Wednesday, August 5, 2009

KasihMu Allah, tidak terkira.

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah dengan nikmat nafas yang diberikan oleh Allah, sebagai tanda kemurahanNya. Bermula lagi hari yang baru, dengan azam yang baru. Bismillah, semoga sentiasa dalam naungan kasih dan cintaNya.

Hati berbunga dengan kejadian semalam; ketika diri sekali lagi mengutarakan masalah kepada abah yang memahami. Seperti anugerah Allah dengan kejadian manusia yang bergelar abah, mendengar, berfikir, dan menyelesaikan masalah dengan logik dan munasabah.

Lelaki.... tidaklah hendak digelarkan satu subjek yang kompleks, tetapi akal dan pemikirannya sangat ana kagumi. Penuh hikmah dan falsafah. Sangat berlainan dengan seorang perempuan yang penuh dengan emosi dan perasaan. Mengingatkan ana kepada buku Di Jalan Dakwah Aku Menikah, Aku Terima Nikahnya dan juga Seven Habits of Highly Effective People. Mungkin kerana itu, ana lebih suka kepada sesuatu yang berfalsafah dan mencabar menyebabkan ana lebih rapat dengan abah daripada mama. Dan juga faktor ana sebagai anak sulung... Tetapi semua yang berlaku menyebabkan ana berfikir tentang hakikat yang kita semua telah dewasa. Tentang bagaimana suatu hari nanti, mama dan abah akan melepaskan anak-anaknya mengharungi kehidupan diluar sana. Yang perempuan, belajar, bekerja dan bakal meniti hidup sebagai isteri orang. Dan yang lelaki, bekerja dan suatu hari nanti bergelar suami. Melalui satu fasa hidup yang seterusnya. Bersediakah diri untuk mengharungi dugaan yang semakin hari, semakin besar? MasyaAllah, semoga diri terus melangkah dengan petunjuk dariMu.

Selain itu, persoalan yang lain juga timbul. Sejauh mana usahaku untuk dakwah family? Mungkin dahulu tiada sesiapa yang mengingatkan untuk solat, membaca Al-Quran dan sebagainya, kini tugas itu berada di tangan kita yang ditarbiyah. Ingin diri menjadi perantaraan kepada hidayah yang turun dari Allah kepada manusia. Namun begitu, sejauh mana kekuatanku? Suka dan duka dalam keluarga menjadi pengajaran buat diri. Cuma, manusia juga ada kelemahannya. Hambatan dakwahku mungkin dari aspek keluarga. Tidak dinafikan kasih sayang mereka sentiasa dicari. Tetapi, pengorbanan perlu dibuat untuk teruskan perjuangan. Mungkin, buat masa ini, hanya dakwah dengan akhlak yang mampu dibuat. Sebagai akhwat di rumah, semoga diri ini mampu menjadi qudwah kepada mereka yang disayangi. Ya Allah, semoga dilembutkan hati mereka merestui pemergianku untuk berjuang di jalanMu. Kuatkan juga diriku untuk terus mencintaMu, Allah; rasul dan jihad di jalanMu. Ameen.




Hariku terus diisi dengan kuliah Taranum selama 2 jam bersama akhwat yang dikasihi. Seperti masih berkumandang suara ustaz yang mengalunkan ayat al-Quran, azan dan Qasidah dengan lagu Bayyati, Hijaz, Rast, Soba, Nahwand dan sebagainya. Keindahan al-Quran terserlah dengan bacaan yang diiringi dengan tartil, tajwid dan taranum yang dibawa. Gementar hati ana mendengarnya. Bagai ingin menangis memikirkan keindahan ayat cintaNya dan mengenangkan kesukaran dan ujian buat diri yang ingin mencari ilmu al-Quran. Tetapi, Allah Maha Penyayang dan Maha Kaya. Biarlah kehadiran ana di kelas itu untuk melegakan hati yang kesedihan kerana ilmu al-Quran itu terlalu sukar untuk dicari. Seperti terlalu sedikit bilangan ustaz dan ustazah diluar sana yang mampu mengajar ana, walau sebanyak mana usaha dibuat untuk mencari seorang guru. Beberapa kali diri ini kekecewaan kerana tiada peluang untuk belajar. Bagaikan telah lali dengan perasaan itu; apabila menghubungi seseorang yang mungkin boleh mendengar bacaan Al-Quran ana, tetapi disambut dengan ucapan maaf, dan sebagainya. Tetapi diri ingin menyempurnakan bacaan ayat cinta Allah, ingin menyentuh hati manusia dengan ayat Al-Quran. Ingin menjadi perantaraan hidayah Allah kepada manusia.... Ya Allah, kirimkan untukku guru, mengajarku tajwid, Al-Quran, qiraat dan sebagainya. Seorang yang mungkin boleh ana bertalaqqi dengannya, berkongsi ilmu tentang Allah, Islam, al-Quran, dakwah dan sebagainya. Ameen..

Maka, syukur pada Allah di atas segala nikmat ilmu yang diberi. Wahai sahabat di luar sana, terlalu ramai di luar sana yang punya rasa ingin tahu dan kemahuan yang tinggi untuk belajar, tetapi kekangan hidup yang dihadapi yang mungkin berbentuk kewangan, kesihatan, keluarga dan sebagainya menyebabkan cita-cita itu tidak dapat dipenuhi. Kesusahan itu boleh menyebabkan cita-cita dan kemahuan itu menjadikan seseorang itu lebih berusaha untuk mencapainya atau menyebabkan seseorang itu murung kerana berputus asa dengan keadaan tersebut. Semoga diri kita menjadi orang yang terus berusaha.




Hendak bercerita tentang diri, Allah Maha Mengetahui di atas segala sesuatu. Tentang keimanan, keikhlasan, tujuan, usaha, kemampuan, perasaan, hati dan sebagainya adalah dalam pengawasanNya dan pengetahuanNya. Hakikat manusia diberi pilihan samada untuk beriman atau tidak, untuk mengimani Tuhan Yang Maha Esa atau kafir. Maka, syukuri nikmat iman dan Islam yang telah dikurniakan. Percaya pada diri bahawa diri ini telah dipilih olehNya dengan nikmat-nikmatNya yang besar itu. Perlulah muhasabah diri kembali apakah tujuan hidup di dunia. Kerana di luar sana, terlalu ramai yang telah beralih kiblatnya. Samada pada Allah atau dunia yang penuh dengan penipuan dan godaan.

Wahai Allah, Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ana berharap dan mengadu padaMu. Rugilah diri hambaMu ini andai Engkau tarik nikmat-nikmat yang telah Engkau berikan. Biarlah diri terus larut dalam nikmat kasih dan cintaMu. Tidak terlalu ku risaukan masa hadapan kerana ketentuanku telah ditulis di helaian takdirMu. Pintaku cuma kesudahan yang baik, disambut dengan pandangan rahmatMu. Berikanlah kekuatan supaya terus melangkah di bumi ciptaanMu, menabur budi dan bakti. Siapalah diri ini untuk menghulurkan sesuatu tanda cintaku. Kerana segala-galanya adalah milikMu. Kerana Engkau, ya Allah, adalah Pemilik dan Pencipta hatiku. Pemilik rinduku, Pemilik rasa cintaku, Pemilik nyawa dan badanku, semuanya adalah milikMu. Semua yang ada adalah pinjaman buat hambaMu yang lemah ini. Ya Allah, permudahkan urusanku di dunia dan akhirat. Ku mohon kasih dan redhaMu. Semoga Kau perkenankan doaku. Ameen.

No comments: