Wednesday, January 27, 2010

Zubaidah binti Ja'far, tokoh wanita Zaman Abbasiyyah.

Bismillahirahmanirahim.

SubhanAllah. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W, keluarga baginda, sahabat, tabi' tabi'in, ikhwah wa akhwat yang dirahmati Allah.

Berlalu sudah satu lagi detik masa dan juga umurku, semoga sentiasa dalam rahmat dan redhaNya. MasyaAllah, tiada kata-kata yang mampu untuk ana persembahkan di sini. Tatkala Allah menguji diri ini dengan lemahnya hati seorang yang bergelar perempuan. Ada sahaja peristiwa yang menyebabkan air mata ini tumpah ke bumi. Adakah dilihat seseorang yang menangis itu lemah? Hm... syukur Alhamdulillah, air mata itu boleh jadi pelembut hati. Air mata itu menjadi saksi kepada mujahadah hamba-hambaNya. Menangis boleh menjadi sesuatu yang memuaskan hati seperti terlepas bebanan yang ditanggung. Kerana tangisan itu..... disaksikan oleh Allah dan juga malaikat-malaikat yang ada. Kerana luahan hati, perasaan amarah, rasa sakit dan juga rindu hanya selanyaknya diadukan pada Allah. Kerana Allah Yang Maha Memberi, yang paling memahami kerana Dia adalah Penciptaku dan bukannya manusia. Biarkan ia menjadi penawar kepada kalbu yang berdarah dan terluka. Andai mungkin mata-mata yang membaca tertanya-tanya apa yang terjadi pada diri, biarlah menjadi rahsiaku dan Tuhanku. Hanya mohon doa semua agar diri ini sentiasa dalam naungan kasih dan rahmatNya, Ameen...ameen..ameen...

Walau apapun, pencarian ilmu Allah dalam medan juang ilmu tetap diteruskan walaupun seberat mana kaki melangkah. Ternyata, Allah seperti sedang mengungkap satu demi satu tentang kekuasaanNya dalam setiap penciptaan. Sungguh, wahai sahabatku.... apa yang ada pada KIMIA? Hehe.... andai mungkin ditanya pada diri, zikrullah akan sentiasa meniti di bibir mereka yang menyaksikan kebesaranNya.

MasyaAllah, ingin sekali ana ungkapkan perkaitan antara elemen Ferum dengan Hemoglobin dalam darah, elemen Ferum dalam Chlorophyl yang ada pada daun-daun yang hijau, elemen Kuprum di rambut dan sebagainya. Semua bahan kimia tidak organik sebenarnya menjadi elemen yang sangat penting pada sesuatu yang bernyawa. SubhanaAllah, Alhamdulillah, Lailahailallah, Allahu Akhbar, Segala pujian itu sahaja yang mampu diungkapkan oleh hamba yang lemah tatkala setiap penerangan oleh pensyarah membuka mataku kepada satu dunia yang baru. Mungkin akan ana ceritakan tentang semua ini satu hari nanti. Doakan diri ini untuk terus mencari ilmu, menjadi bekal untuk menggalas beban tugas fardhu kifayah yang bakal dipegang nanti, InsyaAllah.

Ketika diri ini kesedihan, alunan ayat-ayat Quran jadi peneman, dan buku-buku yang lain menjadi semboyan buat diri yang berjuang di medan peperangan hawa nafsu dan bisikan syaitan di bumi yang penuh dengan dugaan ini. Maka, diri ingin memperkenalkan satu buku yang memberi motivasi; La Tahzan: Jangan Bersedih Khas Untuk Muslimah Bijak Bistari-Kecerdasan rohani dalam menggapai kejayaan, kebahagiaan dan cinta Allah... oleh Nurhawis Othman terbitan Kharisma Network Sdn. Bhd, diedarkan oleh Ar-Risalah Product Sdn. Bhd.


Untuk risalah kali ini, andai mungkin untuk ana persembahkan satu tokoh wanita yang indah peribadinya hasil dari talaqqi buku La Tahzan ini. Secara umumnya, buku ini lebih membahaskan tentang peranan wanita dalam perjuangan mencari cinta Allah dan juga sumbangan mereka kepada perkembangan Islam secara keseluruhannya. Selain itu, tokoh-tokoh yang dibincangkan adalah tokoh-tokoh wanita selepas zaman khulafa Ar-Rasyidin. Ianya berlainan dari kebanyakan buku-buku dan perbahasan tentang tokoh-tokoh wanita yang sentiasa diutarakan iaitu pada zaman nabi, khulafa Ar-Rasyidin dan terdapat juga yang menyentuh sedikit tentang tokoh wanita pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Aziz.

