rapat, senyuman akan ku hulur dan kujawab pertanyaan itu dengan jawapan ‘Ok...’.

Ya Allah, kurniakanlah kekuatan dalam hatiku. Amin.

Beberapa kali diri ini diberi dua patah perkataan yang penuh hikmah;

‘Kuatkan semangat’

Bukan dari orang yang sama, tetapi oleh beberapa orang yang berlainan… Dari sang mujahid pembela akidah, dari serikandi pencari ilmu dan dari guruku yang dihormati…

SubhanAllah, hadirnya mereka bagaikan perantara kurniaan dan petunjuk Allah buat hamba. Maka segala puji bagi Allah di atas nikmat-nikmatNya.

Dan suatu ketika dahulu, guruku pernah berpesan;

‘Kamu adalah seorang pemimpin. Maka kena kuat dan tak boleh lemah. Bagaimana hendak membimbing orang jika kita sendiri tidak kuat?’

SubhanAllah. Terlalu berat dirasakan tanggungjawab ini. Dan ku tahu juga bahawa ramai lagi di luar sana yang merasai tanggungjawab yang sama. Tetapi syukur pada Allah kerana kurniaanNya yang banyak tidak terhingga. Syukur pada Allah kerana dugaanNya mengajar diri tentang banyak perkara. Syukur pada Allah kerana ujian ini menjadikan setiap hamba terasa dekat denganNya. Syukur pada Allah kerana peluang untuk ku beramal di jalan jihadNya. Syukur pada Allah di atas kurniaan insan-insan yang mengambil berat tentang diriku. Syukur pada Allah kerana petunjuk-petunjukNya yang teristimewa untukku.

Wahai Allah, aturanMu sangat indah… Jadikanlah diriku seorang hamba yang sentiasa bersangka baik denganMu.

Wahai hati… hentikanlah tangisan itu. Biarlah nama Allah sahaja yang kuat bergema dalam setiap degupan jantung itu.

Wahai sahabat… Doakanlah untuk diriku. Dan jangan terlalu risau akan keadaanku. Allah sentiasa bersama dengan kita dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.

Sampai di sini sahaja nukilan dariku. Semoga Allah memberkati diriku dan dirimu. Salam’alaik.

2 comments:

Anonymous said...

awk seorg wnita yg kuat. ingin sekali sy jadi seperti awk..

Anonymous said...

saya percaya, awak seorang yg kuat. Teruskan pegang dan simpan hati awak yg kuat dan tabah tu..