Monday, July 27, 2009

Kata dan maknanya buat diriku

Solat, cahaya buat hamba, menjadi seorang yang luarbiasa
Tahajud, buatku melepas 1001 rasa dan rindu
Taubat, buat penebus segala dosa
Istikharah, buat pencari petunjuk dariNya
Dhuha, pembuka pintu rezeki
Al-Quran, menjadi penenang dan cahaya di hati
Zikrullah, mengenangkan pada Dia, yang dirindui
Akhwat, kasihmu membawa ke jalan redhaNya
Dakwah, jalanku menitip kasih dan budi
Mutabaah, buat pengurusan ibadahku padaMu
Ilmu, derajat yang khusus di sisi Allah buat sesiapa yang mencarinya
Hati, jadikan ia seluas lautan
Akal, gunakan ia untuk memikirkan kebesaranNya
Mama, kasihmu membawa ke syurga
Abah, kasihmu sentiasa didamba
Adik, kasihmu buat kuceria
Cinta manusia, biarlah mendapat redhaNya dan semua yang disayangi
Hujan, bagaikan pujukan Tuhan buat hamba yang kesedihan
Murobbi, pimpinanmu sangat kucari
Mutarobbi, pemahaman dan senyummu menerangi hati ini
Cita-cita, berjumpa Allah dan Rasul di syurga yang menanti

Cinta mama


Betapa sayangnya mama pada semua, dikuatkan langkah mengutip baju-baju kotor yang bersepah, dibasuhkan pinggan yang menggunung di sinki dapur, disapukan lantai yang berhabuk, dilapkan air yang tertumpah dan diangkat baju yang sudah kering berjemur. MasyaAllah, kuatnya mama tetapi hatinya lembut.

Tatkala ana sedar dari kealpaan diri, terkejut diri ini melihat semua kerja yang telah mama lakukan. Apa yang telah ku buat? Sibuk dengan kerja dan projek sehingga lupa dengan tanggungjawab sebagai seorang anak perempuan. Ana pandang wajah mama, ana senyum lalu bertanya:

“Mama nak air? Kita buatkan air teh… “

Dan selepas air dihulur, pertanyaan yang sentiasa ingin ana tahu jawapannya akhirnya ana ajukan.. Kalau seorang ibu marah dekat anak dia, mesti dia sabar sebab setiap kata-katanya menjadi satu doa, betul tak? Dan jawapan yang kuperolehi: Senyuman yang panjang dan perkataan ‘Ya’. Dan dari mata dan suaranya ana tahu kasih mama sangat indah dan tak ternilai harganya….

Apabila diimbas semula peristiwa lalu.. ketika pulang ke kampung di Johor, perjalanan mengambil masa selama 3 jam. Tak sabarnya untuk sampai ke rumah nenek. Dalam perjalanan mama mengajar kami bahasa Jawa. Masing-masing dah letih dan kelaparan…

“ Nanti cakap kat nenek nak ‘segoh’ (nasi dalam bahasa jawa).”

Rupanya terlalu banyak perkara yang ana tak tahu tentang mama dan pengetahuan yang mama ada

Teringat ketika kecil dahulu, ana terjatuh tangga dan mendapat demam panas yang agak teruk di kampung nenek. Kasih mama kepada anaknya ini, dipangku ana dalam perjalanan pulang ke Selangor. Diganti tuala basah yang diletakkan di atas dahi ana untuk mengurangkan suhu badan ana yang panas. Sungguh.. kasih mama tak terkira harganya.

Dan tatkala mama terasa hati dengan anaknya, dia berundur diri ke bilik, menyibukkan diri dengan tugasan lain. Adikku yang sorang ni buat hal rupanya. Ana pujuk adik untuk meminta maaf pada mama. Adik pun masuk ke bilik mama dengan matanya yang berair dan ditemani ana disisinya. Lalu ungkapan maaf pun terkeluar dari mulutnya:

“Maaf mama.”

Mama yang pada mulanya tidak mahu bertentang mata, merenung adik bagaikan boleh tembus ke hati. Kata-katanya ketika itu diungkap dengan penuh rasa sayang:

‘Mama bukannya marah. Tapi lain kali ikut cakap mama, ya?’

Adikku menganggukkan kepala dan menangis bagaikan tiada hari esok.

Kenangan yang tidak akan ana lupa, kerana ana bagaikan menyambungkan kembali satu pertalian yang sangat suci. Dan terserlah kini tali persaudaraan akan menguatkan diri dan ahli keluarga yang lain. Juga satu cinta yang berharga nilainya… Kasih seorang ibu.

Ya Allah, bersyukur padaMu ku dikurniakan ibu yang penyayang. Berkatilah dia didunia dan akhirat nanti. Semoga kami berjumpa di syurga nanti bersama-sama dalam naungan kasihMu, Allah.

Pada semua ibu di luar sana.. kasihmu tidak mampu dibalas. Hanya Allah yang mampu memberi balasan selayaknya untuk kasihmu yang tak terhingga..

Dan sekiranya ibu telah tiada.. doakan dia berada di kalangan orang-orang yang beriman dan semoga berada di taman-taman syurga yang aman damai..

Cinta Abah



Subhanallah,
Hari ini aku menguji cinta abah
Pada ketika diriku dilanda resah gelisah
Abah tempatku melepaskan rasa
Pada abah yang disayangi
Kiranya ku hadir dengan dugaan yang perit tampaknya
Moga kau sedia berkorban dan berjuang sebaiknya
Menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang abah

Tatkala suatu ketika dahulu
Kau menghulurkan wang belanjaku ke sekolah
Kau menghantarku dengan van yang berwarna merah
Tampak gigi palsumu pabila kau tersenyum
Menghantarku di depan pintu sekolah yang menyambutku

Tatkala ku rindu saat itu
Aku di sini menimba ilmu di menara gading
Rindukan kehadiranmu di sisi
Pengubat jiwa yang lara
Suatu ketika kau tersenyum riang pabila Berjaya
Melayan kerenah seorang anak

Kau punyai wajah ceria yang tiada tandingan
Belum dikira dengan akalmu yang bijaksana
Bicara yang penuh falsafah
Mesra biarpun dengan sesiapa.
Selepas Allah dan rasul, dirimu ku jadikan inspirasi
Menjadi pilihan hati yang sentiasa mendambakan kasih abah.

Kiranya terlalu puitis kata bermadah,
Datangnya hanya tulus dari hati yang satu,
Dibasahi, dibanjiri rasa kasih, rasa rindu,
Rasa bersalah dan rasa bersyukur pada Allah
Ku dikurniakan dengan seorang abah yang penyayang
Sedia berkorban untuk anaknya ini yang jauh dipersada perjuangan.

Ya Allah, Ya Rahman,
Kau ampunkanlah dosa abah
Kau pandanglah dia dengan rahmatMu, ya Allah,
Berikan hidayah dan petunjuk kepada abah,
Semoga dikuatkan iman dan dimurahkan rezeki
Ku dambakan cinta seorang abah,
Syukur padaMu, Alhamdulillah.

Kiranya manis cinta seorang abah pada anaknya,
Cinta Allah lagi tidak terhingga,
Kau cipta cinta di antara manusia,
Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mencintai
Sesungguhnya besar lagi cintaMu kepada hamba-hambaMu.

Kebahagiaan yang abadi


Bismillah ....
salam.. satu ucapan selamat apabila kita di syurga
di sana berjumpa dengan Allah dan rasul yang dirindui
di sana ingin ana sapa semua yang ana sayangi
di sana ana dambakan pandangan Allah yang penuh dengan rahmatNya

di sana mungkin, baru kita boleh berbicara

Tanpa rasa duka ataupun ragu kerana di sana Allah akan menjaga kita

di sana akan terlepas segala rindu dan duka
di sana Allah janjikan ketenangan bagi mereka yang selayaknya
dan di waktu Allah menjemput ana menemuiNya
tatkala itu, ketenangan yang ana idamkan akan ana temui jua.....
Maka...biarkan masa yang mengungkapkan segalanya.

Sunday, July 26, 2009

Cintaku Pada Allah dan Al-Quran 1


Bismillah.

Sekiranya berbicara tentang cinta, setiap manusia sentiasa diuji dengan cinta, satu perasaan yang dicipta oleh Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Di dunia ini, manusia secara fitrahnya mempunyai perasaan untuk bercinta dan berkasih sayang. Tidak kiralah pada keluarga, sahabat, harta dan semua yang dirasakan indah yang ada di dunia. Maka, di sini Allah menguji keimanan seseorang hamba samada cinta tersebut adalah pada jalan yang diredhaiNya atau mengikut hawa nafsu semata-mata. Samada ia halal atau haram disisi ajaran Islam.

Cinta itu ada banyak jenisnya. Sebagai seorang perempuan, pastinya ada satu ketika dimana kita menunggu kehadiran mujahid yang bakal mengucapkan sumpah janji untuk menjadikan kita seorang isteri dan dirinya sebagai seorang suami dan qawam (pemimpin) di dalam bahtera rumahtangga yang bakal dikemudi. Namun begitu, sekiranya belum tiba pada waktunya, adalah lebih baik untuk diri mencari cinta yang lain. Cinta pada Allah, cinta pada al-Quran, cinta pada Rasul, cinta pada ibu, cinta pada ayah, cinta pada adik beradik, cinta pada ilmu, cinta pada sahabat dan sebagainya. Pada ketika diri hampir dihanyutkan oleh cinta manusia yang mungkin menggundang kemurkaan Allah luar sana, cinta-cinta yang halal buat diri hendaklah dicari sebagai ganti.

Pada risalah kali ini, ingin ana bawakan kepada antum tentang cinta kepada Al-Quran. Pengalaman mengajar ana, cinta adalah satu perasaan anugerah Allah kepada seorang manusia, yang mana hanya orang terpilih yang boleh menerimanya. Dan apabila mengungkapkan tentang cinta pada Al-Quran, sejujurnya untuk ana, ia adalah satu anugerah buat diri yang dambakan ketenangan dan bukti sebagai tanda cinta daripada Allah S.W.T. Cinta pada Al-Quran adalah berkait rapat dengan cinta pada Allah, dan kita tidak dapat lari dari keduanya. Ini adalah kerana ayat-ayat dalam Al-Quran itu adalah ayat-ayat cinta dari Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang dan Al-Quran itu adalah warkah atau surat cinta dariNya.

Lahirnya kecintaan pada al-Quran, kalimah cinta Allah itu bermula dengan mendengarnya. Malah, ia bagaikan perkenalan pertama pada Pencipta yang Maha Esa. Seterusnya bercambah dengan belajar dan membaca Al-Quran. Ketika ini, hati mula sedar bahawa Allah Maha Penyayang dengan pahala yang dijanjikan pada setiap hambaNya yang belajar dan membacanya. Seterusnya, cinta pada al-Quran mula tumbuh dengan tadabbur dan kefahaman pada ayat dan hikmah di dalamnya. Rinduku pada Allah apabila ayatNya ditadabbur dan kebesaranNya jelas ternyata pada alam yang terbentang luas di alam syuhada. Lalu, cinta itu berkembang dengan penghayatan dan amalan di dalamnya. Dan harapanku agar ia terus mekar di dalam hati dengan usaha mengajar dan menyampaikannya pada orang lain sebagai budi dan bakti untuk mencapai redha Allah dan istana di syurga menanti.

‘Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.’
(Riwayat Bukhari).


Cinta itu hadir dengan mendengarnya.....

Sebelum itu, cuba bayangkan diri berada di satu tempat yang sangat tenang dan senyap. Dikala itu, berkumandang ayat al-Quran yang sangat dikenali. Mungkin alunan Imam Al-Ghamidi, Masyari, Husori, Sudais, Maher, Manshawi atau imam-imam terkenal yang lain. Mungkin juga, alunan al-Quran yang indah itu dari ayah, ibu atau seseorang yang dirindui. Alunan yang sangat indah walaupun mungkin tidak difahami, tetapi hati seolah-olah merasai ketenangan yang sangat agung. Perasaan yang sangat bahagia bagaikan dipujuk untuk terus larut di dalamnya. Getaran suara yang bersulamkan perasaan sang pembaca itu seolah-olah sedang bercerita tentang sesuatu yang luar biasa. Tidak terlepas juga kesempurnaan pembacaan dari segi maghraj huruf dan tajwidnya. Apabila Al-Quran yang dibaca dengan tartil dan penghayatan, ia mampu menyentuh hati-hati yang mendengarnya dengan kehendak Allah Yang Maha Kuasa. Dan tiada keraguan lagi dalam diri bahawa kalimah-kalimah dalam bahasa Arab yang sungguh indah itu adalah dari Allah, Tuhanku Yang Maha Bijaksana.

Dan tatkala ayat mula berbicara tentang syurga; yang terdapat di dalamnya tahta-tahta yang ditinggikan, gelas-gelas , bantal-bantal dan juga permaidani yang dihamparkan, kerinduan sang pembaca seperti dirasai oleh diri yang juga berkeinginan untuk menjejakkan kaki ke sana. Indahnya syurga itu yang mana di sana nanti berjumpa dengan Allah dan rasul yang dirindui. Mungkin berjumpa dengan mereka yang disayangi yang telah kembali ke sisi Allah. Doaku semoga mereka berada di taman-taman syurga. Cuma, layakkah diriku untuk ke sana apabila telah sampai masanya? Sungguh, ana dambakan syurga dan kebahagiaan di dalamnya. Antum pula bagaimana?

Tetapi, apabila ayat al-Quran mengungkapkan tentang neraka dan api yang menyala-nyala; bagaimana buah Zaqqum yang menghancurkan perut dan air panas menggelegak dari logam yang dicairkan, dijanjikan untuk penghuninya,rasa ketakutan dan sebak mengiringi bacaan itu. Maka, dalam diri timbul perasaan takut, sedih dan haru kerana mengenangkan dosa yang telah diri lakukan selama ini. Betapa di dalamya, penghuni neraka itu diseksa dengan sangat dahsyat. Kerana janji Allah yang ada dalam Al-Quran itu adalah benar dan nyata buat mereka yang mengundang kemurkaanNya. Maha Suci Allah, jauhkan diri dan keluargaku dari api neraka.

Seterusnya, surat cinta itu terus bercerita tentang kebesaran Allah yang telah ditunjukkan kepada kita semua. Tentang bagaimana langit ditinggikan, bagaimana gunung ditegakkankan dan bagaimana bumi dihamparkan, segala-galanya menjadi bukti kekuasaan Tuhan. Terlalu agung. Diriku tersenyum bagaikan Allah membuka hijab menampakkan keajaiban ciptaanNya di hadapan mata sehingga timbul perasaan rindu ingin berjumpa kepada Pencipta alam ini. Indahnya Al-Quran kerana ia mampu membuat sesiapa yang mendengarnya terhibur, berfikir, menangis, bersyukur dan sebagainya.

Allah, Tuhanku Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Yang menghadirkan Al-Quran itu sebagai bukti yang nyata tentang kebesaranNya. Diturunkan dari Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. yang mana surat cinta Allah itu adalah mukjizat terbesar buat Rasulullah. Baginda yang diutuskan kepada kita sebenarnya adalah satu rahmat seluruh alam sebagai perantaraan wahyu Tuhan kepada hamba-hambaNya. Hadirnya Rasulullah membawa manhaj Al-Quran buat pedoman dan ikutan. Kerana di dalamnya terdapat hikmah, kebenaran, hakikat kejadian, hukum, sejarah, ilmu dan sebagainya. Tidakkah kita sedar dengan kebesaran dan kekuasaanNya dalam setiap perkara yang ada di bumi ini? Seperti berulangkali diungkapkan dalam Surah Ar-Rahman:

Maka, yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahman: 13)

Percayalah, Al-Quran adalah kurniaan Tuhan bagi mereka yang mempunyai akal untuk memikirkannya.Kepada mereka yang tidak sedar tentang hakikat Rasulullah sebagai penerima wahyu dan menyampaikan kepada manusia seluruhnya, maka, sedarlah. Pemergian Rasulullah bermaksud telah sempurnanya ajaran Islam yang diturunkan kepada manusia seluruhnya. Tetapi hakikatnya, pemergiannya juga bermakna telah terputusnya wahyu dari Allah S.W.T kepada kita semua. Kerana ini, kehilangan Rasulullah sangat dirasai oleh keluarga, sahabat baginda dan sekalian umat manusia.

Sekiranya kita mendengar alunan ayat Al-Quran, apabila ia disertakan dengan penghayatan samada yang berbentuk harapan, perasaan takut, kegembiraan, takjub, dan sebagainya, tidak mustahil untuk menyentuh hati-hati yang mendengarkannya. Seterusnya, hati mula tertanya-tanya tentang siapakah Pencipta ayat seindah ini? Betapa indahnya Al-Quran apabila dibaca dengan sempurna sehingga tertanya; bagaimana ayat-ayat Al-Quran yang keluar daripada mulut Rasulullah sendiri? Subhanallah… rindunya pada Rasulullah, ingin untuk ana dengar ayat agung ini dari baginda sendiri. Dan rindu ana pada Allah, mengenangkan ayat –ayat ini adalah kalimah-kalimahNya. Mungkinkah diri ini disambut dengan pandangan rahmatNya atau kemurkaanNya apabila sampai masa untuk ana bertemu denganNya?

Lahirnya perasan cinta apabila kita mula mengenalinya. Dalam surah Al-Anfal ayat ke-2, bagaimana Allah S.W.T berfirman bahawa :

‘Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal.’
(Al-Anfal :2)

Apabila ditelusuri ayat di atas, beberapa pertanyaan yang boleh kita timbulkan. Gementarkah hati antum apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran? Bagaimana dengan tahap keimanan kita? Adakah iman kita bertambah? Dan sungguh, soalan ini hanya boleh dijawap oleh yang empunya diri, dan percayalah, Allah itu Maha Mengetahui, samada yang jelas ditunjukkan ataupun yang tersembunyi di dalam hati.

Sekiranya kita mengimbas kembali sirah Rasulullah, ramai para sahabat yang memeluk Islam apabila mendengar Al-Quran dari Rasulullah. Seperti Mus’ab bin Umair, duta pertama Islam ke Madinah. Apabila beliau mendengar ayat Al-Quran daripada Rasulullah, dirinya seolah-olah berada di awang-awangan, kegembiraan yang amat sangat sehingga Rasulullah meletakkan tangan baginda di atas dadanya untuk menenangkan Mus’ab bin Umair. Tatkala itu, Rasulullah sedar tentang potensi dan keistimewaan yang ada pada Mus’ab bin Umair dalam perjuangan Islam di muka bumi ini dan Mus’ab adalah antara sahabat yang dipercayai oleh Rasulullah sehingga dilantik menjadi duta ke Madinah kerana perwatakannya yang baik dan menyenangkan.

bersambung.....

Thursday, July 16, 2009

Ujian


Bismillahirahmanirahim. Assalamua’laikum.


Risalah kali ini, ingin ana bawakan antum menelesuri satu persoalan tentang ujian yang dihadapi secara lazimnya kepada seorang manusia. Dalam hari– hari yang mendatang, ada yang telah dijanjikan Allah dengan kegembiraan dan adakalanya diuji dengan kedukaan daripada musibah dan ujian yang melanda. Dan sekiranya bertanya pada diri, adakah redha dengan qada’ dan qadarNya atau bertindak berpaling daripada Allah dan mencari jalan yang salah berlandaskan hawa nafsu? Ujian datang dengan pelbagai bentuk. Sama ada peperiksaan di sekolah, kewangan, kehilangan orang tersayang, sahabat, bebanan tugas dan sebagainya


Ketahuilah olehmu bahawa dalam surah Al-Baqarah ayat ke-286:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa), “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami salah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”
(2:286)


Setiap orang mempunyai kesanggupan untuk menghadapi masalah dan ujian yang menimpanya. Dan di situ diuji agar diri dapat mengikis karat-karat jahiliyah, memperbaiki diri, mendekatkan diri kepada PenciptaNya dan di kala itu juga diuji siapakah yang paling beriman di sisi Allah. Sungguh sempurna aturan Allah, walau dalam sekecil-kecil perkara yang wujud di dunia ini.

Maka berbalik kepada perbicaraan kita, jalan apakah yang hendak diikuti? Antara tanda cinta pada Allah ialah kita redha dengan kehendakNya. Maka berusaha sehabis baik dan tawakal kepadaNya. Dan sekiranya musibah melanda, berdoalah kepadaNya, mengadu padaNya dan carilah ketenangan di dalam alunan Al-Quran, ayat cinta ciptaan Tuhan. Bukanlah menyalahkan takdir atau merasa putus asa dengan bantuan Allah. Sesungguhnya kita perlu sentiasa bersangka baik pada Allah S.W.T kerana Dia Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Jadikan hati seluas lautan kerana ia dapat menerima banyak ujian. Tetaplah kuat menghadapi cabaran, dan percayalah bahawa Allah Maha Pemurah dan Maha Kaya.

“Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku-perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.”
(40:60)


Wallahua’lam.



Thursday, July 9, 2009

Sedarkah kita?

Sedarkah kita?


Dikira pada budi, ditatap pada hati

Dicari pada Yang Satu, terringat pada yang datang menyentuh kalbu

Cinta pada manusia indah

Tapi mampukah mengatasi cinta Allah pada makhlukNya?


Setiap nafas, setiap detik nadi berdenyut

Setipa langkah kaki menapak

Setiap cahaya menerpa alam

Setiap bintang bergemerlapan di langit

Sekian kalinya kerana keizinanMu, ya Allah


Pada manusia di bumi dan hamparannya

Sedarkah kita tentang nikmat alam?

Hujan yang turun menyucikan bumi yang menjadi tempatmu berpijak

Pada matahari yang taat mengikut perintah Allah

Pernah merajuk kerana sikap manusia yang lalai

Tidak sanggup melihat manusia yang berakal

Tidak mencari tujuan asal kejadian

Terfikirkah kita jika satu hari matahari tiada lagi?


Pada pantai yang setia menyapa alam

Dengan angin dan ombak

Dengan rezeki ikan di badan

Kejadian Allah yangMaha Kaya

Tidak sanggup melihat manusia alpa dengan keseronokan dunia

Terfikirkah kita jika suatu hari laut membanjiri tempat tidur kita?


Diimbas pada janji

Dinilai pada kalam yang suci

Hikmah pada peristiwa sebelum ini

Manusia berjanji menjadi khalifah di persada duniawi

Melakukan kebaikan dan bukan kerosakan

Menyeru kepada Yang Esa dan bukan kepada kemaksiatan

Sedarlah wahai manusia, hidup di dunia sementara sahaja

Tapi, syurga itu mahal harganya.