Ini menjadi bukti kepada perjuangan wanita pada masa kini yang terus mekar di samping perjuangan para mujahid yang ada walaupun pada zaman moden yang sangat berlainan dengan zaman para nabi dan juga zaman khalifah. Tokoh-tokoh wanita yang tetap berdiri teguh menjulangkan panji-panji dan cara hidup Islam ini boleh menjadi inspirasi kepada wanita zaman sekarang yang berada dalam situasi yang berbeza. Ingin sekali untuk ana ungkapkan mereka semua lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan para ibu yang sedang berjuang di Palestin sekarang. Namun begitu, tokoh yang ingin ana ungkapkan di sini ialah Zubaidah binti Ja'far, antara penceritaannya yang menyentuh hati ini. Ana sisipkan beberapa petikan dari muka surat 180 dan 181 buku tersebut di bawah:

Zubaidah binti Ja’far, isteri seorang khalifah Abbasiyah, Harun al-Rasyid, lahir di Musol tahun 149 H, telah berkahwin dengan seorang khalifah Abbasiyah, Harun al-Rasyid, dan mempunyai seorang putera, Al-Amin yang menjadi khalifah setelah Ar-Rasyid, Zubaidah meninggal tahun 216H, dimakamkan di Baghdad pada usia 71 tahun.

Beliau meninggalkan jasa dan di antaranya adalah memiliki seratus pembantu wanita yang menghafal Al-Quran, dan masing-masing di antara mereka mewiridkan Al-Quran sepersepuluhnya sedangkan ia menyemak di istananya bacaan mereka bagaikan pokok kurma.

Dia juga adalah pemilik ‘Sumber Mata Air Zubaidah’ kerana ia menyediakan bagi penduduk Mekah dan para jemaah haji Baitullah Al-Haram. Imam Ibnu Jauzi bertutur, “ia memberi minum penduduk Mekah, pada ketika air satu kolah (ukuran air tersebut) seperti 1 dinar, ia mengalirkan air sejauh 10 batu yang membelah bukit hingga air itu dapat mengalir dari sumber air mata ke tanah haram, mata air tersebut dinamakan dengan ‘Mata Air Zubaidah’, salah satu sumber mata air di daerah Mekah, terletak di hujung lembah Nu’man, sebelah Timur Mekah. Projek ini menelan belanja sebanyak 1,00,700 dinar.”


Ibnu Jabir mengatakan dalam perjalanan ketika beliau membuat haji, kebanyakan perhentian, perumahan-perumahan dari Baghdad sampai ke Mekah merupakan peninggalan Zubaidah Binti Ja’far.

Dalam perjalanan hidupnya sentiasa dirahmati Allah dan terdapat beberapa pengajaran yang harus diambil oleh wanita masa kini terutama wanita yang ingin menjadi solehah. Allah telah menganugerahkan 3 kurniaan kepada wanita dan salah satunya, Allah telah mengurniakan wanita itu dengan kecantikan, maka beliau mempunyai suatu keistimewaan iaitu kecantikan yang amat mempesonakan. Di sini hendak digambarkan bahawa Zubaidah terkenal dengan sebab kulitnya yang putih. Kedua, Allah mengurniakan harta yang banyak hingga melimpah ruah, dan dia juga mendermakannya hingga berjuta-juta ringgit. Ketiga, Allah S.W.T mengurniakan kekuasaan, kerana dia adalah putera khalifah, isteri kepada seorang khalifah, dan ibu kepada seorang khalifah. Beliau menjadikan semua itu hanya untuk Allah S.W.T, beliau juga memperdengarkan bacaan Al-Quran di istananya seperti gemersik pohon kurma.

Beliau juga turut memberi sumbangannya tanpa mengira pahalanya, semuanya adalah anugerah, beliau juga turut mengalirkan air ke tanah haram yang disebabkan perbuatan tersebut ia mendapat pahala yang berganda-ganda, beliau juga melakukan amal jariah sebelum meninggal dunia, alangkah baiknya sedekah itu. Alangkah baiknya wanita itu kerana mempunyai keperibadian yang mulia seperti taat, ahli ibadah dan sebagainya.

.................

Semoga sirah ini menjadi motivasi membakar semangat yang lemah. Tidakkah antum tercabar dengan keperibadian dan pencapaian Zubaidah binti Ja'far? Buat para sahibah di luar sana dan juga buat diri yang mungkin diuji Allah dengan pelbagai dugaan, semoga terus bersabar dan kuatkan pergantungan pada Allah. Ana sayang antunna semua. Semoga sentiasa dalam naungan kasih dan cinta Allah.

Wallahu'alam.


3 comments:

Anonymous said...

Salam rindu, bermadah bahasa la pulak kakak ku ini, nasib baik separuh muka surat tak tido lagi.. heh, gurau saja... seperti biasa, sedap dibaca, masuk ke hati... tehahahaha.... SALAM

farahzulaikha said...

Salam sayang, semoga harimu adalah lebih baik daripada semalam. Semoga Allah mengurniakan nikmat ibadah dan halawatul ukhwah yang kekal selama-lamanya...Selamat berjaya dalam peperiksaan yang bakal menjelma. Doakan ana ya... sayang ukhti kerana Allah. Salam'alaik.

Unknown said...

aku dikatain zubaidah oleh pria yg jaga disebuah toko elektronik di mall. aku diam saja dan aku tidak tau kisah siapa itu zubaidah. smpai aku membaca artikel ini. makasih ya min