Thursday, May 24, 2012

Janji Allah itu benar...

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah, bermulalah hari ku yang baru bersama misi yang baru. Sepanjang tempoh semester satu, telah selesai penulisan dan perbentangan kertas kerja cadangan penyelidikan di hadapan pemeriksa. Begitu juga urusan permohonan sebagai Graduate Research Assistant. Eksperimen di dalam makmal juga turut dijalankan tetapi masih dalam tahap ‘try and error'. Walaubagaimanapun sukarnya, langkah ini perlu diteruskan kepada perjuangan yang berikutnya. Semoga Allah memudahkan segala urusanku. Amin.

Kini, hati cuba untuk berbunga bahasa mengungkap kata rindu dan juga cinta… tetapi dirasakan sangat sukar kerana keringnya ilham yang ada. Terlalu lama tidak ku hias laman ini dengan bunga bahasa dan buah pemikiran, kala kesibukan yang menjelma mengekang jari-jemari ini untuk menaip kata-kata. Ya, memang sudah terlalu lama ku menyepikan diri. Namun begitu, kini telah kurang sedikit bebanan yang ditanggung kerana hanya satu projek kimia yang perlu diberi perhatian. Allah itu Maha Pemurah dan Maha Mengetahui… Semoga Allah memudahkan segala urusanku di dunia dan akhirat.

Terlalu banyak perasaan yang melanda diri ketika ini. Hakikatnya diriku kini sedang diuji dengan pelbagai dugaan…. Tapi dugaan itu adalah tanda cinta dan sayang Allah kepada kita supaya kita semakin dekat denganNya. Saban hari bergenang dengan air mata, merayu dan bermanja pada Allah. SubhanAllah, aturan Allah itu terlalu cantik dan indah. HambaMu ini hanya boleh menyaksikan keajaiban dan kekuasaanMu itu diungkapkan di hadapan mata. Haha… pastinya semua tertanya, mengapa Farah masih berbunga kata tanpa memberitahu apa yang terjadi? Biarlah ia menjadi rahsia… Cuma Allah sahaja yang mengetahui…

Walaubagaimanapun, ingin ku kongsikan di sini satu kisah yang sangat menarik. Bukti janji Allah yang sangat pasti telah dinyatakan dalam kalam Burhan. Bahawa setiap yang kita infakkan, pasti infak itu akan diganti oleh Allah S.W.T. di samping pahala yang dijanjikanNya.

Al-kisah, pada suatu hari terdapat seorang hamba Allah yang berjalan ke kompleks membeli belah utuk mencari sebuah buku. Hatinya telah berbunga-bunga kala masuk ke dalam kedai buku yang terletak di dalam kompleks PKNS, Bangi. Tangannya membelek satu demi satu buku yang ada. Cuba dicari buku hadis 40 Fadhilat Al-Quran. Tetapi, dia menjadi rambang mata tatkala hati merasai gembira di kelilingi dengan buku yang sangat banyak…

Telefon bimbit bergema lagu, tanda ada panggilan yang masuk.

“Assalamu’alaikum.”

“Wa’alaikumsalam. Kakak, mama ni..”

“Ya mama. Kita kat kedai buku. Kenapa? Mama nak pesan apa-apa ke?” Tanya diri itu dengan manja.

“Mama pesan buah berangan boleh?” Tanya mama.

Akalnya terdetik untuk menjawab tidak kerana tahu hakikat dirinya tidak cukup duit untuk membeli buku dan buah berangan pada masa yang sama. Di tangannya cuma ada RM 20 dan sekiranya hendak membeli buah berangan untuk mama dan adik-adik di rumah, harganya juga RM 20. Maka, tidak sampailah hajatnya untuk membeli buku. Tetapi, hatinya juga yang menjawab pertanyaan mama…. Mengenangkan kasih pada mama, ingin sekali dipenuhi hasratnya.

“Boleh. Tapi mama tunggu lama sikit ya… Kita kat PKNS lagi.”

“Ok. Mama tunggu."

“Ok. Assalamu’alaikum.”

“Wa’alaikumsalam.”

Perbualan tamat dengan hati yang berbelah bagi. Sedikit rasa gembira dan sedikit rasa duka. Tak mengapalah wahai hati… ini permintaan mama… Kita penuhikannya dahulu… Buku boleh dibeli lain kali… Kaki melangkah membeli buah berangan di tepi jalan. Usai sahaja mualat berlangsung, safar pulang ke rumah membawa hajat mama di tangan.

“Mama… Ni buah berangannya.”

Tangan menghulurkan buah berangan dan disambut oleh habibati, mama yang sabar menunggu dengan senyuman.

“Berapa harganya?”

“20 ringgit.”

Mama mencapai dompetnya dan mengeluarkan duit kertas RM 50 lalu dihulurkan kepada anaknya itu.

“Kita takde duit pecah, mama…” Diri memberitahu secara terus terang.

“Takpe. Ambillah bakinya.” Jawab mama dengan tenang.

Duit kertas itu bertukar tangan sambil hatinya terasa syukur dengan kurniaan Allah. Ketika dirinya memenuhi harapan mama, Allah balas dengan nikmatNya berlipat ganda. Hatinya memanjat puji-pujian dengan ketidakpercayaan pada aturan ini. Terlalu indah tetapi hakikatnya benar… Allah itu Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui.

Terlalu banyak nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita sehingga tak terkira banyaknya. Helaan nafas ini, jantung yang berdegup, mata yang melihat, telinga yang mendengar dan banyak lagi… Tak mampu untuk seorang makhluk nafikannya lagi. Tatkala petunjuk-petunjukNya hadir mengetuk pintu hati untuk sentiasa mengingati Allah.

Di sini sahaja ku tinggalkan kalian dengan karangan kata. Semoga mendapat manfaat yang berguna. Ana berundur diri dahulu. Semoga Allah memudahkan segala urusanku dan urusanmu. Salam’alaik.

No comments: