There was an error in this gadget

Friday, May 25, 2012

Syukur itu...

Bismillahirahmanirahim.

SubhanAllah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Pagi yang indah menyaksikan lagi gugurnya air mataku ke bumi. SubhanAllah, dugaan Allah ternyata hadir membawa pergi tawa riangku…. Tetapi hadirnya ujian tanda cintaNya. Rindu ana pada habibati-habibati ana di luar sana. Sudah lama tidak ketemu. Ku rindui saat kita berjaulah bersama-sama mencari ilmu dan beramal dalam ruang tarbiyah dan dakwah itu. Rindu ana pada bingkisan nasihat dan untaian kata pembangkit jiwa. Semoga Allah memudahkan segala urusanku dan urusanmu. Amin. 

Di pagi yang hening ini, cuba untuk ku bangkit dari mimpi semalam. Terlalu banyak yang bisa menggugahkan hati yang lemah tetapi bisa sahaja dihiburkan oleh Allah. Kerana Dialah pemilik hati ini. Dan Dia juga Penjaga rahsia kebaikan dan juga keaibanku. Maha Mendengar bisikan hati hamba-hambaNya.

Tatkala seorang sahabat yang dikasihi menelefon dengan suaranya yang ceria. SubhanAllah, Kau utuskan padaku seorang serikandi pencari ilmu. 

‘Janganlah bersedih, ya... Ingat Allah… Kena syukur dengan segala pemberianNya. Ujian juga satu nikmat… Syukur pada Allah ya… Nanti akan tersenyum..’ Bicaranya penuh ikhlas terkesan di hati. 

Walaupun dirinya tidak mengetahui apa yang berlaku pada diri ini… Petunjuk Allah itu sampai kepada hamba-hambaNya dengan cara yang tersendiri… 

Syukur… Satu kata yang sangat dalam maknanya. Syukur juga seperti membawa diri ini kepada satu perasaan yang berbeza. Menyebabkan diri mengerti erti rendah diri dan tawakal kepada Allah. Hakikatnya, terlalu banyak nikmat yang diberikan Allah kepada kita. Dan suatu ketika Allah menguji kita dengan kehilangan sesuatu yang kita sayangi dan juga lemahnya diri ini untuk cuba melindungi seseorang yang dikasihi. Walau sebanyak mana usaha yang dihulurkan, segalanya diakhiri dengan Bismillahirahmanirahim… Ku serahkan segala-galanya padaMu, ya Allah. Maka, lahirlah erti redha pada ketentuanNya. 

Ya… sangat benar pujukan serikandi itu. Semoga Allah membalas segala jasamu. Amin, ya rabbana.

Ternyata Allah telah meletakkan tugas kita sebagai seorang khalifah di dunia ini. Manusia yang bersifat dinamik yang sentiasa berubah. Terlalu indah ciptaan Allah itu. Lihatlah secara jelas sahabat terdekatmu. Perhatikanlah dia… senyumnya, tarik nafasnya, degupan jantungnya, mata yang bersinar, tangan yang bergerak… semua itu adalah keajaiban Allah. Setiap orang mampu membawa perubahan kepada orang lain.

Maka, carilah potensimu wahai sahabatku. Umat manusia menunggu di luar sana untuk dipimpin tangannya untuk mencari jalan kepada Tuhannya. Dan tanamkan cita-cita di dalam hatimu… Ingin ku pimpin tangan orang yang disayangi ke syurga… Lihatlah pada indahnya peribadi Rasulullah. Tatkala kudratnya digunakan menyampaikan wahyu Allah kepada umatnya. Sifatnya sentiasa memberi dan memberi tanpa mengharap kepada pembalasan dari manusia. Sabarnya baginda menyuap makanan ke mulut seorang Yahudi yang buta. Sabarnya baginda menahan lapar. Sabarnya baginda digelar seorang gila, ahli sihir dan banyak lagi. Tetapi, setiap perbuatan baginda itu diiringi dengan keikhlasan, pengharapan dan juga tawakal pada Allah. Kerana hakikatnya bahawa baginda adalah seorang Rasul, utusan dari Allah. Hanya Allah sahaja yang berkuasa memberikan hidayah kepada manusia kerana hidayah dan iman itu milik Allah. Dan Rasulullah hanya menjalankan tugasnya menyampaikan wahyu dan amanah Allah.

Ya, Allah... Kuatkan langkah kaki ini berjuang keranaMu. Tuntunlah langkahku di jalan redhaMu. Jagalah tutur kataku dan gerak perilakuku. HambaMu ini mengharap ampunan dan redhaMu. Hanya Engkau Yang Maha Penyantun lagi Maha Berkuasa. Amin, ya rabbana...

No comments: