Thursday, July 16, 2009

Ujian


Bismillahirahmanirahim. Assalamua’laikum.


Risalah kali ini, ingin ana bawakan antum menelesuri satu persoalan tentang ujian yang dihadapi secara lazimnya kepada seorang manusia. Dalam hari– hari yang mendatang, ada yang telah dijanjikan Allah dengan kegembiraan dan adakalanya diuji dengan kedukaan daripada musibah dan ujian yang melanda. Dan sekiranya bertanya pada diri, adakah redha dengan qada’ dan qadarNya atau bertindak berpaling daripada Allah dan mencari jalan yang salah berlandaskan hawa nafsu? Ujian datang dengan pelbagai bentuk. Sama ada peperiksaan di sekolah, kewangan, kehilangan orang tersayang, sahabat, bebanan tugas dan sebagainya


Ketahuilah olehmu bahawa dalam surah Al-Baqarah ayat ke-286:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa), “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami salah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”
(2:286)


Setiap orang mempunyai kesanggupan untuk menghadapi masalah dan ujian yang menimpanya. Dan di situ diuji agar diri dapat mengikis karat-karat jahiliyah, memperbaiki diri, mendekatkan diri kepada PenciptaNya dan di kala itu juga diuji siapakah yang paling beriman di sisi Allah. Sungguh sempurna aturan Allah, walau dalam sekecil-kecil perkara yang wujud di dunia ini.

Maka berbalik kepada perbicaraan kita, jalan apakah yang hendak diikuti? Antara tanda cinta pada Allah ialah kita redha dengan kehendakNya. Maka berusaha sehabis baik dan tawakal kepadaNya. Dan sekiranya musibah melanda, berdoalah kepadaNya, mengadu padaNya dan carilah ketenangan di dalam alunan Al-Quran, ayat cinta ciptaan Tuhan. Bukanlah menyalahkan takdir atau merasa putus asa dengan bantuan Allah. Sesungguhnya kita perlu sentiasa bersangka baik pada Allah S.W.T kerana Dia Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Jadikan hati seluas lautan kerana ia dapat menerima banyak ujian. Tetaplah kuat menghadapi cabaran, dan percayalah bahawa Allah Maha Pemurah dan Maha Kaya.

“Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku-perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.”
(40:60)


Wallahua’lam.



No comments: