Wednesday, May 30, 2012

Al-Quran dan sains... Alam bagaikan kalam yang terbuka

Bismillahirahmanirahim

SubhanAllah, syukur pada Allah di atas segala kurniaanNya. Alhamdulillah… setiap helaan nafas dan degupan jantung ini adalah kerana sifat Allah Yang Maha Pemurah. Hari yang baru dengan misi yang baru. SubhanAllah, pagi tadi sangat indah dengan turunnya hujan renyai… Diri ini sangat sukakan hujan… Tetapi, hujan pagi ini hadir seperti tahu hatiku menangis kerana rindu. Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku. UjianMu hadir sebagai penebus dosaku. Ya Allah, sampaikanlah rindu ini pada yang ana sayangi.

Dan Allah itu Maha Mengetahui… Hadirnya seorang pelajar PhD Kimia daripada Libya menceriakan pagiku ini dengan soalan dan penjelasan darinya kepadaku tentang empat orang sahabat Rasulullah. Tentang Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan juga Saidina Ali bin Abi Talib. Walaupun perbincangan dalam Bahasa Inggeris diselang seli beberapa istilah Bahasa Arab tetapi ia cukup bermakna.

Diceritakan kepada ana tentang Saidina Abu Bakar yang membenarkan kata Rasulullah ketika orang lain tidak mempercayainya; Saidina Umar yang sangat digeruni sehingga syaitan juga takut dengannya; Saidina Uthman yang sangat pemalu sehingga malaikat juga malu dengannya dan tentang Saidina Ali yang dicintai oleh Allah.

Dan sebenarnya semalam juga Allah hiburkan diriku ini dengan izin dan kuasaNya. Allah sangat Penyayang dan Dialah Yang Maha Penyayang di antara yang penyayang. Dihiburkan hati yang lara dengan ilmu dan petunjuk. Dan semalam diriku dibawa adik kembar ke seminar ‘Al-Quran dan Sains’ anjuran Pusat Pengajian Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.

Pada mulanya kami sesat mencari bilik mesyuarat tempat diadakan seminar tersebut. Haha… Harap maklum bahawa bilik mesyuarat kat Fakulti Sains dan Teknologi ini sangat banyak... Ada di bangunan kedekanan yang baru, di bangunan kimia, di sebelah Dewan Anuwar Mahmud dan banyak tempat lagi. Akhirnya, walaupun lambat, diri ini berpeluang menghadiri perbentangan oleh dua speaker pada pagi semalam.

Ketika kami sampai ke bilik mesyuarat tersebut (sebelah Dewan Anuwar Mahmud), speaker pertama telah mengulas hampir setengah perbentangannya. Tetapi, diungkapkan satu per satu tentang banyak kejadian dan penceritaan di dalam al-Quran yang boleh dikaji secara saintifik. Speaker kedua pula menyentuh perkaitan manhaj nabawi atau hadis dengan sains. Petunjuk Allah itu ada pada Al-Quran dan pada alam semester.

Arahan ‘Iqra’ atau bacalah itu bukan sahaja spesifik kepada material yang ditulis sahaja. Tahukah semua bahawa alam ini juga bagaikan kitab yang terbuka? Ketika Al-Quran menjadi bukti kebenaran apabila dikaitkan dengan kalam yang terbentang luas di hadapan mata. Pada bumi dan juga langit serta makhluk dan penciptaan Allah di antara keduanya. Kerana itu Allah mengurniakan nikmat akal, hati, telinga dan mata. Agar kita mencari bukti kekuasaan Allah di dalam penciptaanNya.

Diungkapkan secara umum tentang banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran yang boleh menjadi idea kepada penyelidikan saintifik. Tentang air, besi, perkembangan bayi dalam rahim ibu, gelombang, bumi, lautan dan banyak lagi. Datangnya kebenaran Al-Quran sebelum ilmu sains dan penyelidikan. Maka, tiada ragu lagi bahawa Al-Quran itu adalah mukjizat dari Allah. Kata-kata yang indah dan bijaksana itu hanyalah datang dari Allah.

Dibincangkan juga bagaimana kebanyakan ayat-ayat yang menceritakan tentang pengetahuan Allah adalah pada surah-surah Makiyyah. Tatkala ketika permulaan Islam disebarkan, terdapat banyaknya hujah-hujah ini yang bersifat anjuran melihat alam dan juga penciptaan Allah bagi membuktikan kebenaran dan keindahan Al-Quran. Tentang bagaimana unta diciptakan, bagaimana langit ditinggikan, bagaimana gunung-gunung ditegakkan dan bagaimana bumi dihamparkan. Al-Quran terlebih dahulu menerangkan kesimpulan dan data kajian sebelum datangnya konsep teknologi dan penyelidikan.

Speaker pertama telah mengemukakan pertanyaan secara umum tentang bagaimana Allah secara spesifik menurunkan dua perkara kepada kita iaitu air dan juga besi. Air sebagai satu sebatian dan logam adalah satu elemen. Allah S.W.T telah menerangkan besi ini diturunkan kepada kita dalam surah Al-Hadid ayat 25:

‘Sungguh, Kami telah mengutuskan rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata dan Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca (keadilan) agar manusia dapat berlaku adil. Dan Kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasulNya walaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa.’ 


(Surat Al-Hadid, ayat 25) 

Hakikatnya besi ini adalah satu elemen yang sangat penting bagi manusia. Kegunaannya merangkumi dalam bidang kejuteraan, pembinaan, senjata, elektronik, kenderaan, teknologi satelit, biologi, fizik, kimia dan banyak lagi. Dalam post yang bertajuk “Ilmu, satu pintu kebahagiaan” telah ana jelaskan dengan panjang lebar tentang ion ferum di dalam hemoglobin yang bertanggungjawab dalam pengangkutan oksigen pada manusia.

Besi atau elemen ferum juga boleh membentuk koordinasi dengan beberapa elemen lain selain oksigen seperti karbon, nitrogen dan banyak lagi. Maka ia mempunyai potensi yang tinggi dalam bidang sensor selain sifat katalisis, konduktor elektrik dan juga magnet. SubhanAllah, semua ini mengingatkan ana kepada projek siswazah ana ketika ini yang berkaitan dengan sintesis garam ferosenium-asid diprotik. Terlalu banyak cabaran yang dihadapi ketika ini tetapi doakanlah agar semunya berjalan dengan lancar.

Maka benarlah seperti yang diungkapkan dalam Al-Quran bagaimana Allah S.W.T telah jadikan semua yang ada di langit dan di bumi dengan manfaat dan tujuan yang tertentu. AturanNya sangat cantik dan penuh hikmah… Hikmah itu kebijaksanaan Allah…

Panjang sungguh bicaraku dan ingin ku undur diri dikala ini. Doakan untuk diriku wahai sahabatku. Semoga Allah memudahkan segala urusanku dan urusanmu. Amin.

No comments: