Friday, November 6, 2009

Persoalan demi persoalan..., Iqra, waratilil Qur'aan

Bismillahirahmanirahim

Segala puji bagi Allah, tiada Tuhan yang disembah selain Dia.

SubahaAllah, tarbiyah dari Allah takkan pernah tamat. Hikmah ilmu dan pengalaman dari kehidupan dan juga helaian-helaian buku yang memberi banyak pencerahan. Semoga ilmu yang baik dituntut dan disampaikan sehingga tiada lagi nafas di badan, mencari bekalan akhirat melalui ilmu yang bermanfaat. Rindu ana pada Rasulullah, selawat dan salam buat baginda, keluarga, para sahabat, tabi tabii’n dan juga semua umat Islam di seluruh dunia. Semoga semua sentiasa dalam naungan kasih dan redha Allah.


Tatkala hati kegelisahan dan kesepian, Al-Quran yang menjadi peneman dan penawar yang sentiasa berbicara penuh hikmah dan tercatat penuh makna dan bukti tentang kewujudan Allah melalui penciptaan langit dan bumi, siang dan malam dan sebagainya. Persoalan yang terungkap di dalam warkah cinta itu ternyata menyebabkan ana dan antum semua gementar kerana takut pada Allah dan juga tenang apabila mengingatiNya.

'Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) Al-Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada TuhanNya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendakiNya. Dan barang siapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.' (Az-Zumar:23).

Mengimbas kembali kepada beberapa ayat Al-Quran yang penuh hikmah dan timbul pertanyaan yang boleh diutarakan; Tidak sukakah antum di akhirat nanti andai diberi kitab melalui tangan kananmu? Tidak takutkah antum andai diberi kitab dari belakang yang hanya dijanjikan dengan seksaan neraka? Gambaran yang menakutkan tentang buah zaqqum yang menghancurkan perut dan minuman yang panas? Diberi makanan yang tidak menggemukkan atau menghilangkan lapar? Bagaimana dengan gambaran syurga? Yang terbentang luas dan terdapat air mata yang mengalir di bawahnya.



Indahnya Al-Quran…. Tak mampu untuk diri jelaskan. Hadirnya dari Allah kepada Rasulullah melalui perantaraan malaikat Jibril dan akhirnya ke tangan ana dan antum semua. Maka, Iqra ukhaiya, waratilil Qur’aan. Read, my brother and recite the Quraan. MasyaAllah, lagu bahasa Arab, Iqra oleh Ahmed Bukhatir telah berjaya memujuk hati ini untuk mencapai Al-Quran dan membacanya.

Ukhwahfillah,
Ingin ana terus berbicara tentang cinta Allah, rasul dan Al-Quran itu… Namun tidak terdaya lagi. Tatkala hati ini cuba mencari erti sebenar cinta pada Allah, biarlah diri mencari kalimah-kalimah menyusun bunga idea dan dedaun kata untuk menjadi gubahan karangan yang indah. Agar tersentuh hati-hati yang membacanya nanti. Doakan agar usahaku diteruskan…..

MasyaAllah… ingin ku kenal Allah, Sang Pencipta rasa cinta. Agar melambung tinggi perasaan kasih dan rindu untuk berjumpaNya. Dan kasih semua pada Rasulullah, manusia yang terpuji, wajah yang bercahaya dan akhlak yang sempurna seperti Al-Quran. Andai mungkin diri ini dan antum di luar sana mengharapkan kasih dan cinta dariNya, maka cintailah dan taatilah Allah dan rasulNya. Kerana cinta padaNya pasti akan terbalas jua. Sebagai manusia, contoh terbaik ialah kekasih Allah, Nabi Muhammad bin Abdullah S.A.W.




Bukti cinta pada Allah;
‘Katakanlah, ”Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ‘ (Ali Imran: 31)

Sahabatku, langkah-langkah yang diatur menjejak debu-debu sirah Rasulullah dan sahabat, di mana-mana sahaja di bumi Allah ini menjadi bukti kepada cinta itu. Jalan dakwah itu adalah sunnah terbesar Rasulullah. Bersama tautan akidah, semaian ibadah dan teras akhlak yang terpuji…. Semoga terus berusaha mencari permata pahala yang membuah nikmat di syurga.

SubhanAllah. Allah menjadikan manusia mudah lupa dan sentiasa diuji dengan hadirnya iblis, syaitan dan hawa nafsu yang membelenggu kita. Kerana itu kita digelar insan. Betapa besarnya hikmah kalimah syahadah yang sentiasa meniti di bibir ana dan antum semua tatkala duduk tahiyat awal dan akhir. Dan kalimah itu juga basah meniti bibir ketika mengingatiNya. Bersaksi bahawa tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah, dan Nabi Muhammad, Pesuruh Allah.




Terasa iman diri perlu sentiasa diperbaharui. Bagai usia imanku cuma beberapa saat tatkala kalimah Lailahaillallah meniti di bibirku. Adakah amalan-amalanku diterima oleh Allah tatkala diri lemas dibawa gelombang hawa nafsu dan godaan dunia yang fana? Ya Allah, ku serahkan segala urusanku kepadaMu. Ameen. Mari, terus mencari kudrat berpegang teguh pada sifat Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Wallahu’alam.

No comments: