There was an error in this gadget

Sunday, August 23, 2009

Bukti kasih dan cinta akhwat, semoga sentiasa dalam rahmat dan redhaNya

Bismillahirahmanirahim.



MasyaAllah, sudah terlalu lama rasanya ana tidak menukilkan sesuatu di blog ini. Tidak terkata hati bagaimana hari-hari telah berlalu menjadi tarbiyah kepada diri dan semua yang berada di sisi.

Diri diuji dengan demam yang agak teruk pada 2 minggu yang lalu. Alhamdulillah, semoga menjadi khafarah dosa buat diri yang lemah ini. Semoga setiap kesakitan menjadi penawar kepada kekhillafan dan dosa yang lalu. Walaubagaimanapun, betapa indahnya dirasakan nikmat sihat dan juga kekuatan yang telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T.


Tanggal 11 Ogos, Allah S.W.T mempertemukan ana dengan sahabat yang lain dalam majlis konvokesyen di UPM yang sangat dirindui. Bersama dengan kembar, mama dan abah, diri terasa sangat disayangi dengan kehadiran mereka di hari yang bersejarah itu. Senyuman akhwat yang disayangi, ukhti Siti, ukhti Iza, ukhti Yan, ukhti Khairi, ukhti Zura (asif pada yang lain mungkin ana terlepas pandang) tahniah kepada antunna semua. Semoga kita semua terus istiqomah dan istimrar dalam mencari cinta dan redha Allah di luar sana. Dan apabila melangkah ke dunia yang penuh dengan ujian dan dugaan di luar sana, pergantungan kita kepada Allah adalah sangat penting. Lebih-lebih lagi andai diri diuji sehingga menyebabkan tugas kita sebagai shabab yang membawa risalah Islam di muka bumi ini tergendala. Na'uzubillahminzalik. Doakan agar diri dan semua terus melangkah dengan petunjuk Allah dan berpegang teguh dengan manhaj kita iaitu Al-Quran dan As-sunnah. Sebagai seorang yang mempunyai segulung ijazah di tangan, sejujurnya, masih banyak lagi ilmu di luar sana yang perlu dicari. Dan janji Allah bahawa terdapat derajat yang istimewa di sisiNya buat sesiapa yang berilmu. InsyaAllah.


Kenangan lain dicipta dengan kepulangan adik, 'Aizat, yang belajar di Alexandria, Mesir. Tahukah dirimu sangat bertuah kerana dapat menjejakkan kaki di bumi Anbia? Namun begitu, masyaAllah, selepas setahun di sana, kepulangannya sangat diri nantikan.

Hehe... Tak tahu nak berkata apa... Bercerita tentang kehidupan di sana yang sangat berbeza dengan Malaysia. Nak cari makanan pun susah, dan lebih jimat kalau masak sendiri di rumah. Makanan seperti tomyam, ikan bakar, ikan masak asam pedas (lebih-lebih lagi masakan mama) susahnya nak dapat, Allah sahaja yang tahu. Kalau ada, agak mahal berbanding di sini. Tarbiyah buat dirimu, 'Aizat. Kakak bangga dengan kekuatan dan ketabahan 'Aizat di sana.

Tetapi, apabila bercerita tentang suasana atau bi'ah yang wujud di sana, MasyaAllah, betapa ana harap diri suatu hari nanti dapat melangkah ke sana. Imam yang terkenal di sana ialah Sheikh Jibril dan beberapa imam yang lain. Musollah dan masjid ada dimana-mana sahaja. Sekiranya seseorang itu hendak menuntut ilmu Al-Quran dan lain-lain, guru dan tempat belajar ada sahaja untuk dicari. Semakin adik bercerita, semakin kuat diri ini ingin melangkahkan kaki ke sana. Untuk belajar ilmu al-Quran, bahasa Arab, muamalat dan sebagainya. Di sana, pasti tersedia tarbiyah yang sangat berlainan di bumi Malaysia ini. Doakan agar cita-cita ini tercapai. Namun begitu, kita perlu percaya, di mana sahaja kaki kita berpijak, kita masih lagi di bumi Allah. Maka, percayalah bahawa kalimah 'Lailahaillallah' akan terus ditegakkan walau di mana sahaja kita berada. Dan di sinilah peranan kita sebagai khalifah yang berjuang kerana Allah dan rasulNya.

Apabila berbicara tentang ukhwah islamiyah, MasyaAllah, rinduinya ana pada semua akhwat di luar sana. Yang mungkin kini berada di semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, atau mungkin di bumi Indonesia atau Mesir, atau mungkin di mana sahaja di dunia ini yang berjuang mengikut sunnah Rasulullah. Semoga terus tegar melangkah di jalan dakwah yang penuh cubaan dan ujian ini. Semoga setiap peluh, air mata dan darah yang tumpah dalam pengorbananmu mencari redha Allah menjadi saksi di akhirat nanti, sebagai tanda cinta, budi dan bakti. Semoga membuah istana di syurga menanti.

Maka, ingin ana bawakan satu kisah yang sangat berbekas di hati ana, yang mana berkisar tentang akhwat-akhwat yang sangat dikasihi. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan kasih Allah.

Al-kisah, seorang akhwat yang baru sahaja menjejak kaki ke medan yang baru, ditakdirkan oleh Allah untuk berjumpa dengan akhwat di UPM. MasyaAllah, bagi ana, kehadiran ukhti seperti doa yang dimakbulkan oleh Allah. Hadirnya setiap kuntuman bunga mawar yang terus mekar, menghiasi lagi taman Islam yang sudah tersedia penuh indah dan permai. Dengan bi'ah solehah yang penuh dengan pengharapan dan pergantungan kepada Allah. Semoga taman Islam itu terus subur dibaja dengan iman, taqwa dan amalan kepada Allah S.W.T. Ameen.

Sekiranya ditanya pada setiap individu yang mungkin bergelar akhwat, muslimat, murobbi, nisa, dan lain-lain, yang memperjuangkan risalah Islam di dalam saf-saf atau jemaah; pasti suatu ketika kekuatan ukhwah antara akhwat dan akhwat yang lain akan diuji. Setiap manusia diuji dengan cara yang tersendiri, dan ada harinya kita diuji dengan ikatan persaudaraan dan ukhwah Islamiyah yang menjadi tunjang utama kepada perjuangan kita.

Ukhti yang sangat ana kasihi, diuji dengan kekuatannya untuk memerangi sesuatu yang berada di luar jangkaan insan biasa. Pejuangan yang sangat sukar untuk dinukilkan dalam bentuk kata-kata, sehinggakan habis tenaga dan kudrat yang ada; menyebabkan dirinya sangat lemah dan akhirnya jatuh sakit. Tabahnya dirimu semoga terus tegar mencari cinta Allah dengan caramu sendiri.

Maka, akhwat yang lain mengambil peranan menjaganya dengan sebaik mungkin. Ada akhwat yang sanggup menemankannya untuk berubat. Ada juga yang sanggup mencari herba yang agak sukar untuk didapati sehingga memerlukan dia untuk mengeliling sekitar ladang untuk mencari herba tersebut. Kasihmu yang bergelar akhwat terus terbukti, tatkala ada sahaja yang menolong mengambilkan air wuduk, menyarungkan telekung, dan menjadi imam untuk solat lima waktu, qiamulail dan juga dhuha. Memasakkan makanan dan menyuapkan makanan ke dalam mulut. Tak cukup lagi dengan itu, ada juga akhwat yang setia menghiburkannya di sisi. Bercerita tentang cinta Allah dan cinta-cinta yang lain di luar sana. Mengupas tentang nikmat Allah dan juga kehadiranNya dalam setiap ciptaan di bumi ini.

Namun, kenangan yang tak mungkin untuk ana lupakan apabila sampai waktu untuk ukhti yang ana kasihi itu untuk makan ubat. Keadaannya menyebabkan dirinya tidak boleh menelan ubat berbentuk tablet yang bersaiz besar. Harap maklum bahawa ubat-ubat semuanya sangat pahit dan sangat sukar untuk ditelan... Namun begitu, seorang akhwat sanggup untuk mengambil ubat tersebut, menguyahnya dahulu sebelum disuapkan ke mulut ukhti tadi. MasyaAllah, terharunya ana sehinggakan hampir sahaja ana ingin menangis di depan mereka; tetapi hanya senyuman dan tawa yang boleh ana pamerkan untuk meringankan hati akhwat yang dikasihi. Dan senyuman ana dibalas dengan senyuman penuh tabah yang ana tahu, hanya seorang yang bergelar akhwat dapat mengukirkan senyuman itu.

SubhanAllah. Tidak terkata rasa hati mengenangkan pengorbanan akhwat yang sangat banyak buat insan yang lain. Bahagianya diri ini, Allah sahaja yang tahu. Dikurniakan sahabat-sahabat yang sangat setia, penuh hikmah dan segala-galanya dilakukan dengan tujuan untuk Allah, Tuhan Yang Maha Penyayang semata-mata. Semoga ukhwah kita terus berkekalan buat selama-lamanya. Dan insyaAllah, ingin ana bawa semua orang yang sayangi ke syurga. Ameen.

Dan untuk ukhti yang dikasihi, walau mungkin dirimu merasakan seperti menjadi bebanan kepada akhwat yang lain, janganlah merasa sedemikian rupa. Hadirnya seorang akhwat, mungkin sebagai ujian buat akhwat yang lain. Dirimu menjadi satu asbab kepada akhwat untuk mencari pahala di dunia ini dengan menghulurkan pengorbanan dengan bentuk tenaga, masa, kata-kata semangat dan sebagainya. Maka bertuahlah diri ukhti kerana cinta akhwat yang dapat ukhti rasai dalam setiap perkara yang dilakukan untuk diri. Tak kurang juga, semoga cepat sembuh dan kembali berjuang di medan yang baru ini. Dirimu ana lihat sebagai satu keajaiban Allah; yang menceriakan lagi hidup ana dan akhwat yang lain. Dan didoakan agar gerak kerja kita di medan universiti terus berkembang dan semakin gencar dengan semangat yang terus membakar di saf perjuangan cinta Allah ini.

Kesimpulannya, setiap mujahid dan mujahidah yang berjuang menegakkan agama Islam di bumi Allah tidak kuat andai bergerak seorang. Ukhwah Islamiyah sangat penting dalam perjuangan agar dapat menguatkan diri untuk gerak kerja dakwah yang menuntut banyak pengorbanan. Setiap orang yang ditarbiyah, pasti akan merasai nikmat halawatul ukhwah yang terjalin antara orang muslim yang lain. Sangat indah sehingga tidak mampu untuk dilahirkan delam bentuk kata-kata.

Dan buat diri ana, ia adalah antara cinta yang halal yang sangat diri cari dan damba. Setiap ketawa riang dan tangisan yang berlegar bersama kenangan yang dicipta bersama akhwat; sentiasa mewarnai hidup ana yang singkat ini. Seperti yang telah ana ungkapkan, bahawa kasih Allah ada dimana-mana sahaja. Antaranya akhwat; yang juga adalah insan ciptaan Tuhan dan hadirnya sebagai tanda kasih dan sayang Allah buat diri hamba yang kesunyian. Alhamdulillah. Segala pujian dipulangkan pada Allah S.W.T.

Wallahu'alam

No comments: