Wednesday, November 18, 2009

Kembara Cinta bersama akhwat..... Ada apa dengan Tarbiyah Dzatiyah?

Bismillahirahmanirahim.

Alhamdulillah dengan kemurahan Allah S.W.T, diri ini masih bernafas menghirup udara segar milikNya. MasyaAllah, hadirnya setiap perkara yang berlaku dalam hidup, menjadi sesuatu yang sangat berhikmah. Seperti Allah S.W.T sentiasa menyingkapkan kehadiranNya dalam setiap penciptaanNya. Doakan iman diri ini sentiasa istiqamah dan istimrar, bersama-sama bermujahadah untuk mencapai nikmat iman yang sempurna. Ameen. Selawat dan salam kepada murabbi agung Nabi Muhammad S.A.W, keluarga dan sahabat, tabi' tabiin serta semua umat Islam di seluruh dunia. Semoga terus tsabat melangkah mencari cinta Ilahi.


Allah Yang Maha Besar, Maha Pengasih dan Penyayang. PadaMu ana memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas kurniaan nikmat berukhwah. Tidak ternilai harganya. Betapa nikmatnya berukhwah keranaMu, Allah. Bersama mawar-mawar berduri, akhwat UPM yang dikasihi, dengan izinNya dipertemukan lagi dalam program Kembara Cinta yang baru sahaja berlalu pada 14 dan 15 hb November yang lepas di Taman Pertanian Bukit Cahaya. Terlerai keinginan untuk berjumpa dan bertanya khabar sahibah-sahibah yang dikasihi. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Ungkapan 'kembara cinta' mengingatkan ana bahawa ramai umat muslimin dan muslimat yang bersedia untuk menjadi tetamu Allah di Mekah dan Madinah. SubhanAllah, didoakan agar jemaah haji yang akan mengerjakan rukun Islam yang kelima ini mendapat haji yang mabrur.



Namun begitu ternyata untuk ahli jawatankuasa program memilih istilah 'kembara cinta' sepadan dengan objektif iaitu untuk mencari cinta dan redha Allah, ukhwahfillah, meningkatkan ketahanan mental fizikal, spiritual dan emosi, dan juga menerangkan dengan lebih jelas tentang tarbiyah dzatiyah sebagai persediaan akhwat yang akan bertukar medan seketika dari kampus ke dakwah family. Selain itu, sememangnya kita mengembara... benar tak wahai semua ukhti yang ana kasihi? Kenangan yang tercipta bersama dalam lingkungan iman dan halawatul ukhwah yang sangat indah.... menceriakan hidup ana yang singkat ini.

Program yang bermula dengan Taaruf dan disusuli dengan Explore Race. Mawar-mawar berduri ini diuji dengan kekuatan mental dan fizikal. Mengembara dengan basikal untuk mendaki dan menuruni bukit. Tidak ketinggalan juga dengan cabaran-cabaran yang tersedia di setiap 'check point'. Diri ini ternyata diuji dengan kecekalan untuk terus mengayuh basikal dan memerah otak untuk menjawap soalan-soalan yang disediakan untuk peserta. Antara yang menarik ialah membuat origami, peta minda, silang kata, tasmi' hafalan surah Al-Ghasyiyah dan juga 'game' ukhwah.


Huhu.... paling menarik game ukhwah; kena berkongsi makan buah pear tanpa menggunakan tangan. MasyaAllah, perlukan kerjasama dan kesabaran yang sangat banyak. Jazakumullah buat sahibah sekumpulan, pada ukhti Aini dan ukhti Farah Husna, ana sayang antunna semua. Alhamdulillah, tercipta lebih banyak memori bersama akhwat yang tercinta. Sambil mentadabbur alam dan mengungkap ayat-ayat Al-Quran tentang haiwan, penciptaan langit, bumi, tumbuhan dan alam. MasyaAllah, sungguh memuaskan hati walaupun akhirnya kenangan yang dihadiahkan berserta dengan kesakitan... puas kayuh basikal sampai sakit kaki.... Ibrahnya sahabatku, sebelum melakukan riadah, pastikan buat 'warm up' dengan betul terlebih dahulu. hehe..

Dari taman pertanian bertukar halaman program ke Masjid Shah Alam. LDK diteruskan dengan perkongsian pendapat tentang perkara yang boleh dilakukan sebagai pengurusan diri dan emosi, tarbiyah dzatiyah, ukhwahfillah dan dakwah family apabila berada di rumah. Semoga apa yang telah dibincangkan secara teori mampu diaplikasikan secara praktikal. Tercipta lagi gambaran indah kenangan bersama akhwat tika diri dan sahibah mengangkat Ukhti Mila yang sakit kaki untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Ukhtiku sayang, semoga ukhti cepat sembuh...

Pada malamnya, diri diperkenalkan pula dengan cara dakwah masyarakat yang seharusnya kita semua tahu. Ilmu boleh dicari di mana-mana sahaja. Bertuahnya diri kerana dapat menghadiri forum perdana yang dianjurkan oleh masjid yang menjemput panel yang terkenal berkongsi tentang 'Faedah Ibadah Solat'. Kata-kata yang membina dan terkesan di hati hampir menyebabkan ana mengalirkan air mata. Keagungan Allah dalam setiap ibadah yang dianjurkan kepada kita, akhirnya adalah untuk kebaikan diri kita sendiri. Kedekatan dan keterikatan hati pada Allah yang mampu terjalin dengan solat yang sempurna. Dan sujud padaNya menjadi satu tanda kehambaan diri yang bergelar insan kembali kepada fitrah manusia. Tidak ketinggalan, aluanan azan yang sangat menyentuh hati. Sangat terasa seperti diri ini dipanggil untuk mengadapNya.... SubhanAllah, lembutkan dan lunakkanlah hati ini agar sentiasa mengingatiMu, Allah. Amen... ameen...ameen..

'Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang yang khusyuk. (iaitu) orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya' (Surah Al-Baqarah: 45-46).


Malam mula melabuhkan tirainya. Bersama semua sahibah yang dikasihi, mabit beramai-ramai di masjid. Kami juga disertai oleh beberapa warga masjid yang lain dan ummi Ukhti Ummu Aiman yang masing-masing berniat untuk menyertai Qiamulail keesokan harinya.

Walaupun diri keletihan, namun hati ini tidak mampu menolak apabila mendapat permintaan ukhti yang dikasihi untuk membaca satu surah yang mampu menyentuh hatinya sebelum tidur seperti yang pernah ana lakukan saban hari. Bermula dengan ta'awuz dan diikuti dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang; harapan, penghayatan dan doa ana sertakan mengiringi alunan al-Quran yang terlafaz dari bibir ini agar hati-hati antunna semua tersentuh dek kalimah-kalimah Allah. Terlalu istimewa kalimah-kalimah cinta Allah itu, wahai ukhtiku. Ingin ana menjadi perantaraan hidayah Allah kepada hati-hati manusia. Agar terbangkit jiwa mujahidah antunna yang lesu...agar bertambah saham akhirat ana... Ingin sekali ana menyentuh hati antunna seperti tersentuhnya hati ana tatkala kalimah-kalimah Allah itu diperdengarkan kepada ana satu ketika dahulu. Doaku agar terlahirlah cinta pada Al-Quran dalam hati antunna semua dan sama-sama kita terus berjuang mencari redhaAllah dengan berpegang teguh pada manhaj Al-Quran dan As-Sunnah. MasyaAllah, rindu ana pada rasulullah.. semoga diri kita tetap melangkah jejak sunnah baginda. InsyaAllah.




Pada pukul 3.30 pagi, imam yang dijemput khas untuk Qiamulail memulakan dengan zikir munajat yang sangat indah; diikuti dengan solat Tasbih, Taubat dan Hajat. Di antara solat-solat sunat diiringi dengan zikir, doa dan juga muhasabah diri oleh imam tersebut. Hati ini tersentuh tatkala mendengar esakan tangisan imam dalam pohonan doa dan zikir yang dipanjatlan pada Allah. Semoga doa kita semua dimakbulkan Allah. Ameen. Seterusnya, solat Subuh diimamkan oleh imam masjid Shah Alam. Alunan al-Quran dan doa dengan cara bacaan Sheikh Sudais Shuraim memenuhi ruang solat dan secara tidak langsung membangkitkan perasaan rindu pada bulan Ramadhan, pada Masjid UPM, pada surau tercinta di sekolah dan banyak lagi. MasyaAllah, bahagianya berada di rumah Allah. Seperti tidak mahu berganjak dari situ.

Walaubagaimanapun, kembara tetap diteruskan lagi apabila bertukar ke destinasi seterusnya. Beralih ke rumah akhwat yang berdekatan bersama tentatif seterusnya iaitu pengisian oleh akhwat yang dijemput khas untuk mengupas persoalan Tarbiyah Dzatiyah kepada semua akhwat yang hadir. Tarbiyah Dzatiyah ialah tarbiyah seseorang terhadap diri sendiri dengan dirinya sendiri.

Antara urgensi kepada tarbiyah dzatiyah antaranya adalah menjaga diri hendaklah diutamakan. Dalam Surah At-Tahrim ayat ke-6:

'Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.' (Surah At-Tahrim: 6)



Selain itu, tarbiyah dzatiyah adalah sangat penting kerana andai kita tidak mentarbiyahkan diri, siapa yang akan mentarbiyah diri? Tarbiyah ini juga ternyata diperlukan kerana hisab di akhirat kelak adalah bersifat individu:

'Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri' (Surah Maryam: 95)

'13. Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah yang dijumpainya terbuka. 14. Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu itu sebagai penghisab terhadapmu.' (Surah Bani Israel: 13-14)

Apabila sudah terdidik diri ini, maka barulah boleh melakukan perubahan pada keluarga dan masyarakat. Selain itu, ia juga satu sarana untuk terus tsabat dan istiqamah. Ini mengingatkan ana tentang keadaan ikhwah wa akhwat yang terkadang itu dalam keadaan 'down' tatkala iman diuji dengan hadirnya pengaruh-pengaruh Ghazwul Fikr yang datang menyapa diri. Program tv yang melalaikan, 'computer game' yang sangat mengasyikkan dan sebagainya. MasyaAllah, semoga iman diri ini dan antum semua sentiasa istiqamah dan istimrar.




Andai terasa 'down', ingatlah pada Allah, capai Al-Quran dan membacanya. Cuba wujudkan keterikatan hati antum pada Al-Quran dengan mencari kisah terindah melalui pujukan firman Allah. Selain itu, berhubung dengan sahabat yang dikasihi, meminta agar dipujuk diri yang semakin lemas dengan godaan dunia dan hawa nafsu. Maka, kerana ukhwah berteras tautan akidah pada Yang Esa, sama-samalah memimpin antara satu sama lain di jalan yang penuh dugaan ini.

Apabila berada di rumah, ikhwah wa akhwat dianjurkan supaya menjadi qudwah hasanah kepada ahli kelurga yang lain. Diri ini ingin mengajak antum semua untuk terus ikhlas mencari cinta Allah. Cukuplah Allah Yang Maha Melihat sebagai Pemelihara dan Penolong kita. Yang sentiasa mengawas tindakan kita. Walaupun diri dipuji, dicaci atau dihina, teruslah berbuat kerana pandangan Allah yang paling penting dan bukan pandangan manusia. Sentiasa bermuhasabah diri, bertaubat, mencari ilmu (bedah buku, surf internet), mengerjakan amalan sunat (mutaba'ah), menyibukkan diri dengan kerja yang baik, bermujahadah dan sentiasa berdoa kepada Allah.


MasyaAllah, penghargaan tidak terhingga buat mata yang masih tegar membaca nukilan yang panjang ini. Tatkala hati juga berkata, mata-mata inilah yang mungkin dekat pada diri ini sehingga sampai ke kalimah-kalimah akhir tulisanku tercatat. Sejujurnya diri ini sangat takut untuk menukilkan sesuatu, tika hati memohon kekuatan pada Allah agar kata-kata yang terlahir ini mampu untuk dilaksanakan oleh diri yang menulisnya. Sebagai seorang daie, kalimah 'Kaburamaktan' sentiasa terngiang di lubuk fikiran;

'2. Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? 3. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?' (Surah As-saff: 2-3).

SubhanAllah, ana memohon kekuatan untuk terus mencari redhaMu. Ameen.. Sahabat, doakan ana jua...

Alhamdulillah, selepas tamat pengisian yang sangat bermakna, evaluasi dijalan untuk mendapatkan respon dari para peserta. Ternyata, program ini mencapai objektif-objektifnya. Syukur pada Allah, Alhamdulillah. Semoga diteruskan di masa hadapan dengan aktiviti dan pengisian yang lebih menarik lagi.

Tatkala safar pulang ke rumah, ana ditemani oleh semua akhwat yang dikasihi. Suasana yang sebelum ini ceria dengan gurauan dan kata-kata sahibah mula digantikan dengan suasana yang agak sedih kerana masing-masing akan berpisah.

"Salam'alaik ukhti..insyaAllah ana akan merindui dodoian anti dengan aluanan ayat-ayat suci Al-Quran.. huhu ('',) miss you, wa ilal liqa' ukhti, jaga diri baik-baik ya.. salam'alaik"

MasyaAllah, pesanan ringkas yang dikirimkan oleh sahibah walau belum lagi sampai ke destinasi untuk kita berpisah ini terlalu ana hargai. Semoga ana dan ukhti dapat merasakan nikmat cinta pada Allah, rasul dan Al-Quran tika diri hanya mampu menghulur tangan untuk berkongsi rasa rindu ini. Salaman dan pelukan hangat sahibah yang ana rindui menjadi tanda perpisahan kita buat masa ini. Semoga Allah mempertemukan kita lagi.



Jazakumullah buat semua urus setia Program Kembara Cinta... Tercipta lagi kenangan manis bersama akhwat yang tercinta. Syukur pada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, setiap ujian dan pengalaman menjadi tarbiyah istimewa buat diri yang hina.

Wallahu'alam.

3 comments:

syamil iman said...

as AJK...err...ana just nk ucap jazakillah atas komitmen yg diberi....

Siti Muthiah said...

Salam. Alhamdulillah segala puji- pujian hanya layak untuk Allah. Tiada daya kekuatan melainkan hanya dari Allah. Tak layak rasanya untuk memikul amanah ini, tapi dengan adanya ajk- ajk yang dilantik, banyak membantu ana. Pengalamanlah yang mengajarkan kita...dan menjadikan diri kita semakin matang...Allah jualah yang menyentuh hati- hati kita, program ni hanyalah wasilah.
***Nice story dengan penuh ayat- ayat cinta kepada Allah...subhanallah kalau kita dapat penuhi hati kita dengan cinta Allah, tapi tulah manusia sering diuji..itulah tarbiyah dari Allah. Marilah kita kembara mencari cinta Allah dan redha Allah hingga ke akhir hayat kita...

farahzulaikha said...

Jazakillah kak siti, semoga segalanya dipermudahkan Allah.