Wednesday, July 4, 2012

Jangan berputus asa daripada rahmat Allah.

Bismillahirahmanirahim.

SubhanAllah, Maha Suci Allah, Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Penyayang. Asif jiddan semua. Ana pasti ada yang tertunggu nukilan kata daripada ana. Buat ukhti nurqalbi786, semoga Allah sentiasa merahmatimu. Begitu juga kepada pembaca semua… Walaupun dirimu jauh di mata, tetapi sangat dekat di hati ini. Dan Allah sentiasa bersama kita semua.

SubhanAllah, diri ini seperti ingin melarikan diri untuk seketika waktu. Saban hari dirasakan sangat kurang motivasi diri untuk terus melangkah melakukan kerja makmal. Sudah hampir 2 liter etanol telah habis digunakan sebagai pelarut untuk kajian. Lebih 50 kali cubaan yang telah dibuat tetapi seperti tidak berganjak ke mana-mana. Dan dikala ini juga Allah mengujiku dengan hati. Ya Allah, ampunkan segala dosaku dan dosanya. Ya Allah, tuntunilah kata hati, tutur kata, akal dan juga perilakuku ini. Amin.

SubhanAllah… seperti terlalu sukar… Ingin sekali berputus asa, tetapi itu bukanlah satu pilihan yang wajar. Dipujuk diri agar sentiasa meletakkan harapan yang tinggi pada Allah. Dan perjuangan ini juga keranaNya … Buktikan cinta kerana sayang kepadaNya. Maka, jangan pernah berputus asa… Allah berkata,

“Jangan berputus asa daripada rahmat Allah.” 

(Surah Az-Zumar: 53)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah di atas segala kurniaanNya. Dua minggu yang lalu, Allah mengizinkan diri ana dan serikandi sang pencari ilmu untuk menghadiri satu majlis ilmu di Surau An-Nur, Bangi. Penceramah yang dijemput ialah Sheikh Ali Saleh bin Ali Jabir, salah seorang imam dari Madinah. MasyaAllah, tidak terungkap rasa hati kerana ternyata Allah telah memilih ana dan sahabat di antara jemaah yang hadir ke majlis ilmu itu.

Penceramah mengungkap pengisian dengan cara yang ruhiyyah tatkala kata-kata yang keluar daripada hati pasti akan tersentuh di hati juga. Beliau telah mengungkap juga tentang kepentingan untuk terus berdoa dan mengharap kepada Allah. Kerana berdoa adalah menjadi tugas kita sebagai seorang hamba. Doa adalah senjata seorang muslim. Apabila hati dan mulut itu berbicara meminta pada Allah, ketahuilah olehmu bahawa dirimu adalah di kalangan hambaNya yang tidak berputus asa daripada rahmat Allah.

Ada doa yang dimakbulkan seperti yang kita minta. Ada juga doa yang diperkenankan dengan caraNya yang penuh hikmah. Ada juga doa yang tidak dimakbulkan di dunia tetapi itulah yang menolongnya di akhirat nanti. Taufik dan hidayah Allah itu dicari dan bukan hanya ditunggu. Ketika diri dilanda resah dan gelisah, bertanya kepada diri apakah tujuan utama dirimu dijadikan di dunia ini… Tatkala nama Allah itu meniti di bibir… SubhanAllah, segala kenikmatan yang ada pada diri ini adalah titipan dari Allah yang akhirnya akan dipulangkan kepadaNya.

Ana pasti ramai sahabat di luar sana sedang diuji. Sama ada diuji dengan kesenangan atau kesusahan. Tidak boleh untuk terus hanyut dalam kesedihan dan kesusahan. Syukurlah dengan nikmatNya yang sangat banyak. Dan terus mencari potensi untuk menyumbang kepada agama Allah. Terus melangkah membuktikan cinta padaNya. Dan Allah akan menyingkap bukti-bukti kebesaran dan kekuasaanNya dengan izinNya.

Tidak lupa kepada diri yang membaca nukilan hati ini. Dirimu adalah bukti kebesaran Allah. Dirimu adalah salah satu keajaiban ciptaanNya. Dijadikan dengan penuh hikmah tetapi dibebankan dengan tanggungjawab sebagai khalifah dan beribadah kepada Allah.

Manusia itu dijadikan lemah, miskin, memerlukan, dan juga tidak berkemampuan. Kerana sifat-sifat ini menjadikan kita manusia yang bergantung kepada Allah. Kita juga sangat membutuhkan nikmat-nikmatNya kerana tiada pemberi nikmat selain Allah. Dan aturan Allah itu sangat indah dengan sistemNya sendiri. Terkadang dihantarkan kesusahan kerana di sebalik kesusahan itu adalah kesenangan dan hikmahNya. Allah ingin ajarkan kita tentang sesuatu… dan diberikan peluang, ruang dan kekuatan untuk berbuat kebaikan dan mengumpul sebanyak mungkin permata pahala untuk saham di akhirat nanti.

SubhanAllah, terus impikan pengakhiran yang baik. Iman yang tersemat di dada itu tidak ternilai harganya. Yang bisa menjadi penyebab untuk menghuni syurga Allah nanti. Lihatlah kepada perjuangan sahabat di zaman Rasulullah dan juga sebelumnya. Menggadaikan nyawa dan juga harta untuk kekal di dalam iman. Tatkala hati juga diuji dengan cinta pada mama, abah dan juga yang tersayang seperti harta dan perniagaan… tetapi dikorbankan juga demi iman yang tidak ternilai itu.

Terdapat satu kata-kata hikmah:

Barangsiapa yang memiliki Allah, jangan takut kehilangan sesuatu. Biarkan sahaja kehilangan dunia dan segalanya, selama kita memiliki Allah, tidak akan terasa kehilangan apa-apa. Tetapi barangsiapa yang kehilangan Allah, walaupun memiliki dunia dan isinya… tidak ada erti dan gunanya.

Hati itu berbeza di antara satu sama lain. Hati seorang manusia juga adalah milik Allah. Hati itu digerakkan dengan kuasaNya. Maka, mintalah pada Allah akan petunjuk dan hidayahNya. Semoga Allah memberi petunjuk kepadamu. Amin. Dan ketahuilah juga sayang Allah kepada hambaNya lebih tinggi dari sayang seorang ibu kepada anaknya. Allah Maha Mengetahui setiap apa yang tersembunyi dan yang terzahir pada hambaNya… Yakinlah bahawa janji Allah itu benar…

SubhanAllah… Doakan untukku wahai sahabatku… Semoga Allah memberkati diriku dan dirimu. Amin.

No comments: